Tag: dana politik

  • SPRM sukar beza dana politik dan rasuah, tiada akta khusus

    SPRM sukar beza dana politik dan rasuah, tiada akta khusus

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berdepan kesukaran untuk membezakan antara pemberian dana politik dan rasuah kerana tiada undang-undang khusus berhubung perkara tersebut ketika ini.

    Sehubungan itu, SPRM menyokong usaha mewujudkan akta dana politik untuk memastikan sumber kewangan yang diperoleh parti politik bukan daripada saluran haram.

    Walau bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata, siasatan tetap dijalankan sekiranya laporan diterima.

    “Dana (politik) yang kita tidak tahu daripada mana datangnya, kita bimbang ia adalah dana haram.

    “Undang-undang perlu diadakan bagi tujuan mengawal dana yang diterima parti politik daripada sumber yang tidak dapat dipastikan.

    “Ini kerana dana yang datang itu berkemungkinan diperoleh daripada sumber-sumber haram,” katanya seperti dilaporkan FMT.

    Azam turut mengakui menerima laporan berhubung penawaran wang untuk wakil rakyat lompat parti namun sukar untuk dibuktikan kesalahan itu.

    “Saya tidak menafikan SPRM pernah menerima laporan berhubung penawaran wang untuk ahli politik melompat parti tetapi tiada kes yang boleh dibuktikan sama ada wang dibayar,” katanya.

    Menurut beliau, Malaysia wajar mengambil contoh beberapa negara lain yang mempraktikkan akta pembiayaan dana politik.

    Azam memberitahu, pada masa yang sama, ahli politik dapat membuktikan kepada rakyat bahawa mereka mengamalkan kepimpinan telus dan berintegriti.

    “Ketika ini negara kita tidak mempunyai undang-undang khusus berhubung pembiayaan dana politik.

    “Sekiranya ahli politik dan Parlimen mewujudkan akta ini, ia perlu disokong,” jelasnya.

  • PKR, DAP nafi terima dana politik NED

    PKR, DAP nafi terima dana politik NED

    PARTI Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP masing-masing menafikan menerima dana daripada National Endowment for Democracy (NED), badan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang didakwa membiayai parti pembangkang selama lebih sedekad.

    Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata beliau dan partinya tidak menerima pembiayaan daripada NED,malah beliau sendiri tidak mempunyai maklumat berhubung isu itu.

    “(Presiden parti) Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan di penjara untuk tempoh lama pada dekad lalu, manakala Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution juga tidak mempunyai maklumat mengenainya,” katanya memetik laporan FMT.

    Secara sinis, Fahmi berkata dakwaan bahawa pembangkang menerima pembiayaan NED “dibangkitkan setiap selang beberapa tahun.”

    Manakala Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching juga menafikan perkara itu dengan menegaskan, sebagai parti politik, mereka tidak mengambil sebarang wang daripada organisasi berkenaan.

    “Ahli DAP mungkin menghadiri beberapa seminar anjuran organisasi asing melibatkan contohnya komunikasi berkesan dan kecelikan media sosial sebelum ini.”

    Terdahulu hari ini, seorang aktivis mendesak Pakatan Harapan (PH) supaya menjelaskan kebergantungan mereka terhadap pembiayaan diterima daripada NED.

    Kua Kia Soong yang juga penasihat SUARAM berkata demikian ketika mengulas dakwaan Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining, tiga tahun lalu.

    Twining berkata, IRI bekerja dengan parti pembangkang di Malaysia sejak 2002 dengan bantuan NED.

    “Jadi selama 15 tahun, dengan sumber NED, kami berusaha menguatkan parti pembangkang Malaysia,” kata Twining dalam video yang dikongsikan Kua.