Tag: hutang

  • Terengganu minta kerajaan Persekutuan bayar baki hutang RM1.43b tunai

    Terengganu minta kerajaan Persekutuan bayar baki hutang RM1.43b tunai

    KERAJAAN Terengganu berhasrat untuk mendapatkan bayaran balik baki hutang daripada kerajaan Persekutuan dalam bentuk tunai dan bukannya melalui pembangunan projek-projek di negeri itu.

    Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah keseluruhan tuntutan balik hutang daripada kerajaan pusat bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) itu adalah sebanyak RM1.85 bilion.

    Katanya, bayaran balik yang telah dilunaskan adalah sebanyak RM418.5 juta dalam bentuk projek iaitu Jalan FT3 Awana Kijal bernilai RM118.5 juta dan Projek Perumahan Mampu Milik (RM100 juta) dan pendahuluan tunai (RM200 juta).

    “Jumlah yang masih berbaki adalah sebanyak RM1.43 billion… pihak kerajaan telah melakukan beberapa kali sesi perbincangan dan perundingan, termasuklah jawapan daripada kementerian pada Oktober tahun lalu, yang saya kategorikan sebagai ‘tidak produktif’.

    “(Tapi) kini sudah ada petanda yang lebih positif, di mana perbincangan antara Menteri Kewangan dan saya untuk penyediaan Kertas Kabinet mengenai isu Hutang LPT2 akan diadakan pada 28 Mac nanti di Putrajaya,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, hari ini.

    Sehubungan itu, Ahmad Samsuri berharap agar keputusan yang terbaik untuk Terengganu akan dapat dicapai selepas pertemuan itu.

    Sementara itu, pada sesi penggulungan tersebut juga beliau turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu rakyat Terengganu semasa berhadapan dengan bencana banjir baru-baru ini.

    “Musibah yang tidak kita jangka, banjir besar yang luar biasa. Terima kasih terutamanya kepada semua termasuk Perdana Menteri yang telah melakukan lawatan singkat (ke daerah Hulu Terengganu) pada 2 Mac yang lalu.

    “Semoga Allah membalas jasa baik tuan-tuan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda,” katanya sambil meminta semua ahli dewan berdiri dan memberikan tepukan sebagai tanda penghargaan dari Terengganu.

    Sidang DUN Terengganu ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan ditentukan kelak. – BERNAMA

  • Akibat hutang, lelaki maut dipukul beberapa individu

    Akibat hutang, lelaki maut dipukul beberapa individu

    RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki yang dipercayai berdepan masalah hutang maut ketika menerima rawatan di hospital setelah dipukul beberapa lelaki dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi di Jalan Tan Yok Fong, Kulai, semalam.

    Mangsa berusia 46 tahun itu pada awalnya dilaporkan cuba memasuki kediaman seorang wanita yang berusia 31 tahun di lokasi tersebut sebelum kejadian disedari wanita berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, polis telah menahan wanita berkenaan berserta tiga lagi lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia yang berusia antara 31 hingga 54 tahun bagi membantu siasatan.

    “Dalam kejadian itu, penghuni rumah iaitu seorang wanita yang sedang tidur menyedari kediamannya cuba dimasuki seorang lelaki sebelum bertindak menghubungi rakannya. Lelaki itu yang melihat kehadiran rakan wanita itu cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

    “Pergelutan tersebut telah menarik perhatian orang awam. Setibanya polis di lokasi lelaki berkenaan didapati telah dipukul orang awam,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

    Tambah Beng Yeow, lelaki itu yang mengalami kecederaan parah dilaporkan maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada pukul 9.45 malam tadi.

    Polis turut memburu seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut dan berdasarkan siasatan awal terhadap wanita berkenaan mendapati kejadian itu berpunca kerana isu hutang.

    Beberapa barangan turut dirampas polis bagi membantu siasatan antaranya termasuk dua telefon bimbit, sebuah kenderaan, satu batang paip PVC sepanjang 80 sentimeter dan satu botol air yang telah pecah.

    Kesemua individu yang ditahan kini direman selama enam hari bermula hari ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.