JABATAN Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memulakan pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer bermula hari ini di seluruh negeri, kata Timbalan Pengarahnya, Dr. Rosemawai Ariffin.

Menurut beliau, pemberian itu dilakukan menerusi proses janji temu kepada golongan yang layak.

“Suntikan dos ketiga akan diberikan kepada 11,900 individu disasarkan daripada golongan ‘immunocompromised’ atau mempunyai sistem imun (ketahanan badan) yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan.

“Pemberian dos ketiga ini boleh diberikan selang tempoh sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos kedua.

“Dos ketiga vaksin Covid-19 adalah didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut (primary vaccine series),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, dos ketiga berfungsi untuk memberi perlindungan tambahan kepada golongan rentan yang mana sistem imun bermasalah menjadikan dua dos sahaja tidak mencukupi untuk merangsang sistem imun melawan jangkitan Covid-19.

Sementara dos penggalak pula katanya, suntikan boleh diberikan hanya selepas enam bulan menerima dos kedua dan akan mengutamakan pemberian kepada warga emas berusia lebih 60 tahun seramai 80,300 serta petugas barisan hadapan perubatan seramai 30,340 orang.

“Dos penggalak vaksin Covid-19 merupakan dos pemberian vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun yang cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut (Primary Vaccine Series) tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa.

“Primary Vaccine Series didefinisikan sebagai rangkaian dos vaksin yang diberikan secara berturut-turut untuk mencapai tindak balas awal imun perlindungan dalam kalangan populasi sasaran untuk tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here