Tag: Esscom

  • ESSCom tahan 3 PATI terlibat ajaran sesat Wali Tujuh

    ESSCom tahan 3 PATI terlibat ajaran sesat Wali Tujuh

    KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) menahan tiga lelaki yang merupakan pendatang tanpa izin disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran meragukan ‘Wali Tujuh’, malam tadi.

    Komander ESSCom, DCP Hamzah Ahmad berkata, suspek ditangkap dalam satu serbuan oleh ESSCom di sebuah rumah pekerja Ladang Bukit Kertam, Kota Kinabatangan di sini.

    “Individu tersebut ditahan untuk siasatan lanjut oleh pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan ajaran meragukan dikenali sebagai ‘Wali Tujuh’.

    “Beberapa barang peribadi milik seorang daripada individu terbabit antaranya kalendar ramalan, pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai tangkal telah dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wali Tujuh
    Kalendar ramalan ajaran sesat Wali Tujuh yang dirampas oleh ESSCom. – Gambar: ESSCom

    Menurut Hamzah, berdasarkan risikan awal, kumpulan itu diketuai oleh seorang guru dibantu dua individu dan mula bergiat aktif sejak tiga bulan lepas dengan membawa ajaran ilmu batin dan kebal yang telah berkembang pantas serta menarik minat penyertaan pekerja ladang, khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan.

    Menurutnya, setakat ini, kumpulan tersebut mempunyai seramai 20 orang pengikut terdiri daripada warga asing yang merupakan pekerja ladang di sekitar daerah tersebut.

    ESSCom
    Barangan yang dirampas. – Gambar: ESSCom

    “ESSCom ingin menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

    “Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan di ESS Zone,” katanya. – BERNAMA

  • ESSCom keluar senarai 20 suspek kes culik

    ESSCom keluar senarai 20 suspek kes culik

    KAWASAN Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) hari ini mengeluarkan senarai terkini 20 individu warga Filipina yang dikehendaki kerana terbabit dalam kes penculikan untuk wang tebusan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

    Komander ESSCom, DCP Hamzah Ahmad berkata, senarai yang dikemas kini itu melibatkan seorang suspek baharu iaitu Majdid Said @ Ammah Pattit, yang merupakan ketua paling kanan Daulah Islamiah Sulu Based.

    Beliau berkata, Majdid yang berperanan sebagai komander Kumpulan Abu Sayyaf Sulu, adalah pemimpin kanan yang bakal menggantikan ketua kumpulan itu Hatib Hajan Sawadjaan.

    Esscom

    Sementara itu, antara suspek yang kekal dalam senarai tersebut adalah Mudzrimar @ Mundi Sawadjaan, yang juga pemimpin kanan kumpulan Abu Sayyaf dan memiliki kepakaran menghasilkan bom.

    “Mudzrimar adalah perancang letupan bagi beberapa insiden di Jolo, Filipina pada 2020,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

    Di samping itu, menurut Hamzah, suspek yang disyaki berperanan sebagai ‘keepers’ dan terlibat dalam kes penculikan di perairan Tambisan, Tungku dekat sini, iaitu Ahadin Hussien, Ellam Sajirin @ Nasirin dan Ismurah Jirah juga masih berada dalam senarai dikehendaki ESSCom.

    “Suspek lain dikehendaki ESSCom ialah Salip Mura, Al Munjir Yadah, Ben Tatoh Quirino, Basaron Ahok, Mujimar Sawadjaan @ Rasad, Marajan @ Manajan Asiri, Jul Aksan Abdurajan @ Halimaw, Jul @ Jun Hasan, Barak Undog @ Alvin, Hamsan Pakkan @ Black Cobra, Sabri Madrasul @ Salip Jul, Hadji Wahad @ Talip, Tampi @ Bunju, Haibin Mubin @ Apo Kuhambo dan Sangbas Parisko,” katanya.

    culik

    Beliau berkata, pihaknya akan memperhebatkan lagi operasi khas serta melaksanakan operasi bersepadu di laut dan darat, bagi membanteras sebarang ancaman di ESSZone yang menggugat keselamatan negara.

    Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu dikehendaki itu, agar menghubungi Pusat Operasi ESSCom di talian 089-863181 atau menyalurkan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp di 011-63311072. – BERNAMA

  • Esscom rampas plastik hitam mengandungi rokok bernilai RM182,604

    Esscom rampas plastik hitam mengandungi rokok bernilai RM182,604

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    SEBANYAK 1,324 karton rokok seludup bernilai lebih RM182,604 yang ditinggalkan sindiket penyeludupan dibawa masuk dari negara jiran di Jalan Pantai Tawau Lama, Tawau, dirampas malam tadi.

    Komandernya, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, rampasan dilakukan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada pukul 11.15 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam.

    “Sepasukan anggota ‘OCP Daratan’ terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, anggota 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) menemukan beberapa longgokan plastik hitam mengandungi rokok seludup ditinggalkan tanpa pengawasan di lokasi terbabit.

    “Hasil pemeriksaan plastik hitam itu mengandungi rokok seludup pelbagai jenama iaitu masing-masing Fit Mild Menthol (359 kartoon), Mezzo (449) Premiro (246) dan Djarum Black (270) dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM182,604.80,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

    Ahmad Fuad berkata, rokok berkenaan disyaki cuba diseludup masuk dari Indonesia ke daerah ini untuk edaran dan pasaran tempatan.

    “Kesemua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.