PEMBANGUNAN Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), selari komitmen Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan isu berhubung tuntutan kedua-dua negeri itu berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menerusi rancangan lima tahun bermula 2021 hingga 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata ini termasuk keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik serta aspek pendigitalan dan keselamatan.
Ismail Sabri, ketika menyentuh fokus ketujuh RMK-12 iaitu usaha melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun berkata penyediaan infrastruktur asas akan diperluas dengan membina jambatan dan menaik taraf 1,400 kilometer (km) jalan berturap luar bandar serta menyiapkan pembinaan 1,150 km Lebuhraya Pan Borneo.
“Usaha mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar akan terus diberi tumpuan. Usaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak akan dipergiat.
“Ia bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak,” katanya.
Seperti diumumkan sebelum ini, Ismail Sabri berkata peruntukan berjumlah RM7.7 bilion iaitu RM3.61 bilion kepada Sabah dan RM4.09 bilion kepada Sarawak disediakan bagi pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sepanjang tempoh RMK-12, yang diyakini dapat meningkatkan liputan jalur lebar.
Menyentuh aspek penjagaan kesihatan, Ismail Sabri menjelaskan dalam RMK-12, perkhidmatan berkenaan akan dapat dipertingkat dengan siapnya Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah dan Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sarawak, selain pembinaan 26 klinik baharu di kedua-dua negeri itu.
“Selain itu, pembinaan rumah baharu dan pembaikan rumah daif di bawah program bantuan rumah akan memberi manfaat kepada 26,000 isi rumah miskin di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Bagi menjamin keselamatan dan meningkatkan hubungan ekonomi dengan Kalimantan, Indonesia, Perdana Menteri berkata pos kawalan sempadan yang baharu di Manalunan, Simanggaris dan Kalabakan, Sabah, akan dibina, manakala Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu dan Serikin, Sarawak akan dinaik taraf.
Selain itu, projek jalan dari sempadan Ba’kelalan/Kompleks Kastam, Immigresen dan Kuarantin (CIQ) menghala ke Lawas akan dimulakan pembinaan pada 2022, katanya.
Dalam usaha mentransformasi kawasan luar bandar, Perdana Menteri berkata aktiviti ekonomi yang mempunyai nilai tambah yang tinggi akan dirancakkan melalui platform e-dagang, pertanian pintar dan industri luar bandar, manakala infrastruktur luar bandar akan dipertingkat dengan membina dan menaik taraf 2,800 km jalan berturap. – BERNAMA
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini membentangkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) (2021-2025) bermatlamat mengembalikan semula momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang, ketika negara sedang mengharungi cabaran getir pandemik COVID-19.
Berobjektifkan ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, RMK-12 bukan hanya untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya membolehkan rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan pengagihan peluang dan hasil lebih saksama serta mengekalkan kelestarian alam sekitar.
Ismail Sabri, yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Kesembilan pada 21 Ogos, membentangkan perancangan lima tahun berkenaan di Dewan Rakyat, dengan kerajaan memperuntukkan RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMK-12.
Dipenuhi pelbagai inisiatif, RMK-12 berpaksikan sembilan fokus utama iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi; memperkukuh pemangkin pertumbuhan; meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia; memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam; membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.
Fokus lain adalah memperkasa agenda bumiputera dan Keluarga Malaysia; melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun; mempercepat pertumbuhan hijau; dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.
“Kita mahu memacu Keluarga Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan. Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada yang terpinggir daripada arus pembangunan. Kita mahu hidup bahagia bersama-sama, sebagai satu keluarga tanpa mengira tahap pendapatan, agama, bangsa dan kaum,” katanya.
Bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi yang menjadi fokus pertama RMK-12, Ismail Sabri berkata beberapa industri strategik dan berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik; perkhidmatan global; aeroangkasa; industri halal; kreatif; pelancongan; biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan manakala transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan diperkasa.
Beliau berkata kerajaan telah meluluskan beberapa program dan projek utama bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik, antaranya dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry atau Pusat Kecemerlangan Industri Masa Depan ; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju.
Perdana menteri yakin dalam tempoh RMK-12, Malaysia akan mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus, pembinaan 4.2 peratus, pelancongan 3.8 peratus manakala PMKS menyumbang 45 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada 2025.
Bagi merapatkan jurang digital antara luar bandar dan bandar, beliau berkata Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia yang memberi kemudahan kepada penduduk setempat terlibat dalam e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat.
Menyedari pembangunan bakat penting untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, Ismail Sabri berkata seluruh sistem pendidikan negara bakal ditambah baik serta isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan akan ditangani.
Penambahbaikan sistem pendidikan itu antara lain meliputi pengukuhan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM); penggantian sekolah daif; memperkasa program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan mewujudkan sistem pendidikan tinggi lebih fleksibel.
Bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mengkaji semula keberkesanan sistem kesihatan sedia ada selain merangka dasar kesihatan negara untuk meningkatkan kesiapsiagaan mengurus penyakit berjangkit serta krisis kesihatan.
Perdana menteri mengumumkan pembinaan Institut Penyakit Berjangkit Malaysia di Bandar Enstek, Negeri Sembilan tahun depan yang bertujuan mencegah penyakit, ketidakupayaan dan kematian disebabkan penyakit-penyakit berjangkit.
Beliau turut mengumumkan 500,000 unit rumah mampu milik akan dibina dalam RMK-12 selain menambah baik kemudahan pembiayaan termasuk Dana untuk Rumah Mampu Milik, Skim Perumahan Belia dan Program Rent-to-Own (RTO) atau sewa untuk dimiliki bagi meningkatkan peluang kumpulan B40 dan M40 memiliki kediaman.
Bagi membasmi kemiskinan tegar, bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial akan diteruskan kepada yang layak, di samping memperuntukkan RM1.5 bilion untuk Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat di luar bandar.
alam ucapan pembentangannya, Ismail Sabri dengan panjang lebar menyentuh tentang inisiatif memperkasa agenda bumiputera, Orang Asli dan anak negeri dengan hasrat kerajaan untuk mencapai pembangunan sosioekonomi lebih adil, saksama dan inklusif selaras dengan semangat Keluarga Malaysia.
Bagi menjayakan agenda bumiputera diberi keutamaan pada segenap peringkat dan aspek pembangunan, perdana menteri berkata Bahagian Kemakmuran Bumiputera dengan mandat dan fungsi lebih jelas akan diwujudkan semula bagi menambah baik tadbir urus pelaksanaan agenda bumiputera manakala pelan pembangunan sosioekonomi Orang Asli yang komprehensif sedang dirangka bagi memperkasa masyarakat itu.
Kaum Cina dan India yang berpendapatan rendah juga tidak diabaikan dengan menambah baik Skim Pinjaman Khas Penduduk Kampung Baru, meneruskan program infrastruktur asas dan ameniti sosial, serta menyediakan program peningkatan kemahiran dan bantuan kewangan bersasar serta peluang keusahawanan selaras Pelan Tindakan Masyarakat India.
Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) akan terus diperkasa dengan melaksanakan program seperti Job Coach, Pemulihan Dalam Komuniti, perkhidmatan Pusat Kehidupan Berdikari, program keusahawanan OKU dan karnival kerjaya khas.
Komited untuk menyelesaikan isu-isu Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Ismail Sabri berkata pembangunan Sabah dan Sarawak akan terus diberi keutamaan dalam RMK-12 meliputi keperluan infrastruktur asas, kawal selia gas dan elektrik, aspek pendigitalan dan keselamatan.
Perdana menteri berkata sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu bagi mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, wilayah serta bandar dan luar bandar.
Katanya usaha akan dipertingkat bagi memastikan akses kepada bekalan air bersih mencapai 98 peratus dan bekalan elektrik 99 peratus selain memperuntukan RM310 juta bagi Program Ameniti Sosial selain RM1.6 bilion untuk pembinaan Jalan Perhubungan Desa.
Dalam usaha mentransformasi sektor air negara, Ismail Sabri berkata Agenda Transformasi Sektor Air 2040 akan diperkenalkan dalam RMK-12 bagi meningkatkan kecekapan pengurusan, mengoptimumkan potensi serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
Bagi mempercepat pertumbuhan hijau, perdana menteri memberikan komitmen bahawa Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal-awalnya pada 2050.
Perdana menteri turut mengumumkan struktur dan fungsi kementerian serta agensi akan disusun semula bagi mewujudkan organisasi yang lebih mendatar dan mengurangkan kerenah birokrasi di samping akan mengkaji cadangan memperkenalkan Akta Perkhidmatan Awam.
Ismail Sabri memberi jaminan kerajaan akan memastikan pindaan perlembagaan yang membolehkan warganegara berumur 18 tahun dapat mengundi (Undi18) dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Saya sedar anak muda hari ini sentiasa ingin menyuarakan hasrat dan pandangan mereka untuk bersama-sama membangunkan negara melalui amalan demokrasi,” katanya.
Mengakhiri ucapan pembentangan usul RMK-12 selama sejam 45 minit, Ismail Sabri meminta semua pihak mengetepikan perbezaan, sebaliknya berganding bahu untuk membina Malaysia yang berdaya saing dan berdaya tahan serta kalis cabaran.
“Mari kita kumpulkan seluruh tenaga, kepakaran dan pengalaman yang ada di sebelah sini (kerajaan) dan di sebelah sana (pembangkang), untuk bersama-sama merealisasikan matlamat RMK-12. Kita mesti mendakap erat prinsip bekerja bersama rakyat, demi Keluarga Malaysia,” katanya. – BERNAMA
RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang merangkumi separuh pertama pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bakal membawa Keluarga Malaysia ke hadapan dengan menstruktur semula ekonomi negara sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelan pembangunan 2021-2025 dengan objektif ‘Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan’ bertujuan menangani isu semasa, memulih serta merancakkan semula pembangunan sosioekonomi negara untuk kemampanan dan kemakmuran jangka panjang.
“RMK-12 ialah agenda besar pemulihan negara dalam usaha kerajaan mengembalikan kestabilan ekonomi rakyat serta menjana semula dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara secara menyeluruh.
“Sungguhpun Malaysia berada dalam tempoh sukar pandemik COVID-19, kita, sebagai Keluarga Malaysia berpeluang menyusun semula ekonomi negara dan terus bersama mengorak langkah ke hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam prakata dokumen RMK-12 yang dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi, hari ini.
Ismail Sabri berkata RMK-12 adalah bukti komitmen kerajaan dalam meneraju dan menyusun langkah bagi mendepani apa jua situasi dan ia dirangka berdasarkan pendekatan dari bawah ke atas, dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.
Beliau berkata dalam penyediaan RMK-12, libat urus yang menyeluruh telah diadakan secara fizikal dan maya membabitkan kementerian, agensi, kerajaan negeri, Ahli-ahli Parlimen, sektor swasta, akademia, pertubuhan masyarakat sivil, organisasi antarabangsa dan orang awam.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang komited dalam mengemukakan input dan cadangan bagi memastikan pembangunan negara terus mampan, sekali gus melepasi kekalutan pandemik COVID-19 dan kegawatan ekonomi yang kita hadapi,” katanya.
Ismail Sabri berkata selaras dengan tema RMK-12, matlamat kerajaan menjelang 2025 antara lain adalah untuk mengembalikan kesejahteraan dan kemakmuran dengan meningkatkan kuasa beli rakyat, merapatkan jurang sosioekonomi dan memastikan kelestarian alam sekitar.
Selain itu, peranan sektor swasta akan dicergaskan semula sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menurut Perdana Menteri, terdapat pelbagai pendekatan baharu yang boleh dilaksanakan dalam RMK-12, namun semua pihak perlu mendakap erat prinsip kebersamaan, keluar daripada zon selesa dan mengorak langkah ke hadapan dengan yakin, berbekalkan hala tuju yang jelas.
Beliau berkata dalam keadaan dunia yang serba tidak menentu, semua pihak perlu menjayakan pelaksanaan RMK-12 dengan sentiasa melakukan penilaian berkala dan lebih fleksibel dalam bertindak balas, selari dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir dalam arus pembangunan.
Katanya pelaksanaan dan pencapaian objektif serta matlamat RMK-12 bergantung kepada komitmen semua pihak, terutama anak muda, justeru beliau mengajak mereka untuk bersama-sama menjayakan agenda pembangunan negara berlandaskan semangat Keluarga Malaysia.
RMK-12 yang dibentang oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini adalah bertunjangkan tiga tema iaitu menjana semula ekonomi, memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti serta melonjakkan kemampanan.
Pencapaian tema tersebut disokong empat pemangkin dasar iaitu membangunkan bakat masa hadapan, mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi, menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta memperkukuh perkhidmatan awam.
Dokumen itu mengandungi 13 bab antara lain menjana semula ekonomi; mengembalikan semula momentum pertumbuhan; melonjakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana; meningkatkan pertahanan, keselamatan, kesejahteraan dan perpaduan;
Menangani kemiskinan dan membangunkan masyarakat inklusif; mempertingkat keseimbangan dan keterangkuman wilayah; memperkukuh pembangunan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak; mempercepat pertumbuhan hijau untuk kemampanan dan daya tahan;
Mempertingkat kemampanan tenaga dan mentransformasi sektor air; membangunkan bakat masa hadapan; melonjakkan pendigitalan dan teknologi termaju; memperkukuh kecekapan infrastruktur pengakutan dan logistik; dan memperkukuh penyampaian perkhidmatan sektor awam.
Keutamaan pembangunan negara dalam RMK-12 akan terus dijajar kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di bawah Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan (Agenda 2030).
Selaras dengan prinsip “tiada sesiapa yang tertinggal”, inisiatif merakyatkan SDG akan dipergiat, serta komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) akan diberi penekanan bagi mempertingkat pemahaman dan pelaksanaan SDG pada peringkat akar umbi. – BERNAMA
RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang Dewan Rakyat hari ini mempunyai empat matlamat utama dan sembilan fokus utama dalam usaha merancakkan semula ekonomi negara pasca krisis COVID-19.
Seperti yang dijelaskan oleh beliau, matlamat-matlamat utama RMK-12 secara terperinci adalah seperti berikut:
Pertama: Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025;
Kedua: Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira 10 ribu ringgit sebulan pada tahun 2025;
Ketiga: Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025; dan
Keempat: Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.
Ismail Sabri turut memberi pencerahan kepada sembilan fokus utama RMK-12 seperti berikut:
RANCANGAN Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan matlamat ‘Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif, Mampan’, akan membolehkan semua rakyat menikmati taraf hidup yang lebih baik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua strategi dan inisiatifnya juga, sejajar dengan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, yang dipersetujui oleh semua ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015.
Menurut beliau, kerajaan mahu memacu Malaysia ke arah negara maju dan berpendapatan tinggi serta kalis cabaran pada masa hadapan.
“Namun, pencapaian ini tidak bermakna, jika masih ada Keluarga Malaysia yang terpinggir daripada arus pembangunan.
“Kita mahu hidup bahagia bersama-sama, sebagai satu keluarga tanpa mengira tahap pendapatan, agama, bangsa dan kaum.
“Dalam melaksanakan pembangunan, kelestarian alam perlu menjadi agenda utama negara, kerana ia akan diwarisi oleh generasi masa hadapan,” katanya ketika membentangkan RMK-12 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail Sabri menambah, RMK-12 merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.
Beliau memberitahu, bagi tujuan itu, tiga Tema dan empat Pemangkin Dasar serta 14 Pemacu Perubahan diperkenalkan dalam RMKe-12.
“Kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara, atau whole-of-nation approach yang melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan,” jelasnya.
Ismail Sabri berkata, tujuan pembaharuan tersebut bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata, sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.
Menurut beliau, di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Insya-Allah, dengan terlaksananya pembaharuan ini, pada tahun 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik.
“Kita juga berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi,” ujarnya.
MALAYSIA sedang dalam usaha membangunkan pusat penyelidikan vaksin khusus untuk COVID-19 dan mengumpul pakar bersasar bagi langkah kesiapsiagaan menghadapi penyakit berjangkit lain.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sebagai contoh, vaksin untuk kolera sudah memasuki fasa ujian klinikal.
“Jika Malaysia mampu menghasilkan vaksin sendiri, ia sekali gus dapat menyelesaikan pelbagai kemelut berkaitan program vaksinasi sekarang termasuklah isu kekurangan bekalan, kos harga vaksin yang meningkat dan jadual penghantaran yang tidak menentu disebabkan kebergantungan dari negara pengeluar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Dr Adham menambah, syarikat Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, sebuah anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sudah memulakan program pembangunan vaksin pada 2018 dengan mewujudkan kilang pembotolan vaksin pertama bagi mengimbangi kebergantungan negara kepada produk import.
“Dengan keperluan vaksin COVID-19, Pharmaniaga sudah membuat perubahan kepada kilang berkenaan dari segi aktiviti Sterile Small Volume Injectibles (SSVI) kepada pengilangan ‘fill and finish’ bagi mempercepatkan penghasilan vaksin COVID-19,” katanya.
Beliau memberitahu, kerajaan juga sedang membangunkan satu laman sesawang khas bagi membolehkan penerima lengkap dua dos vaksin COVID-19 mencetak terus sijil vaksinasi mereka.
Dr Adham berkata, kemudahan ini akan dapat membantu khususnya warga emas atau golongan yang tiada telefon pintar untuk mendapatkan sijil vaksinasi secara bercetak dan boleh dibawa ke mana-mana.
“Setiap individu yang sudah menerima dos lengkap melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), akan menerima sijil digital vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.
“Sijil digital vaksinasi terkini mempunyai kod QR melalui teknologi blockchain, yang boleh diimbas menggunakan aplikasi pengesahan bagi menjamin ketulenan sijil itu,” jelasnya.
KEBENARAN pergerakan rentas negeri dijangka tidak mencetuskan gelombang peningkatan kes COVID-19 sekiranya kadar imunisasi mencapai 90 peratus.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, sebarang lonjakan kes penularan jangkitan dalam kalangan masyarakat berpunca daripada perkumpulan atau perhimpunan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang sebarang risiko lonjakan kes positif di negara ini.
“Betul, kalau dikira, 90 peratus liputan imunisasi dalam kalangan dewasa berkemungkinan mewakili sekitar 60 peratus saja jika dibandingkan dengan keseluruhan penduduk di Malaysia.
“Tetapi, kadar liputan imunisasi akan meningkat, susulan pemberian vaksin kepada golongan remaja yang giat dijalankan di seluruh negara ketika ini.
“Cuma, saya ingin tegaskan bahawa pergerakan rentas negeri saja tidak akan sebabkan peningkatan kes, tetapi ‘congregation’ (pengumpulan) yang mencetuskan penularan jangkitan.
“Justeru, pergerakan rentas negeri bukan isu sangat,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementeriannya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa pergerakan rentas negeri akan kembali dibenarkan apabila kadar liputan imunisasi COVID-19 mencapai 90 peratus daripada individu dewasa.
Seiring matlamat peralihan ke fasa endemik, Khairy berkata, pihaknya sedang merangka satu strategi saringan nasional bagi menentukan sama ada Malaysia sudah memasuki peringkat mitigasi atau masih berada dalam pembendungan akhir.
“Kita sedang siapkan strategi saringan nasional, justeru jelas di peringkat mana sesuatu kawasan dianggap boleh beralih ke fasa mitigasi atau dalam keadaan apa ia masih dalam pembendungan akhir.
“Jika pembendungan akhir, kita boleh saring sama ada bergejala atau tidak. Perkara sedemikian tidak jelas sebelum ini, maka pelbagai interpretasi wujud di lapangan berhubung ujian saringan.
“Tapi, kita juga kena perkasa jabatan kesihatan negeri untuk tentukan mengikut pola penularan mereka, sama ada sudah beralih ke fasa mitigasi atau pembendungan akhir, dengan mengambil kira aset sedia ada.
“Sekiranya aset tidak mencukupi, buat apa kita buat saringan terhadap mereka yang tidak bergejala, tidak cukup tangan untuk laksanakan perkara sedemikian bagi beralih ke fasa mitigasi,” katanya.
INISIATIF Geran Khas Prihatin (GKP) yang mula dilaksanakan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah memberi manfaat kepada lebih sejuta usahawan mikro setakat ini.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peruntukan sebanyak RM6.08 bilion telah disalurkan bagi tujuan itu.
Menurut beliau, daripada jumlah itu, bagi pembayaran terkini iaitu GKP 4.0 membabitkan implikasi kewangan RM1 bilion, yang mana bayaran RM500 bagi fasa pertama dikreditkan terus ke akaun bank didaftar mulai kelmarin.
Tengku Zafrul menambah, syarat kelayakan sedia ada bagi permohonan GKP adalah sangat minimum dan tidak terlalu ketat.
“Data penerima bantuan GKP berdasarkan data terkini pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
“Penerima yang layak menerima bantuan GKP 4.0 membabitkan penerima sedia ada (GKP 1.0, 2.0 dan 3.0) berstatus lulus dan berjaya kredit serta penerima baharu GKP 4.0.
“Syarat ini dikenakan bagi memastikan tiada ketirisan dan usahawan mikro betul-betul layak mendapat bantuan bagi menghadapi cabaran CPVID-19,” katanya dalam sesi waktu pertanyaan menteri sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, beliau memberitahu, institusi kewangan pembangunan (IKP) perlu menekankan strategi mengutamakan pelaburan dan pemberian pinjaman bagi menyokong usahawan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam inovasi peringkat awal, serta mereka yang beralih ke arah operasi digital.
“IKP perlu menumpukan usaha dalam menyokong usahawan mikro dan PKS yang terbabit dalam sektor yang menekankan aspek kelestarian,” jelasnya.
Tengku Zafrul berkata, dalam menyokong inisiatif terutama yang berkaitan usahawan mikro dan PKS, IKP seperti Bank Simpanan Nasional, Bank Kerjasama Rakyat, Agrobank dan SME Bank melaksanakan pelbagai skim pembiayaan melalui dana Bank Negara Malaysia (BNM) dengan jumlah keseluruhan adalah RM8.1 bilion.
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) menjelaskan bahawa kajian kesan tekanan psikologi dalam kalangan mahasiswa berikutan pandemik COVID-19 tidak hanya bersandarkan faktor pembelajaran secara maya.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata, kajian yang dikendalikan oleh dua agensi itu turut mengambil kira beberapa faktor masalah lain dalam situasi masing-masing.
Beliau menambah, kajian membabitkan lebih 24,000 penuntut institusi pengajian tinggi berkenaan belum tamat dan akan terus dijalankan bagi memantau perkembangan semasa.
“Kajian mengenai tekanan dalam kalangan mahasiswa ini belum tamat dan ia bukan hanya mengambil kira faktor pembelajaran secara dalam talian.
“Sebaliknya, ia turut terkait dengan masalah lain dalam situasi konteks masing-masing. Kita akan mengeluarkan satu dapatan yang lebih menyeluruh bila (kajian ini) selesai sepenuhnya kelak, dengan mengambil kira kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan 2.0,” katanya dalam sesi soal jawab lisan sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Hari ini, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) mempertikaikan kajian yang dilakukan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), menggesa laporan soal kajian melibatkan 24,562 pelajar universiti itu dikeluarkan untuk penelitian awam.
Menurut KMUM, kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada 20 September di Dewan Rakyat yang mengatakan majoriti pelajar tidak tertekan menjalani pengajian dalam talian itu menimbulkan beberapa persoalan.
“Beberapa soalan kritikal yang masih belum dijawab seperti metodologi apakah yang digunapakai bagi kajian tersebut? Siapakah respondennya? Adakah mereka mahasiswa yang menjalani pengajian di rumah ataupun di kampus?”
“Adakah mereka datang daripada golongan B40 atau yang lebih berkemampuan? Adakah kajian yang melibatkan seramai 24,562 orang mahasiswa ini sudah memadai untuk mewakili seluruh mahasiswa di Malaysia?
“Persoalan ini tidak akan terjawab melainkan sebuah laporan soal selidik yang lengkap dikeluarkan untuk penelitian awam,” katanya KMUM dalam satu kenyataan.
Menurut KMUM, jika kajian tersebut menunjukkan 78.4 peratus mahasiswa tidak berasa tertekan, justeru bagaimana pula situasi baki peratusan itu yang tidak boleh diketepikan.
Jelas KMUM, walaupun hanya seorang pelajar universiti mengalami tekanan, ia sudah mencukupi bagi pihak berkaitan untuk memberikan perhatian kepada kesihatan emosi dan mental dalam kalangan mahasiswa.
Berhubung sesi akademik baharu yang akan bermula tidak lama lagi, KMUM menggesa agar pelan kontigensi dan polisi berkaitan disegerakan pelaksanaannya.
“Adanya kes bunuh diri yang tidak diingini dalam kalangan mahasiswa baru-baru ini menjadi indikator bahawa isu ini adalah isu yang menekan dan penting.
“Pengalaman mahasiswa menjalani mod pengajian dalam talian amat bergantung kepada pelbagai faktor seperti fasiliti, ketercapaian sambungan internet, dan suasana sekitar,” kata kenyataan itu.
Kata KMUM, pelajar universiti yang tidak mempunyai peranti digital dan internet stabil masih bergelut untuk menyesuaikan diri mereka dengan norma baru ketika ini selain masalah penginapan terus menjadi isu kerana wujud ketidaktentuan yang memberi kesan kepada keputusan mereka sama ada untuk menyewa rumah di sekitar kampus ataupun tidak.
“Permasalahan ini semua menyumbang secara tidak langsung kepada kesihatan mental mahasiswa yang sekali lagi kami tegaskan, perlu diberi perhatian secukupnya,” kata KMUM.
KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) menyediakan manual pengoperasian pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara penggiliran sebagai panduan kepada guru besar, guru, pelajar, ibu bapa serta penjaga.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin berkata, manual berkenaan adalah bagi memastikan PdP secara penggiliran dapat dilaksanakan dengan baik sebaik sekolah dibuka mulai 3 Oktober ini.
“Sebelum sekolah dibuka untuk PdP bersemuka, guru akan menetapkan kumpulan murid dan giliran hadir ke sekolah.
“Kemudian, guru akan memaklumkan kepada setiap kumpulan murid mengenai persediaan yang perlu dilaksanakan ketika menjalani PdP di Rumah (PdPR) secara sendiri atau sebelum hadir ke sekolah untuk PdP bersemuka,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Sementara itu, dalam sesi soa jawab lisan, beliau memberitahu, sebanyak 10,214 sekolah di seluruh negara dilengkapi capaian jalur lebar internet dengan kelajuan 30 hingga 100 megabit sesaat (Mbps).
Radzi menambah, jumlah itu termasuk 141 sekolah pedalaman yang dibekalkan dengan talian Very Small Aperture Terminal (VSAT) berkelajuan 30 Mbps mulai Mac lalu.
“Dalam usaha memastikan capaian Internet di sekolah terus dipertingkatkan, KPM bekerjasama dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) bagi mengenal pasti pendekatan terbaik.
“Ini termasuk penyediaan rangkaian bersepadu KPM yang berlandaskan tiga prinsip utama iaitu bersesuaian dengan tujuan, kekal relevan pada masa hadapan dan penyelesaian yang holistik,” jelasnya.