Tag: Dewan Rakyat

  • Tarikh sidang Parlimen pinda ke 13 September

    Tarikh sidang Parlimen pinda ke 13 September

    TARIKH mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 dipinda ke 13 September hingga 12 Oktober depan.

    Sebelum ini, ia dijadualkan berlangsung mulai 6 September hingga 30 September ini.

    Memetik laporan BH Online, perkara itu dimaklumkan menerusi satu surat bertarikh semalam yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin kepada semua Ahli Dewan Rakyat.

    “Selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, saya ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang dijadualkan pada Isnin, 6 September hingga Khamis, 30 September sudah dipinda ke Isnin, 13 September hingga Khamis 12 Oktober 2021,” katanya.

    Jurucakap Parlimen yang dihubungi hari ini juga mengesahkan berkenaan kandungan notis kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat berkenaan, di samping ciapan di Twitter oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang mengenai makluman notis pindaan itu yang diterima mereka malam tadi.

    Dalam notis sama juga, turut dilampirkan takwim baharu mesyuarat yang akan berlangsung selama 17 hari bermula 13 September hingga 12 Oktober.

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadual berangkat merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat pada hari pertama, serta menyampaikan Titah Diraja.

    Berdasarkan urusan majlis sidang itu juga, sesi perbahasan usul Menjunjung Kasih dan Pembahasan Titah Diraja akan bermula pada hari kedua berlangsung hingga 21 September, sebelum kemudian diteruskan dengan jawapan menteri-menteri pada tarikh 22 dan 23 September.

    Sidang kali ini juga akan menyaksikan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pada 27 September, disusuli sesi perbahasan yang bermula 28 September hingga 4 Oktober.

    Mesyuarat pertama bagi tahun ini juga dijadual berakhir pada minggu kelima dengan urusan majlis berkaitan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan lain pada 11 dan 12 Oktober depan.

  • Azalina letak jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    Azalina letak jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat

    AHLI Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menyatakan, keputusan itu diambil supaya kerajaan dan pembangkang mempunyai lebih banyak ruang untuk menyusun semula Dewan Rakyat agar ia dapat benar-benar berfungsi sebagai forum persaingan dan kolaborasi profesional antara parti-parti mengenai dasar dan tadbir urus.

    Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau akan menyokong sebarang pembaharuan yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan dan pembangkang atas dasar kebijaksanaan bersama.

    “Ia merupakan suatu penghormatan untuk berkhidmat sebagai Timbalan Yang Dipertua, satu jawatan yang sangat saya hormati sepanjang 13 bulan lalu.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua rakan-rakan Ahli Parlimen dan rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan dan kritikan yang tidak ternilai dalam usaha saya untuk berkhidmat dengan setia kepada Parlimen dan negara,” katanya dalam kenyataan media.

    Beliau turut menjelaskan bahawa peletakan jawatan itu tidak mempunyai kaitan dengan spekulasi pelantikannya sebagai menteri Kabinet.

    Sebaliknya, kata Azalina, keputusan itu dibuat atas sebab kapasti moral peribadi dan tanggungjawab rasmi sebagai Timbalan Yang Dipertua serta keberkesanan memegang jawatan dalam menyokong integriti awam.

    “Pada masa akan datang, saya berharap Yang Dipetua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat direhatkan daripada sebarang jawatan dalam parti politik bagi menjamin keadilan dari segi politik, yang merupakan ciri utama jawatan tersebut, supaya mereka dapat berfungsi tanpa pilih kasih,” jelasnya.

  • Ahli Parlimen diminta kemuka surat akuan calon PM

    Ahli Parlimen diminta kemuka surat akuan calon PM

    SEMUA Ahli Parlimen diminta mengemukakan surat akuan yang menamakan calon Perdana Menteri pilihan mereka kepada Istana Negara selewat-lewatnya pukul 4 petang, esok.

    Arahan itu terkandung dalam notis daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang diedarkan kepada Ahli-ahli Parlimen hari ini.

    “Adalah dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di dalam melaksanakan budi bicara Baginda Tuanku di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan perlu melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang di dalam hemat Baginda Tuanku mungkin mempunyai kepercayaan majoiti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri Malaysia.

    “Pada melaksanakan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, saya dengan ini memberi notis kepada Yang Berhormat supaya menyerahkan satu surat akuan yang menyatakan dengan terang dan jelas seorang Ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan oleh Yang Berhormat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia Yang Ke-9,” katanya.

    Beliau menambah, walaupun surat akuan tersebut tidak mempunyai format yang tertentu, namun ia perlu mempunyai butiran-butiran seperti identifikasi secukupnya Ahli Parlimen yang membuat cadangan serta identifikasi secukupnya Ahli Parlimen yang dicadangkan.

    Azhar Azizan memberitahu, surat akuan itu juga mesti memaparkan pernyataan kepercayaan yang terang, jelas dan tanpa syarat, tandatangan Ahli Parlimen terbabit serta tandatangan dan cop rasmi saksi bagi mereka yang berada di luar negara dan tarikh.

    Saksi pula sama ada seorang peguam bela dan peguam cara, pesuruhjaya sumpah, notari awam atau jawatan yang setanding.

    Menurut beliau, surat akuan dalam format pdf hendaklah diserahkan kepada Setiausaha Sulit Kanan Yang di-Pertuan Agong melalui faksimili, e-mel atau aplikasi WhatsApp.

    “Serahan tangan adalah tidak dibenarkan memandangkan Istana Negara masih berada di dalam kawasan Fasa 1 dan juga untuk mengelakkan penularan pandemik Covid-19 di Istana Negara.

    “Perlu dijelaskan, mana-mana surat akuan Yang Berhormat yang tidak mematuhi perkara-perkara di atas ataupun yang diterima lewat tidak akan diambil kira.

    “Ahli-ahli Yang Berhormat diperingatkan untuk menjaga kerahsiaan Surat Akuan tersebut sehingga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan,” jelasnya.

  • Dewan Rakyat:Had kehadiran individu termasuk ahli Parlimen diteliti – Timbalan Speaker

    Dewan Rakyat:Had kehadiran individu termasuk ahli Parlimen diteliti – Timbalan Speaker

    JUMLAH kapasiti individu termasuk bilangan Ahli Parlimen untuk menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadualkan bermula 6 Sept akan diteliti, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon.

    Beliau berkata ia bagi memastikan kelancaran persidangan Parlimen dan mengelakkan kejadian penularan COVID-19 berlaku, seperti yang terjadi pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat hujung Julai lepas.

    Bagi tujuan itu, katanya Jawatankuasa Dewan Rakyat akan berbincang dengan ketua-ketua whip parti kerajaan dan pembangkang dalam tempoh terdekat berdasarkan nasihat yang akan dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    “Seperti sebelum ini, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan panggil semua ketua-ketua whip daripada parti kerajaan dan pembangkang untuk berbincang (jumlah kehadiran Ahli Parlimen).

    “Belajar daripada apa yang berlaku pada sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlukan langkah pencegahan yang lebih mantap,” katanya kepada Bernama selepas program serahan Bantuan Bakul Makanan kepada 50 artis veteran anjuran Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Desa Melawati, di sini hari ini.

    Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, hanya bersidang selama empat hari dan terpaksa ditangguhkan berikutan berlaku penularan jangkitan COVID-19 di bangunan Parlimen.

    Sehingga 8 Ogos, sebanyak 88 kes positif wabak berkenaan dikesan melibatkan individu yang menghadiri sidang khas itu.

    Mengenai usul percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan dibawa ke sidang Dewan Rakyat pada September, Mohd Rashid berkata pihak Parlimen belum menerima usul tersebut.

    “…kita belum terima lagi setakat hari ini. Bagi usul kerajaan tempoh penghantarannya tidak terlalu jauh dari tarikh persidangan berbanding usul peribadi yang perlu dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum bersidang,” katanya.

    Sebelum ini, Muhyiddin menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.

    Dalam pada itu, Mohd Rashid berkata notis pemberitahuan kepada Ahli Parlimen dalam proses untuk diedarkan bagi membolehkan mereka menyediakan soalan untuk sesi soal jawab lisan dan lain-lain.

    Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 15 hari bermula 6 hingga 30 Sept 2021, manakala Mesyuarat Kedua pula berlangsung selama 32 hari mulai 25 Okt hingga 16 Dis 2021.

    Istiadat pembukaan sidang Dewan Rakyat akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 6 Sept. – BERNAMA