Oleh Abu Ubaidillah Rahman

SEBANYAK 1,324 karton rokok seludup bernilai lebih RM182,604 yang ditinggalkan sindiket penyeludupan dibawa masuk dari negara jiran di Jalan Pantai Tawau Lama, Tawau, dirampas malam tadi.

Komandernya, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, rampasan dilakukan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) pada pukul 11.15 malam selepas menerima maklumat daripada orang awam.

“Sepasukan anggota ‘OCP Daratan’ terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14, anggota 8 Rejimen Askar Melayu Diraja (8 RAMD) menemukan beberapa longgokan plastik hitam mengandungi rokok seludup ditinggalkan tanpa pengawasan di lokasi terbabit.

“Hasil pemeriksaan plastik hitam itu mengandungi rokok seludup pelbagai jenama iaitu masing-masing Fit Mild Menthol (359 kartoon), Mezzo (449) Premiro (246) dan Djarum Black (270) dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM182,604.80,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, rokok berkenaan disyaki cuba diseludup masuk dari Indonesia ke daerah ini untuk edaran dan pasaran tempatan.

“Kesemua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here