Tag: harga minyak

  • Harga minyak dunia terus turun

    Harga minyak dunia terus turun

    HARGA minyak global merosot lebih satu peratus, dengan minyak mentah Brent jatuh di bawah US$84 setong buat kali pertama sejak 14 Januari, lapor Xinhua berdasarkan data dagangan pada Isnin.

    Sehingga 06:13 GMT, harga niaga hadapan Disember untuk minyak mentah Brent diniagakan turun sebanyak 1.22 peratus pada US$83.99 setong, dan niaga hadapan November untuk WTI susut 1.22 peratus dan didagangkan pada US$77.78. -BERNAMA

  • Anwar ulang “Kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok”

    Anwar ulang “Kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok”

    WALAUPUN sedar bahawa janjinya untuk menurunkan harga minyak sehari selepas menjadi Perdana Menteri dijadikan bahan lawak, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap mengulangi kata-katanya itu.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ahli Parlimen Port Dickson itu sedar janjinya dianggap jenaka ekoran kegagalan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakannya selama 22 bulan berkuasa.

    Namun, Anwar berkata, janji itu tidak ditepati kerana beliau bukan Perdana Menteri ketika itu.

    “Sekarang kalau kita berjaya kali ini, janji kita pada rakyat, jika kita berjaya, kita akan tunaikan sepenuhnya kepada rakyat.

    “Kita menang hari ini, harga minyak jatuh esok.

    “Saya (sebelum ini) bukan PM, macam mana boleh buat. Harga minyak tak boleh diturunkan kerana kerajaan fikir cara menyelamatkan orang di atas, dan kita fikir cara menyelematkan orang di bawah,” katanya pada sidang media selepas tamat Kongres Nasional PKR di Shah Alam hari ini.

    Anwar mendakwa, kerajaan sekarang tidak dapat menangani isu harga minyak kerana mereka yang berkuasa sibuk bekerja untuk menyelamatkan karier politik masing-masing.

    Pada 2008, Anwar berjanji kepada rakyat bahawa gabungan parti pembangkang yang dipimpinnya ketika itu akan menurunkan harga minyak sebaik sahaja mendapat mandat untuk mentadbir negara.

    Walau bagaimanapun, penetapan harga minyak tetap menggunakan kaedah yang sama seperti diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

  • Lebih 50% pengusaha stesen minyak rugi, hanya cukup makan

    Lebih 50% pengusaha stesen minyak rugi, hanya cukup makan

    KERAJAAN digesa mempertimbangkan mekanisme penetapan harga runcit petroleum secara bulanan berbanding secara mingguan yang dilaksanakan ketika ini.

    Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM), Khairul Anuar Abdul Aziz berkata, kaedah penetapan harga secara mingguan menyebabkan lebih 50 peratus pengusaha stesen minyak terpaksa beroperasi dalam kerugian atau sekadar ‘cukup makan’.

    Menurut beliau, mereka terpaksa menanggung kos operasi tinggi susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 dan kenaikan tarif elektrik.

    Namun katanya, beban menjadi lebih berat apabila kaedah penetapan keuntungan pengusaha minyak tidak berubah pada kadar 15 sen seliter.

    “Mekanisme penetapan harga secara bulanan lebih stabil bagi pengusaha. Kalau harga mingguan, tak sempat kami nak habiskan stok (dibeli pada harga tinggi) dah turun harga lagi, jadi kami rugi banyak. 50-60% pengusaha sekarang memang sakit kerana margin kurang.

    “Pandangan orang luar selalu menganggap harga minyak naik, kami untung besar. Tidak sama sekali kerana pendapatan kami bergantung kepada kuantiti yang kami jual dan kerajaan sudah tetapkan pengusaha dibenar mengambil keuntungan 15 sen saja bagi setiap liter,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Khairul Anuar berkata, secara dasarnya, apabila harga minyak tinggi, pengusaha stesen minyak memerlukan kos yang besar untuk membeli produk petroleum dan dari segi pengguna, mereka akan mengurangkan penggunaan sekali gus menyebabkan kemerosotan pendapatan pengusaha.

    “Bila harga RON97 tinggi, jualan produk itu turun 90% kerana ramai pengguna termasuk orang kaya raya beralih kepada RON95 yang disubsidi kerajaan. Sebab itu kita tengok trend jualan di stesen minyak seluruh negara menunjukkan peningkatan mendadak bagi RON95,” jelasnya.

    “Penjualan RON97 terlalu sikit, tak dapat tampung kos (operasi) pun. Sampai ada pengusaha terpaksa tutup lampu, kurangkan pekerja.

    “Kalau industri lain, bila kos naik contoh macam pelaksanaan gaji minimum baru-baru ini, mereka boleh naikkan harga barang tetapi kami tak boleh sebab (margin) dah ditentukan oleh kerajaan,” katanya.

    Kerajaan menetapkan harga siling bagi RON95 ketika ini ialah RM2.05 bagaimanapun diesel dan RON97 diapungkan mengikut harga pasaran.

    Harga runcit petrol bagi RON95 adalah RM2.05 seliter; diesel (RM2.15 seliter) dan petrol RON97 (RM4.75 seliter) mulai 14 Jul – 20 Jul. Harga RON97 turun 5 sen berbanding pada minggu sebelumnya sekali gus memberi kesan kepada pendapatan pengusaha stesen minyak.

    Kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Mac 2017 menetapkan harga runcit petrol dan diesel melalui kaedah pengapungan terkawal secara mingguan dan ia diteruskan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2018.

  • Harga RON97 naik satu sen, RON95 dan diesel tidak berubah

    Harga RON97 naik satu sen, RON95 dan diesel tidak berubah

    HARGA runcit petrol RON97 naik satu sen seliter kepada RM2.77 mulai esok (7 Okt) hingga 13 Oktober, menurut Kementerian Kewangan hari ini.

    Dalam kenyataannya hari ini, kementerian itu berkata bagaimanapun harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing kekal pada harga RM2.05 dan RM2.15 sehingga 13 Oktober.

    Menurutnya ia berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

    “Bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 pada paras harga siling RM2.05 seliter dan diesel RM2.15 seliter, sungguhpun harga pasaran APM bagi kedua-dua produk telah meningkat melebihi paras harga siling semasa,” menurut kenyataan itu.

    Kementerian itu berkata, kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. – Bernama

  • Kerajaan pastikan rakyat tidak terbeban kenaikan harga minyak

    Kerajaan pastikan rakyat tidak terbeban kenaikan harga minyak

    PEMBERIAN subsidi harga bahan bakar diesel dan petrol RON95 akan dikekalkan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

    Menurut beliau, harga diesel dan petrol RON95 masing-masing akan kekal pada RM2.15 maksimum dan maksimum RM 2.20.

    “Kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mengurangkan beban rakyat berikutan peningkatan semula harga minyak mentah di pasaran global ketika ini mencecah AS$80 (RM334.24) satu tong.

    “Ini penting kerana pada 1 Oktober lalu, harga minyak mentah di pasaran global mencecah AS$80. Seperti kita sedia maklum harga siling diesel RM2.15 dan petrol RON95 RM2.05 seliter.

    “Dalam hal ini, kerajaan sentiasa mengkaji perkara ini dengan mengambil kira pelbagai aspek bagi mengurangkan beban pengguna di Malaysia,” katanya bagi menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Terdahulu, Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) meminta kerajaan menjelaskan situasi sekuriti krisis tenaga global dan hala tuju bagi meningkatkannya di negara ini.

    Dalam perkembangan sama, Mustapa turut berkata, Malaysia tidak menghadapi masalah berkaitan krisis bekalan tenaga sebagaimana berlaku di beberapa negara lain termasuk China, Eropah dan India.

    “Negara kita berada dalam keadaan yang baik kerana sumber penjanaan elektrik negara telah berjaya dipelbagaikan iaitu 47 peratus arang batu, 41 peratus gas asli dan 12 peratus tenaga boleh diperbahrui (RE) termasuk hidro.

    “Selain itu, rizab margin kapasiti terpasang elektrik di Semenanjung Malaysia adalah tinggi iaitu sebanyak 38 peratus, manakala kapasiti terpasang kira-kira 27,000 megawatt berbanding permintaan maksimum sebanyak 19,000 megawatt.

    “Pada masa ini, Unit Perancang Ekonomi (UPEN), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) bersama beberapa pihak berkepentingan lain sedang merangka Dasar Tenaga Negara 2021 hingga 2040,” katanya.