Tag: Dr. Sahruddin Jamal

  • BN tak akan menang mudah, hilang banyak kerusi, kata Bersatu

    BN tak akan menang mudah, hilang banyak kerusi, kata Bersatu

    BERSATU yakin Barisan Nasional (BN) tidak akan menang dengan mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) susulan populariti kerajaan ketika ini sangat rendah, ditambah sentimen terhadap pemimpin UMNO yang terkait kluster mahkamah.

    Ketua Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata malah BN dijangka hilang banyak kerusi Parlimen dalam usaha gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan.

    “Saya cukup yakin, sebetulnya Perikatan Nasional (PN) lebih popular kerana ketelusannya, integritinya dan keupayaan mentadbir sewaktu negara dilanda Covid-19.

    “Masyarakat menilai. Sebetulnya PN tetap terbaik,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FMT.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah BN boleh menang selesa pada PRU-15 seperti dilakukan gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    Sahruddin berkata, BN ketika ini juga berdepan pelbagai isu seperti kepimpinan dan pentadbiran dalam menghadapi PRU-15.

    Pada PRN Johor, BN meraih kemenangan selesa apabila memperoleh majoriti dua pertiga selepas menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan PN hanya menang tiga kerusi.

    Manakala, pada PRN Melaka BN menang 15 daripada 28 kerusi DUN dipertandingkan.

    Sahruddin yakin kerusi kubu kuat UMNO semasa PRU-14 akan berjaya dirampas PN berikutan sokongan Melayu semakin meningkat.

    Beliau mendakwa, kecenderungan pengundi Melayu memilih PN sangat tinggi berikutan jasa dan bantuan oleh pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri.

    “Antaranya menghapuskan hutang peneroka Felda. Mereka lihat yang menyelamatkan dan membantu mereka adalah PN.

    “Apa lagi pengundi dan masyarakat Felda. Begitu juga masyarakat Melayu dengan kecenderungan mereka melihat Muhyiddin bersih, berintegriti, amanah dan jujur jika dibandingkan dengan pemimpin parti lain,” katanya.

    PRU15 dan PRN Johor berbeza

    Sementara itu, Sahruddin berkata PRU-15 dan PRN Johor adalah berbeza dan terdapat banyak faktor yang memenangkan BN sebelum ini.

    Katanya, antaranya adalah ramai jentera daripada parti BN turun ke Johor untuk menguatkan jentera masing-masing selain jumlah yang keluar mengundi tidak terlalu ramai.

    Bagaimanapun, beliau berkata di kedua-dua PRN iaitu Johor dan Melaka, Bersatu melihat terdapat peningkatan signifikan masyarakat untuk mengundi PN.

    “Harus diingat kedua-dua negeri ini bubar DUN sewaktu kerajaan dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob. Umno itu sendiri.

    “Sebetulnya Umno ini menyebabkan kerajaan negeri, pusat jadi tidak stabil dan sangat mengganggu pentadbiran kerajaan yang ada,” katanya.

    Bekas menteri besar Johor itu turut menyasarkan kerusi utama perlu dimenangi pada PRU-15 adalah Parlimen Muar, Pagoh, Mersing dan Batu Pahat.

    PAS bukan liabiliti

    Dalam perkembangan lain, Sahruddin berkata kehadiran PAS dalam PN bukan liabiliti kepada gabungan itu.

    Beliau berkata, PAS merupakan parti sederhana dan ini perlu diterangkan kepada masyarakat bukan Melayu.

    “PAS telah memerintah Kelantan 32 tahun dan saya dimaklumkan PAS paling kurang amalan rasuahnya. Sebetulnya mereka tidak faham, jadi tanggungjawab sebagai ahli parti adalah menerangkan kepada pengundi bukan Melayu untuk tidak takut dengan PAS,” katanya.

  • Puad Zarkashi lapar perhatian, lupa tanggungjawab

    Puad Zarkashi lapar perhatian, lupa tanggungjawab

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Sahruddin Jamal menyifatkan Yang Dipertua Dewan Undangan (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai seorang yang laparkan perhatian kerana asyik meratib nama pemimpin-pemimpin Bersatu.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor dalam Facebook:

    Saya berasa hairan dengan seorang wakil rakyat UMNO Johor, Dr Puad Zarkashi yang tidak pernah lekang di bibirnya nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Meskipun bergelar seorang Yang Berhormat apatah lagi telah dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Johor, beliau masih mempunyai masa terluang yang banyak untuk menyerang Bersatu.

    Masa terluang tersebut digunakan oleh beliau sehabisnya untuk meratib nama pimpinan Bersatu menerusi kenyataan-kenyataan jumud dalam media sosialnya.

    kacau Datuk Dr. Sahruddin Jamal
    Datuk Dr. Sahrudin Jamal

    Selain menunjukkan dirinya seorang yang laparkan perhatian, malah beliau juga telah menunjukkan bahawa dirinya lebih gemar untuk ‘bermain politik’ berbanding berkhidmat kepada rakyat.

    Di saat rakyat sedang berhadapan dengan cabaran kos sara hidup, beliau seharusnya berhenti daripada berkhayal dan kembali menjalankan tanggungjawab hakiki beliau.

    Saya ingin menyarankan kepada beliau agar tidak mencampuri urusan Bersatu dan memberikan perhatian terhadap tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor serta Yang Dipertua DUN Johor.

    Janganlah ditunjukkan sangat ‘gila bayang’ atau perasaan kemaruk terhadap Bersatu sehinggakan kerap kali melatah dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan.

    Dr Puad Zarkashi perlu menghormati amanah yang telah diberikan oleh rakyat khususnya DUN Rengit dan Bangsa Johor amnya, serta tidak mencemari kedudukan sebagai Yang Dipertua DUN Johor.

  • Dr Din sudah cukup bagus, buat apa nak tukar?

    Dr Din sudah cukup bagus, buat apa nak tukar?

    “KAMI memang sangat berpuas hati dengan Dr Din sejak dia dipilih jadi wakil rakyat. Bagi kami, memang tiada calon lain yang akan kami pilih.

    “Biarlah Dr Din terus jadi YB Bukit Kepong lepas pilihan raya nanti,” kata seorang pengundi selepas ditanya tentang prestasi calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

    Semasa program turun padang bertemu orang ramai di sekitar pekan Pagoh petang semalam, dapat dilihat Sahruddin yang lebih popular dengan gelaran Dr Din menerima sambutan yang sangat menggalakkan.

    Beliau yang diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memang seorang tokoh yang mudah mesra dan diterima dengan baik oleh rakyat pelbagai kaum.

    Melihat kepada ‘perang bendera’ yang meriah antara PN dan Barisan Nasional (BN) di pekan Pagoh, dapat dijangka Dr Sahruddin bakal berdepan persaingan yang sengit daripada calon BN, Ismail Mohamad.

    Dua lagi calon iaitu Nur Afiqah M Zulkifli (Muda) dan Md Taib Md Suhut (Pejuang) boleh diabaikan.

    Dalam banyak perkara, Dr Sahruddin adalah jauh lebih baik berbanding Ismail dan calon-calon lain yang bertanding merebut kerusi DUN Bukit Kepong yang mempunyai seramai 37,495 pengundi.

    Walaupun pernah bergelar Menteri Besar Johor, beliau mudah didekati rakyat dan sentiasa bersedia mendengar keluh-kesah mereka.

    Banyak jasa dan bakti yang ditaburkan Dr Din sejak bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong empat tahun lalu dan banyak lagi yang boleh ditawarkan oleh pemimpin muda tersebut apabila dipilih semula nanti.

    Selain itu, rakyat di Bukit Kepong tidak melupakan betapa prihatinnya kerajaan PN yang diketuai Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu.

    Faktor tersebut pasti memberi kelebihan kepada Dr Din yang berjaya beroleh 1,273 undi majoriti pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

    Kejayaan serupa bakal diulangi pada 12 Mac ini sekali gus memberi ruang kepada PN untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Bangsa Johor setelah membentuk kerajaan negeri yang baharu kelak.

  • Dr Sahruddin yakin tewaskan calon BN Bukit Kepong

    Dr Sahruddin yakin tewaskan calon BN Bukit Kepong

    BERHADAPAN saingan tiga calon lain sama sekali tidak mengugat keyakinan bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong pada pilihan raya negeri Johor kali ini.

    Calon Perikatan Nasional (PN) itu tetap menaruh keyakinan pengundi di kawasan itu akan memberikan kepercayaan kepadanya, walapun berhadapan saingan sengit daripada calon lain terutamanya daripada Barisan Nasional (BN) iaitu Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad.

    “… saya telah berkhidmat di sini selama empat tahun. Semua masyarakat tanpa mengira latar belakang parti atau kaum, semua kita bagi (bantuan) sama rata.

    “Saya juga telah berjaya membawa pembangunan di DUN Bukit Kepong,” katanya kepada pemberita selepas sesi penamaan calon bagi DUN Bukit Kepong di Dewan Karisma Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh hari ini.

    Ditanya sama ada beliau diketengahkan sebagai calon Menteri Besar Johor sekiranya PN memenangi PRN Johor, Dr Sahruddin berkata perkara itu belum diputuskan dan beliau menyerahkan semuanya kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.

    “Saya hanya ahli parti, saya akan pastikan parti saya PN memenangi dahulu PRN Johor ini,” katanya.

    Selain berhadapan dengan saingan calon BN, beliau juga ditentang oleh dua muka baharu iaitu Md Taib Md Suhut daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan calon parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Nur Afiqah M Zulkifli. – BERNAMA

  • PN harap tiada kacau ganggu sepanjang PRN Johor

    PN harap tiada kacau ganggu sepanjang PRN Johor

    CALON Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal berharap tiada sebarang kacau ganggu terhadap sistem demokrasi tanah air berlaku sepanjang Pilihan Raya Negeri (PN) Johor berlangsung.

    Beliau yang juga Setiausaha PN Johor juga berharap agar PRN tersebut berlangsung dengan baik, tenang dan matang.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau hari ini:

    Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor Ke-15 memulakan tirai pada hari ini, dengan Hari Penamaan Calon. Sebanyak 56 Pusat Penamaan Calon telah dibuka bagi membolehkan calon dari parti-parti politik yang bertanding mengemukakan kertas penamaan calon.

    Alhamdulillah, selaku salah seorang calon Perikatan Nasional bagi Dewan Negeri Johor kawasan Bukit Kepong, saya telah menyerah kertas penamaan calon di IKTBN Pagoh, sebentar tadi. Saya percaya kertas penamaan calon bagi kesemua 56 calon Perikatan Nasional bagi PRN Johor juga telah diterima pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

    Dalam menghadapi sebuah pilihan raya yang disifatkan sebagai penting bagi masa hadapan Negeri Johor dan negara secara keseluruhannya, perjalanan PRN Johor diharapkan dapat berlangsung dengan baik, tenang dan matang tanpa sebarang kacau ganggu sistem demokrasi tanah air.

    Pada masa yang sama, negara masih lagi berhadapan dengan ancaman COVID-19, setiap warganegara seharusnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh SPR serta Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai ikhtiar kita mengekang penularan wabak ini.

    Bagaimanapun, saya ingin mengulangi kenyataan yang pernah dibuat sebelum ini, agar pihak SPR memberikan pertimbangan dalam memberikan kelonggaran agar PRN Johor mesra calon dan parti politik, serta pengundi dan kini mesra pengamal media yang bertugas sehingga ke hari akhir.

    Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat rakan pengamal media yang telah dikompaun kerana didakwa melanggar SOP iaitu tidak menjaga penjarakan fizikal ketika sedang menjalankan tugas pada Hari Penamaan Calon di Pusat Penamaan Calon, hari ini.

    Tindakan penguatkuasaan ini bukanlah suatu yang luarbiasa memandangkan peraturan dan undang-undang yang ditetapkan itu perlu dihormati serta dipatuhi terutama ketika negara sedang dalam proses pemulihan yang menuntut komitmen semua pihak mengekang wabak COVID-19.

    Justeru, saya memohon jasa baik pihak SPR agar memberikan sedikit lagi kelonggaran kepada pengamal media untuk melaksanakan tugas mereka dalam memberikan laporan berita yang pantas, telus dan terkini kepada Bangsa Johor yang juga merupakan pengundi pada pilihanraya ini.

    Kepada rakan pengamal media, saya berharap anda semua dapat terus mematuhi SOP ditetapkan pada ketika ini, dan sentiasa mengutamakan soal keselamatan serta kesihatan diri sepanjang tempoh PRN Johor berlangsung.

    Perikatan Nasional sentiasa mengiktiraf peranan dan komitmen rakan pengamal media yang sentiasa memberikan sokongan berterusan selama ini. Saya mendoakan agar segala urusan rakan pengamal media sentiasa dipermudahkan oleh Allah SWT.

  • Kepentingan rakyat lebih utama berbanding agenda kepartian

    Kepentingan rakyat lebih utama berbanding agenda kepartian

    Oleh Rahimi Mohamad

    KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) sejak hari pertama mengambil alih pentadbiran negara telah sehabis mampu menguruskan kepentingan rakyat berdepan pandemik Covid-19 dengan sebaik-baiknya tanpa pernah berputus asa.

    Meskipun diasak dari pelbagai sudut, Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, kerajaan tidak mengalah dengan segala konflik dan krisis yang dihadapi sebaliknya kekal tenang serta hadir dengan pelbagai perancangan intervensi dan pelan pemulihan.

    Justeru kata beliau, tindakan segelintir pihak yang meletakkan negara dalam krisis politik selain mengganggu gugat kestabilan pentadbiran kerajaan ketika ini amat dikesali semasa tumpuan sepatutnya untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

    “Atas sebab itu, penting bagi setiap parti sama ada di dalam mahupun di luar PN untuk bersikap rasional dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding agenda politik kepartian.

    “Kerajaan pada masa kini sentiasa berusaha keras malah memberikan komitmen yang tinggi untuk menyelamatkan negara dan rakyat daripada pandemik Covid-19.

    “Menjadi kewajaran bagi semua pihak untuk memberikan sokongan kepada kerajaan dalam
    mendepani cabaran Covid-19, sekali gus menghentikan polemik politik serta perebutan kuasa dan jawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, seperti dijanjikan mandat akan dikembalikan kepada rakyat disusuli dengan pilihan raya umum seperti yang dimahukan pelbagai pihak sebaik sahaja situasi mulai reda dan Pelan Pemulihan Negara menunjukkan kejayaan menyeluruh.

    Kata beliau, desakan pihak-pihak tertentu agar Perdana Menteri meletakkan jawatan pada kadar segera ketika negara sedang diuji dengan pandemik Covid-19 bukanlah satu penyelesaian.

    “Kerajaan perlu terus berfungsi seterusnya memacu setiap tindakan yang direncanakan menuju hala tuju yang telah ditetapkan. Inilah yang terbaik untuk rakyat dan negara pada ketika ini,” katanya.

    Setakat ini, lebih 17 juta rakyat di Malaysia yang berdaftar dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) telah menerima dos pertama, malah lebih 40 peratus populasi dewasa telah mendapatkan dos lengkap selain kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital dan bilangan kes kategori 3 hingga 5 telah menunjukkan penurunan.