Tag: didenda

  • Didenda, penalti lebih RM2.4 juta gagal kemuka penyata pendapatan

    Didenda, penalti lebih RM2.4 juta gagal kemuka penyata pendapatan

    SEORANG pengarah syarikat kitar semula didenda RM18,000 selain dikenakan penalti RM2,437,433 oleh Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas kegagalan mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2021 sehingga 2022, membabitkan cukai pendapatan bernilai lebih RM3.3 juta.

    Majistret Nurzihan Abdul Rehman menjatuhkan hukuman itu terhadap Wong Siew Lian, 49, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan wanita itu dipenjara 12 bulan, jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan, Siew Lian dikehendaki bawah Seksyen 77A (1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan suatu penyata pendapatan dalam borang C bagi tahun taksiran 2021 hingga 2022 mengenai pendapatan berkenaan kepada Ketua Pengarah Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

    Siew Lian didapati gagal mengemukakan penyata tersebut yang mempunyai pendapatan bercukai sebanyak RM1,827,149 juta bagi cukai taksiran 2021 dan RM1,558,176 juta bagi 2022, iaitu dia sepatutnya membayar cukai sebanyak RM438,515.76 bagi 2021 dan RM373,962.24 (2022).

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 112(1A) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya dan hendaklah membayar penalti khas tiga kali ganda amaun cukai yang sepatutnya dikenakan, jika didapati bersalah.

    Terdahulu, ibu kepada lima anak itu yang tidak diwakili peguam, merayu denda yang minimum kerana masih menanggung anak yang masih bersekolah, ibu dan ibu mentua yang uzur selain telah membayar cukai pendapatan sebanyak RM60,000 (2021) dan RM60,000 (2022).

    Bagaimanapun, pendakwaan yang diwakili Peguam Kanan Hasil LHDN Norhidayah Yasin memohon hukuman setimpal dikenakan ke atas Siew Lian kerana jumlah cukai yang dibayar Siew Lian iaitu sebanyak RM60,000 (2021) serta RM60,000 (2022) adalah kecil berbanding nilai sepatutnya dibayar sebanyak RM812,478.

    Nurzihan kemudiannya memerintahkan Siew Lian membayar denda sebanyak RM18,000 selain membayar penalti RM2,437,433 kepada LHDN secara ansuran bermula tarikh perintah hari ini (5 Julai 2023).

  • Pemandu lori didenda RM10,000 pindah kambing tanpa kebenaran

    Pemandu lori didenda RM10,000 pindah kambing tanpa kebenaran

    MAHKAMAH Majistret Setiu hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM10,000 terhadap seorang pemandu lori selepas mengaku bersalah memindah 62 ekor kambing bernilai RM28,470 tanpa kebenaran.

    Memetik laporan Harian Metro, Majistret Ainis Abu Hassan Shaari membuat keputusan itu selepas tertuduh, Abli Abdullah, 46, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

    Selain itu, tertuduh turut berdepan hukuman penjara 20 bulan sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

    Mahkamah turut memerintahkan 62 ekor kambing itu dilucutkan hak dan wang hasil jualan ternakan menjadi hasil kerajaan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memindahkan 62 ekor kambing dengan menggunakan lori tanpa kebenaran bertulis yang sah daripada Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu atau mana-mana pihak berkuasa veterinar yang diberi kuasa olehnya.

    Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan Kota Bharu, Kuala Terengganu, Setiu pukul 11.15 malam pada 13 Oktober 2022.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Perenggan i (b).

    Perintah Menteri Besar bagi Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang mana diwartakan di bawah Subseksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Pengusaha stesen minyak didenda RM40,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

    Pengusaha stesen minyak didenda RM40,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

    MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menjatuhi hukuman denda RM40,000 terhadap seorang pengusaha stesen minyak selepas menjual petrol bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

    Tertuduh, Phan Chib Chan, 59, dijatuhi hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membenarkan pengisian petrol RON95 kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing pada empat tahun lalu.

    Ia juga adalah kes pertama seumpamanya membabitkan pemilik stesen minyak yang didakwa atas kesalahan terbabit.

    Memetik laporan Astro AWANI, Phan mengaku bersalah atas kesalahan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

    Mengikut fakta kes, Chib Chan didakwa melakukan kesalahan itu di stesen minyak miliknya yang terletak Jalan Tun Abdul Razak, Susur 4 Johor Bahru pada 13 Mei 2019, lebih kurang jam 10.40 pagi.

    Dia didakwa membenarkan pengisian petrol bersubsidi RON95 ke atas kereta jenis BMW bernombor pendaftaran Singapura, sebanyak 54 liter bernilai RM113.30.

    Perbuatan itu melanggar peraturan 12A Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, suatu kesalahan di bawah Peraturan 21(1) peraturan sama.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Muhamad Sabiq Muhamad Subri dan Raja Nor Iklas Raja Ariff.

    Dalam penghujahannya, Raja Nor Iklas memaklumkan Orang Kena Saman (OKS) telah dua kali dikenakan kompaun sebelum ini atas kesalahan sama.

    Tertuduh diwakili peguam, Lim Chon Sin.

  • Pengusaha tempe mengaku Imam Mahdi didenda RM4,500

    Pengusaha tempe mengaku Imam Mahdi didenda RM4,500

    SEORANG pengusaha tempe didenda RM4,500 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Seremban hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menghina agama Islam dengan cara mengaku sebagai Imam Mahdi tahun lalu.

    Memetik laporan Sinar Harian, Hakim Kamal Bashah Ahmad Tajuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Habib Shah Firdaus Habib Ahmad, 60, selepas mengambil kira hujahan mitigasi dan pemberatan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan.

    Beliau turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayar denda terbabit, namun tertuduh menjelaskan denda itu.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh telah disifatkan menghina agama Islam dengan cara membuat pengakuan sebagai Imam Mahdi sedangkan pengakuan tersebut adalah palsu.

    Kesalahan itu dilakukan antara Januari hingga Mac 2022 di markas tarekat Naqsyabandiyyah Al-Khalidiyyah Jalan Labu Batu 8, Kampung Jawa di Seremban.

    Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 50 ( i ) Enakmen Jenayah Syariah ( Negeri Sembilan ) 1992, sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

    Peguam Ahmad Shaher Mohd Fuad, memohon anak guamnya agar hanya hukuman denda dikenakan dan tiada penjara kerana dia sudah berusia selain perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta dua anak.

    Menurutnya, anak pertama tertuduh sedang menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) manakala seorang lagi adalah orang kurang upaya (OKU).

    “Selain itu tertuduh turut mempunyai masalah kesihatan darah tinggi dan berdasarkan pengakuannya, tertuduh sudah bertaubat dan mengaku menyesal atas perbuatan dilakukan.

    “Antara tanda-tanda yang menunjukkan dia telah bertaubat apabila markas tarekatnya di Labu telah pun dijual dan dari tarikh tangkapan sehingga kini, tiada kelas pengajaran dibuat kepada orang ramai dan pengikutnya,” katanya.

    Pada prosiding itu, Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Rohaizad Redzuan berkata, umur tidak memainkan peranan penting dalam menentukan jenis kesalahan dilakukan kerana apa dilakukan adalah kesalahan serius.

    Ujarnya, tertuduh juga adalah pengamal tarekat yang diberi amanah oleh Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan untuk menjalankan aktiviti tarekat yang tidak keluar daripada al-Quran dan Sunnah.

    Tambahnya, perbuatan menghina agama ada perkaitan dengan ajaran sesat yang menjurus kepada perbuatan jenayah akidah dan perlu dipandang serius.

    Syariah Negeri Sembilan 1992 selepas dia ditahan pukul 10 malam pada Khamis di rumah sewanya di Kampung Desa Mukmin Warisan, di Gombak.

    Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah memburu Habib Shah Firdaus yang menghilangkan diri selepas pusat pengamalan tarekatnya yang beroperasi di Kampung Jawa, Labu diarahkan tutup.

    Penutupan itu dibuat susulan jabatan berkenaan menerima aduan tarekat terbabit melakukan perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak.

    Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, Habib Shah Firdaus dikatakan telah menyeleweng daripada hukum syarak apabila mempercayai akan berlaku kemunculan imam Mahdi pada hari Arafah.

    Beliau berkata, berdasarkan maklumat dipercayai separuh daripada 300 pengikut Habib Shah Firdaus yang berada di Arab Saudi sejak Mac lalu sudah pulang ke Malaysia selepas mendapati tiada apa-apa berlaku pada hari Arafah.

  • Bekas pegawai polis didenda RM7,000 akibat suapan RM500

    Bekas pegawai polis didenda RM7,000 akibat suapan RM500

    Oleh BADLISHAH MAT

    BEKAS pegawai polis berpangkat inspektor didenda RM7,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar akibat menerima suapan wang tunai RM500, lapan tahun lalu.

    Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohamad Hilmi Abd. Hamid, 39, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan terhadapnya.

    Tertuduh turut diperintahkan menjalani hukuman penjara selama sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda dikenakan.

    Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan, dia sebagai iInspektor polis ketika kejadian didakwa menerima wang tunai RM500 daripada seorang lelaki berusia 39 tahun dengan tiada balasan, namun mengetahui ia sebagai dorongan berhubung tugas rasminya.

    Kesalahan dilakukan di dalam sebuah kereta jenis Honda Civic berhadapan sebuah kedai makan di Kampung Ceruk Bemban di Kupang, Baling kira-kira 3.45 petang, 17 April 2015.

    Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fauzee Azizan sementara tertuduh diwakili peguam, S. Parameswaran.

    Parameswaran dalam rayuannya memohon hukuman denda kerana tertuduh perlu menyara isteri yang tidak bekerja serta dua anak berusia 10 dan 13 tahun.

    Katanya, tertuduh telah diberhentikan kerja sejak November 2017 dan kini merupakan pencari nafkah tunggal di sebuah syarikat swasta di Pulau Pinang.

    “Selain itu, kita memohon mahkamah mengambil kira pengakuan salah tertuduh dengan jumlah wang yang terlibat iaitu RM500,” katanya.

    Mohamad Fauzee bagaimanapun memohon hukuman setimpal kerana perbuatan rasuah adalah satu kesalahan serius.

  • Mabuk dan buat kacau, pelakon wanita didenda RM20

    Mabuk dan buat kacau, pelakon wanita didenda RM20

    SEORANG pelakon wanita dan bekas model didenda RM20 oleh Mahkamah Majistret Kota Kinabalu hari ini selepas mabuk dan membuat kacau di sebuah restoran, 5 Januari lalu.

    Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Persana Avril Sollunda, 40, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

    Lapor Berita Harian, mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sehari sekiranya gagal membayar denda itu bagaimanapun tertuduh membayar denda berkenaan.

    Wanita tempatan itu melakukan kesalahan berkenaan di sebuah restoran di Damai Plaza Luyang di sini pada pukul 11 malam, 5 Januari lalu mengikut Seksyen 510 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara hingga 10 hari atau didenda tidak melebihi dua puluh ringgit atau kedua-duanya sekali sekiranya sabit kesalahan.

    Mengikut fakta kes, tertuduh dilihat mabuk, gagal mengawal diri, berkelakuan tidak senonoh serta mengganggu pelanggan lain.

    Pasukan polis yang tiba di lokasi segera menahan tertuduh yang ketika itu dipegang beberapa pekerja restoran bagi mengelakkan tertuduh membuat kacau di restoran berkenaan.

    Tertuduh kemudiannya direman selama lima hari untuk siasatan dan hasil semakan lanjut mendapati tertuduh mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

    Tertuduh juga tersenarai sebagai orang dikehendaki di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur bagi kesalahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 yang dilakukan pada 2016.

    Sebelum ini, tertuduh pernah ditularkan di media sosial pada 23 April 2015 kerana berkelakuan lucah di Petaling Street Kuala Lumpur.

    Selepas dituduh mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan bagi kesalahan tersebut, Majistret Nur Aminahtul Mardhiah mengenakan Bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM4,000 bagi tertuduh.

  • Warga Indonesia miliki kad pengenalan orang lain dipenjara, didenda

    Warga Indonesia miliki kad pengenalan orang lain dipenjara, didenda

    SEORANG lelaki Indonesia dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Tawau hari ini, selepas didakwa memiliki kad pengenalan yang bukan kepunyaannya sejak sembilan tahun lalu.

    Tertuduh Arbain Jajji, 50, yang juga pendatang asing tanpa izin (PATI) mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori itu didakwa tanpa sebab yang munasabah memiliki dokumen pengenalan diri bukan kepunyaannya iaitu milik seorang individu lelaki berusia 42 tahun.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara maksima tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohd. Naser Nadzeri dalam hujahnya memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira kesalahan yang dilakukan adalah serius.

    Jelasnya, tertuduh memiliki kad pengenalan terbabit sejak 2013 lagi sekali gus menafikan hak-hak yang sepatutnya diperolehi pemilik sebenar yang merupakan warganegara Malaysia yang sah di sisi undang-undang.

    “Kesalahan tertuduh memberi implikasi negatif kepada pemilik sebenar sehingga terpaksa menjalani kehidupan yang sukar,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

    Bagaimanapun, peguam Mark Rosaidey Mohd. Amin yang mewakili tertuduh merayu kepada mahkamah agar hukuman ringan dikenakan dengan mengambil kira pengakuan bersalah anak guamnya yang menjimatkan kos dan masa mahkamah.

    “Tertuduh juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah serta memberikan kerjasama penuh dalam kes ini selain menjadi penanggung utama keluarga yang mempunyai tiga orang anak,” katanya.

    Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan bermula tarikh ditangkap iaitu pada 27 November lalu selain tertuduh akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk diusir pulang sebaik selesai menjalani hukuman.

    Tertuduh juga diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal menjelaskan denda.

  • Pemuda didenda RM4,000 jadi keldai akaun

    Pemuda didenda RM4,000 jadi keldai akaun

    MAHKAMAH Majistret Melaka hari ini menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap seorang pemuda atas kesalahan menyembunyikan wang berjumlah RM10,000 milik orang lain, tiga tahun lalu.

    Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Halimee Azman, 35, mengaku bersalah terhadap pertuduhan, lapor Harian Metro.

    Abdul Halimee dituduh menolong menyembunyikan RM10,000 iaitu wang hasil penipuan Macau Scam yang dimasukkan penama, Rosidah Manah @Manap, 56, ke akaun CIMB Bank miliknya dengan mempercayai bahawa ia bukanlah hak tertuduh.

    Kesalahan dilakukan di CIMB Ayer Keroh pada 12 September 2019 antara 12.54 hingga 12.59 tengah hari, dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fikri Hakim Zamri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mengikut fakta kes, seorang Pembantu Tadbir Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Melaka, membuat laporan polis mendakwa ditipu sindiket Macau Scam, selepas menerima panggilan ‘Pos Laju’ yang memaklumkan dia mempunyai bungkusan kad pengenalan dan kad kredit yang dihantar ke Kuching, Sarawak.

    Seorang lelaki memperkenalkan diri Inspektor Ting meminta mangsa mengikut segala arahan jika tidak mahu ditangkap dan mangsa membuat bayaran keseluruhan RM80,000 ke empat akaun bank berasingan.

    Dalam siasatan, pegawai CIMB Bank turut mengesahkan terdapat kemasukan wang milik mangsa ke akaun tertuduh.

  • Bantu ‘along’ tampal, edar poster, 2 lelaki didenda RM3,500

    Bantu ‘along’ tampal, edar poster, 2 lelaki didenda RM3,500

    MAHKAMAH Majistret Seremban hari ini menjatuhi hukuman denda sebanyak RM3,500 ke atas dua lelaki yang mengaku salah menampal poster dan mengedar risalah syarikat pinjaman wang tanpa lesen, minggu lalu.

    Tertuduh, Woon Wan Pau, 46 dan Tan Hai Liang, 37, pada masa sama diperintahkan Majistret, Mahyun Yusof menjalani hukuman penjara lapan bulan, jika gagal menjelaskan denda itu.

    Bagaimanapun kedua-duanya membayar denda terbabit.

    Mengikut fakta kes, Wan Pau dan Hai Liang didakwa membantu pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menjalankan kegiatan mengedar risalah dan menampal poster berkaitan pinjaman kewangan.

    Perbuatan itu dipercayai dilakukan di kawasan Bandar Sri Sendayan kira-kir pukul 3.30 petang, 7 September lalu.

    Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Polis Negeri Sembilan pada minggu lalu menahan lima lelaki warga tempatan dipercayai terbabit dalam kegiatan memberi pinjaman wang tanpa lesen (along) di negeri ini dalam tiga serbuan berasingan.

    Dua tertuduh yang didakwa antara suspek yang ditahan selepas dikesan mempromosikan pinjaman wang tanpa lesen di Bandar Sri Sendayan.

  • Padah hina penguat kuasa miskin, 2 wanita Singapura didenda

    Padah hina penguat kuasa miskin, 2 wanita Singapura didenda

    TINDAKAN biadab dua wanita Singapura menghina seorang anggota penguatkuasa republik itu dengan komen kasar mengundang padah apabila kedua-duanya didenda SGD$3,000 (RM9,262) oleh sebuah mahkamah, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu, hari ini.

    Beritamediacorp melaporkan, antara kata-kata penghinaan yang dilontarkan dua wanita berusia 50 tahun itu kepada pegawai Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) termasuk:”bercakap baik-baik dengan orang kaya” dan memanggil pegawai itu “perempuan gila”.

    Mahkamah diberitahu bahawa, Chee Kam Fah dan Koh Lee Yen merokok di luar pusat beli-belah Lucky Plaza di Orchard Road pada pagi 21 September tahun lalu.

    Mereka yang melakukan kesalahan kerana menyalakan rokok di luar kawaan yang ditetapkan kemudiannya dihampiri Asyikah Suri Kamsari, seorang pegawai polis tambahan yang dikerahkan NEA sebagai pegawai penguat kuasa.

    Asyikah ketika kejadian sedang menjalankan tugasnya bersama seorang rakan sekerjanya.

    Kedua-dua pegawai itu kemudian meminta butiran Kam Fah dan Lee Yen untuk mengeluarkan saman.

    Namun ketika Asyikah memasukkan butiran Kam Fah ke dalam terminal elektronik yang dipegangnya, wanita itu berkata dengan marah: “Gaji kau berapa? 1,000 sahaja sebulan, aku rasa.”

    Dia juga berkata: “Cakap baik-baik dengan orang kaya, kau budak miskin”, “Aku bilang kau, kau jalan hati-hati, kau jatuh… jangan langgar kereta” dan “Apa susah, bayar aje, aku ada duit (kata kesat)”.

    Lee Yen yang kemudian turut serta berkata: “Kau diam dan minta IC” serta “Kau selamanya miskin, kau tahu ke tidak?”

    Dia juga menuduh Asyikah “gadis gila” yang gajinya juga tidak cukup untuk membeli bantal untuk menangis. Dia turut menghina ibu bapa pegawai berkenaan dalam bahasa Kantonis.

    Kam Fah kemudian mengeluarkan sekeping nota SGD$1,000 (RM3,087) dan menayangkannya di hadapan muka pegawai itu sambil berkata beliau patut diam sahaja dan mengambil wang tersebut.

    Tanpa disedari kedua-dua wanita itu, semua tindakan mereka dirakam menerusi kamera lekap tubuh Asyikah.

    Sementara itu, Pegawai Pendakwa Negara Nasri Haron meminta denda S$3,000 hingga S$4,000 bagi setiap wanita itu.

    Beliau memberitahu mahkamah, serangan lisan itu “meleret dan berakhir dengan penghinaan serta menjatuhkan maruah mangsa”, yang sekadar menjalankan tugasnya.

    Kedua-dua wanita berkenaan yang tidak diwakili peguam berkata dalam rayuan masing-masing bahawa mereka berada dalam keadaan tertekan ketika itu.

    Kam Fah melalui seorang jurubahasa berkata, Asyikah “tiba-tiba berjalan ke arah saya jadi pada ketika itu, saya tidak tidak tentu arah”.

    Katanya, dia seorang ahli perniagaan dan amat tertekan akibat pandemik Covid-19.

    Apabila Hakim Daerah Asbendar Kaur bertanya Lee Yen mengapa kawannya melayangkan nota SGD$1,000, wanita itu berkata mereka menyangka boleh membayar saman pada ketika itu juga.

    Dia mendakwa pernah ditangkap membuang puntung rokok sebelum ini dan membayar denda S$300.

    Dakwanya lagi ada dua lelaki lain yang merokok di luar kawasan yang dibenarkan tetapi Asyikah “melepaskan mereka begitu sahaja”.

    “Sebab itu saya menggunakan bahasa seperti ini. Saya juga tidak suka menggunakan bahasa begini.”

    Hakim memberitahu mereka bahawa isu tekanan bukannya alasan untuk mereka berkelakuan sedemikian.

    Kedua-duanya boleh didenda sehingga SGD$5,000 atau dipenjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.