PARTI Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP masing-masing menafikan menerima dana daripada National Endowment for Democracy (NED), badan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang didakwa membiayai parti pembangkang selama lebih sedekad.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata beliau dan partinya tidak menerima pembiayaan daripada NED,malah beliau sendiri tidak mempunyai maklumat berhubung isu itu.

“(Presiden parti) Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan di penjara untuk tempoh lama pada dekad lalu, manakala Setiausaha Agung, Saifuddin Nasution juga tidak mempunyai maklumat mengenainya,” katanya memetik laporan FMT.

Secara sinis, Fahmi berkata dakwaan bahawa pembangkang menerima pembiayaan NED “dibangkitkan setiap selang beberapa tahun.”

Manakala Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching juga menafikan perkara itu dengan menegaskan, sebagai parti politik, mereka tidak mengambil sebarang wang daripada organisasi berkenaan.

“Ahli DAP mungkin menghadiri beberapa seminar anjuran organisasi asing melibatkan contohnya komunikasi berkesan dan kecelikan media sosial sebelum ini.”

Terdahulu hari ini, seorang aktivis mendesak Pakatan Harapan (PH) supaya menjelaskan kebergantungan mereka terhadap pembiayaan diterima daripada NED.

Kua Kia Soong yang juga penasihat SUARAM berkata demikian ketika mengulas dakwaan Presiden International Republican Institute (IRI), Daniel Twining, tiga tahun lalu.

Twining berkata, IRI bekerja dengan parti pembangkang di Malaysia sejak 2002 dengan bantuan NED.

“Jadi selama 15 tahun, dengan sumber NED, kami berusaha menguatkan parti pembangkang Malaysia,” kata Twining dalam video yang dikongsikan Kua.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here