SETELAH menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak termasuk sekutu-sekutu politik, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mungkin terpaksa membuat pusingan U dalam isu Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) dan cadangan projek Lintasan Penyuraian Petaling Jaya (PJD) Link.

Memetik laporan Malaysia Now, perkara itu disahkan oleh Pakatan Harapan (PH) Selangor hari ini.

PH Selangor bersetuju supaya Amirudin mempertimbangkan hala tuju dan keputusan kerajaan negeri Selangor berhubung isu berkenaan dalam mesyuarat Exco minggu depan.

Menurut PH Selangor, mereka berbincang dalam satu mesyuarat hari ini yang dihadiri semua ketua parti komponen.

“Semua pihak menyatakan pandangan dan keprihatinan masing-masing.

“Pada masa yang sama, bantahan terhadap cadangan lebuh raya Petaling Jaya Dispersal Link (PJD Link) turut diberi perhatian dan dibincangkan dengan panjang lebar,” kata PH Selangor dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Amirudin selaku Pengerusi PH Selangor serta Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Selangor, Ir Izham Hashim.

Dalam mesyuarat yang sama, PH Selangor turut menolak sebarang usaha untuk menghidupkan semula projek lebuh raya Kidex atau yang seumpama dengannyayang dibatalkan ketika pentadbiran Menteri Besar Selangor terdahulu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pada Isnin lalu, Exco Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bahawa kerajaan negeri Selangor menyahwartakan lebih dari 530 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi dimajukan syarikat swasta Gabungan Indah Sdn Bhd.

Semalam, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kementeriannyat tidak bersetuju dengan langkah penyahwartaan tersebut, mengatakan Malaysia komited untuk memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan.

“Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (Ketsa) dan jabatan/agensi di bawah kementerian telah menyatakan pendirian tidak bersetuju terhadap tindakan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini khususnya di peringkat awal cadangan oleh kerajaan negeri Selangor.

“Pihak kementerian dan jabatan/agensi berkaitan juga telah mengemukakan bantahan rasmi kepada kerajaan negeri Selangor berhubung pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada tahun 2020,” katanya.

HSKLU diwartakan sebagai hutan simpan pada 1927, meliputi lebih 7,000 hektar tanah, namun kini hanya 13 peratus sahaja daripada kawasan tersebut kekal sebagai hutan simpan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here