Tag: hujan lebat

  • Mekah dilanda ribut, hujan lebat

    Mekah dilanda ribut, hujan lebat

    JEMAAH umrah dan penduduk di Mekah, Arab Saudi berdepan situasi cemas apabila cuaca bertukar buruk secara tiba-tiba membawa hujan lebat dan ribut petir pada petang Selasa.

    Video tular menunjukkan jemaah umrah bergegas mencari perlindungan ketika ada di antara orang ramai berhampiran Masjidilharam hampir diterbangkan angin kencang dalam kejadian menghampiri waktu Maghrib.

    Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi pada Rabu mengeluarkan amaran cuaca tahap merah untuk Mekah dan beberapa wilayah lain dengan cuaca tidak menentu dijangka berterusan sepanjang Rabu.

    Video yang dikongsi di Instagram menunjukkan bagaimana jemaah umrah berhadapan dengan angin kencang yang melanda kota suci tersebut.

    Selain itu, penghadang di perkarangan Masjidilharam turut diterbangkan oleh angin kuat.

    Mereka yang berada di jalan raya dirakam berlari mencari perlindungan, sementara kakitangan di Masjidilharam hampir terjatuh kerana cuba menahan tong sampah besar daripada diterbangkan angin.

    Malah pemandangan luar biasa turun dirakam apabila kilat berwarna ungu menyambar Menara Jam Mekah lapor Khaleej Times.

    Papan iklan juga tumbang dan jalan raya dilanda banjir kilat.

    Sementara itu, menurut NCM, hujan lebat dan ribut petir akan terus berlaku di Mekah sehingga Khamis.

    Penduduk dinasihatkan untuk mengambil langkah tambahan berjaga-jaga.

    Menurut penduduk, ribut petir itu disifatkan antara yang terburuk selepas kejadian ribut yang menyebabkan tragedi kren tumbang pada tahun 2015.

  • Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    HUJAN lebat disertai ketulan air batu selain ribut petir yang boleh menyebabkan banjir kilat diramal berlaku di kota suci Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram.

    Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA) hari ini memaklumkan amaran hujan lebat yang berlaku sejak petang Ahad kekal aktif sehingga pukul 11 pagi (waktu tempatan) pada Selasa (hari ini).

    Ramalan itu menyatakan, hujan tahap sederhana dan lebat diramal bersama angin kuat, ombak besar serta hujan batu manakala jarak penglihatan pula terhad. 

    “Hujan lebat ini berlarutan di Madinah dan wilayahnya termasuk pantai dan kemudian beredar ke timur di wilayah Riyadh, Hail, Qassim, wilayah timur, timur laut dan utara termasuk wilayah Al-Jouf dan wilayah sempadan utara.

    “Salji lebat diramal di wilayah utara Arab Saudi dan kabus tebal akan terbentuk pada awal pagi Isnin.

    “Orang ramai mesti berhati-hati dan tidak mendekati lokasi air hujan terkumpul untuk memastikan keselamatan mereka,” menurut NCM.

    Sementara itu, Jabatan Tertinggi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menerusi portal rasminya hari ini memaklumkan bahawa pelan kecemasan menghadapi bencana banjir sudah mula dilaksanakan bagi memastikan keselamatan jemaah umrah dan pengunjung Baitullah.

    Pengarah Keselamatan Masjidil Haram, Hussein bin Hassan Al-Asafi berkata: “lebih 200 penyelia dan 4,000 petugas pembersihan digerakkan bagi membantu melancarkan tugas ini”. – BERNAMA

    Masjidil Haram, ribut, hujan lebat, salji, Arab Saudi

  • Kejadian banjir antara terburuk di Terengganu?

    Kejadian banjir antara terburuk di Terengganu?

    guane

    HUJAN lebat yang mencurah secara berterusan di negeri-negeri Pantai Timur termasuk Terengganu sejak beberapa hari lalu kini mulai reda.

    Di beberapa kawasan menyaksikan taburan hujan telah berkurangan sejak dua hari lalu dan pada pagi ini cahaya matahari sudah mula kelihatan bersinar di sebelah ufuk timur.

    Namun begitu, perkembangan ini bukan bermakna kejadian banjir ketika musim tengkujuh pada kali ini sudah berakhir.

    Sebaliknya, ia merupakan sebagai permulaan dan masih mempunyai banyak lagi gelombang yang boleh mengancam penduduk di negeri ini.

    Sepertimana kita sedia maklum, ‘kalendar tahunan’ musim tengkujuh yang direkodkan adalah bermula akhir November sehingga pertengahan Mac, maka semua pihak sewajarnya sentiasa bersedia dengan kejadian ini.

    Untuk itu, sama ada agensi kerajaan atau pun penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan terdedah dengan banjir diminta agar tidak menunding jari di antara satu sama lain dengan menyalahkan orang itu dan orang ini.

    Keadaan air yang melintasi jalan utama di Sungai Tong, Setiu

    Dalam kejadian banjir gelombang kedua ketika ini, Terengganu telah mencatatkan jumlah mangsa perpindahan sehingga 40,456 orang daripada 11,197 keluarga pada sebelah pagi semalam.

    Kesemuanya ditempatkan di 229 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di semua lapan daerah yang terjejas di negeri ini.

    Jumlah berkenaan dilaporkan sedikit berkurangan kepada 39, 634 orang yang direkodkan Sekreatariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu pada sebelah petang.

    Daerah Kemaman direkodkan terjejas teruk apabila 9,147 mangsa daripada 2,441 keluarga ditempatkan di 30 PPS.

    Manakala di Besut pula seramai 8,536 mangsa membabitkan 2,265 keluarga ditempat kan di 88 PPS.

    Ia diikuti Hulu Terengganu dengan 5,893 mangsa daripada 1,952 keluarga berada di 49 PPS, Dungun pula terdapat 4,419 mangsa daripada 1,239 keluarga yang berada di 40 PPS.

    Seramai 4,352 mangsa daripada 1,246 keluarga pula berada di 52 PPS di Setiu, Kuala Nerus seramai 3,597 mangsa daripada 862 keluarga di 16 PPS.

    Daerah Kuala Terengganu terdapat 2,777 mangsa daripada 752 keluarga dan Marang terdaat seramai 1,735 daripada 440 keluarga berada di 12 PPS.

    Apa yang diperhatikan sebelum ini trend mangsa yang berpindah ekoran rumah mereka ditenggelami air sentiasa ‘menaik’ dari semasa ke semasa.

    Memandangkan amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan bahawa hujan lebat dijangka beterusan sehingga Ahad ini, tidak mustahil jumlah mangsa yang berpindah bakal melebihi kepada angka 50,000 orang sekaligus menyamai kejadian banjir yang berlaku pada tahun 2014.

    Dalam kejadian banjir kali ini juga, ada yang mengatakan bencana ini adalah antara yang terburuk pernah berlaku di Terengganu.

    Bagaimanapun, ia tidak seperti kejadian bah merah yang pernah menenggelamkan beberapa kawasan di negeri ini pada tahun 1926 dan juga banjir pada 28 Disember 1970 serta 1986 yang ‘menukar’ wajah kampung Tanjung Kuala Terengganu menjadi lautan.

    Cuma maksud buruk yang dikaitkan dengan kejadian banjir kali ini ialah selain jumlah mangsa perpindahan dan beberapa kawasan terputus hubungan, ia juga turut melibatkan kemusnahan harta benda termasuk beberapa rumah dihanyutkan arus deras yang berlaku di Kampung La, Besut.

    Selain itu berlaku runtuhan.cerun bukit di LPTII Ajil, Hulu Terengganu menyebabkan laluan tersebut terpaksa ditutup.

  • Laluan keluar dinaiki air, 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung

    Laluan keluar dinaiki air, 30 kru filem terperangkap di Gua Tempurung

    SEKURANG-kurangnya 30 individu dilaporkan terperangkap dalam Gua Tempurung dekat Kampung Gunung Mesah dekat Gopeng selepas laluan keluar gua itu dinaiki air disebabkan hujan lebat, hari ini.

    Maklumat awal memaklumkan, kesemua mereka merupakan kru penggambaran filem yang sedang menjalankan aktiviti penggambaran di kawasan itu.

    Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

    Menurutnya, kejadian berlaku disebabkan air naik mendadak di laluan keluar gua berpunca daripada hujan lebat berterusan sejak pukul 3 petang.

    “Pihak bomba telah dimaklumkan akan kejadian itu dan pasukan itu bersama polis telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Sementara itu, panggilan kecemasan berhubung kejadian diterima Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng pada pukul 4.04 petang.

    BERITA LANJUT MENYUSUL

  • Hujan lebat berterusan: Beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat

    Hujan lebat berterusan: Beberapa kawasan di Pulau Pinang dilanda banjir kilat

    HUJAN lebat selama beberapa jam sejak awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau dilanda banjir kilat.

    Antara kawasan yang teruk terjejas adalah di Bayan Lepas; Bayan Baru; Teluk Kumbar dan Bukit Jambul yang mana beberapa rumah penduduk dinaiki air sehingga ke paras lutut.

    Bagaimanapun banjir kilat itu dilaporkan sudah kembali surut bermula pukul 11 pagi tadi dan setakat ini tiada laporan terdapat penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara akibat bencana terbabit.

    Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, antara kampung yang dilanda banjir kilat di kawasan terbabit adalah Kampung Masjid; Kampung Manggis; Kampung Perlis; Kampung Binjai dan Kampung Seronok.

    Malah katanya, beliau turut menerima laporan terdapat beberapa buah rumah yang terjejas dengan serius akibat bencana banjir kilat tersebut terutama rumah-rumah yang terletak berhampiran Sungai Bayan Lepas.

    “Bagaimanapun, setakat pukul 10.15 pagi tadi, banjir di beberapa kawasan yang terlibat dilaporkan telah surut,” katanya hari ini.

    Dalam pada itu, Pengerusi MPKK Kampung Binjai di Bayan Lepas, Baseri Hashim berkata, kira-kira 30 buah rumah di kampung berkenaan terlibat dalam banjir kilat.

    ”Air mula naik dengan cepat di kawasan rumah penduduk sehingga ke paras buku lali selepas subuh hari ini.

    “Bagaimanapun tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir, namun mereka masih tetap berjaga-jaga kerana bimbang hujan lebat berterusan,” katanya.

    Tambah beliau, kawasan kampung itu sebelum ini kerap dilanda banjir sekiranya hujan lebat secara berterusan kerana berada di kawasan tanah rendah.