Tag: Dos penggalak

  • Agong seru rakyat ambil vaksin, dos penggalak

    Agong seru rakyat ambil vaksin, dos penggalak

    YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa menyeru rakyat yang belum mendapatkan vaksinasi COVID-19 supaya berbuat demikian.

    Seri Paduka bertitah ia termasuklah mendapatkan dos penggalak bagi memastikan negara dapat mengawal pandemik COVID-19.

    “Negara masih lagi belum bebas daripada pandemik COVID-19, justeru marilah kita bersama-sama mematuhi panduan dan peraturan dalam usaha untuk memerangi COVID-19 yang telah digariskan oleh kerajaan beta,” titah baginda sempena Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara Kuala Lumpur hari ini.

    Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat ke istiadat itu.

    Pada majlis itu, Seri Paduka berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat kepada 263 penerima bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2022.

    Sementara itu, Al-Sultan Abdullah bertitah supaya rakyat Malaysia bersama-sama mengulangi iltizam untuk terus mengeratkan perpaduan dan menghindari perpecahan.

    “Sesungguhnya asas kekuatan sebuah negara adalah ikatan perpaduan serta semangat seia dan sekata dalam menjunjung prinsip Rukun Negara demi memastikan kedaulatan tanah tumpahnya darah ini terus terpelihara,” titah baginda. – Bernama

  • Vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus mulai esok

    Vaksinasi dos penggalak secara jumpa terus mulai esok

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menawarkan perkhidmatan vaksinasi dos penggalak COVID-19 secara jumpa terus kepada golongan berusia 18 tahun ke atas, di semua pusat pemberian vaksin (PPV) seluruh negara mulai esok.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, bagi PPV pengamal perubatan swasta (GP) pula, individu dimohon menghubungi klinik swasta terlibat bagi menentukan masa yang sesuai, untuk mendapatkan janji temu vaksinasi dos penggalak itu.

    “Ini bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dapat dipatuhi pada setiap masa, kerana mengambil kira ruang yang terhad di klinik swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Khairy berkata, individu yang ingin hadir secara jumpa terus, perlu mempunyai sijil vaksinasi digital lengkap dalam aplikasi MySejahtera, bagi melancarkan proses vaksinasi.

    “Namun, bagi mereka yang tidak mempunyai sijil vaksinasi digital kerana tiada telefon pintar, maka dikehendaki membawa kad vaksinasi fizikal ke PPV,” katanya sambil menambah jenis vaksin diberikan adalah terhad kepada bekalan yang ada di setiap PPV.

    Beliau berkata senarai PPV GP serta ‘Offsite’ boleh disemak melalui laman sesawang ‘ProtectHealth’ iaitu www.protecthealth.com.my dan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

    “KKM menjangkakan mobiliti penduduk di dalam negara akan meningkat dan lebih banyak aktiviti sosial atau perkumpulan keluarga akan berlaku, memandangkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

    “Sehubungan itu, KKM amat mengalakkan semua penduduk di Malaysia yang layak, untuk mendapatkan dos penggalak dengan segera bagi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” tambahnya.

    Sehingga semalam, seramai 11,531,403 atau 49.3 peratus penduduk Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas, telah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.

    Sementara itu, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dalam satu kenyataan menyatakan kesemua PPV yang dioperasikan oleh GP dan NGO di bawah ProtectHealth akan melaksanakan vaksinasi secara jumpa terus di seluruh negara.

    “Individu yang ingin mendapatkan vaksinasi secara jumpa terus, perlu memastikan bahawa sijil vaksinasi digital mereka di MySejahtera adalah lengkap.

    “Mereka dengan janji temu menerusi MySejahtera akan diberikan keutamaan dan pemberian dos penggalak akan diberikan atas dasar secara siapa cepat dia dapat dahulu,” menurut kenyataan itu.

    Kenyataan ProtectHealth juga menyatakan bahawa orang ramai akan terus mendapat janji temu menerusi aplkasi MySejahtera kerana janji temu vaksinasi masih lagi berterusan dan disahkan. – BERNAMA

  • Vaksin dos ketiga, penggalak mula diberi di Sarawak

    Vaksin dos ketiga, penggalak mula diberi di Sarawak

    JABATAN Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memulakan pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer bermula hari ini di seluruh negeri, kata Timbalan Pengarahnya, Dr. Rosemawai Ariffin.

    Menurut beliau, pemberian itu dilakukan menerusi proses janji temu kepada golongan yang layak.

    “Suntikan dos ketiga akan diberikan kepada 11,900 individu disasarkan daripada golongan ‘immunocompromised’ atau mempunyai sistem imun (ketahanan badan) yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan.

    “Pemberian dos ketiga ini boleh diberikan selang tempoh sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos kedua.

    “Dos ketiga vaksin Covid-19 adalah didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut (primary vaccine series),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, dos ketiga berfungsi untuk memberi perlindungan tambahan kepada golongan rentan yang mana sistem imun bermasalah menjadikan dua dos sahaja tidak mencukupi untuk merangsang sistem imun melawan jangkitan Covid-19.

    Sementara dos penggalak pula katanya, suntikan boleh diberikan hanya selepas enam bulan menerima dos kedua dan akan mengutamakan pemberian kepada warga emas berusia lebih 60 tahun seramai 80,300 serta petugas barisan hadapan perubatan seramai 30,340 orang.

    “Dos penggalak vaksin Covid-19 merupakan dos pemberian vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun yang cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut (Primary Vaccine Series) tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa.

    “Primary Vaccine Series didefinisikan sebagai rangkaian dos vaksin yang diberikan secara berturut-turut untuk mencapai tindak balas awal imun perlindungan dalam kalangan populasi sasaran untuk tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

  • Penggunaan dos penggalak Comirnaty diberi kelulusan bersyarat – Dr Noor Hisham

    Penggunaan dos penggalak Comirnaty diberi kelulusan bersyarat – Dr Noor Hisham

    PIHAK Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin Covid-19, Pfizer BioNTech, bagi golongan berusia 18 tahun ke atas, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

    Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, pemberian dos vaksin berkenaan akan dibuat sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua.

    Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) katanya, ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat PBKD kali ke-365 telah bersidang pada hari ini.

    “Mesyuarat telah memberi kelulusan bersyarat bagi pemberian dos penggalak (booster dose) vaksin COVID-19 Pfizer iaitu Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection (Comirnaty) keluaran Pfizer Manufacturing Belgium NV (Belgium) dan BioNTech Manufacturing GmbH, Germany, sekurang-kurangnya selepas enam bulan dos kedua untuk golongan berumur 18 tahun dan ke atas.

    “KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin ini dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa,” katanya.

    Jelasnya, ini bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.

    “KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan diluluskan oleh PBKD,” katanya.

    Comirnaty merupakan vaksin Covid-19 pertama yang diluluskan bagi penggunaan dos penggalak di negara ini.

    Ia sebelum ini diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas pada 15 Jun 2021.

  • Garis panduan pemberian dos penggalak, dos ketiga dibangunkan-Khairy

    Garis panduan pemberian dos penggalak, dos ketiga dibangunkan-Khairy

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENTERI Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan berkenaan pelaksanaan pemberian dos ketiga dan juga dos penggalak.

    Jelas beliau, perkara tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang akan datang.

    “Di sini saya ingin maklumkan bahawa ada perbezaan antara dos ketiga dengan dos penggalak,” katanya dalam sidang akhbar di kementeriannya, Putrajaya, hari ini.

  • Bekalan vaksin mencukupi bagi program dos ketiga, PICK remaja

    Bekalan vaksin mencukupi bagi program dos ketiga, PICK remaja

    BEKALAN vaksin COVID-19 bagi program pemberian dos ketiga (dos penggalak) dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) adalah mencukupi, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    “Dari segi bekalan insya-Allah cukup,” katanya dalam sidang media sempena pelancaran PICK Remaja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8, di sini hari ini.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19, selepas liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80 peratus.

    Suntikan ketiga itu memberi keutamaan kepada kumpulan berisiko tinggi meliputi anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga emas dengan komorbiditi, serta individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

    Khairy berkata perincian mengenai program dos ketiga akan diumumkan dalam tempoh ‘seminggu dua lagi’.

    Ditanya keperluan pemberian dos penggalak bagi vaksin dos tunggal jenis CanSino, Khairy berkata CanSino telah mengemukakan permohonan kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), dengan menyatakan kemungkinan keperluan untuk dos kedua selepas enam bulan individu menerima suntikan.

    Khairy berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau data dari negara lain yang menggunakan vaksin CanSino untuk mendapatkan maklumat lanjutan, sama ada dos penggalak diperlukan selepas enam bulan.

    Beliau juga berkata tiada masalah dari segi perolehan vaksin jenis CanSino dan Sinovac untuk dos penggalak, kerana kilang pembotolan berpangkalan di Malaysia.

    Mengenai perancangan pemberian suntikan vaksin kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, Khairy berkata beberapa syarikat telah menghantar maklumat ujian klinikal bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun, namun belum ada vaksin yang diluluskan NPRA untuk mereka di bawah 12 tahun.

    Beliau berkata KKM telah berbincang dengan Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin mengenai cara-cara pembukaan tadika dan sekolah rendah, dengan memastikan persekitaran yang selamat.

    Beliau berkata strateginya adalah memastikan semua petugas di tadika dan sekolah rendah termasuk guru, pengendali dan pekerja, lengkap vaksinasi.

    “Itu cara terbaik yang boleh kita lakukan sekarang dengan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dikuatkuasakan Kementerian Pendidikan, sehingga mendapat kelulusan penggunaan vaksin untuk kanak-kanak berumur bawah 12 tahun,” katanya.

    Turut hadir pada pelancaran PICK Remaja itu ialah Radzi dan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang juga penyelaras PICK Remaja.- BERNAMA

  • WHO gesa tangguh beri dos penggalak sehingga hujung tahun

    WHO gesa tangguh beri dos penggalak sehingga hujung tahun

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa negara-negara kaya yang mempunyai bekalan vaksin Covid-19 berlebihan agar tidak menawarkan dos penggalak atau suntikan dos ketiga sehingga akhir tahun ini, mengulangi gesaan yang diabaikan kebanyakan negara.

    Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus ketika ditemui di Geneva berkata, beliau terkejut dengan kenyataan persatuan pengeluar farmasi terkemuka yang mendakwa bekalan vaksin cukup banyak untuk pemberian dos penggalak sedangkan masih ada negara mengalami kekurangan bekalan vaksin dan amat memerlukannya.

    Menurutnya, ketika 70 peratus negara berpendapatan tinggi telah mencapai kadar vaksinasi 40 peratus penduduknya, tiada satu pun negara berpendapatan rendah telah mencapai sebarang sasaran.

    Malah katanya, hampir 90 peratus negara berpendapatan tinggi kini telah mencapai sasaran 10 peratus dan lebih 70 peratus telah mencapai sasaran 40 peratus.

    “Kami telah mendengar alasan daripada pengeluar dan beberapa negara berpendapatan tinggi mengenai bagaimana negara berpendapatan rendah tidak mendapat vaksin.

    “Hampir setiap negara berpendapatan rendah sudah mendaftarkan vaksin yang mereka miliki, dan mereka memiliki pengalaman luas dalam kempen vaksinasi berskala besar untuk polio, campak, meningitis, demam kuning dan banyak lagi.

    “Namun oleh kerana pengeluar telah mengutamakan atau diwajibkan secara undang-undang untuk memenuhi perjanjian dua hala dengan negara-negara kaya yang bersedia membayar harga tinggi, negara-negara berpendapatan rendah telah kehilangan cara untuk melindungi rakyatnya,” kata Dr Tedros.

    Dr Tedros sebelum ini pernah meminta moratorium terhadap dos ketiga vaksin Covid-19 sehingga akhir bulan September.

    Bagaimanapun Amerika Syarikat dan beberapa negara lain telah mengumumkan pelan menawarkan dos ketiga terhadap populasi yang mempunyai masalah imunisasi.

  • Dos penggalak tidak bantu kawal varian Delta

    PEMBERIAN dos penggalak (booster dose)  kepada mereka yang lengkap divaksinkan tidak akan membantu mengawal penularan varian Delta.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, yang dapat mengawal penularan varian Delta adalah dengan memberi vaksin kepada mereka yang belum divaksin.

    “Kita mesti meningkatkan liputan vaksin dalam negara terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan dos penggalak.

    “Tiada sesiapa yang selamat sehingga semua orang selamat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.

    Dr Noor Hisham sebelum ini mendedahkan, varian Delta boleh membiak di dalam hidung individu yang sudah mendapat suntikan vaksin.

    Ujarnya, keadaan itu disifatkan sama seperti individu yang belum divaksin.

    Menurutnya, kajian awal terhadap satu kes jangkitan mendapati, varian Delta itu membiak di hidung orang yang sudah divaksin seolah-olah individu berkenaan belum mendapatkan vaksin.

    “Virus yang ‘tumbuh’ itu sama penularannya kepada orang yang tidak divaksin. Ini bermaksud individu yang sudah divaksin tetap dapat menyebarkan virus berkenaan serta menjangkiti orang lain,” katanya.