PERDANA Menteri sementara, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipertanggungjawabkan terhadap semua jabatan kerajaan Persekutuan sehingga menteri-menteri Kabinet yang lain dilantik.

Perkara itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Persekutuan berhubung Perintah Menteri-menteri Kerajaan Persekutuan 2021 bertarikh 16 Ogos 2021.

“Diberitahu bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md Yasin, adalah dipertanggungkan dengan tanggungjawab mengenai semua jabatan kerajaan Persekutuan dan perkara yang baginya jabatan itu bertanggungjawab sehingga pelantikan menteri lain dalam Jemaah Menteri,” jelas warta tersebut di bawah perkara ‘Fungsi-fungsi Menteri’.

Perintah berkenaan berkuat kuasa mulai semalam dan ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibubarkan semalam setelah Yang di-Pertuan Agong berkenaan menerima peletakan jawatan Muhyiddin dan Jemaah Menteri.

Muhyiddin diberi tanggungjawab selaku Perdana Menteri sementara sehingga Perdana Menteri yang baharu dilantik.

Warta yang sama turut menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong telah melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here