Tag: judi

  • Piala Dunia: 10 ejen bookie pertaruhan ditahan

    Piala Dunia: 10 ejen bookie pertaruhan ditahan

    10 individu yang bertindak sebagai ejen bookie pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022 ditahan Polis Kontinjen Johor dalam tempoh Isnin hingga semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, semua suspek ditahan dalam 10 serbuan di seluruh negeri ini menerusi operasi Op Soga IX.

    Menurutnya, mereka yang ditahan semuanya adalah lelaki berusia antara 22 hingga 43 tahun.

    “Had nilai kredit keseluruhan mencecah sehingga lebih RM1.059 juta, manakala wang tunai yang dirampas berjumlah RM9,730.

    “Kita turut merampas 10 telefon bimbit termasuk kad sim dan sebuah buku memo pad yang mempunyai catitan disyaki pertaruhan Piala Dunia Qatar 2022,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Beliau berkata, semua tangkapan kini direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(3), Seksyen 6(1) dan Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1953.

    Kamarul Zaman berkata, Op Soga IX itu diadakan bagi membanteras gejala perjudian dan pertaruhan yang membabitkan kejohanan piala dunia itu.

    “Fokus utama operasi khas ini adalah untuk mencegah dan membanteras kegiatan catit taruh sempena Piala Dunia Qatar 2022 bagi menahan individu yang bertindak sebagai bookie atau ‘punter’ dan juga tempat menjalankan judi bola sepak.

    “Pelaksanaan penugasan Op Soga IX ini merujuk kepada peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953,” katanya.

  • 17 individu termasuk 8 wanita leka berjudi belangkas ditahan

    17 individu termasuk 8 wanita leka berjudi belangkas ditahan

    SERAMAI 17 individu termasuk lapan wanita yang sedang leka bermain judi belangkas ditahan polis dalam serbuan di sebuah premis di Air Itam, Georgetown, Pulau Pinang kelmarin.

    Dalam serbuan menerusi Op Dadu kira-kira pukul 5.30 petang itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM30,316 dan pelbagai peralatan yang digunakan untuk bermain judi jenis belangkas.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santung berkata, kesemua suspek yang ditahan termasuk seorang individu yabg dipercayai penganjur perjudian itu berusia antara 34 hingga 77 tahun.

    “Suspek itu dipercayai baru sahaja menjadikan premis tersebut sebagai tempat berjudi.

    “Kesemua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan dan kes itu disiasat menurut Seksyen 6 ( 1 ) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah beliau, pemeriksaan juga mendapati seorang wanita warga asing yang turut ditahan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri dan dia turut disiasat menurut Seksyen 6 ( 3 ) Akta Imigresen 1959/63.

  • 10 peniaga ditahan leka main judi belangkas

    10 peniaga ditahan leka main judi belangkas

    POLIS menahan 10 peniaga yang sedang leka bermain judi belangkas di dalam sebuah pasar besar di Jalan Tunku Abdul Rahman, dekat Alor Setar, awal pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G.Suresh Kumar berkata, tangkapan pada 2.30 pagi itu dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah menerusi Op Khas JSJ, Op Aidilfitri dan Op Dadu.

    “Ketika serbuan, semua lelaki berusia 37 hingga 66 tahun itu sedang berkumpul dan mengelilingi sebuah meja batu serta disyaki sedang bermain judi jenis belangkas.

    “Hasil siasatan awal mendapati kesemuanya yang merupakan peniaga di pasar berkenaan telah mula bermain judi belangkas selepas perayaan Aidilfitri lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, pelbagai barang yang digunakan untuk bermain judi berkenaan termasuk pinggan, bungkusan plastik berisi beras, buah dadu bergambar dan wang tunai berjumlah RM620 turut dirampas.

    Katanya, mereka dibawa ke Balai Polis Alor Setar untuk siasatan mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA

  • 801 individu ditahan dalam 707 serbuan judi di Kedah

    801 individu ditahan dalam 707 serbuan judi di Kedah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 801 individu ditahan menerusi 707 serbuan kes judi yang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kedah bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 7 Mei lalu.

    Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sebanyak 478 peranti berupa telefon bimbit serta komputer turut dirampas dalam serbuan kes judi tersebut.

    Selain itu katanya, jumlah wang tunai yang turut dirampas berjumlah RM139,922.

    “Bagi kesalahan judi secara dalam talian, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

    “Untuk kesalahan menjalankan aktiviti judi loteri awam haram pula disiasat di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 hingga RM200,000 atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

    Mengulas lanjut katanya, sebanyak tujuh serbuan turut dilakukan melibatkan kes pemerdagangan orang dan penyeludupan migran (ATIPSOM).

    “Seramai tujuh tekong darat atau ‘transporter’ ditahan bagi kes itu manakala tangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) pula seramai 113 orang.

    “Sebahagian mereka telah dituduh mengikut Seksyen 26A Akta ATIPSOM 2007 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 15 tahun selain boleh didenda atau kedua-duanya sekali. Selain itu seramai 100 PATI pula telah dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

  • 7 premis perjudian kena potong bekalan elektrik

    7 premis perjudian kena potong bekalan elektrik

    POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM) dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bertindak memotong bekalan elektrik membabitkan tujuh premis perniagaan yang dikesan menjalankan kegiatan perjudian di sekitar daerah Kuantan, hari ini.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, tindakan drastik itu dilakukan selepas risikan dijalankan mendapati beberapa premis dikenal pasti menjalankan aktiviti perjudian awam tanpa lesen dan penjualan tiket judi secara dalam talian.

    Katanya, Cawangan D7, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan menjalankan operasi itu bagi membanteras kegiatan perjudian di sekitar daerah ini., lapor Berita Harian.

    Menurut beliau, kegiatan tersebut berselindung di sebalik kedai perniagaan runcit dan kolam memancing udang.

    Ujarnya, bagi membanteras aktiviti perjudian di daerah ini, tujuh premis diambil tindakan mengikut Seksyen 21 A (1) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

    “Dalam kes ini, polis memohon tindakan pemotongan elektrik terhadap premis dijadikan tempat penjualan nombor loteri awam tanpa lesen dan penjualan tiket judi dalam talian,” katanya selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di sebuah premis perniagaan di Sungai Isap, Kuantan, hari ini.

    Menurut beliau, sepanjang tempoh 1 Januari hingga semalam, lima lelaki termasuk seorang warga asing berumur antara 20 hingga 30 tahun ditahan kerana kesalahan mengikut Seksyen 4A (a) ARJT 1953 dan Seksyen 4(1)(c) ARJT 1953.

    Beliau berkata, berdasarkan siasatan, dianggarkan RM200 hingga RM500 jualan loteri awam dikutip sehari manakala judi dalam talian pula antara RM500 hingga RM1,000 sehari.

    “Antara rampasan dilakukan ialah 22 komputer riba, lapan unit telefon bimbit, satu tablet, 14 kerusi, 16 meja, tiga sofa dan wang tunai.

    “Golongan sasaran adalah penduduk setempat dan warga asing,” jelasnya.

  • Lapan kaki judi dicekup semasa syok main mahjong, terup

    Lapan kaki judi dicekup semasa syok main mahjong, terup

    SERAMAI lapan individu termasuk seorang wanita ditahan ketika sedang leka berjudi dalam serbuan di sebuah pondok tidak bernombor di Kampung Batu 6, Lukut, Port Dickson malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua mereka yang berumur dalam lingkungan 29 hingga 50 tahun itu ditahan menerusi Op Limau dan Tahun Baru Cina kira-kira pukul 8.40 malam.

    “Sebaik polis tiba di lokasi, dua kumpulan dilihat sedang mengelilingi dua meja dengan meja pertama dikelilingi tiga lelaki dan seorang wanita yang berjudi daun terup manakala empat lelaki berjudi jenis mahjong di meja kedua.

    “Polis kemudiannya merampas 152 batu mahjong, kad daun terup (52), dadu (tiga), meja (dua), kerusi (lapan), kertas mahjong (empat) dan wang tunai berjumlah RM728 yang dijadikan pertaruhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, hasil pemeriksaan turut mendapati dua daripada lapan individu itu mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Aidi Sham berkata, susulan itu, kesemua mereka bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. – BERNAMA

  • Judi: 2,933 individu ditahan, RM1.12 juta dirampas

    Judi: 2,933 individu ditahan, RM1.12 juta dirampas

    SERAMAI 2,933 individu ditahan kerana disyaki terlibat pelbagai kes judi di ibu kota sepanjang tahun 2021, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, pihaknya telah melakukan sebanyak 1,528 serbuan serta merampas wang tunai RM1.12 juta, dalam usaha membanteras kegiatan judi dalam talian.

    “Jumlah berkenaan meningkat berbanding 779 serbuan, 2,051 individu ditahan dan wang tunai RM637,563 dirampas pada tahun 2020.

    “Pada tahun lepas (2021) juga seramai 20 orang telah diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 manakala sebanyak 1,528 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah itu 1,142 kes telah berjaya dituduh di mahkamah berbanding 581 kes pada 2020 ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Abd Jalil berkata, pihaknya memandang berat kenyataan sesetengah pihak yang mempertikaikan kesungguhan pihaknya membanteras kegiatan jenayah berkenaan.

    “Polis akan terus melipatgandakan usaha bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, Tenaga Nasional Berhad, jabatan agama Islam negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dalam mengekang kegiatan ini,” katanya. – BERNAMA

  • Semak semula dasar kerajaan mengenai arak, judi

    Semak semula dasar kerajaan mengenai arak, judi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DASAR sedia ada berkaitan arak dan judi perlu disemak semula bagi membolehkan kedua-dua gejala negatif itu dapat ditolak secara beransur-ansur di semua peringkat, dalam negara ini.

    Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bagi menjayakan agenda itu, semua masyarakat tanpa mengira agama dan kaum perlu menolak arak serta judi demi menjaga kelangsungan hidup negara agar lebih makmur dan sejahtera.

    Dalam masa sama katanya, kerajaan juga digesa agar menilai semula dasarnya yang masih melihat arak dan judi sebagai industri yang boleh mendatangkan pendapatan kepada kerajaan melalui cukai.

    “Kami tegaskan bahawa arak dan judi bukan satu industri yang menguntungkan bersandarkan kepada ‘kerugian’ yang terpaksa ditanggung akibat kesan negatif kedua-dua perkara itu.

    “Kami berpendirian industri arak dan judi membawa kesan mudarat lebih besar berbanding keuntungan kepada negara dan langkah mereka yang mempertahankan kedua-dua industri tersebut atas dasar hak peribadi serta hak bukan Islam, sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pelancaran Kempen Selamatkan Keluarga Malaysia Dari Arak dan Judi (Saji) di Anjung Salimah, Sungai Petani, Kedah, hari ini.

    Mohd Azmi yang juga Pengerusi Saji kebangsaan turut mengharapkan agar satu pelan nasional untuk mendidik rakyat menghindari ketagihan arak dan judi.

    “Kami bertegas bahawa jualan arak yang masih berleluasa di kedai runcit sepatutnya diharamkan. Dengan lemahnya undang-undang dan penguatkuasaan, gejala menjual arak dalam kalangan anak muda dan golongan miskin masih terus berlaku.

    “Kami juga akan mengadakan sesi rundingan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan kerajaan pusat agar dasar dan undang-undang dalam menangani kesan negatif arak serta judi dapat digubal,” katanya.

  • DAP cabar pengharaman judi, kerajaan negeri boleh hilang kuasa

    DAP cabar pengharaman judi, kerajaan negeri boleh hilang kuasa

    TINDAKAN DAP mengheret isu pengharaman judi di Kedah ke mahkamah boleh menyebabkan kerajaan negeri tiada kuasa mengekang kegiatan yang menimbulkan pelbagai masalah sosial itu.

    Pengerusi Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, mereka mengambil tindakan tersebut ketika orang ramai menumpukan terhadap Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Menurut beliau, mereka menggunakan alasan kononnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menyalahgunakan kuasanya dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

    “Biasanya isu-isu rakyat yang lain, mereka akan setakat bermain di media. Tetapi dalam situasi ini, sebegitu sekali serius judi dibela; iaitu ke mahkamah.

    “Apa yang diusahakan mereka di mahkamah ini bukan perkara kecil sekadar ‘pejudi vs Menteri Besar Kedah’ tetapi jauh lebih besar dari itu. Implikasinya boleh sehingga ke tahap semua kerajaan negeri tiada kuasa mengekang judi di negeri masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pada 18 November lalu, DAP telah memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Alor Setar bagi mencabar keputusan kerajaan negeri Kedah tidak memperbaharui lesen judi di negeri itu.

    Terdahulu, pada 14 November, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri Kedah akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi, dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

    Beliau berkata, aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.

    “Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

    “Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah di Alor Setar.

    Aminuddin berpandangan, kerajaan negeri Kedah harus diberikan sokongan solidariti oleh rakyat yang mahu melihat Malaysia sejahtera dari gejala tidak sihat ini.

    :Alhamdulillah, kita lihat bukan sahaja orang Melayu yang menyokong agar judi disekat dan dikawal kerana ianya isu sejagat selain ianya adalah suatu yang diharamkan dalam Islam.

    “Ia memang terbukti bahawa perjudian merosakkan masyarakat dan institusi kekeluargaan dari pelbagai sudut.

    “Tahniah Menteri Besar Kedah atas usaha ini. Saya harap negeri-negeri lain juga mampu mengambil langkah sebegini demi kesejahteraan rakyat melangkaui kepentingan para taikun pemilik syarikat judi yang tidak patut dilayan,” jelasnya.

  • Semak semula kekerapan cabutan khas judi – PAS

    Semak semula kekerapan cabutan khas judi – PAS

    PAS meminta supaya kerajaan menyemak semula keputusan meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini, kata Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata parti itu juga sejak dahulu lagi membantah isu berkaitan judi yang dibuat sama ada secara terbuka ataupun dalaman malah menganggap keputusan meningkatkan kekerapan itu tidak berasas dan tidak rasional.

    “PAS sudah nyatakan bantahan secara terbuka, dan bantahan secara dalaman oleh ahli kabinet PAS juga telah dibuat. Kita berharap pihak Kementerian Kewangan menyemak semula keputusan itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sumbangan kepada Usahawantani Al Falah di Pusat Khidmat DUN Panchor di sini hari ini.

    Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan berkata beliau difahamkan keputusan itu sebenarnya dibuat di peringkat Kementerian Kewangan dan tidak dibawa ke kabinet. 

    “Kita (PAS) sebenarnya tidak boleh menyekat perkara itu daripada diputuskan sebab ia di bawah Kementerian Kewangan dan kita tidak boleh campur tangan.

    “Kita sudahpun menjelaskan pendirian PAS sejak dahulu menentang apa sahaja perkara melibatkan judi. Bantahan sudahpun dibuat dan itu sahaja yang telah dilakukan setakat ini…lainlah kalau PAS berkuasa penuh dalam kerajaan,” katanya.- BERNAMA