Tag: jangkitan

  • ‘Ameba pemakan otak’: Belum ada kes di Malaysia

    ‘Ameba pemakan otak’: Belum ada kes di Malaysia

    MALAYSIA setakat ini tiada kes jangkitan Naegleria Fowleri atau dirujuk sebagai ‘ameba pemakan otak’  namun rakyat dinasihatkan berwaspada dan mengambil langkah sewajarnya ketika ingin melakukan aktiviti di kawasan air tawar.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, dalam kenyataan hari ini, berkata ini termasuklah mengelakkan diri daripada menggali atau mengusik apa-apa sedimen yang berada di dasar tasik, kolam atau sungai memandangkan habitat ameba berada di situ.

    Selain itu, orang ramai dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti seperti menyelam, melompat ke dalam air yang mana air mungkin dicemari oleh ameba yang boleh memasuki rongga hidung secara terus.

    “Langkah lain ialah mencuci badan dengan air yang terawat dan sabun selepas melakukan aktiviti di dalam air dan segera mendapatkan rawatan apabila mengalami demam, sakit kepala, muntah atau kekakuan leher secara tiba-tiba terutamanya selepas melakukan aktiviti dalam air,” katanya.

    Naegleri Fowleri ialah ameba termofilik atau organisma sel tunggal protozoa yang boleh ditemui di seluruh dunia terutamanya dalam habitat air tawar seperti tasik, kolam, sungai, mata air panas serta dalam tanah dan boleh menyebabkan jangkitan otak yang teruk iaitu Primary Amoebic Meningoencephalitis (PAM) yang membawa maut.

    Ameba Naegleri Fowleri juga dikenali sebagai ‘ameba pemakan otak’ kerana berupaya menyebabkan kerosakan kepada otak melalui jangkitan sistem saraf tunjang dan berupaya untuk masuk ke dalam badan manusia melalui hidung semasa aktiviti berkaitan air tawar.

    Semalam, Korea Selatan telah melaporkan kes pertama jangkitan itu membabitkan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50-an yang meninggal dunia pada 21 Dis selepas menetap selama empat bulan di sebuah negara Asia Tenggara sebelum kembali ke republik itu pada 10 Dis lepas.

    “Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau rapi situasi jangkitan Naegleria Fowleri di dalam dan luar negeri dari semasa ke semasa bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

    “Selain itu, KKM juga komited dalam memberikan informasi yang tepat dan responsif sekiranya terdapat perkembangan terbaharu tentang penyakit tersebut,” kata Dr Noor Hisham.

    Menjelaskan lanjut, beliau berkata gejala PAM pada peringkat awal menyerupai gejala meningitis yang disebabkan oleh bakteria atau virus lain seperti sakit kepala, demam, loya, atau muntah.

    Katanya. gejala yang lebih serius seperti kekakuan leher, kekeliruan, kurang kesedaran terhadap orang serta sekeliling, sawan, halusinasi dan koma juga boleh berlaku dan kebiasaannya, gejala ini muncul sekitar lima hari selepas jangkitan (tempoh inkubasi) dan seawal satu hari atau selewat-lewatnya 12 hari selepas dijangkiti.

    “Keadaan pesakit juga boleh bertambah teruk dengan cepat iaitu dalam tempoh lima hari dan kematian boleh berlaku dalam tempoh satu hingga 18 hari daripada onset gejala,” katanya.

    Menurut Dr Noor Hisham, penyakit tersebut didiagnosis melalui pengesanan asid nukleik Naegleria Fowleri dalam cecair tulang belakang atau tisu otak individu yang dijangkiti dan rawatannya adalah dengan pemberian gabungan ubat-ubatan namun sangat terhad disebabkan perkembangan penyakit berlaku sangat cepat. – BERNAMA 

  • Covid-19:Jangkitan harian turun 15,549 kes

    Covid-19:Jangkitan harian turun 15,549 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia hari ini menurun sebanyak 2,000 kes kepada 15,549 kes berbanding 17,577 jangkitan semalam.

    Penurunan sebanyak 2,028 kes itu, sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 setakat ini ialah sebanyak 2,082,876 kes kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian di Facebook berkata, Sarawak mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi dengan 2,929 kes diikuti Johor, 2,208 kes.

    Selangor pula di tempat ketiga dengan 1,995 kes berbanding 2,646 kes semalam.

    Selain itu, lima negeri turut menyumbang lebih 1,000 jangkitan harian Covid-19 iaitu Sabah (1,395 kes), Pulau Pinang (1,375 kes), Kelantan (1,214 kes), Perak (1,120 kes) dan Kedah (1,073 kes)

    Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang masing masing mencatatkan hanya tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 11 jangkitan diikuti, Putrajaya 31 kes dan Perlis 33 kes.

  • 16,073 kes baharu Covid-19, Selangor 1,947 kes

    16,073 kes baharu Covid-19, Selangor 1,947 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia turun lebih 3,000 kes apabila mencatatkan sebanyak 16,073 kes hari ini berbanding 19,198 jangkitan semalam.

    Penurunan 3,125 kes itu, juga yang terendah dalam tempoh beberapa bulan sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 setakat ini ialah sebanyak 1,995,771 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sarawak terus menerajui kes harian Covid-19 tertinggi buat hari kesembilan berturut-turut apabila mencatatkan sebanyak 3,522 kes baharu berbanding 5,291 kes semalam, penurunan sebanyak 1,69 kes.

    Selangor yang sebelum ini muncul pusat jangkitan Covid-19 negara buat pertama kali mencatatkan kes di bawah 2,000 kes apabila mencatatkan sebanyak 1,947 berbanding 2,347 kes semalam untuk berada di tempat ketiga.

    Selain itu, Johor yang mencatatkan 2,030 kes hari ini berada di tempat kedua keseluruhan.

    Lima negeri lain pula mencatatkan lebih 1,000 kes positif iaitu Sabah (1,649 kes), Pulau Pinang (1,243 kes), Kedah (1,191 kes), Kelantan (1,070 kes), dan Perak (1,011 kes).

    Selain itu, Terengganu, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu 11 jangkitan, Putrajaya 16 kes dan Perlis 41 kes.

  • 100 peratus jangkitan baharu di Sarawak daripada kategori 1, 2 – JPBN

    100 peratus jangkitan baharu di Sarawak daripada kategori 1, 2 – JPBN

    KESEMUA atau 100 peratus daripada jumlah jangkitan harian COVID-19 di Sarawak hari ini iaitu 2,723 kes, berada pada kategori satu yang tidak bergejala dan kategori dua yang bergejala ringan, seperti dinyatakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

    JPBN Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 2,296 individu atau 84.32 peratus merupakan kategori satu, manakala 427 individu atau 15.68 peratus pula kategori dua.

    “Antara kawasan yang mencatatkan kes yang tinggi hari ini adalah Kuching dengan 1,231 kes, diikuti Sibu (323), Bau (125), Betong (110) dan Mukah (104),” menurut kenyataan itu.

    Dengan pertambahan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes positif di Sarawak kini mencecah 127,151.

    Jawatankuasa itu juga memaklumkan terdapat dua kematian baharu direkodkan hari ini, masing-masing di Serian dan Bau, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu di Sarawak kini berjumlah 549 orang.- BERNAMA

  • JKNT rekod 16 jangkitan varian Delta, Beta di Terengganu

    JKNT rekod 16 jangkitan varian Delta, Beta di Terengganu

    MOHD LAZIM ENDUT

    AWAS rakyat Terengganu, anda diminta supaya jangan terlalu bergerak bebas dan perlu sentiasa mematuhi prosedur Operasi Sandard (SOP) ditetapkan apabila ada urusan di luar.

    Ini kerana, jangkitan varian dibimbangi (VOC) virus SAR-CoV-2 sudah mula berada di dalam komuniti negeri ini, apabila sebanyak 16 kes jangkitan dilaporkan sehingga semalam.

    Malah, daripada jumlah tersebut, tujuh kes adalah membabitkan varian Delta (B.1.617.2) dan sembilan kes pula ialah varian Beta (B.1.351) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu.

    Menurut Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr. Kasemani Embong, empat kes varian dibimbangi itu direkodkan di daerah Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu, Marang (tiga), Kemaman (dua) dan masing-masing satu kes di Setiu, Dungun dan Besut.

    Oleh itu katanya, tindakan kawalan segera telah dilakukan JKNT bagi memastikan varian tersebut tidak merebak dengan pengasingan pesakit dan kontak rapat sepanjang tempoh kuarantin.

    “JKNT meminta seluruh masyarakat termasuk individu yang sudah lengkap divaksin supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

    “Bagi mengurangkan risiko dijangkiti VOC Covid-19, orang ramai disaran agar sentiasa mengelakkan berada di kawasan sesak dan bersembang dalam jarak dekat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Dr. Kasemani berkata, kewujudan varian ini memerlukan tindakan kawalan yang lebih teliti kerana kadar jangkitannya lebih cepat.

    Selain itu kata beliau tindakan kawalan juga dilakukan dengan lebih cepat seperti memastikan pesakit dikuarantin dengan betul serta mengasingkan segera pesakit dan kontak rapat yang dikesan.

    “Yang penting, masyarakat mestilah sentiasa amalkan 3W (wash, wear dan warn). Duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting, jika bergejala perlu ke klinik dengan segera untuk diambil ‘sampel’ ,” jelas beliau.

  • 20,988 kes baharu Covid-19, Sarawak, Kedah, Sabah Johor catat lebih 2,000 kes

    20,988 kes baharu Covid-19, Sarawak, Kedah, Sabah Johor catat lebih 2,000 kes

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini naik semula ke paras 20,000 kes apabila merekodkan sebanyak 20,988 kes hari ini berbanding 18,762 jangkitan semalam.

    Kenaikan jangkitan sebanyak 2,316 kes itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,786,004 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor terus mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi apabila merekodkan sebanyak 4,073 kes baharu berbanding 3,711 kes semalam.

    Peningkatan kes harian pula kebanyakannya disumbang oleh kadar jangkitan di empat negeri yang mencatatkan lebih 2,000 kes harian.

    Sarawak mencatatkan sebanyak 2,992 kes untuk berada di tangga kedua diikuti Kedah (2,455 kes); Sabah (2,329) dan Johor (2,145 kes).

    Perlis turut mencatatkan kenaikan ketara iaitu sebanyak 90 kes harian berbanding hanya 33 kes semalam.

    Dua negeri pula mencatatkan lebih seribu kes iaitu Pulau Pinang (1,600 kes) dan Kelantan (1,247 kes).

    Kuala Lumpur, Perak, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu lima jangkitan diikuti Putrajaya (37 kes).

  • Covid-19 tunjuk trend penurunan, 19,268 jangkitan baharu

    Covid-19 tunjuk trend penurunan, 19,268 jangkitan baharu

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di Malaysia menunjukkan tred penurunan apabila mencatatkan sebanyak 19,268 kes berbanding 20,597 jangkitan yang direkodkan semalam dan 22,597 kes kelmarin.

    Kes baharu itu sekali gus menjadikan kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,725,357 kes.

    Malah ini kali pertama angka jangkitan Covid-19 turun di bawah paras 20,000 kes selepas enam hari.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor yang mencatatkan kes harian Covid-19 tertinggi seluruh negara bagaimanapun menunjukkan trend penurun ketara apabila mencatatkan sebanyak 3,567 kes baharu berbanding 4,591 kes semalam dan 5,814 kes kelmarin.

    Sabah pula kekal di kedudukan kedua dengan 2,310 kes diikuti Johor dengan 2,265 kes manakala Kedah 2,084 kes dan Sarawak 2,028 kes.

    Tiga lagi negeri mencatatkan lebih seribu kes iaitu Pulau Pinang (1,780 kes), Kelantan (1,308 kes) dan Perak (1,144 kes).

    Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu dua jangkitan diikuti Putrajaya (41 kes) dan Perlis (71 kes).

  • Kes baharu Covid-19 turun kepada 20,579, Selangor tertinggi

    Kes baharu Covid-19 turun kepada 20,579, Selangor tertinggi

    JUMLAH jangkitan baharu Covid-19 di negara ini mencatatkan sebanyak 20,579 kes, turun sebanyak 2,018 kes berbanding 22,597 jangkitan yang direkodkan semalam.

    Kes baharu itu sekali gus menjadikan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,706,089 kes.

    Bagaimanapun kes harian itu menyaksikan kes harian Covid-19 kekal statik pada angka lebih 20,000 kes buat enam hari berturut-turut.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi ciapan di laman Twitternya berkata,

    Selangor terus mencatatkan kes harian tertinggi dengan 4,591 kes baharu berbanding 5,814 semalam.

    Sabah pula di kedudukan kedua dengan 2,578 kes diikuti Sarawak 2,522 kes.

    Lima lagi negeri mencatatkan lebih seribu kes iaitu Johor (1,852 kes), Kedah (1,755 kes), Pulau Pinang (1,378 kes), Kelantan (1,316 kes) dan Perak (1,208 kes).

    Kuala Lumpur, Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu dua jangkitan diikuti Putrajaya (48 kes) dan Perlis (56 kes).

  • REKOD!!!24,599 kes baharu, Johor, Pulau Pinang, Sarawak lebih 2,000 jangkitan

    REKOD!!!24,599 kes baharu, Johor, Pulau Pinang, Sarawak lebih 2,000 jangkitan

    BUAT tiga hari berturut-turut, jumlah jangkitan baharu Covid-19 di negara ini merekodkan lebih 20,000 kes apabila sebanyak 24,599 kes direkodkan hari ini.

    Kes baharu itu sekali gus menjadikan menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 di negara setakat ini ialah sebanyak 1,640,843 kes.

    Malah buat pertama kali, kes harian melepasi angka 24,000, tertinggi sejak penularan Covid melanda negara disumbang oleh lapan negeri yang mencatatkan lebih 1,000 kes.

    Kali terakhir kes harian Covid-19 tertinggi dilaporkan adalah pada 20 Ogos lalu dengan 23,564 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Selangor kekal menjadi negeri utama menyumbang kes harian Covid-19 dengan 6,936 jangkitan baharu.

    Johor mencatatkan peningkatan hampir seribu kes iaitu 2,785 kes berbanding hanya 1,832 jangkitan semalam untuk berada di tempat ketiga di belakang Sabah yang mencatatkan 3,487 kes hari ini.

    Pulau Pinang dan Sarawak turut mencatatkan peningkatan ketara apabila masing-masing mencatatkan 2,078 dan 2,024 kes.

    Negeri lain dengan lebih seribu kes harian pula ialah Kedah (1,538 kes) diikuti Kelantan (1,312 kes) dan Perak (1,170 kes).

    Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing berjaya mengekalkan rekod kepada tiga digit kes sahaja.

    Sementara itu, Labuan menjadi wilayah yang menyaksikan rekod jangkitan paling rendah iaitu tiga jangkitan diikuti Putrajaya (20 kes) dan Perlis (67 kes).

  • Tun Sakaran dimasukkan ke ICU akibat jangkitan Covid-19

    Tun Sakaran dimasukkan ke ICU akibat jangkitan Covid-19

    BEKAS Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai kini dilaporkan menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu akibat jangkitan COVID-19.

    Memetik laporan Astro AWANI, Tun Sakaran, 91 yang juga bekas Ketua Menteri Sabah ke 8 itu dimasukkan ke hospital swasta berkenaan sejak Rabu lalu dan semalam dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

    Menurut Datuk Seri Nasir Tun Sakaran, bapanya dimasukkan ke hospital itu sejak Rabu lalu selepas disyaki dijangkiti COVID-19.

    “Keadaan beliau (Tun Sakaran) stabil. Bagaimanapun semalam, beliau dimasukkan ke ICU atas nasihat doktor bagi pemantauan yang lebih terperinci dan rapi.

    “Setakat ini, ahli keluarga dan anak-anak ada berhubung dengan Tun Sakaran melalui panggilan video,” katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.

    Nasir yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang memberitahu, beliau ada berhubung dengan Tun Sakaran pagi tadi melalui panggilan video.

    Katanya, Tun Sakaran juga memaklumkan kesihatannya baik dan dijaga dengan rapi oleh pihak hospital.

    “Tadi ayah saya ada mohon orang ramai mendoakan kesihatan beliau kembali sihat dan cepat sembuh,” kata Nasir sambil berterima kasih atas doa yang dipanjatkan kepada ayahnya.