Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MAJLIS Perundingan Gaji Negara (MPGN) menubuhkan Jawantankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara akan membentangkan hasil kajian berhubung gaji minimum pekerja ke Kabinet pada suku keempat tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata, kajian itu selaras dengan Seksyen 25 (1), Akta MPGN 2011 iaitu Akta 732 yang memperuntukkan kajian terhadap perintah gaji minimum perlu dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun.

“Melalui dapatan ini, kita turut menjalankan Seksyen 25 (3) dan Akta 732 bagi menilai impak keberkesanan perintah gaji minimum bagi memberi implikasinya terhadap pembangunan sosial dan ekonomi negara.

“Kita juga buat analisis dan kajian data sosial dan ekonomi semasa. Sehingga 1 September lalu, Kementerian Sumber Manusia melaksanakan sesi libat urus melibatkan perbincangan kumpulan yang dihadiri 209 persatuan majikan, 93 kesatuan pekerja, empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan juga orang awam.

“Dapatan ini akan dibentangkan suku keempat tahun ini dan akan dilaksanakan pada 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Permatang Pauh) yang meminta Kementerian Sumber Manusia untuk menyatakan tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha setakat ini dalam kajian semula gaji minimum, seperti dimaklumkan Perdana Menteri semasa ucapan Hari Buruh 2021.

Mengulas lanjut, Awang memberitahu, kementeriannya mengedarkan borang kaji selidik kepada sampel kajian yang ditetapkan iaitu 1,996 responden majikan dan 1,996 responden pekerja dan melaksanakan kajian persepsi orang awam mengenai perintah gaji minimum.

“Melalui portal disediakan oleh kementerian, jumlah responden adalah 239 yang terdiri daripada 177 pekerja iaitu 74.2 peratus, 25 majikan dengan 10.5 peratus dan 37 responden lain adalah pencari kerja dan orang awam yang bersamaan dengan 15.7 peratus.

“Unsur-unsur lain yang dikenal pasti ialah unsur eksploitasi daripada majikan juga kita melihat dari sudut ini.

“Jawatan kuasa terus memperhalusi dan menganalisis semua data diperoleh. Laporan dapatan kajian ini akan dibentangkan dan dibahaskan di peringkat majlis sebelum disyorkan dan dipertimbangkan untuk persetujuan kerajaan melalui Kabinet,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here