Tag: Gaji minimum

  • Gaji minimum naik, harga barang juga naik

    Gaji minimum naik, harga barang juga naik

    PELAKSANAAN gaji minimum RM1,500 pada 1 Julai ini dikhuatiri masih tidak seimbang dengan kenaikan kos sara hidup rakyat.

    Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) berkata, walaupun pelaksanaan gaji minimum akan meningkatkan pendapatan rakyat, namun tidak berguna jika harga barang turut meningkat.

    “Justeru itu, apakah tindakan kerajaan agar perkara sama tidak berulang? Walaupun naik gaji minimum, tetapi harga barang semakin naik, jadi kuasa pembeli semakin berkurangan.

    “Apakah perancangan jangka masa panjang, daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk kita mencari punca supaya perkara ini dapat diselesaikan, khususnya untuk meningkatkan pendapatan isi rumah,” katanya, lapor Harakahdaily.

    Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

    Dalam pada itu, Timbalan Menteri KPDN, Senator Fuziah Salleh berkata, situasi berkenaan diyakini dapat diselesaikan jika nilai mata wang Malaysia kembali meningkat dan stabil.

    “Apabila nilai mata wang meningkat, kita juga mengawal harga barang walaupun kita tidak boleh kawal semuanya,” katanya.

    Bagi jangka masa panjang pula, kata Fuziah, ia memerlukan peranan daripada kementerian-kementerian, terutama Kementerian Ekonomi dalam inisiatif pendapatan rakyat.

  • CUEPACS mohon gaji minimum penjawat awam RM1,800

    CUEPACS mohon gaji minimum penjawat awam RM1,800

    KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan gaji minimum penjawat awam dinaikkan kepada RM1,800 sebulan kerana pendapatan semasa mereka tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat, kata Presidennya, Datuk Adnan Mat.

    “Pada masa ini kami kurang selesa dengan dapatan gaji ini, perbelanjaan juga tidak adil dengan harga barang yang semakin hari semakin mencengkam. Justeru itu situasi ini amat tidak adil untuk pendapatan (penjawat awam) sebegitu rupa.

    “Kami telah buat cadangan kepada kerajaan supaya gaji minimum ini perlu ditingkatkan kepada RM1,800. Walaupun kerajaan meluluskan RM1,500 untuk GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), tetapi kami mahu RM1,800,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis berbuka puasa yang diadakan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi CUEPACS di Kuala Lumpur hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 19 Mac lepas mengumumkan kadar gaji minimum negara ditetapkan pada RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei ini. Ia akan berkuat kuasa terlebih dahulu membabitkan syarikat-syarikat besar dan GLC.

    Sementara itu, Adnan berkata, apabila berlakunya perubahan gaji minimum yang baharu, akan berlaku tangga gaji yang rapat antara pekerja baharu dan pekerja lama, maka pihaknya memohon dua kenaikan gaji untuk penjawat awam.

    Selain itu, Adnan berkata, sistem saraan baharu hendaklah dijalankan segera supaya ia lebih komprehensif dan penjawat awam mampu untuk berada dalam keadaan selesa dengan perbelanjaan yang adil.

    “Sebab kita telah pun 20 tahun menjalankan sistem saraan yang sama iaitu Sistem Saraan Malaysia, jadi sistem saraan ini perlu diganti,” katanya. – BERNAMA

  • Apa manfaat naik gaji minimum? Bos Mydin tanya kerajaan

    Apa manfaat naik gaji minimum? Bos Mydin tanya kerajaan

    PENGARAH Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin mempersoalkan tentang arahan kenaikan gaji minimum RM1,500 sebulan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 baru-baru ini.

    Memetik laporan FMT, beliau meminta kerajaan menjelaskan bagaimana perniagaan akan mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Mei ini.

    Secara dasarnya, beliau bersetuju dengan kenaikan gaji daripada RM1,200 kepada RM1,500 sebulan, namun tiada analisis yang tepat mengenai kesan limpahannya disediakan.

    “Kami tahu rakyat sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan. Jika rakyat tak dapat bertahan, maka perniagaan yang bergantung pada rakyat juga tak dapat bertahan.

    “Namun setakat ini, tiada penjelasan daripada kerajaan. Jika ada, lebih mudah untuk perniagaan menerimanya,” katanya.

    Ameer menambah, kos gaji Mydin akan meningkat sebanyak RM25 juta setahun ekoran peningkatan kadar gaji minimum.

    Sehubungan itu, beliau bertanya sama ada kerajaan faham bahawa kenaikan gaji akan mendorong peningkatan kos bagi perniagaan, seterusnya kenaikan harga barangan.

    Ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2021 18 Mac lalu, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO menyatakan, pelaksanaan kenaikan gaji minimum tersebut adalah bagi mengambil kira kos sara hidup kini yang kian meningkat, sekali gus menekan golongan B40 khususnya.

    Beliau menambah, kajian impak telah dilaksanakan secara mendalam termasuk kesannya kepada pengusaha perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

    Ismail Sabri memberitahu, pelaksanaan gaji minimum yang baharu itu hanya melibatkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima orang pekerja ke atas.

  • Gaji minimum naik, peniaga jangan pula naik harga barang

    Gaji minimum naik, peniaga jangan pula naik harga barang

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menggesa para peniaga untuk tidak sesuka hati menaikkan harga barangan menjelang fasa peralihan ke endemik mulai 1 April dan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu bermula 1 Mei.

    Beliau berkata, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melakukan aktiviti pemantauan dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara berterusan terhadap mana-mana peniaga yang berbuat demikian.

    “Komuniti peniaga janganlah suka-suka naikkan harga susulan kenaikan gaji minimum dan pembukaan sempadan kerana aktiviti ekonomi akan lebih rancak,” katanya.

    Namun pada masa yang sama, Nanta memberi amaran tegas kepada peniaga sekiranya dikesan melakukan perkara tersebut, tindakan undang-undang dan peraturan yang sedia ada termasuk kompaun akan dilaksanakan,

    “Kami akan membuat advokasi kepada pengguna supaya lebih mengetahui keadaan semasa dan turut melakukan langkah-langkah pencegahan dengan melarang dan memastikan peniaga tidak membuat tindakan tidak beretika seperti menaikkan harga dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Klang hari ini.

    Terdahulu Nanta menyaksikan sesi penyerahan sumbangan peralatan perubatan melibatkan dua unit N15 Patient Monitor bernilai RM100,000 oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

    Nanta turut mengulas mengenai laporan media semalam, berkenaan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang mengesan 63 syarikat menjalankan kegiatan penyelewengan subsidi minyak masak membabitkan cukai tidak berbayar sebanyak RM200 juta.

    “Sebenarnya KPDNHEP sedar berlaku hal sebegini dan kami sentiasa memantau, mengesan serta menyiasat kes yang serupa ini dan apa yang dinyatakan LHDN adalah penemuan mereka mengenai keseluruhan kes berkenaan. Saya tak mahu nyatakan sekarang kerana akan biarkan pihak LHDN buat siasatan terlebih dahulu.

    “Saya difahamkan penguat kuasa (KPDNHEP) sudah berhubung dengan pihak LHDN dalam hal ini dan bersama mereka nanti, kami akan meneliti dan perincikan apa sebenarnya dan mengambil langkah wajar,” katanya. – BERNAMA

  • Patut kawal harga barang, bukan naik gaji minimum

    Patut kawal harga barang, bukan naik gaji minimum

    RAMAI perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang bertepuk tangan semalam apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan gaji minimum dinaikkan kepada RM1,500 sebulan mulai 1 April ini.

    Namun, ramai juga rakyat biasa di luar Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang mengeluh dalam masa beberapa jam selepas pengumuman tersebut.

    Mereka menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan berlaku kenaikan harga barang apabila majikan terpaksa membayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja.

    Pada masa ini, rakyat berasa amat terbeban dengan kenaikan harga barang yang berlaku akibat krisis pandemik COVID-19 dan kadar tukaran ringgit yang rendah.

    Walaupun kerajaan telah menguatkuasakan skim kawalan harga barang terutamanya pada musim perayaan, langkah itu hanya bersifat sementara dan tidak banyak membantu.

    Selepas habis tempoh, harga barang naik semula. Sekali harga naik, memang liat hendak turun.

    Lagipun, bukan semua barang yang dimasukkan dalam skim kawalan harga barang. Banyak barang bukan makanan asas dan perkhidmatan yang harganya melambung jika dibandingkan dengan harga beberapa tahun lalu.

    Misalnya, dahulu caj gunting rambut untuk seorang kanak-kanak di kawasan luar bandar hanya RM5 sahaja. Kini, sudah melonjak jadi RM10, kenaikan 100 peratus.

    Begitu juga dengan kos perkhidmatan lain seperti servis dan membaiki kenderaan, harga makanan siap dimasak dan peralatan komputer serta telefon pintar.

    Kenaikan gaji minimum yang diumumkan Ismail Sabri itu juga tidak bersifat meluas kerana pekerja yang pada masa ini menerima gaji melebihi RM1,500 sebulan tidak akan menikmati sebarang peningkatan dari segi pendapatan.

    Maknanya, gaji mereka masih kekal pada takuk lama sedangkan kuasa beli semakin menyusut ekoran peningkatan harga barang atau inflasi.

    Langkah yang paling berkesan bagi membantu rakyat adalah dengan mengawal harga barang dan caj perkhidmatan.

    Jika peningkatan harga barang dan caj perkhidmatan naik mendadak, kenaikan gaji minimum tidak memberi sebarang manfaat.

    Kerajaan khususnya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mesti bersikap proaktif dalam menangani isu kenaikan harga barangan.

    Janganlah tunggu sehingga rakyat bising baru hendak bertindak. Tindakan yang diambil pun macam tak beri kesan sebab harga barang masih terus melambung dan rakyat marhaen semakin terbeban.

  • Kajian gaji minimum dibentang suku keempat 2021

    Kajian gaji minimum dibentang suku keempat 2021

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Perundingan Gaji Negara (MPGN) menubuhkan Jawantankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara akan membentangkan hasil kajian berhubung gaji minimum pekerja ke Kabinet pada suku keempat tahun ini.

    Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, kajian itu selaras dengan Seksyen 25 (1), Akta MPGN 2011 iaitu Akta 732 yang memperuntukkan kajian terhadap perintah gaji minimum perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun.

    “Melalui dapatan ini, kita turut menjalankan Seksyen 25 (3) dan Akta 732 bagi menilai impak keberkesanan perintah gaji minimum bagi memberi implikasinya terhadap pembangunan sosial dan ekonomi negara.

    “Kita juga buat analisis dan kajian data sosial dan ekonomi semasa. Sehingga 1 September lalu, Kementerian Sumber Manusia melaksanakan sesi libat urus melibatkan perbincangan kumpulan yang dihadiri 209 persatuan majikan, 93 kesatuan pekerja, empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga orang awam.

    “Dapatan ini akan dibentangkan suku keempat tahun ini dan akan dilaksanakan pada 2020,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Permatang Pauh) yang meminta Kementerian Sumber Manusia untuk menyatakan tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha setakat ini dalam kajian semula gaji minimum, seperti dimaklumkan Perdana Menteri semasa ucapan Hari Buruh 2021.

    Mengulas lanjut, Awang memberitahu, kementeriannya mengedarkan borang kaji selidik kepada sampel kajian yang ditetapkan iaitu 1,996 responden majikan dan 1,996 responden pekerja dan melaksanakan kajian persepsi orang awam mengenai perintah gaji minimum.

    “Melalui portal disediakan oleh kementerian, jumlah responden adalah 239 yang terdiri daripada 177 pekerja iaitu 74.2 peratus, 25 majikan dengan 10.5 peratus dan 37 responden lain adalah pencari kerja dan orang awam yang bersamaan dengan 15.7 peratus.

    “Unsur-unsur lain yang dikenal pasti ialah unsur eksploitasi daripada majikan juga kita melihat dari sudut ini.

    “Jawatan kuasa terus memperhalusi dan menganalisis semua data diperoleh. Laporan dapatan kajian ini akan dibentangkan dan dibahaskan di peringkat majlis sebelum disyorkan dan dipertimbangkan untuk persetujuan kerajaan melalui Kabinet,” katanya.