Tag: Idris Ahmad

  • UMNO jadi mangsa ceramah PH di pentas PRK, kata Idris

    UMNO jadi mangsa ceramah PH di pentas PRK, kata Idris

    TINDAKAN pemimpin Parti Amanah Negara mendedahkan kononnya ‘pembohongan’ Pas sehingga menyebabkan Pakatan Rakyat (PR) berkubur akhirnya menjadi menjadi senjata makan diri.

    Ini susulan pendedahan Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu dilapor mengakui Pas keluar PR kerana mahu berkawan dengan UMNO dan bukan isu hudud.

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, apa yang berlaku sekarang Amanah menjalinkan kerjasama rapat dengan UMNO dalam kerajaan PH-BN.

    “Presiden dia kelmarin mahu buat pendedahan besar. Kita ingatkan dia nak bagi tahu apa.. rupa-rupanya bagi tahu Pas keluar daripada Pakatan Rakyat bukan kerana hudud tetapi kerana sebab Pas nak berbaik dengan UMNO.

    “Tak terasa hati ke kawan UMNO di sebelah dia?. Ini menunjukkan sifat benci marah kepada UMNO masih ada lagi,” katanya menurut Harakahdaily.net.

    Beliau berkata demikian pada ceramah kelompok di UDM Sri Tanjong sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) dekat Muar, malam tadi.

    Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, Pas menghulurkan persahabatan dengan UMNO sebelum ini atas konsep ta’awun dalam hal-hal yang berkaitan dengan kepentingan ummah, bangsa dan agama.

    Menurutnya juga pemimpin Amanah tidak menceritakan mereka keluar Pas kerana tewas pada muktamar yang diadakan pada tahun 2015.

    “Dan mereka tak nak bersama dengan PAS kerana pada mereka PAS berbaik-baik dengan UMNO. Sampai ke peringkat itu kemarahan mereka kepada UMNO,” ujar beliau.

    Beliau juga berkata, Pas mengambil keputusan untuk berbaik dengan Umno terutamanya selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 setelah kuasa politik Melayu lemah.

    Perbezaan suasana ceramah PH (gambar atas) yang lengang dan PN (gambar bawah) yang dibanjiri ribuan penduduk.

    Kata beliau, orang Melayu dan Bumiputera di negara ini membentuk 65 peratus daripada jumlah penduduk, namun politik negara dikawal oleh 35 peratus penduduk yang diketuai DAP.

    “Berikutan itu kita mengadakan Muafakat Nasional untuk memastikan perpaduan ummah berlaku bagi mengembalikan kuasa politik orang Melayu-Islam.

    “Inilah sikap Pas yang mengepalai usaha menyatukan ummah. Segala tuduhan yang pernah dilemparkan UMNO kepada Presiden Pas tidak menghilangkan usaha penyatuan ummah,” ujarnya.

    Malam semalam pada ceramah di Simpang Jeram, Mohamad dilapor mendedah Pas berpisah dengan Pakatan Rakyat kerana isu hudud dan negara Islam sebagai pembohongan.

    Bagaimanapun kata beliau, Pas bercerai dengan DAP kerana mereka ke arah nak bersama UMNO.

    Ceramah mega PH tersebut tidak mendapat sambutan apabila hanya dihadiri segelintir penduduk tempatan, sebaliknya sebahagian hadir petugas PH.

    Pada 24 November 2013, Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh merayu PAS agar tidak meneruskan cadangan untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

    Menurutnya, DAP tetap tegas menentang pelaksanaan hudud dan cadangan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

  • Mudahkan rakyat mengundi dalam PRN, kata Idris

    Mudahkan rakyat mengundi dalam PRN, kata Idris

    AHLI Parlimen Pembangkang, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) meminta Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi diadakan pada hari cuti atau Sabtu.

    Jelas beliau, ini membolehkan agar semua pengundi dapat pulang ke kampung halaman masing-masing untuk keluar mengundi.

    “Kita tidak mahu mengulangi sejarah Pilihan Raya Kecil di Tioman, baru-baru ini, kita tengok keluar mengundi hanya 58.39 peratus.

    “Berikan hak kepada pengundi terutama mereka nak pulang dari negeri yang jauh,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata dalam perbahasan peringkat jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

    Idris yang juga Naib Presiden Pas pada masa sama membangkitkan subsidi pengurusan kuarters dan rumah rasmi kerajaan.

    “Kita dapat melihat banyak hari ini, rumah kediaman untuk kakitangan kerajaan, terutama kuarters Kementerian Pendidikan yang dibina, kebanyakannya tidak digunakan.

    “Mungkin dulu dibuat hanya semata-mata nak buat, tapi tidak memikirkan tentang keperluan untuk diadakan kuarters tersebut,” katanya.

  • Situasi Pas-Amanah tidak sama dengan UMNO-Bersatu

    Situasi Pas-Amanah tidak sama dengan UMNO-Bersatu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SITUASI dihadapi Pas yang tidak boleh menerima Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai rakan kerjasama, langsung tidak boleh disamakan dengan sikap UMNO yang terus-terusan menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Pas pada hakikatnya tidak dapat menerima Amanah kerana parti pimpinan Mohamad Sabu itu menjadi ‘orang’ suruhan DAP.

    Katanya, semua parti dimenangi Amanah jelas terdiri daripada calon-calon yang disokong DAP.

    “Tetapi Bersatu kita terima kerana apa? Pertamanya kerana parti itu memisahkan diri mereka dari DAP hingga menjatuhkan kerajaan pada 2020.

    “Sepatutnya UMNO berterima kasih kepada Bersatu yang menyebabkan jatuhnya kerajaan dan membolehkan ‘hangpa’ kembali berada ddalam kerajaan,” katanya dalam Ceramah Ekspo Sik Sejahtera di Markas Pas Sik, Kedah, malam tadi.

    Tambahnya, jika diambil kira semua perkara dilakukan UMNO hingga jatuhnya kerajaan dipimpin di Johor, Melaka dan Perak, Pas tentunya menjadi lebih marah terhadap mereka.

    “Tetapi kami letakkan maslahah ummah melebihi maslahah sendiri. Kita korbankan perasaan untuk terima dengan hati terbuka.

    “Kita adakan perbincangan mengenai 27 kerusi dianggap kritikal dalam PRU15 tetapi mereka tetap nak bertanding semua. Walhal kami cuma minta 10 kerusi untuk dibahagikan sama-rata dengan Bersatu dan mereka ambil 17 kerusi lain tetapi tetap BN kata nak bertanding semua.

    “Dah jadi begitu, kami kata tak apalah… Biar kita berlawan tetapi selepas PRU, ayuh berbincang kerana Parlimen akan tergantung tetapi berlaku sebaliknya pula,

    “Walaupun kita dah ada 115 akuan bersumpah (SD) Ahli Parlimen, tetapi pemimpin UMNO ambil tindakan tertentu hingga akhirnya mereka sanggup bersekongkol dengan DAP yang dimarahi dan dibenci selama ini,” katanya.

    Begitu pun katanya, hubungan antara UMNO dan BN bersama DAP dijangka akan berdepan masalah.

    “UMNO dapat 26 kerusi sebelum ini kerana mereka canang ‘No Anwar, No DAP’. Disebabkan itu masih ada orang percaya dan beri undi kepada mereka.

    “Lepas ini mereka nak bagi alasan apa pula ketika orang kata ‘pangkah’ BN bererti ‘pangkah’ DAP? Sudah jelas bahawa undi BN bermaksud mengizinkan DAP bersama kerajaan merangka macam-macam dasar,” katanya.

    Selain itu katanya, masalah juga akna terdai disebabkan oleh pengagihan kuasa di peringkat tempatan serta kerusi.

    “Sekarang ini pun dah ‘berbunyi’ rasa tak puas hati mengenai lantikan Ahli Majlis serta ketua-ketua kampung.

    “Nak berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti pun satu hal juga. Di Kedah dan Selangor contohnya, UMNO cuma ada dua kerusi saja. Adakah Amanah akan beri kerusi mereka untuk ditandingi UMNO?

    “Sampai masanya nanti kita akan lihat. Mereka ini nampak saja macam bersatu tetapi sebenarnya berpecah,” katanya.

  • Cabutan judi: Anwar cuba jadi relevan dalam kalangan umat Melayu-Islam

    Cabutan judi: Anwar cuba jadi relevan dalam kalangan umat Melayu-Islam

    TINDAKAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan kadar cabutan khas judi daripada 22 kali ke lapan kali dengan berulang kali menyebut Perikatan Nasional (PN) dalam ucapannya dilihat sebagai usaha Perdana Menteri cuba untuk mensasarkan tarikan serta cuba menjadi relevan dalam kalangan umat Melayu-Islam di Malaysia.

    Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, isu judi bukanlah isu picisan malah ia sangat menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam kerana kegiatan judi merupakan satu dosa besar dan ibu kerosakan sesebuah masyarakat.

    Berikut kenyataan penuh Idris yang disiarkan dalam akan Facebook Pas hari ini.

    PAS kini menjadi pilihan utama rakyat Malaysia. Berdasarkan analisis yang dikeluarkan oleh Bridget Welsh, PAS bersama PN mendapat undi majoriti Melayu dengan 54 peratus. Sedangkan Pakatan Harapan hanya meraih 11 peratus sahaja undi Melayu di seluruh negara.

    Tindakan DS Anwar Ibrahim mengumumkan penurunan kadar cabutan khas judi daripada 22 kali ke 8 kali dengan berulang kali menyebut Perikatan Nasional dalam ucapannya, kelihatannya beliau cuba untuk mensasarkan tarikan serta cuba menjadi relevan di kalangan umat Melayu-Islam di Malaysia.

    Isu judi bukanlah isu picisan. Isu ini sangat menyentuh sensitiviti orang Melayu dan umat Islam kerana kegiatan judi merupakan satu dosa besar dan ibu kerosakan sesebuah masyarakat.

    Berhubung kenyataan sinikal DS Anwar Ibrahim menyerang Perikatan Nasional perihal saluran dana politik oleh tauke-tauke judi ini sebenarnya perlu dilihat pada mesej utamanya iaitu keuntungan yang diperoleh oleh tauke-tauke judi ini begitu tinggi sehinggakan mereka mampu menaja parti-parti politik. Perkara ini perlu diberi perhatian dan diselidiki secara serius.

    Malah, perkara ini bukan sesuatu perkara yang baru. Datuk Nallakaruppan yang merupakan bekas pengarah Magnum pernah mendakwa telah memberi sokongan kepada DS Anwar Ibrahim ketika DS Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini.

    Amat baik sekiranya isu-isu ini diselesaikan dengan setiap negeri PH-BN mengikut jejak langkah negeri-negeri PAS/PN yang telah mengharamkan terus penggunaan premis untuk kegiatan judi. Pastinya perkara ini akan menarik sokongan lebih tinggi pengundi Melayu-Islam kepada pihak kerajaan.

    Malah, PAS juga menawarkan diri membantu negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan dalam kaedah pelaksanaan polisi pengharaman judi sepertimana yang dilaksanakan di negeri-negeri bawah pentadbiran PAS/PN.

    YB Ustaz Datuk Haji Idris bin Haji Ahmad
    Naib Presiden
    Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat

  • Gelombang anak muda kini memihak PN – Idris Ahmad

    Gelombang anak muda kini memihak PN – Idris Ahmad

    NAIB Presiden Pas Datuk Idris Ahmad mendakwa golongan muda yang tidak peduli tentang politik sebelum ini sudah bangkit dan bersama Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, ia didorong kebolehan mereka kali ini untuk terlibat sama dalam proses demokrasi selepas melihat keupayaan PN mengemudi negara di waktu krisis.

    Menurut beliau, kebangkitan anak muda itu dpat dilihat selepas terbubarnya Parlimen dan mereka di negeri-negeri ditadbir Pas khususnya, tampil menunjukkan sokongan kepada PN.

    “Bila berlakunya pembubaran Parlimen, hari ini berlaku gelombang anak muda. Bukan sahaja saya tengok berlaku di Bagan Serai, malah juga di Parit Buntar dan Bukit Gantang sendiri.

    “Saya mendapat makluman daripada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) bahawa di sana pun sama. Begitu juga di Terengganu.

    “Ini satu benda yang agak ‘ajaib’. Kita pun tak sedar keadaan yang berlaku,” kata calon PN P.058 Bagan Serai itu kepada Astro AWANI semalam.

    Idris berkata, pada mulanya beliau beranggapan bahawa anak muda akan cuba membuat perubahan setelah hangatnya naratif ‘kerajaan pintu belakang’ ditohmah ke atas PN oleh pihak parti lawan.

    Namun, menurutnya, keupayaan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri sewaktu negara hebat dilanda COVID-19 tempoh hari memberi keyakinan kepada anak muda bahawa PN adalah pilihan mereka.

  • PRU-15: Senarai calon Pas bertanding sudah muktamad

    PRU-15: Senarai calon Pas bertanding sudah muktamad

    PAS sudah memuktamadkan senarai calonnya yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), kata Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.

    “Pas sudah bermesyuarat dan memuktamadkan senarai calon. Semua sudah lengkap. Tunggu hari kejadian,” katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai senarai calon parti itu pada pilihan raya umum akan datang, lapaor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Selangor Tahun 2022 di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Negeri Selangor, di sini, hari ini.

    Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff serta Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.

    Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata parti itu akan memuktamadkan senarai penuh calon parti itu sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermesyuarat pada 20 Oktober ini.

    Sementara itu, Idris masih lagi berteka-teki sama ada akan bertanding di Parlimen Bukit Gantang di Perak.

    Beliau, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) disebut-disebut akan bertanding kerusi itu pada pilihan raya akan datang.

    Idris sebelum ini juga dilaporkan media sebagai berkata, Pas menolak penyandang Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, dari Bersatu sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di kerusi berkenaan pada PRU-15.

    Syed Abu Hussin Hafiz pada pertengahan September lalu mengumumkan, bakal bertanding mengekalkan kerusi Bukit Gantang pada PRU-15 bagi, selain turut mahu merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Trong, biarpun perlu terpaksa bertanding atas tiket bebas jika ditolak oleh pimpinan PN.

  • Semua ahli Parlimen Pas kekal sokong Ismail Sabri – Idris

    Semua ahli Parlimen Pas kekal sokong Ismail Sabri – Idris

    SEMUA 17 Ahli Parlimen Pas termasuk tujuh anggota eksekutif dalam pentadbiran kerajaan, kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Naib Presiden PAS yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad semasa mengesahkan perkara itu menegaskan, semua Ahli Parlimen Pas tidak pernah menarik sokongan kepada Perdana Menteri.

    “Sokong (Perdana Menteri). Bila kami kata tak sokong?” katanya sebagaimana lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Pas masih kekal menyokong kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, susulan penyerahan surat berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong.

    Penegasan Idris itu dibuat di sebalik tindakan 12 anggota Kabinet daripada Perikatan Nasional (PN), termasuk tiga menteri Pas, menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan pendirian tidak bersetuju Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan tahun ini.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS masih kekal menyokong kepemimpinan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, susulan penyerahan surat berkenaan kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan pendirian tidak bersetuju PRU15 diadakan tahun ini.

    Beberapa pihak melihat surat itu sebagai menggugat keabsahan kerajaan dan sebagai tanda hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri kerana UMNO, parti yang dianggotai Ismail Sabri, memutuskan supaya PRU15 diadakan tahun ini.

    Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dilaporkan berpandangan keabsahan kerajaan ketika ini semakin berkurangan dengan tindakan 12 menteri Kabinet PN mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, yang mengurangkan 40 peratus keabsahan kerajaan sedia ada.

    Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki membangkitkan persoalan sama ada surat daripada anggota Kabinet BERSATU dan Pas itu boleh dianggap sebagai mereka hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri.

    Setiausaha Agung PN yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula menegaskan pendirian PN yang tidak menyokong pembubaran Parlimen tahun ini, tidak boleh ditafsirkan sebagai gabungan itu hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri kerana kedua-duanya adalah isu berbeza.

  • Wanita berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil

    Wanita berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil

    WANITA yang tular di media sosial kerana berpakaian ihram seperti lelaki di Mekah diminta tampil bagi membantu siasatan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad. 

    “Patutnya dia perlu berani tampil ke hadapan sebab dia berani tunjuk gambar berada di sana (Mekah) dengan berpakaian ihram seolah-olah ingin menimbulkan provokasi, mengapa perlu takut,” katanya kepada pemberita selepas Program Berjalan Teguh Bersama di Dataran Tarbiah di sini hari ini.

    Pada 1 Sept lepas, Idris dilaporkan berkata individu tersebut telah pulang dari Tanah Suci namun masih belum mendapatkan maklumat bagi mengesannya.

    Menerusi video yang tular pada 12 Ogos, wanita berkenaan berada di Mekah dengan lengkap berpakaian ihram seperti jemaah umrah lelaki dan difahamkan menggunakan visa pelancong dan bukan menerusi khidmat agensi.

    Terdahulu, program hari ini yang bertujuan merapatkan ukhuwah rakyat di kawasan Parlimen Bukit Gantang dihadiri ribuan peserta dari pelbagai lapisan umur.

    “Walaupun dengan keadaan cuaca yang kurang baik, kita berjaya menghabiskan perjalanan sepanjang 2.5 kilometer dari Dataran Tarbiah hingga ke Arena Futsal Bukit Gantang,” tambahnya.- BERNAMA

  • Jangan pandai berkokok, tapi ekor penuh najis, Idris bidas Guan Eng

    Jangan pandai berkokok, tapi ekor penuh najis, Idris bidas Guan Eng

    MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyangkal dakwaan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng bahawa beliau antara tiga menteri PAS tidak cekap dalam menjalankan tugas dan perlu meletak jawatan.

    Katanya, dakwaan Lim bahawa beliau memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam yang mendedahkan kisah mereka kepada umum juga tidak benar.

    “Saya kira, posting Lim jauh tersasar dengan segala tuduhan yang dibuat.

    “Namun, saya kira ianya fitnah yang berat mengatakan saya memalukan individu yang dimaksudkan ketika saya mengambil pertimbangan dan neraca agama dalam menilai isu yang berlaku, yang secara terperinci saya nyatakan dalam posting saya sebelum ini.

    “Adakah salah jika saya menggunakan ilmu dan hujah agama untuk memandu rakyat dan umat Islam dalam setiap pertimbangan dosa dan pahala untuk kemaslahatan umat Islam itu sendiri?

    “Adakah salah untuk saya sebagai menteri agama menyeru perkara yang digariskan dalam agama, tanpa melarikan sedikit pun prinsip yang terkandung di dalam al-Quran?” katanya dalam catatan di Facebook menurut laporan Free Malaysia Today.

    Semalam, Lim dalam catatan di Facebook meminta Idris bersama Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong meletak jawatan.

    “Hadiah terbaik yang boleh diberikan oleh menteri-menteri yang tidak cekap ini kepada Malaysia ialah meletakkan jawatan dan membiarkan menteri yang berwibawa mengambil alih atau jika tidak, lebih banyak negara akan mengatasi kita.”

    Lim berkata, Idris tidak membawa sebarang nilai dalam melaksanakan tugasnya, selain menggugat perpaduan negara dan mengganggu gugat keharmonian agama.

    Katanya, Idris telah memalukan mangsa serangan seksual beragama Islam yang mendedahkan kisahnya kepada umum dan cuba mengganggu serta mengganggu gugat gaya hidup, hak adat dan amalan budaya orang bukan Islam.

    Idris mendakwa Lim sengaja mencetuskan api perkauman dan membesarkan jurang agama dengan menghasut orang bukan Islam menjauhi kepercayaan umat Islam.

    “Sedangkan di luar sana, cukup ramai non-Muslim yang memahami keterbatasan yang digariskan di dalam Islam dan menghormati pendirian dan pengamalan oleh umat Islam itu sendiri,”katanya.

    Katanya, pembangkang hanya tahu mencari kesalahan terhadap usaha baik kerajaan dan menuding semua kesalahan pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan kepada kerajaan terdahulu.

    Beliau berkata, ada banyak lagi tugas yang perlu dilakukan berbanding melaga-lagakan isu perkauman yang sering dikompangkan pihak tidak bertanggungjawab.

    “Saya khuatir nanti rakyat melihat kamu seperti ayam berak kapur. Pandai berkokok, tapi ekor penuh najis!”

    Idris berkata, beliau akan meneruskan tugasnya sebagai menteri agama dan melakukan penambahbaikan demi kemajuan umat Islam serta rakyat Malaysia mengikut bidang kuasanya.

  • PAS tetap mahu UMNO dan Bersatu, elak undi Melayu berpecah

    PAS tetap mahu UMNO dan Bersatu, elak undi Melayu berpecah

    Oleh BADLISHAH MAT

    NAIB Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad menegaskan parti itu akan tetap untuk bersama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO.

    Walaupun dicerca dan diperli dengan pelbagai kata-kata negatif, Idris berkata, Pas setakat ke hari ini akan tetap dengan naratif tersebut dan akan membiarkan rakyat membuat penilaian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Katanya, kini bukan masa untuk bercakap tentang masa depan generasi yang ada pada hari ini tetapi memikirkan tentang masa depan politik generasi pada masa akan datang.

    “Kalau cakap tentang perebutan kuasa dan jawatan, maka apa akan terjadi kepada anak cucu kita di masa akan datang?

    “Wartawan selalu bertanya, Pas nak pilih mana satu sama ada dengan UMNO atau Bersatu? Jawapannya kami pilih kedua-duanya dan setakat ini, itulah naratif serta keputusan yang ada.

    “Biar rakyat menilai dan walaupun orang nak cerca atau nak perli macam-macam sekali pun, kita tetap nyatakan soal perpaduan ini penting,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ijtimak Jentera Pilihan Raya Pas Pusat di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut di sini, malam tadi.

    Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta ribuan penyokong Pas hadir ke pelancaran itu.

    Sementara itu Idris berkata, soal perpaduan cukup penting untuk diberi perhatian kerana perpecahan yang berlaku mungkin membawa kepada ulangan keputusan PRU-14.

    “Kalau berlaku perpecahan dalam kalangan kita, adakah dah terhantuk baru nak terngadah? Fikirkan tentang perkara itu kerana kita tak mahu ulangi apa yang terjadi dalam PRU-14.

    “Walau bagaimanapun di pihak Pas, hari ini kita lancarkan jentera dan saya percaya, jentera kita telah pun melakukan tugas dalam setiap aspek di semua peringkat,” katanya.

    Dalam pada itu, seorang lagi Naib Presiden, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, parti itu perlu fokus terhadap tiga perkara menjelang PRU-15 yang mungkin dilangsungkan dalam tempoh terdekat.

    Pertamanya kata beliau, Pas perlu memastikan untuk mengekalkan kuasa mentadbir di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

    “Kedua perlu memastikan kedudukan kita dalam kerajaan Persekutuan kekal, kita tahu dalam tempoh setahun dua ini kali pertama kita kembali menjadi sebahagian kerajaan Pusat di zaman moden ini. Jadi kena pastikan keberadaan di Pusat terus kekal.

    “Ketiga, menguatkan kedudukan kita dengan menambah jumlah kerusi-kerusi Parlimen yang ada. Kena kerja bersungguh-sungguh supaya jumlah kerusi meningkatkan. Mesti menang tidak kurang 40 kerusi parlimen. Ini keutamaan kita, kena pastikan,” katanya.