Tag: curi

  • Pihak masjid, keluarga remaja dimandi seperti jenazah berdamai

    Pihak masjid, keluarga remaja dimandi seperti jenazah berdamai

    KES remaja yang videonya tular di media sosial kerana dimandikan seperti jenazah akibat mencuri tabung masjid, selesai selepas keluarga remaja itu Daniel Iskandar Mohd Nasir dan pihak pengurusan Masjid Al Islahiah, Kuang di Sungai Buloh memilih untuk berdamai.

    Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, setelah berbincang dengan semua pihak yang terlibat, mereka sepakat untuk saling bermaafan dan berdamai.

    “Mereka juga sepakat untuk tidak mengungkit lagi apa yang berlaku sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Masjid Al Islahiah hari ini.

    Pada 17 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Selayang ke atas Daniel Iskandar, 19, serta menggantikannya dengan perintah menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam yang perlu dilaksana dalam tempoh enam bulan, ditumpukan dengan khidmat di masjid-masjid.

    Hakim Datuk Abd Halim Aman, yang menyemak keputusan Mahkamah Majistret, turut menyarankan agar pihak masjid yang merakam dan menularkan video Daniel Iskandar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada remaja itu dan masyarakat umum demi menjernihkan keadaan.

    Datuk remaja itu, Rosli Sidek, 65, pula berkata dia bersyukur permasalahan yang timbul sebelum ini dapat diselesaikan secara baik dan cucunya kini banyak berubah ke arah positif.

    “Sebelum ini, Daniel ada meminta maaf dengan saya atas segala tingkah lakunya dan saya telah memaafkannya. Dia masih di bawah umur dan salah memilih kawan.

    “Daniel sekarang banyak berubah, dia insaf selepas apa yang berlaku. Saya tabah dan reda dengan segala dugaan Allah,” katanya dengan nada sebak.

    Wakil Masjid Al Islahiah yang juga Ketua Kampung Damai, Kuang Abdul Ghani Abdullah berkata pihaknya bersyukur perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

    Turut hadir Timbalan Mufti Selangor Profesor Madya Dr Miszairi Sitiris dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, yang mewakili remaja itu.

    Kisah Daniel Iskandar yang tular di media sosial apabila video berdurasi satu minit 25 saat memaparkan tindakan jemaah masjid memandikannya seperti jenazah serta dilumurkan dengan kapur barus kerana mencuri tabung masjid, mendapat perhatian umum.

    Pada 13 Jan lepas, Daniel Iskandar mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan pada 11.58 malam 8 Jan lepas. – BERNAMA

  • Terdesak curi semasa banjir tetap berdosa – Mufti Kedah

    Terdesak curi semasa banjir tetap berdosa – Mufti Kedah

    MENCURI dalam keadaan yang sangat terdesak semasa menghadapi musibah banjir tetap tidak dibolehkan dan berdosa kecuali apabila sudah dihalalkan pemiliknya, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.

    Katanya, walaupun perbuatan itu dilakukan dalam keadaan darurat demi kelangsungan hidup, atau dilakukan dengan niat baik untuk membantu orang lain dalam kesusahan, perbuatan itu tetap salah di sisi agama dan undang-undang negara.

    Beliau berkata demikian bagi merujuk kejadian mangsa banjir di Lembah Klang baru-baru ini dikatakan mencuri barang dari pasar raya demi kelangsungan hidup, dan ada juga yang mengambil makanan dari pasar raya untuk diberikan kepada mangsa banjir yang lain.

    “Walaupun berniat baik, caranya tidak betul. Matlamat tidak menghalalkan cara, meskipun matlamatnya adalah baik mahu bantu mangsa banjir,” katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan Zakat Perniagaan oleh Syarikat Korporat di Alor Setar, hari ini.

    Sebanyak 16 syarikat menjelaskan zakat perniagaan masing-masing yang keseluruhan berjumlah RM8,112,895.82 dan diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah Datuk Syeikh Zakaria Othman. – BERNAMA

  • Lelaki ‘tunda’ kereta mangsa banjir ditahan polis

    Lelaki ‘tunda’ kereta mangsa banjir ditahan polis

    DALAM situasi mangsa banjir yang serba kesulitan ketika ini, masih ada individu tidak bertanggungjawab yang tergamak mengambil kesempatan mencuri harta milik mereka.

    Di Shah Alam, seorang lelaki ditahan polis bagi bagi membantu siasatan berhubung kes cubaan mencuri sebuah kereta jenis Honda City, milik seorang mangsa banjir di Jalan Persiaran Perusahaan, Seksyen 23.

    Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, siasatan mendapati pemilik kenderaan terbabit meletakkan kenderaannya di tepi jalan dalam keadaan baik dan berkunci kira-kira pukul 6 petang, 18 Disember lalu.

    Beliau berkata, pemilik meletakkan kenderaan berkenaan di jalan itu disebabkan kawasan tempat tinggalnya mengalami banjir

    “Walau bagaimanapun, kira-kira jam 8.45 malam 20 Disember (Isnin) lalu, mangsa (pemilik) mendapati kereta berada di atas lori tunda dengan nombor pendaftaran WCX3048 atas nama Syarikat Sparks Motors Rescue Empire.

    “Lori itu dipandu seorang lelaki tempatan tidak dikenali, malah suspek mendakwa ada individu menyuruhnya menunda kereta milik isteri mangsa itu ke bengkel,” katanya seperti dilaporkan BH.

    Arjunaidi menambah, mangsa sempat membuat pemeriksaan ke atas kenderaannya dan mendapati bateri kereta hilang selain nombor pendaftaran kenderaan bahagian depan serta belakang dipatahkan selain pelekat cukai jalan turut hilang.

    Beliau memberitahu, mangsa tampil membuat laporan selepas dihubungi oleh polis susulan hantarannya yang tular di media sosial, Rabu lalu.

    “Tangkapan dibuat ke atas seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun, yang juga pemandu lori tunda terbabit.

    “Suspek direman dua hari sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

    Pada 19 Disember lalu, tular dalam media sosial pemilik akaun Instagram @wangi_by_cinta mendakwa suspek mencabut nombor pendaftaran kereta miliknya dan mengangkut kenderaan terbabit ke atas lori tunda sebelum disedari oleh penduduk setempat.

  • Kantoi tukar mangga tabung masjid untuk curi duit

    Kantoi tukar mangga tabung masjid untuk curi duit

    HELAH seorang lelaki yang menukar mangga tabung masjid terbongkar apabila dia ditangkap ketika membuka tabung masjid menggunakan kuncinya sendiri, di Masjid Kubang Bemban, di Pasir Mas, semalam.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata suspek, 29, telah beberapa kali mencuri duit dalam tabung masjid tersebut dan modus operandinya adalah dengan cara menukarkan mangga tabung masjid.

    Mohd Nasaruddin berkata, berdasarkan laporan diterima, ahli jawatankuasa (AJK) masjid telah menunggu kedatangan suspek yang sebelum ini dilihat mencuri wang tabung melalui kamera litar tertutup (CCTV) beberapa hari lalu.

    Katanya, dalam kejadian itu, suspek datang ke masjid pada 2.30 petang menggunakan basikal elektrik melalui pintu pagar yang tidak berkunci dan terus memasuki masjid dan membuka mangga tabung masjid menggunakan kuncinya.

    “Semasa kejadian petang semalam, seorang pekerja membaiki lantai masjid telah menyedari kejadian itu dan telah menelefon anggota RELA yang juga ahli jawatankuasa masjid tersebut sebelum bersama-sama menahan suspek di ruang solat wanita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata ketika disoal siasat suspek mengaku telah mencuri duit tabung masjid sebelum ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 dan 511 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA