Tag: DUN Sabah

  • Keratan berita dakwa Hajiji, Bung Moktar bertemu Tun Juhar palsu

    Keratan berita dakwa Hajiji, Bung Moktar bertemu Tun Juhar palsu

    KERATAN berita yang tular di media sosial mendakwa kononnya Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin bertemu dengan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, petang semalam adalah palsu.

    Setiausaha Akhbar Timbalan Ketua Menteri Jaafar Abd Wahid dalam kenyataan berkata gambar keratan berita itu sebenarnya adalah berita selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 (PRN16) tahun 2020, namun ruangan tarikh berita disiarkan sengaja dipotong, dipercayai untuk mengelirukan pembaca.

    Beliau berkata keratan berita daripada portal itu sengaja disebarkan individu tidak bertanggungjawab ketika bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir dan tidak sepatutnya dilakukan sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

     “Saya menerima beberapa panggilan dan mesej bertanyakan kesahihan berita tersebut sedangkan pada sebelah pagi saya bersarapan bersama Bung Moktar di kediamannya sebelum menghantar beliau pada sebelah petang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk ke Kuala Lumpur.

    “Ketua Menteri (Hajiji) pada hari tersebut pula berada di Kota Marudu dalam program Jelajah GRS (Gabungan Rakyat Sabah)…keratan berita ini disebarkan individu yang tidak bertanggungjawab dalam media sosial terutama WhatsApp sehingga menimbulan persoalan kepada orang ramai,” katanya di sini hari ini.

    Semalam, keratan berita itu merupakan antara perkara menimbul persoalan tentang status Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan khabar angin mengatakan terdapat beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS bakal keluar parti mengikut jejak ADUN Bandau Datuk Wetrom Bahanda.

    GRS dan Barisan Nasional (BN) mentadbir kerajaan Sabah dengan sokongan 53 ADUN, berbanding pembangkang 25 ADUN. 

    Jaafar berkata keratan berita itu telah dipergunakan lasykar siber atau cybertrooper pembangkang bagi memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan penyokong kerajaan terutama GRS dan BN berdepan PRU15.

    “Saya meminta orang ramai agar jangan mudah mempercayai berita palsu dan menyebarkannya sebelum mendapat kesahihannya,” katanya.- BERNAMA

  • PRU-15: DUN Sabah tak dibubar – Bung Moktar

    PRU-15: DUN Sabah tak dibubar – Bung Moktar

    UMNO Sabah menolak kemungkinan Dewan Undangan Negeri itu akan dibubarkan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).

    Biarpun begitu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya tetap melakukan persiapan secara menyeluruh.

    “Kemungkinan itu memang tidak ada (bubar DUN Sabah), cuma dalam politik ini bermacam perkara boleh berlaku, jadi persiapan kita ini adalah secara menyeluruh,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu berkata demikian kepada wartawan di Kota Belud ketika diminta mengulas sama ada BN turut membuat persediaan jika berlakunya pembubaran DUN Sabah pada PRU kali ini.

    Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, jentera BN harus bekerja keras bagi memastikan kemenangan bukan sahaja di kerusi Parlimen Kota Belud, malah berjaya menawan Putrajaya.

    “Yang penting jentera BN harus bersiap sedia turun padang bekerja seperti ‘lipas kudung’ bagi memastikan kemenangan calon PRU,” katanya.

    Sementara itu, ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan turut yakin DUN Sabah tidak akan dibubarkan pada pilihan raya yang dijangka diadakan tidak lama lagi itu.

    “Dalam PRU15 ini kita tidak akan bubarkan DUN,” katanya.

    “Yang akan ada ialah pemilihan atau pilihan raya Parlimen dan kerajaan persekutuan saja yang Sabah akan bakal pilih nanti,” katanya.

  • Sidang DUN Sabah ke-16 ditangguh ke September

    Sidang DUN Sabah ke-16 ditangguh ke September

    Oleh Abu Ubaidillah Rahman

    MESYUARAT Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16, yang dijadualkan bersidang tiga hari mulai 24 Ogos ini, ditangguhkan ke 21 hingga 23 Sept depan.

    Penangguhan itu dimaklumkan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M. Yahya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, satu warta kerajaan telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong hari ini memaklumkan penangguhan sidang DUN Sabah itu dibuat selepas mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

    Menerusi warta tersebut, pindaan tarikh persidangan DUN Sabah itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa kini yang tidak mengizinkan untuk persidangan tersebut diadakan.

    Sebelum ini, Kadzim mengumumkan sidang DUN Sabah akan diadakan pada 24 hingga 26 Ogos, dengan pelbagai prosedur operasi standard.

    Antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri perlu mengemukakan keputusan ujian saringan COVID-19 tiga hari sebelum bersidang bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

    Kali terakhir persidangan DUN Sabah diadakan adalah pada 18 hingga 23 Dis tahun lepas bagi membentang dan membahaskan Belanjawan Negeri 2021.