PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan takziah kepada isteri dan keluarga Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggal dunia akibat COVID-19 hari ini.

Menurut beliau, pemergian Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan bekas Ahli Parlimen Beaufort dan serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias itu adalah satu kehilangan kepada negara.

“Allahyarham semasa hayatnya juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam Kabinet Persekutuan antaranya sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Semoga segala khidmat bakti Allahyarham mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya daripada Allah SWT dan semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Lajim Ukin meninggal dunia akibat COVID-19 di Hospital Pakar KPJ Kota Kinabalu, pagi ini dan perkara itu disahkan isterinya, Datin Seri Normilah Siong ketika dihubungi Bernama, dan memaklumkan Allahyarham, 66, meninggal dunia pukul 6.23 pagi tadi.

Sementara itu pegawai khasnya Ismail Norazman berkata, jenazah Allahyarham yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah akan dibawa ke kampung halaman beliau di Kampung Kebatu, Beaufort untuk disemadikan.

“Terima kasih untuk segala doa kalian. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kalangan hamba-Nya yang soleh di sisi-Nya kelak, diampunkan segala dosa dan diterima segala amal kebaikannya di dunia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 24 Ogos lepas, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, ditidurkan pada jam 2 petang di hospital sama untuk rawatan susulan akibat jangkitan COVID-19.

Beliau berkata sebelum ini hospital itu memaklumkan bacaan oksigen Allahyarham menunjukkan kemajuan yang baik sepanjang tempoh rawatan, bagaimanapun keadaan kesihatannya merosot awal pagi ini sebelum meninggal dunia.

Lajim merupakan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah selama tiga penggal bermula 1999.

Alllahyarham juga pernah menjadi Timbalan Menteri Pengangkutan pada 2008 hingga 2009 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada 2009 hingga 2012.

Beliau menyertai UMNO pada 1994 seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Beaufort, sebelum menyertai PKR pada 2016 dan kemudian menyertai Bersatu sebelum dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk penggal 2019 hingga 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here