AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Sahruddin Jamal menyifatkan Yang Dipertua Dewan Undangan (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai seorang yang laparkan perhatian kerana asyik meratib nama pemimpin-pemimpin Bersatu.
Berikut adalah kenyataan penuh beliau yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor dalam Facebook:
Saya berasa hairan dengan seorang wakil rakyat UMNO Johor, Dr Puad Zarkashi yang tidak pernah lekang di bibirnya nama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Meskipun bergelar seorang Yang Berhormat apatah lagi telah dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Johor, beliau masih mempunyai masa terluang yang banyak untuk menyerang Bersatu.
Masa terluang tersebut digunakan oleh beliau sehabisnya untuk meratib nama pimpinan Bersatu menerusi kenyataan-kenyataan jumud dalam media sosialnya.

Selain menunjukkan dirinya seorang yang laparkan perhatian, malah beliau juga telah menunjukkan bahawa dirinya lebih gemar untuk ‘bermain politik’ berbanding berkhidmat kepada rakyat.
Di saat rakyat sedang berhadapan dengan cabaran kos sara hidup, beliau seharusnya berhenti daripada berkhayal dan kembali menjalankan tanggungjawab hakiki beliau.
Saya ingin menyarankan kepada beliau agar tidak mencampuri urusan Bersatu dan memberikan perhatian terhadap tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor serta Yang Dipertua DUN Johor.
Janganlah ditunjukkan sangat ‘gila bayang’ atau perasaan kemaruk terhadap Bersatu sehinggakan kerap kali melatah dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan.
Dr Puad Zarkashi perlu menghormati amanah yang telah diberikan oleh rakyat khususnya DUN Rengit dan Bangsa Johor amnya, serta tidak mencemari kedudukan sebagai Yang Dipertua DUN Johor.
Leave a Reply