KESEMUA atau 100 peratus daripada jumlah jangkitan harian COVID-19 di Sarawak hari ini iaitu 2,723 kes, berada pada kategori satu yang tidak bergejala dan kategori dua yang bergejala ringan, seperti dinyatakan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seramai 2,296 individu atau 84.32 peratus merupakan kategori satu, manakala 427 individu atau 15.68 peratus pula kategori dua.

“Antara kawasan yang mencatatkan kes yang tinggi hari ini adalah Kuching dengan 1,231 kes, diikuti Sibu (323), Bau (125), Betong (110) dan Mukah (104),” menurut kenyataan itu.

Dengan pertambahan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes positif di Sarawak kini mencecah 127,151.

Jawatankuasa itu juga memaklumkan terdapat dua kematian baharu direkodkan hari ini, masing-masing di Serian dan Bau, menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat pandemik itu di Sarawak kini berjumlah 549 orang.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here