Tag: Hutan Simpan Kuala Langat Utara

  • KetSA bantu pulihara Hutan Simpan Kuala Langat Utara

    KetSA bantu pulihara Hutan Simpan Kuala Langat Utara

    Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) akan membantu usaha pemuliharaan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) ekoran keputusan kerajaan negeri Selangor menghentikan cadangan pelan pembangunan di kawasan itu.

    Menterinya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menghentikan cadangan pelan pembangunan ke atas kawasan HSKLU seluas 536.7 hektar yang dinyahwartakan baru-baru ini dan akan memulakan proses pewartaan semula sebahagian besar kawasan terbabit sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

    Menurut beliau, KeTSA telah mengarahkan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Mineral dan Geosains memberikan kerjasama membantu kerajaan Selangor untuk memelihara dan memulihkan kawasan HSKLU.

    “Kawasan HSKLU adalah hutan paya gambut, ini adalah bagi memastikan fungsinya dalam memberikan perkhidmatan ekosistem sentiasa terpelihara di samping bagi mencegah kebakaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pada 8 September lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan hanya 42 hektar daripada jumlah keseluruhan 536.7 hektar kawasan HSKLU kekal dinyah warta.

    Amirudin berkata, tindakan itu bagi melengkapkan pemberimilikan tanah kepada Kampung Orang Asli Busut Baru bagi menyelesaikan isu tertangguh sejak 2006 yang mana mereka telah dipindahkan dari penempatan asal mereka pada 1994 untuk tujuan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Takiyuddin berkata, KeTSA juga mengalu-alukan penglibatan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak komuniti setempat untuk memulihkan hutan simpan HSKLU.

    Beliau menambah, KeTSA turut menyambut baik keputusan kerajaan Selangor untuk mengekalkan status kawasan gantian seluas 579.64 hektar yang diwartakan sebagai HSK iaitu Hutan Simpan Sungai Panjang, Hutan Simpan Buloh Telor Barat, Hutan Simpan Buloh Telor Timur dan Hutan Simpan Broga.

  • Otai Reformis buat laporan minta siasat Exco Selangor

    Otai Reformis buat laporan minta siasat Exco Selangor

    KERAJAAN negeri Selangor berdepan bantahan keras daripada kumpulan Otai Reformis yang juga penyokong tegar Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu menyahwartakan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi tujuan pembangunan.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, mereka bertindak membuat membuat laporan polis terhadap 10 Exco kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

    Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, mereka juga mahu 10 Exco kerajaan negeri Selangor itu disiasat atas dakwaan tanah seluas 536.7 hektar itu ditawarkan pada harga di bawah pasaran.

    “RM3 satu kaki persegi sahaja? Harap polis segera siasat semua 10 Exco kerajaan Selangor yang luluskan pemberian tanah HSKLU seluas 536.7 hektar dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 5 Mei lalu,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan bahawa laporan itu dibuat di Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam semalam.

    Beliau turut membandingkan harga tanah HSKLU yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran tanah Cyberjaya yang terletak hanya 500 meter dari HSKLU di seberang Lebuhraya Elite, iaitu RM110 bagi satu kaki persegi.

    Abdul Razak menambah, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat selepas melengkapkan beberapa dokumen.

    Sebelum ini, Exco Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian dilaporkan berkata, kerajaan negeri bersetuju menyahwartakan tanah seluas 536.7 hektar di HSKLU untuk dibangunkan dalam mesyuarat exco Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

    HSKLU yang terletak di mukim Tanjung 12, daerah Kuala Langat diwartakan pada 13 Mei 1927. Ia mula menjadi perhatian umum susulan notis penyiasatan awam di bawah Seksyen 11 Akta Perhutanan Negara Enakmen (Pemakaian) 1985 (Subkaedah 7(2) oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor awal tahun lalu.

    Usaha membangunkan tanah itu dibantah NGO alam sekitar dan masyarakat Orang Asli yang mendesak ia diwartakan kembali.

    Susulan tekanan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, pihaknya akan membawa isu HSKLU ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) 8 September ini.

    Pada 31 Ogos lalu, Abdul Razak berkata, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN) terkejut dan kecewa dengan keputusan kerajaan negeri Selangor pimpinan PH yang telah bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar HSKLU untuk tujuan pembangunan.

    Menurut beliau, kelulusan itu seolah-olah kerajaan negeri Selangor tidak mengambil serius bantahan lebih 50,000 rakyat termasuk masyarakat tempatan, Orang Asli dan NGO alam sekitar.

    Mereka juga kesal apabila keputusan yang dibuat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor November tahun lalu untuk mempertahankan hutan simpan itu dilanggar.

    Mereka turut meluahkan rasa kecewa dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal menasihatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dari parti sendiri untuk menghalang nyahwarta hutan tersebut.

  • HSKLU: MB Selangor mungkin buat pusingan U?

    HSKLU: MB Selangor mungkin buat pusingan U?

    SETELAH menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk sekutu-sekutu politik, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mungkin terpaksa membuat pusingan U dalam isu Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dan cadangan projek Lintasan Penyuraian Petaling Jaya (PJD) Link.

    Memetik laporan Malaysia Now, perkara itu disahkan oleh Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini.

    PH Selangor bersetuju supaya Amirudin mempertimbangkan hala tuju dan keputusan kerajaan negeri Selangor berhubung isu berkenaan dalam mesyuarat Exco minggu depan.

    Menurut PH Selangor, mereka berbincang dalam satu mesyuarat hari ini yang dihadiri semua ketua parti komponen.

    “Semua pihak menyatakan pandangan dan keprihatinan masing-masing.

    “Pada masa yang sama, bantahan terhadap cadangan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) turut diberi perhatian dan dibincangkan dengan panjang lebar,” kata PH Selangor dalam kenyataan bersama hari ini.

    Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Amirudin selaku Pengerusi PH Selangor serta Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, Ir Izham Hashim.

    Dalam mesyuarat yang sama, PH Selangor turut menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula projek lebuh raya Kidex atau yang seumpama dengannyayang dibatalkan ketika pentadbiran Menteri Besar Selangor terdahulu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

    Pada Isnin lalu, Exco Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bahawa kerajaan negeri Selangor menyahwartakan lebih dari 530 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi dimajukan syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd.

    Semalam, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kementeriannyat tidak bersetuju dengan langkah penyahwartaan tersebut, mengatakan Malaysia komited untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan.

    “Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa) dan jabatan/agensi di bawah kementerian telah menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tindakan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini khususnya di peringkat awal cadangan oleh kerajaan negeri Selangor.

    “Pihak kementerian dan jabatan/agensi berkaitan juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan negeri Selangor berhubung pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada tahun 2020,” katanya.

    HSKLU diwartakan sebagai hutan simpan pada 1927, meliputi lebih 7,000 hektar tanah, namun kini hanya 13 peratus sahaja daripada kawasan tersebut kekal sebagai hutan simpan.