Tag: Dr. Ahmad Zahid Hamidi

  • UMNO serah kebijaksanaan Ismail Sabri tadbir negara

    UMNO serah kebijaksanaan Ismail Sabri tadbir negara

    UMNO menyerahkan kebijaksanaan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dalam membuat keputusan atau kebijakan-kebijakan yang beliau rasakan sesuai dalam mengemudi pentadbiran negara.

    Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu telah membuat pendirian menyokong pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

    Menurut beliau, pendirian parti itu juga boleh ditakwilkan bahawa Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan hari ini mempunyai kuasa-kuasa Perlembagaan.

    “Sehubungan itu, menjadi tanggungjawab beliau untuk memastikan kerajaan dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengulangi kesilapan-kesilapan kerajaan terdahulu,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Ahmad Zahid menambah, UMNO konsisten dalam pendiriannya dan telah pun memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

    Bagi pihak parti, beliau akan memastikan UMNO terus menjadi mata, telinga dan suara rakyat dalam menyentuh soal-soal kesejahteraan mereka dan kemakmuran negara.

    “Inilah semangat dan prinsip demokrasi yang wajar kita suburkan. Kerajaan ada peranan dan tanggungjawabnya dalam memenuhi keperluan rakyat.

    “Parti pula akan terus berperanan sebagai kuasa pengimbang yang sentiasa bergerak senafas dengan rakyat,” jelasnya.

    Selaku ketua parti, Ahmad Zahid akan terus berusaha memperkasakan UMNO selaras dengan mandat Perhimpunan Agung UMNO (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

    Beliau menegaskan, fokus UMNO tidak pernah lari daripada untuk terus berusaha memantapkan perjalanan parti khususnya dalam persiapan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

    Ahmad Zahid turut menyatakan kembali dua mandat besar akar umbi yang diamanahkan kepada beliau dan barisan pengemudi parti melalui ketetapan PAU dan MKT.

    “Pertamanya, kerajaan hari ini hanyalah bersifat sementara selagi mana tidak memiliki mandat mutlak rakyat.

    “Justeru sebagaimana diputuskan dalam MKT lepas dan berpedomankan titah saranan Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, apabila pandemik Covid-19 mulai berakhir dan setelah imuniti kelompok dicapai, maka Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) perlulah diadakan bagi membolehkan mandat mutlak diperolehi untuk membentuk sebuah Kerajaan yang stabil dan dipilih oleh rakyat.

    “Keduanya, kehendak akar umbi yang menghendaki agar kerusi-kerusi tradisi UMNO dan kerusi-kerusi yang dikhianati setelah diamanahkan oleh rakyat kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 lalu tidak boleh sesekali dikompromikan dan mesti diambil kembali untuk ditandingi.

    “Ini termasuklah ketetapan PAU yang membataskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya setelah Parlimen dibubarkan untuk PRU-15 yang akan datang,” jelasnya.

    Beliau berkata, untuk tempoh enam hingga tujuh bulan akan datang sehinggalah pandemik mulai reda, kerajaan dan parti akan saling lengkap-melengkapi dan bergerak seiring dengan memfokuskan peranan masing-masing.

    Ahmad Zahid berkata, kerajaan fokus untuk menyelesaikan masalah rakyat yang amat meruncing ketika ini manakala UMNO sebagai parti perlu menjadi suara pengimbang mewakili denyut nadi rakyat selain fokus memperkasa agenda pemantapan parti untuk menghadapi PRU-15 bagi memperoleh kembali kepercayaan dan mandat rakyat.

    “Terlalu banyak hikmah Allah takdirkan UMNO hilang kuasa pada PRU lalu untuk kita muhasabahkan. Salah satunya ialah nilai kesetiaan kepada parti yang terlalu besar harganya yang menjadi penentu dan fitrah kelangsungan sebuah perjuangan.

    “Kepada Allah jualah kita berserah dan mengharapkan petunjuk demi meneruskan agenda perjuangan untuk membela rakyat dan mensejahterakan negara,” katanya.

  • Persoalan timbul berhubung gesaan Zahid tubuh RCI Tommy Thomas

    Persoalan timbul berhubung gesaan Zahid tubuh RCI Tommy Thomas

    PEMIMPIN pembangkang dan peguam mempersoalkan apakah motif di sebalik desakan Umno agar kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat pendedahan bekas peguam negara Tommy Thomas berhubung campur tangan politik dalam isu kehakiman.

    Mereka turut mempersoalkan apakah ia merupakan helah Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin kluster mahkamah parti itu untuk melepaskan diri dari perbicaraan mahkamah.

    Memetik portal MalaysiaNow, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata permohonan Zahid yang kononnya dibuat atas nama reformasi institusi kehakiman dilihat sebagai tidak jujur.

    “Kenapa hanya pendedahan Tommy? Apakah Zahid nak selamatkan diri sendiri? Kalau dia berpegang kepada justice for all, mohonlah siasat semua kes.

    “Kalau Zahid jujur nak tubuhkan RCI, patutnya tubuh juga RCI untuk siasat semua kes berprofil tinggi bukan hanya pendedahan Tommy Thomas semata-mata,”kata ahli Parlimen Pulai itu hari ini.

    Selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno pada Jumaat, Zahid mengeluarkan kenyataan yang antaranya mengatakan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bersetuju menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan Thomas dalam melalui memoirnya My Story: Justice in the Wilderness.

    “Umno mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan,” katanya.

    Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah dari PKR pula menyatakan Zahid sebenarnya tidak memahami pendedahan Thomas.

    Katanya, permohonan Zahid dan Umno itu tidak perlu dilayan sama sekali.

    “Sekiranya ada RCI yang akan dibentuk, ia mesti  dilakukan terhadap reformasi institusi yang mempengaruhi kita dari segi ekonomi, sosial terutama kesihatan dan politik yang melibatkan ketiga-tiga cabang pemerintahan.

    “Dan sekiranya ia berlaku, cadangan tersebut mesti didedah, dibahas dan diluluskan di Parlimen,” katanya.

    Pengamal undang-undang Haniff Khatri Abdulla pula berpandangan “ada udang disebalik batu” di sebalik kenyataan Zahid.

    Menurutnya jika benar ahli Parlimen Bagan Datuk itu mahu membuat reformasi institusi kehakiman, mengapa tidak dimasukkan sekali pendedahan bekas hakim Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Becker.

    Katanya, perkara itu pernah disebut Dr Mahathir Mohamad pada 21 Februari 2019.

    “Jika permohonan dia ada asas, ia boleh diteruskan. Persoalannya sekarang kenapa Tommy Thomas saja? Kenapa tidak termasuk pendedahan Hamid Sultan?”

    “Apakah Zahid ada udang disebalik batu?Tapi kalau Perdana Menteri Ismail Sabri  setuju dengan permohonan Zahid, saya minta mestilah dibuat dengan pendedahan Hamid Sultan untuk membuktikan kerajaan baru benar-benar ada integriti. Teruskan apa yang Mahathir mahu lakukan dulu,” katanya merujuk kepada pendedahan Hamid berhubung campur tangan dalam badan kehakiman.

    Zahid baru-baru ini dikritik hebat pengguna media sosial selepas masuk ke hospital, beberapa hari sebelum perbicaraan kes rasuahnya yang sudah ditangguhkan beberapa kali.

    Beliau merupakan individu yang giat berkempen untuk menggulingkan Muhyiddin Yassin sehingga bekas perdana menteri itu meletakkan jawatan.

    Zahid, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) sebagai dorongan untuk dirinya, sebagai seorang pegawai badan awam iaitu menteri dalam negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem visa luar negara (VLN) serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

  • UMNO yakin kerajaan baharu bersikap terbuka

    UMNO yakin kerajaan baharu bersikap terbuka

    UMNO menaruh kepercayaan tinggi bahawa kerajaan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersikap terbuka.

    Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa yang sama, parti itu tetap memberi keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan negara.

    Menurut beliau, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah menetapkan panduan untuk kerajaan baharu.

    “Kita menaruh kepercayaan tinggi kerajaan baharu di bawah Perdana Menteri baharu bersikap terbuka.

    “Insya-Allah UMNO dan Presidennya tetap bersama rakyat demi raja demi negara,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Ahmad Zahid menambah, UMNO akan terus memantau, memberi pandangan dan nasihat, idea, cadangan serta teguran yang sewajarnya.

    Beliau memberitahu, tujuannya dengan hasrat membantu kerajaan baharu membendung penularan wabak Covid-19 serta memacu kembali ekonomi negara yang terkesan teruk sejak beberapa tahun lalu.

    “Begitu juga tentang kebajikan rakyat yang wajib diberi perhatian serius.

    “Lagipun ini selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak bekerjasama memulihkan negara,” jelasnya.

    Mesyuarat MKT UMNO kelmarin telah menetapkan beberapa panduan utama iaitu:

    i. Menyahut titah saranan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

    ii. Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus.

    iii. Kerajaan mesti menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka termasuklah penambahbaikan pakej-pakej bantuan rakyat (BPN, BPR dan BKC), moratorium tanpa faedah terakru, pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 dan bantuan kepada pengusaha kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik.

    iv. Kerajaan terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan Kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan kerajaan Perikatan Nasional memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara parti Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Parti Perikatan Nasional (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS.

    v. Kerajaan hendaklah mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen sebagai wahana semak dan imbang kepada kerajaan.

    vi. Penubuhan segera suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi-institusi Peguam Negara, kehakiman dan keselamatan yang menjadi benteng mempertahankan Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang Negara.

  • Bicara kes Zahid mesti diteruskan demi kepentingan awam

    Bicara kes Zahid mesti diteruskan demi kepentingan awam

    MAHKAMAH Tinggi Shah Alam membenarkan penangguhan perbicaraan kes rasuah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkait sistem visa asing untuk hari ini, namun perbicaraan akan disambung pada 1 September kerana ia membabitkan ‘kepentingan awam’.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Hakim Mohd Yazid Mustafa menegaskan, perbicaraan perlu bersambung minggu depan bergantung pada keadaan kesihatan Zahid.

    “Saya faham beliau akan menjalani pembedahan dan berapa lama masa yang diperlukan untuk pulih tertakluk kepada pengesahan doktor.

    “Ini kes membabitkan kepentingan awam dan mahkamah berharap pihak pendakwaan dan pembelaan dapat mencari tarikh yang dipersetujui untuk perbicaraan diteruskan,” katanya.

    Ahmad Zahid berdepan 40 tuduhan menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung sistem visa asing kerajaan. Kes ini kali terakhir didengar pada 27 Mei lalu.

    Terdahulu. peguam Ahmad Zahid, Ahmad Zaidi Zainal memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya dimasukkan ke hospital atas kecederaan yang dialaminya akibat jatuh.

    “Sebuah Mahkamah Tinggi lain telah memanggil doktornya untuk menerangkan situasinya lewat hari ini,” katanya.

    Semalam, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak hadir pada pendengaran penghujahan bagi satu lagi kes rasuahnya membabitkan Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur setelah dimasukkan ke hospital Ahad lalu.

    Peguamnya berkata, pembelaan dapat diteruskan dengan penghujahan pada akhir kes pendakwaan, namun pihak pendakwaan menegaskan bahawa undang-undang memperuntukkan bahawa Ahmad Zahid perlu hadir.

  • Mahkamah keluar sapina, panggil doktor perjelas keadaan Ahmad Zahid

    Mahkamah keluar sapina, panggil doktor perjelas keadaan Ahmad Zahid

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan sapina ke atas seorang doktor pakar hospital swasta untuk hadir ke mahkamah bagi menjelaskan keadaan kesihatan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

    Hakim Collin Lawrence Sequerah mengeluar sapina itu Presiden UMNO itu tidak hadir pada perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi yang dihadapinya, hari ini.

    Perintah tersebut dikeluarkan ke atas Dr. Mohd. Shahir Anuar dari Hospital Pakar Avisena, Shah Alam untuk hadir ke mahkamah pada pukul 3.30 petang esok.

    “Kes ini tidak boleh ditangguh lagi, saya mahu kes ini diselesaikan pada tahun ini juga. Adalah tidak adil bagi tertuduh dan mahkamah untuk terus menangguhkan kes ini terlalu lama.

    “Kes ini mula disebut di mahkamah pada 2019,” katanya di sini, pada Selasa.

    Hakim Collin Lawrence turut meminta wakil daripada kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan untuk hadir pada prosiding yang ditetapkan esok.

    Terdahulu, prosiding ditangguhkan hampir satu jam bagi memberi ruang kepada pasukan pembelaan untuk berbincang dengan doktor berkenaan sama ada dapat hadir ke mahkamah hari ini.

    Sebelum ini, kes Presiden UMNO yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

    Itu melibatkan puluhan juta ringgit dana milik yayasan itu ditangguh beberapa kali termasuk terbaharu tiga minggu lalu selepas pejabat seorang daripada peguamnya terdedah dengan jangkitan Covid-19.