Oleh RIZQI ZABIDI

Taktik digunakan tiga warga tempatan yang bertindak sebagai tekong darat serta ‘transporter’ bagi membawa 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) pada waktu subuh, gagal mengaburi mata pihak berkuasa sekali gus mengakibatkan kesemua mereka ditahan, pagi semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota cawangan khas (E6), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kira-kira pukul 6.30 pagi setelah mereka terlebih dulu mengesan dua kenderaan dinaiki tiga lelaki tempatan tersebut di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu.

Katanya, kenderaan jenis Perodua Alza dan Perodua Aruz yang dinaiki tekong darat dan transporter itu kemudiannya berhenti di kawasan berhampiran tangki air kawasan tersebut.

“Selepas itu, kesemua PATI warganegara Myanmar tersebut terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita keluar dari tempat persembunyian mereka di kawasan semak sebelum menaik kedua-dua kenderaan itu.

“Pihak polis lalu mengekori kedua-dua kenderaan tersebut sebelum menahan mereka di kawasan Napoh,” katanya dalam satu kenyataan di Alor Setar, malam tadi.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua PATI tersebut tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk memasuki negara ini.

“Siasatan awal mendapati PATI itu baru memasuki Malaysia melalui lorong tikus di sempadan Malaysia-Thailand. Mereka dipercayai membayar sebanyak RM4,000 kepada seorang lelaki warganegara Myanmar yang berada di Thailand untuk masuk ke negara ini.

“Bagi transporter warga tempatan itu pula, mereka dipercayai menerima bayaran sebanyak RM800 bagi setiap kereta untuk membawa PATI tersebut bekerja di Sungai Lembu dekat Kulim,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, tangkapan PATI bersama tekong darat dan transporter itu merupakan kejayaan E6 dalam membendung kemasukan semula PATI ke Malaysia selepas berakhir Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah pemerdagangan manusia ini boleh menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis bagi memastikan aktiviti ini dapat ditumpaskan sepenuhnya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here