Tag: Israel

  • [VIDEO] Polis Israel ceroboh Al-Aqsa, 60 rakyat Palestin cedera

    [VIDEO] Polis Israel ceroboh Al-Aqsa, 60 rakyat Palestin cedera

    SEKURANG-KURANGNYA 60 penduduk Palestin cedera akibat pertempuran dengan unit polis Israel, yang menceroboh Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, lapor Sputnik.

    Agensi Berita Palestin Wafa pada Jumaat memetik Bulan Sabit Merah Palestin, melaporkan bahawa unit polis Israel pada pagi Jumaat menyerbu Masjid Al-Aqsa, masjid ketiga paling suci bagi umat Islam, ketika ribuan penduduk Palestin menunaikan solat Subuh.

    Polis melepaskan tembakan peluru getah, melancarkan bom bunyi dan menyebarkan gas pemedih mata. Rakaman di media sosial itu turut menunjukkan warga Palestin membaling batu ke arah anggota polis.

    Bulan Sabit Merah Palestin membantu berpuluh-puluh mangsa yang cedera, sambil memindahkan lebih 60 orang ke hospital Baitulmaqdis. Majoriti mangsa mengalami kecederaan pada badan.

    Insiden itu berlaku pada Jumaat kedua Ramadan, yang mengumpulkan ribuan umat Islam menunaikan solat. Minggu lalu, Masjid Al-Aqsa dihadiri hampir 80,000 orang untuk solat Jumaat, menurut Wafa.

    Media juga melaporkan bahawa tentera Israel mengehadkan bilangan orang yang memasuki Baitulmaqdis dari Tebing Barat yang ingin menunaikan solat di Masjid Al-Aqsa.

    Sejak beberapa minggu lalu, keadaan keselamatan di Israel semakin merosot. Sejak 22 Mac, berlaku empat serangan yang meragut 14 nyawa. – BERNAMA

  • Israel tahan 50,000 kanak-kanak Palestin sejak 1967

    Israel tahan 50,000 kanak-kanak Palestin sejak 1967

    DIANGGARKAN seramai 50,000 kanak-kanak lelaki dan perempuan ditahan sejak pendudukan Israel pada 1967, lapor Agensi Berita Petra.

    “Mereka ditahan tanpa mempertimbangkan usia mereka yang masih kecil tanpa diberikan keperluan asas kepada mereka,” kata Ketua Unit Kajian dan Dokumentasi Suruhanjaya Bekas Tahanan Palestin Abdel Nasser Farwaneh dalam satu kenyataan pada Isnin.

    Beliau berkata Israel tidak menghormati peraturan standard minimum dalam rawatan kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara dan pusat tahanan.

    “Ia bertujuan untuk menjejaskan dan memusnahkan masa depan mereka untuk mewujudkan generasi yang lemah,” katanya.

    Bahkan, katanya kanak-kanak Palestin ditahan untuk tempoh yang lama dan ini ternyata bertentangan dengan peruntukan konvensyen hak asasi manusia antarabangsa, khususnya Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak.

    Farwaneh berkata rejim itu memperlakukan tahanan dengan zalim dan ganas serta merampas hak asasi mereka, seperti hak pendidikan, rawatan, makanan yang mencukupi, tidak dibenar menerima lawatan daripada ibu bapa dan tidak dibicarakan secara adil. – BERNAMA

  • Israel lancar serangan terhadap Gaza malam tadi

    Israel lancar serangan terhadap Gaza malam tadi

    Rejim Zionis Israel menyerang kedudukan pejuang pembebasan Hamas di selatan Gaza lewat malam tadi selepas tembakan roket dilancarkan dari kawasan Palestin, kata sumber keselamatan dan tentera.

    Memetik laporan AFP, tentera rejim Zionis Israel, dalam mesej ringkas kepada media memberitahu bahawa mereka ‘sedang melakukan serangan’ di Gaza, wilayah Palestin yang dikawal oleh pejuang pembebasan Hamas.

    Pesawat tentera rejim Zionis Israel menyasarkan lokasi yang dikatakan diduduki oleh Briged al-Qassam di barat Khan Yunis di selatan Gaza, kata sumber Palestin kepada AFP.

    Sumber itu turut melaporkan tembakan meriam ke atas pangkalan pemerhatian Hamas di utara Gaza.

    Serangan berlaku selepas dua roket dilancarkan dari Semenanjung Gaza pagi semalam dan jatuh di Laut Mediterranean, di luar pantai Tel Aviv.

    Tentera Rejim Zionis Israel dalam satu kenyataan berkata, tiada siren dibunyikan dan sistem pemintasan roket ‘Iron Dome’ atau Kubah Besi Israel tidak digunakan.

    Rejim Zionis Israel mengekalkan sekatan ke atas kawasan yang miskin itu sejak 2007 iaitu pada tahun Hamas mengambil alih kuasa.

    Tahun lalu, Hamas melancarkan serangan roket bertalu-talu ke arah Israel ketika konflik 11 hari tercetus akibat ketegangan di Baitulmuqaddis.

    Gencatan senjata yang longgar berkuat kuasa pada akhir Mei dan sejak itu hanya lima roket atau peluru mortar dilepaskan dari Gaza ke arah wilayah Israel.

  • Malaysia nafi sertai perjanjian normalisasi hubungan Israel

    Malaysia nafi sertai perjanjian normalisasi hubungan Israel

    MALAYSIA secara tegas menafikan kenyataan oleh menteri Israel semasa wawancara dengan Erem News baru-baru ini yang mendakwa Malaysia mungkin akan menyertai Perjanjian Abraham dan menormalkan hubungan dengan Israel.

    Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdulllah pada Rabu berkata Malaysia teguh dengan komitmennya yang senantiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin dan menentang pencerobohan Israel yang berterusan serta penindasan sistematik di bumi Palestin.

    Beliau berkata Malaysia akan terus aktif melaksanakan agenda bilateral Palestin, termasuk dalam pelbagai forum serantau dan antarabangsa untuk merealisasikan aspirasi rakyat Palestin demi kebebasan dan Negara Palestin yang merdeka.

    “”Sokongan berterusan Malaysia kepada perjuangan Palestin juga sebagai pengiktirafan terhadap aspirasi generasi baharu pejuang dan aktivis Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

    Datuk Saifuddin Abdullah
    Saifuddin Abdullah

    Saifuddin berkata Malaysia akan terus memberikan sokongan politik dan moral, serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dan menerusi organisasi antarabangsa seperti Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat serta memudahkan kerja-kerja pertubuhan masyarakat awam Malaysia bagi rakyat Palestin.

    Menurut laporan media, Menteri Kerjasama Serantau Israel, Issawi Frej pada Isnin berkata bahawa Oman, Tunisia, Qatar, dan Malaysia mungkin menyertai Perjanjian Abraham.

    Bekas pentadbiran Amerika Syarikat Donald Trump memulakan Perjanjian Abraham 2020, yang menyaksikan beberapa negara iaitu Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Sudan dan Maghribi, menormalkan hubungan dengan Israel. – BERNAMA

  • Palestin bersedia proses damai dengan Israel – Mahmoud

    Palestin bersedia proses damai dengan Israel – Mahmoud

    PRESIDEN Palestin, Mahmoud Abbas pada Isnin menyuarakan kesediaannya untuk melaksanakan proses damai dengan Israel berdasarkan resolusi antarabangsa.

    Mahmoud berkata demikian pada pertemuan dengan Timbalan Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Hal Ehwal Israel dan Palestin Hady Amr di Ramallah, Tebing Barat, lapor Agensi Berita Xinhua memetik Agensi Berita Palestin (WAFA).

    “Persidangan antarabangsa perlu diadakan untuk perdamaian di Asia Barat di bawah kerangka antarabangsa bagi mengakhiri pencerobohan Israel dan menubuhkan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967.

    “Situasi ketika ini tidak dapat diterima dan mahu tekanan diberikan kepada Israel untuk menghentikan tindakan mereka ke atas rakyat Palestin dan menamatkan aktiviti penempatan dan pencerobohan tanah Palestin,” katanya.

    Mahmoud pada Sabtu berkata sekiranya Israel enggan menerima prinsip penyelesaian dua negara, rakyat Palestin akan mencari pilihan lain, termasuk pelaksanaan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diluluskan pada 1947, atau memilih menubuhkan negara demokratik.

    Rundingan damai antara Israel dan Palestin, yang disokong AS selama sembilan bulan, telah tertangguh pada 2014 kerana pertikaian mengenai penempatan Israel dan pengiktirafan untuk mendirikan negara Palestin berdasarkan sempadan 1967. – BERNAMA

  • 100 rakyat Palestin cedera bertempur dengan pengganas Israel

    100 rakyat Palestin cedera bertempur dengan pengganas Israel

    SERAMAI 100 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran dengan anggota tentera Israel berdekatan bandar Nablus di Tebing Barat pada Rabu, lapor Sputnik, memetik Bulan Sabit Merah Palestin.

    “Mereka cedera dalam pertempuran dengan tentera Israel di daerah Beita dan Huwara berhampiran bandar Nablus di Tebing Barat,” menurut pertubuhan. 

    Pada Rabu, semua gerakan dan kumpulan Palestin bertempur dengan tentera Israel sebagai menyokong tahanan Palestin di penjara Israel.

    Sejak dua bulan kebelakangan ini, kawasan Beita di selatan Nablus telah menyaksikan pertempuran antara rakyat Palestin dan tentera Israel.

    Menurut laporan media, pertempuran itu disebabkan pembangunan penempatan Israel yang baharu di daerah ini yang dimulakan pada Mei.- BERNAMA

  • Jet Israel bedil Gaza selepas belon api Palestin cetus kebakaran

    Jet Israel bedil Gaza selepas belon api Palestin cetus kebakaran

    JET tempur pengganas Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza, malam tadi sebagai tindak balas terhadap pelepasan belon api dari semenanjung terkepung itu yang mengakibatkan kebakaran.

    Memetik AFP, Israel yang menyalahkan Hamas susulan pelancaran belon api itu mendakwa telah menyasarkan beberapa sasaran milik pergerakan terbabit yang menguasai Genting Gaza.

    “Semalaman jet tempur Israel menyerang bengkel membuat roket Hamas serta kubu pejuang Hamas di Khan Yunis.

    “Serangan itu adalah sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon api ke kawasan Israel,” kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

    Pada masa sama, saksi berkata, tentera Israel turut melepaskan tembakan meriam ke utara Gaza.

    Menurut sumber perubatan di semenanjung terkepung itu, tiada penduduk yang terbunuh dalam serangan berkenaan.

    Terdahulu, bomba Israel berkata, belon api itu mengakibatkan tiga kebakaran belukar di kawasan berdekatan Genting Gaza.

    Israel biasanya akan membalas pelepasan belon api itu dengan serangan udara.

    Serangan udara pada Isnin itu berlaku selepas enam rakyat Palestin lolos dari penjara Israel mellaui terowong yang digali mereka dan mencetuskan pemburuan besar-besaran.

  • 13 rakyat Palestin cedera akibat kekerasan askar pengganas Zionis

    13 rakyat Palestin cedera akibat kekerasan askar pengganas Zionis

    SERAMAI 13 rakyat Palestin cedera ketika mengadakan tunjuk perasaan membantah penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang diduduki, pada Jumaat menurut kenyataan Bulan Sabit Merah Palestin.

    Penunjuk perasaan diadakan di beberapa daerah di Tebing Barat, terutama di bandar Beita di Nablus dan Kafr Qaddum di Qalqilya, lapor Agensi Anadolu. 

    Tentera Israel bertindak menggunakan gas pemedih mata serta peluru hidup dan getah terhadap penunjuk perasaan.

    Seorang sukarelawan kesihatan antara yang cedera, menurut kenyataan itu.- BERNAMA