SEBANYAK 9,015 kes keganasan rumah tangga direkodkan di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac 2020 hingga Ogos lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, PKP yang dikuatkuasakan bagi mengekang penularan jangkitan didapati memberi kesan mendalam terhadap ekonomi dan sosial lebih 32 juta rakyat.
Menurut beliau, ia susulan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden keganasan rumah tangga bagi 2020 ialah 5,260 kes berbanding 4,905 kes dalam tempoh hanya lapan bulan tahun ini.
“Jika dihitung insiden keganasan rumah tangga sepanjang PKP dilaksanakan, sebanyak 9,015 kes direkodkan,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
SERAMAI 16 menteri dijangka menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja berkaitan kementerian masing-masing pada persidangan Parlimen hari ini, setelah berakhirnya sesi perbahasan semalam yang berlangsung sejak 14 Sept lepas.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat, antara kementerian yang terlibat adalah Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Dalam pada itu, isu kajian semula gaji minimum, kes pelanggaran status makanan dan produk halal serta situasi pekerjaan belia ketika pandemik COVID-19 antara yang bakal dikupas semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.
Semasa sesi soal jawab lisan itu, Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) bertanyakan Menteri Sumber Manusia mengenai tahap pelunasan komitmen kerajaan serta perincian usaha dalam kajian semula gaji minimum.
Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) pula bertanyakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkenaan langkah mengatasi dan jumlah kes pelanggaran status makanan serta produk halal sama ada yang diimport atau keluaran dalam negara.
Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 adalah sidang Parlimen yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt.- BERNAMA
TENGKU Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) bertekad untuk ‘menghidupkan semula’ UMNO asal yang ditubuhkan pada 1946, selepas ia diharamkan pada 1988 ketika di bawah kepimpinan Presidennya ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli politik veteran yang pernah mengasaskan Parti Semangat 46 itu mendakwa, parti yang kononnya dikenali sebagai UMNO baharu tidak mempunyai visi pensejarahan dan tiada akar umbi di kampung-kampung mahu pun di bandar.
Menurut beliau, UMNO baharu bukanlah suatu pergerakan, jauh sekali sebuah parti politik malah ia hanya merupakan suatu badan yang dibebankan ke atas ahlinya.
“Saya tidak sekali-kali berhenti dan meninggalkan UMNO asal. Saya pernah bertanding jawatan Presiden pada 1987. Maka itu saya berhak mengaku diri saya sebagai wakil keperluan atau agent of necessity untuk UMNO yang ditubuh pada 1946 dan juga wakil terkanannya di Dewan Rakyat.
“Saya ini sebahagian asal daripada parti UMNO di Parlimen dengan tujuan mengembalikan hak undang-undang dan keperlembagaan UMNO dan membuat apa jua yang patut bagi mengembalikan kedudukannya di bidang politik nasional dan di dalam kepentingan nasional,” tegasnya.
Tengku Razaleigh berkata demikian ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau mendakwa, UMNO baharu menjadi parti kepada suatu golongan politik baharu yang menyalahgunakannya untuk memperkaya diri.
Tengku Razaleigh memberitahu, ia mula bersifat seolah-olah seperti perusahaan komersial dan sekali gus merosakkan jiwa keMelayuan.
“Perangai tamak haloba mengatasi segala-galanya. Di samping itu prinsip akhlak hancur berkecai; begitu juga halnya dengan mutu kelakuan mereka yang cuba meraih jawatan awam dan kuasa politik.
“Kehancuran ini amat terasa di bidang dasar ekonomi berkaitan dengan penswastaan ‘harta awam’, iaitu aset nasional untuk faedah rakyat jelata.
“Saya membuat imbasan kepada dasar ekonomi dan faktor kewangan yang menyebabkan kemerosotan UMNO 88 oleh kerana kemerosotan tersebut hanya dapat difahami sekiranya kita arif tentang dasar ekonomi dan faktor kewangan yang saya sebutkan tadi,” jelasnya.
Beliau juga sangat sedih apabila amalan politik berbaur menjadi rasuah politik di mana kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk mendapat kedudukan dalam parti.
“Ini dilaksanakan dengan pengwujudan sistem berat sebelah dan ganjaran kewangan berperingkat. Rasuah politik sebagai perbuatan haram dan membahayakan demokrasi berperlembagaan kita masih tidak mendapat pengiktirafan seperti terdapat di negara-negara lain.
“Kita harus menghapuskan musuh dalam selimut ini sekiranya kita benar-benar hendak mempertahankan sumpah berperlembagaan untuk ‘menyimpan, menjaga keselamatan dan mempertahan’ perlembagaan kita,” katanya.
Malaysia mengambil pendirian berhati-hati sebelum membuat keputusan mengiktiraf kerajaan pimpinan Taliban di Afghanistan.
Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan akan meneliti perkembangan semasa dengan mengambil kira pertimbangan tertentu,
Menurut beliau, antara faktor yang diambil kira adalah tahap penerimaan rakyat Afghanistan terhadap penguasaan kerajaan Taliban.
Saifuddin memberitahu, selain itu, kerajaan turut meneliti pendirian yang ditetapkan secara bersama melalui Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Selain itu, Malaysia juga percaya aspek keterangkuman amat penting bagi tujuan mencapai keamanan, namun kita dapati kerajaan sementara yang dibentuk Taliban masih tidak bersifat inklusif.
“Saya ingin jelaskan, sehingga kini masih tiada negara luar yang mengiktiraf kerajaan sementara Taliban, termasuk negara yang berjiran dengan Afghanistan.
“Seperti Malaysia, negara itu juga sedang meneliti perkembangan di sana,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) yang ingin tahu sama ada Malaysia akan mengiktiraf Afghanistan di bawah pemerintahan baharu Taliban.
Saifuddin menambah, sehingga kini hanya terdapat dua rakyat negara ini berada di Afghanistan yang sedang berkhidmat dengan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa.
“Mereka sudah melaporkan diri kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan berada dalam keadaan selamat.
“Mereka juga membuat keputusan untuk kekal berada di sana bagi meneruskan tugas dan pada masa sama, terus mengambil segala langkah bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.
TAHAP keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah pada tahap sederhana, menurut Kementerian Pendidikan (KPM).
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini kementerian itu memaklumkan bahawa dapatan itu diperoleh hasil Kajian Keberkesanan Pelaksanaan Home-based Learning yang dibuat secara dalam talian yang memberi tumpuan kepada PdPR semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Skop kajian meliputi aspek pelaksanaan PdPR dalam tempoh Mac hingga Julai tahun lepas merangkumi pendekatan, kaedah, strategi, aplikasi dan peralatan yang digunakan, selain penjadualan PdPR, penyusunan semula Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT) dan pentaksiran yang melibatkan 13,156 pentadbir sekolah; 39,967 guru; 52,413 murid; dan 59,624 ibu bapa/penjaga.
“Dapatan kajian menunjukkan penglibatan murid di bandar dalam PdPR secara dalam talian adalah 59.3 peratus berbanding 51.4 peratus murid di luar bandar. Bagi RPT pula 46.2 peratus guru di bandar mencapai sasaran pelaksanaan berbanding dengan 39.1 peratus guru di luar bandar.
“51.2 peratus murid berasa tertekan semasa pembelajaran di rumah… daripada kumpulan itu 48.9 peratus murid menyatakan tertekan kerana interaksi yang terhad dengan guru, manakala 55.0 peratus murid tertekan disebabkan interaksi terhad dengan rakan-rakan dan 53.4 peratus pula tertekan disebabkan kurang bimbingan dalam sesi pembelajaran,” katanya dalam jawapan yang disiarkan di laman web Parlimen Malaysia hari ini.
Jawapan oleh KPT itu merujuk kepada soalan Rubiah Wang (GPS-Kota Samarahan) yang meminta Menteri Kanan Pendidikan menyatakan pencapaian sistem PdPR sepanjang tempoh Pandemik COVID-19 dari segi penerimaan dan pencapaian pelajar, aduan guru dan maklum balas ibu bapa.
Menurut kementerian itu 56.6 peratus murid berjaya melibatkan diri secara aktif dalam sesi PdPR, manakala 66 peratus ibu bapa atau penjaga bersetuju kaedah PdPR berkesan untuk pembelajaran anak mereka.
Pada suku pertama tahun ini, KPM turut menjalankan Tinjauan Pelaksanaan PdPR melibatkan 500 sekolah melalui pemerhatian terhadap PdPR yang dilaksanakan dalam talian atau gabungan dalam dan luar talian.
Sebanyak 1,053 pemerhatian terhdap Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru melalui kehadiran Nazir Sekolah dalam kelas PdPR mendapati 97.4 peratus berjaya membimbing murid memahami isi, konsep dan fakta yang diajar.- BERNAMA
KETIKA membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini, Tun Dr Mahathir Mohamad membangkitkan tentang soal lantikan bertaraf menteri dalam kerajaan.
Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa kononnya tindakan itu adalah ‘sogokan’ terhadap mereka yang menyokong kerajaan justeru beliau mempersoalkan pelantikan mereka.
Katanya, amalan yang dilihat berlaku dalam kerajaan itu tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Pada masa yang sama, Dr Mahathir mengakui, semasa menjadi Perdana Menteri dahulu, beliau pernah melakukan perkara yang serupa.
Namun, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu cuba mewajarkan tindakannya dahulu dengan memberi alasan bahawa jawatan itu diberikan kepada seorang tokoh yang sudah bersara dari politik.
Dr Mahathir juga memberi alasan bahawa khidmat tokoh terbabit diperlukan kerana beliau memiliki kepakaran dalam bidang-bidang tertentu.
Jika dikaji secara mendalam, rasional yang sama turut diguna pakai oleh pentadbiran Perdana Menteri selain Dr Mahathir.
Semua tokoh-tokoh yang dilantik sebagai duta khas atau penasihat bertaraf menteri mempunyai kepakaran dan pengalaman yang luas bagi membantu melancarkan urusan kerajaan dalam perkara-perkara tertentu.
Contohnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dalam usaha memerangi COVID-19 dan menangani kesannya.
Pencapaian beliau bukan sahaja diiktiraf di dalam negara malah turut diakui di peringkat antarabangsa khususnya dari segi kecekapan pelakaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Maka, tidak hairanlah apabila beliau dilantik mempengerusikan Majlis Pemulihan Negara (MPN) di bawah pentadbiran Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaacob.
Lagipun, Muhyiddin secara sukarela berkhidmat tanpa mengharapkan sebarang imbuhan daripada kerajaan kerana niatnya ikhlas mahu membantu usaha memulihkan negara daripada kesan pandemik.
Begitu juga dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dilantik sebaga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri.
Presiden PAS itu merupakan tokoh ulama yang mempunyai hubungan baik dengan pemimpin-pemimpin Islam di Asia Barat dan pernah memegang jawatan Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia.
Malah, bekas Menteri Besar Terengganu itu disenaraikan sebagai antara 500 muslim berpengaruh di dunia bagi kategori pendakwah dan pembimbing rohani oleh The Royal Islamic Strategic Studies yang berpusat di Jordan.
Sudah tentu beliau mempunyai kepakaran, pengaruh dan pengalaman yang diperlukan bagi membantu kerajaan dalam isu-isu berkaitan negara-negara Islam di Asia Barat.
Begitu juga dengan Duta Khas Perdana Menteri ke China, Datuk Seri Tiong King Sing dan Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Timur, Datuk Seri Richard Riot.
Kritikan Dr Mahathir terhadap lantikan bertaraf menteri oleh kerajaan hanya menyerlahkan sikap dwistandard beliau.
Perkara itu tidak salah semasa beliau menjadi Perdana Menteri dahulu, tetapi bila orang lain lakukan langkah yang sama, Dr Mahathir kritik pula.
Mungkin Dr Mahathir terlupa tentang slogan ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ yang dilancarkan beliau sendiri pada 19 Mac 1983 dahulu.
Jika zaman Tun dulu boleh buat, mengapa pula Perdana Menteri yang lain tak boleh?
TUN Dr Mahathir Mohamad (Pejuang-Langkawi) berpandangan bahawa tindakan parti-parti politik bergabung untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) tidak sepatutnya disamakan dengan melompat parti.
Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, kajian secara mendalam perlu dilakukan sebelum Akta Antilompat Parti digubal.
Menurut beliau, undang-undang tersebut tidak seharusnya digubal semata-mata untuk mengambil tindakan terhadap wakil rakyat yang lompat parti.
“Kita perlu mengadakan undang-undang yang melarang lompat-lompat. Namun demikian ia tidaklah semudah itu dengan hanya mengharamkan acara lompat-melompat.
“Kerana adakalanya apabila diadakan pilihan raya, tidak ada satu pun parti yang memperolehi cukup bilangan untuk mendirikan kerajaan.
“Perbuatan cantuman antara parti lain dengan parti yang terbesar tidaklah sesuatu yang boleh ditafsir sebagai melompat kalau ianya dilakukan dengan cara yang tersusun mengikut peraturan-peraturan yang di bawah perlembagaan parti-parti berkenaan.
“Sebab itu kita tidak boleh semata-mata mengharamkan lompat-melompat.
“Sebaliknya perlu menjelaskan waktu mana kita mentafsirkan sesuatu itu sebagai melompat dan tidak dengan sewenang-wenangnya menuduh bahawa lompatan telah dilakukan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beberapa ahli Parlimen dari Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini membangkitkan cadangan agar kerajaan menggubal undang-undang bagi mencegah perbuatan lompat parti.
Dr Mahathir menambah, tindakan mana-mana ahli Parlimen menyertai parti baharu selepas dipecat daripada partinya tidak boleh dilihat sebagai melompat parti.
“Kita dapati ada parti yang akan memecat ahli-ahlinya kerana sebab-sebab tertentu. Tetapi, ini bukanlah acara melompat dari satu parti ke parti yang lain.
“Sebab itu soal lompat-melompat antara parti ini perlu dikaji lebih mendalam supaya ia membolehkan dewan ini bergerak dengan licin tanpa gangguan oleh perbuatan mana-mana pihak daripada ahli-ahli Dewan Rakyat ini,” jelasnya.
KERAJAAN mengesahkan tiada aktiviti pembalakan dijalankan di kawasan Jerai di mana fenomena kepala air berlaku baru-baru ini.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tiada pembalakan di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Ulu Muda di Kedah sejak tiga tahun lalu.
Menurut beliau, kawasan seluas 25,000 hektar diluluskan bagi tujuan usaha hasil pembalakan bagi tempoh 2014 hingga 2019, namun kawasan itu sebenarnya tidak diganggu dengan aktiviti pembalakan.
“Jerai ialah kawasan yang diisytiharkan sebagai kawasan Geopark Kebangsaan pada 2018, maka aktiviti pembalakan sememangnya tidak dijalankan di kawasan itu.
“Menyentuh kejadian kepala air itu, saya lihat pokok yang dibawa oleh kepala air turun sekali dengan akarnya dan ini menunjukkan tiada pembalakan di kawasan Jerai. Ini yang kita sebut takdir Allah,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Takiyuddin menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai usaha kerajaan membaik pulih laluan di Jerai yang rosak akibat kejadian kepala air.
Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai aktiviti pembalakan yang berterusan, Takiyuddin berkata, tiada pelanggaran terhadap catuan tebangan tahunan (CTT) hutan yang boleh diusaha hasil pernah direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 2019 dan 2020.
Beliau menambah, kawasan CTT seluas 39,354 hektar diluluskan tahun lalu namun hanya 22,931 hektar yang diusahakan.
“Pada 2019, seluas 43,299 hektar CTT diluluskan namun hanya 10, 949 hektar diusaha hasilkan,” jelasnya.
Takiyuddin memberitahu, ia menunjukkan kerajaan serius dalam memastikan keputusan dibuat dipatuhi oleh setiap negeri.
Beliau berkata, kementerian memandang serius isu pembalakan haram dan kesalahan hutan yang lain di dalam HSK dan sehingga 31 Ogos lalu, sebanyak 76 kes pembalakan haram di seluruh negara dikenakan tindakan.
Daripada jumlah itu, katanya, 29 kes pembalakan haram dikesan berlaku di Semenanjung, tiga kes di Sabah dan 44 kes di Sarawak.
“Selain pembalakan haram, sebanyak 274 kesalahan lain di HSK turut diambil tindakan di seluruh negara,” ujarnya.
KEMATIAN akibat COVID-19 telah menyebabkan seramai 4,422 kanak-kanak di negara ini kehilangan ibu bapa atau penjaga.
Daripada jumlah itu, seramai 154 kanak-kanak menjadi yatim piatu.
Seperti yang dijelaskan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun, jumlah mereka yang juga murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan KPM) direkodkan sejak pandemik COVID-19 melanda awal 2020 hingga 13 September lalu.
“Daripada jumlah itu, 154 menjadi yatim piatu kerana kehilangan kedua-dua ibu dan bapa.
“Sehubungan itu, pihak kementerian mengambil inisiatif memberi bantuan dan sokongan bagi menampung keperluan hidup mereka.
“Bantuan disalurkan melalui tabung bantuan segera dan bantuan kanak-kanak daripada RM150 hingga RM1,000 sekeluarga.
“Selain itu, kita juga memberikan perkhidmatan kaunseling membabitkan kaunseling individu, berkelompok dan terapi psikologi,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Hannah Yeoh (PH-Segambut) berhubung isu tersebut.
Rina menambah, kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat COVID-19 dan tiada waris atau saudara mara juga boleh ditempatkan di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.
SEBANYAK 86.7 peratus kekosongan guru sekolah di seluruh negara telah diisi melalui pengambilan seramai 18,702 guru secara one-off pada Jun lalu.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan (PPP) tersebut dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) selaku pihak berkuasa yang mengendalikan lantikan.
Menurut beliau, calon bagi mengisi kekosongan itu mengutamakan graduan yang mempunyai kelayakan iktisas pendidikan, sama ada dari universiti awam (UA) atau institut pengajian tinggi swasta (IPTS).
“Berdasarkan data sehingga semalam, ada 21,564 kekosongan guru di sekolah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara.
“Susulan pengambilan ‘one-off’ pada Jun lalu, ada baki 2,862 yang akan diisi menerusi proses lantikan biasa dan dilaksanakan secara berterusan oleh SPP,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai kriteria utama pemilihan guru seramai 18,000 orang dan keperluan sebenar kekosongan warga pendidik di seluruh negara.