Tag: Ebit Lew

  • “Wajah empat beradik comel bersih. Tidak terbakar” – Ebit Lew

    “Wajah empat beradik comel bersih. Tidak terbakar” – Ebit Lew

    WAJAH empat beradik yang maut dalam kebakaran kediaman mereka di Kampung Sabak Awor, Muar, malam tadi dalam keadaan bersih dan tidak terbakar.

    Perkara itu didedahkan pendakwah terkenal, Ebit Lew menerusi perkongsian di akaun media sosialnya malam ini.

    “Adik kecil Puteri Aisyah 8 tahun, Mohd Hakim 6 tahun, Mustakim 4 tahun, Fatihah Aisyah 3tahun. Kecil-kecil semuanya. Melihat wajah bersih cantik semuanya.

    “Saya lihat wajah anak-anak semua comel bersih. Tidak terbakar. Ada calar-calar sikit-sikit. 4 beradik dijumpai dibilik air. Mungkin lemas asap dan haba panas,” katanya.

    Kejadian yang berlaku pada pukul 7.49 malam itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.

    Jenazah empat beradik itu selamat dikebumikan dalam satu liang lahat kira-kira 8.15 malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, di Muar.

    Menceritakan lawatannya itu, Ebit Lew berkata, dia sedih dan menangis selepas menghadiri pengkebumian jenazah empat beradik berkenaan yang dipercayai lemas akibat rumah terbakar.

    Katanya, dia turut sebak melihat tangisan ibu bapanya sepanjang urusan di Muar Johor.

    “Innalillahi wa inna ilaihi rajiun. Ya Allah ampunilah sayangilah rahmatilah keluarga ini,” katanya.

    Menurut Ebit Lew, ibu kepada empat beradik itu berasal dari Kuala Kubu Bharu dan mereka adalah dari keluarga susah sehingga tidak mempunyai barang elektrik dan televisyen.

    Malah katanya, wanita itu memaklumkan salah seorang anaknya, Aisyah terlalu ingin menemuinya.

    “Ibunya keluar 5 minit beli barang bergesa balik lihat dah jadi begitu. Ya Allah tuhanku sedihnya dengar,” katanya.

    Ebit Lew pada masa sama merakamkan terima kasih kepada Majlis agama Islam Johor dan Hospital Muar menguruskan keluarga berkenaan.

  • Wanita kongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew, gambar lucah – Saksi

    Wanita kongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew, gambar lucah – Saksi

    PERBICARAAN kes Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, bermula hari ini dengan Mahkamah Majistret Tenom dekat Sabah mendengar keterangan pakar motivasi yang membantu seorang mangsa gangguan seksual membabitkan pendakwah selebriti itu.

    Mohd Fairuz Abu, 37, memberitahu mahkamah bahawa seorang wanita yang menggunakan nama samaran menghubunginya melalui aplikasi WhatsApp selepas beliau memuat naik hantaran mengenai seorang pendakwah terlibat dalam kes gangguan seksual di laman sosial Facebook pada 26 Julai tahun lepas.

    “Pada awalnya, beliau tidak memperkenalkan diri dan menyebut namanya. Beliau bertanya siapa individu yang saya maksudkan dalam hantaran itu.

    “Apabila saya sebut hantaran itu berkaitan Ebit Lew maka wanita tersebut terus berkongsi tangkap layar perbualan Ebit Lew dengannya dan juga gambar lucah yang diberi oleh Ebit melalui WhatsApp,” katanya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria.

    Saksi itu berkata beliau turut menghantar tangkap layar yang dikongsi mangsa kepada individu bernama Firdaus Wong yang sedang mengendalikan kes sama membabitkan tertuduh dan wanita lain.

    Ketika ditanya Zahida tindakan selepas menghantar tangkap layar itu kepada Wong, Mohd Fairuz berkata pada 27 Julai tahun lepas, beliau menghubungi wanita tersebut menerusi panggilan telefon untuk mendengar kronologi penuh gangguan terhadapnya.

    “Pada awalnya, beliau takut-takut dan berasa tidak selamat untuk berkongsi namun selepas saya menenangkannya, barulah beliau kongsikan dari A-Z (daripada awal hingga akhir).

    “Saya mencadangkan kepada wanita itu untuk membuat laporan polis tetapi beliau takut dan berkata ‘saya ni orang kecil saja. Ebit Lew orang besar. Jadi saya tak nak buat laporan,” katanya.

    Mohd Fairuz berkata wanita itu kemudian meminta tempoh untuk berbincang dengan suaminya sebelum membuat laporan polis pada 7 Ogos tahun lepas.

    Saksi itu berkata beliau pernah bertemu secara peribadi dan mampu mengecam wanita tersebut yang hadir di mahkamah dengan kawalan ketat.

    Mohd Fairuz turut mengecam Lew.

    Pendakwah selebriti itu berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas. 

    Lew, 37, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- BERNAMA

  • Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew esok

    Bicara kes gangguan seksual Ebit Lew esok

    PERBICARAAN kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew atau Ebit Lew melibatkan gangguan seksual akan bermula esok hingga 30 Sept di Mahkamah Majistret Tenom.

    Lew, 37, menghadapi 11 pertuduhan, antaranya didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun tahun lepas.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

    Majistret Nur Asyraf Zolhani akan mendengar kes itu manakala pendakwaan akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Azreen Yas Mohammad Ramli dan Adibah Saiful Bahari.

    Barisan peguam Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye akan mewakili Lew.

    Pada Februari lepas, Lew mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual dan dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

    Tenom merupakan sebuah daerah di pedalaman Sabah terletak kira-kira 145 kilometer arah selatan dari Kota Kinabalu.- BERNAMA

  • Kes Ebit Lew dibicara 27 Sept depan

    Kes Ebit Lew dibicara 27 Sept depan

    POLIS Bukit Aman mengesahkan prosiding perbicaraan membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Irawan Ibrahim atau Ebit Lew akan bermula 27 hingga 30 September depan di Mahkamah Majistret Tenom, Sabah.

    Memetik laporan Berita Harian, Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, Ebit Lew didakwa atas 11 pertuduhan gangguan seksual di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    “Beliau akan dibicarakan pada 27 hingga 30 September di mahkamah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Februari lalu, Ebit Lew mengaku tidak bersalah di Mahkamah Litar Tenom atas 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

    Ebit, 37, didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya dalam semua 11 pertuduhan terbabit.

    Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan dua penjamin.

    Pada 18 Februari lalu, Ebit Lew, yang juga seorang usahawan didakwa di Mahkamah Majistret Tenom terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.

    Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan, sebelum ini dilaporkan berkata, Ebit Lew berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.

    Katanya, semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, Sabah, di antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu.

    Pada Julai tahun lalu, siasatan terhadap Ebit Lew dilakukan selepas polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

    Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Ebit Lew dirakam percakapan bagi membantu siasatan pada Ogos dan Oktober tahun lalu dan beliau berkata, dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

  • Berdepan tuduhan gangguan seksual, Ebit Lew serah kepada proses mahkamah

    Berdepan tuduhan gangguan seksual, Ebit Lew serah kepada proses mahkamah

    PENDAKWAH bebas terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew menyerahkan kepada proses mahkamah terhadap 11 pertuduhan berhubung kes gangguan seksual yang dihadapinya.

    Menurutnya, beliau tenang menghadapi pertuduhan itu dan menganggapnya suatu ujian daripada Allah selain berharap ujian itu mampu memberikan kebaikan buat dirinya.

    “Saya serahkan kepada peguam dan akan lalui proses mahkamah ini dengan tenang, saya berdoa semoga Allah beri rahmat kebaikan kepada semua…bila dituduh, saya akan melalui proses ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Tenom hari ini.

    Ebit Irawan, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tenom hari ini atas 11 pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp di daerah Tenom antara Mac hingga Jun tahun lepas.

    Mahkamah membenarkan Ebit Irawan dilepaskan dengan jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin sementara perbicaraan kes dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA

  • PDRM sahkan buat pemeriksaan rumah Ebit Lew semalam

    PDRM sahkan buat pemeriksaan rumah Ebit Lew semalam

    POLIS Diraja Malaysia mengesahkan membuat pemeriksaan di kediaman pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew, pada petang semalam.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya hanya melakukan pemeriksaan bagi tujuan siasatan selepas polis merakam keterangan dari pendakwah berkenaan di Bukit Aman, di sini semalam.

    “Ia adalah proses pemeriksaan biasa bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

    Semalam, Ebit telah dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Sementara itu, Ebit semasa bercakap kepada media semalam memaafkan semua pihak yang memfitnahnya.

    Beliau berkata, kemaafan itu diberikan susulan beliau dipanggil ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    “Saya percaya hidup ini Allah sayang, saya maafkan apa yang terjadi, saya maafkan sesiapa sahaja pun dengan apa yang terjadi.

    “Perkara ini membuatkan saya lebih bersemangat dan saya akan terus membuat kebaikan sampai saya mati,” katanya.

  • Tuduhan fitnah semata-mata, Ebit Lew maafkan

    Tuduhan fitnah semata-mata, Ebit Lew maafkan

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    PENDAKWAH terkenal, Ustaz Ebit Lew menyifatkan tuduhan yang mengaitkannya dengan kes yang sedang disiasat polis sebagai fitnah melampau semata-mata.

    Ditemui selepas selesai memberi keterangan di Bukit Aman sebentar tadi, beliau bagaimanapun berkata, sudah memaafkan mereka yang melempar tuduhan fitnah berkenaan.

    Ebit Lew berkata, kehadirannya ke Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di sini pagi tadi, adalah sebagai saksi kes yang sedang disiasat polis.

    “Saya dipanggil sebagai saksi bagi membantu siasatan terhadap pertuduhan gosip di luar sana.

    “Bagaimanapun saya serahkan segala-galanya kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

    Terdahulu Ebit Lew tiba di Bukit Aman kira-kira pukul 9 pagi ditemani peguamnya, Datuk Hasnal Rezua Merican.

    Ebit Lew berkata, pihak polis mengambil masa lebih satu jam untuk merakam kenyataannya dan dia telah memberikan kerjasama sepenuhnya.

    Pendakwah terkenal, Ebit Lew ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual di Bukit Aman, hari ini.
    GAMBAR: Warta Rakyat

    Apa yang terjadi ujarnya, akan membuatkan beliau berasa lebih bersemangat untuk membuat kebaikan sampai bila-bila.

    Sementara Hasnal berkata, setakat ini polis ada menyatakan beberapa seksyen untuk siasatan kes berkenaan, namun belum memberikan seksyen sewajarnya untuk siasatan kes ini.

    “Setakat ini polis juga memaklumkan tiada keperluan untuk memanggil semula anak guam saya,” katanya.

    Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan dalam kenyataan meminta semua pihak tidak membuat spekulasi dan provokasi bagi memastikan kes tersebut dapat disiasat dengan telus.

    Katanya, Ebit Lew dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual yang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Siasatan akan diteruskan sehingga pihak polis berpuas hati untuk merujuk kes ini kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapat nasihat dan arahan lanjut,” ujarnya.