Tag: Covid-19

  • Dr Mahathir dibenar keluar IJN

    Dr Mahathir dibenar keluar IJN

    BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.30 pagi tadi.

    Pejabat Dr Mahathir dalam satu kenyataan memaklumkan Dr Mahathir akan meneruskan kuarantin di rumah sehingga Selasa ini (6 Sept).

    Sebelum ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN untuk pemantauan buat beberapa hari seperti yang dinasihatkan oleh pasukan kesihatan, setelah disahkan positif COVID-19 pada 31 Ogos lepas.- BERNAMA

  • Tun M positif COVID-19, kini dirawat di IJN

    Tun M positif COVID-19, kini dirawat di IJN

    BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan positif jangkitan COVID-19 pagi ini.

    Pejabat beliau dalam satu kenyataan ringkas di laman media sosial berkata, Ahli Parlimen Langkawi itu telah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

    Ini bagi tujuan pemantauan selama beberapa hari.

    Selain itu, kenyataan Pejabat Dr Mahathir itu turut menyebut bahawa tindakan itu dibuat berdasarkan nasihat pasukan keselamatan beliau.

    Berikut tangkap layar kenyataan itu.

  • Tak sempat ketahui jantina anak, lelaki meninggal dunia tanpa gejala Covid-19

    Tak sempat ketahui jantina anak, lelaki meninggal dunia tanpa gejala Covid-19

    HASRAT seorang suami untuk mengetahui jantina bayi dalam kandungan isterinya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia selepas disahkan dijangkiti Covid-19 pagi semalam.

    Lapor Harian Metro, pemergian Allahyarham Muhammad Share Selamat, 25, pada awal pagi semalam akibat Covid-19 amat mengejutkan isteri, Nazirah Zulkifli, 22, berikutan ketiadaan gejala wabak berbahaya itu.

    Nazirah berkata, arwah sempat menjamah kambing bakar ketika mereka mengadakan kenduri keluarga di kediaman di Kampung Solok Pantai Rombang, Tanjung Kling, dekat sini, pada malam Sabtu lalu.

    “Arwah tidak menunjukkan sebarang gejala menghidap Covid-19 dan memaklumkan mahu ke Port Dickson, Negeri Sembilan selepas selesai kenduri pada jam 10 malam Sabtu lalu.

    “Arwah pergi bersama beberapa rakan dengan menaiki kereta untuk menikmati makanan laut dan saya tidak menghalang hasratnya itu,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pantai Rombang, hari ini.

    Nazirah berkata, dia amat terkejut apabila abang iparnya, Azmi hadir di kediamannya pada jam 5 pagi semalam memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

    Menurutnya, dunia tiba-tiba menjadi gelap sebaik saja menerima berita itu tetapi dia menguatkan semangat untuk ke Hospital Port Dickson bagi menguruskan jenazah.

    “Apabila kami tiba di hospital itu, barulah kami mendapat cerita sebenar daripada rakan arwah yang menyatakan ketika mereka makan, arwah tiba-tiba rebah dan pengsan, lalu mereka membawanya ke hospital.

    “Doktor mengesahkan arwah meninggal dunia pada jam 3.30 pagi semalam kerana Covid-19 dan bukan akibat kemalangan jalan raya,” katanya.

    Nazirah berkata, arwah sebelum itu begitu teruja untuk mengetahui jantina bayi pertama hasil pernikahan mereka pada Mac lalu.

    “Kami merancang membuat imbasan kerana kandungan saya sudah mencapai lima bulan sekarang tetapi arwah tidak sempat tahu jantina anaknya, apatah lagi menatap wajah anak.

    “Walaupun pemergian arwah amat mengejutkan saya dan anggota keluarga yang lain, saya reda dengan kehendak Allah yang lebih menyayanginya,” katanya.

    Jenazah dibawa dari Rumah Mayat Hospital Port Dickson pada jam 10 pagi ke tanah perkuburan dengan menggunakan perkhidmatan percuma van jenazah Persatuan Kemanusiaan Tangga Batu (PeKeTB).

    Jenazah dikebumikan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) pada jam 12.30 tengah hari tadi.

    Anggota keluarga arwah dan anak kariah kampung hanya dibenarkan berada di pagar tanah kubur ketika pengebumian dijalankan.

    Sementara itu, Pengerusi PeKeTB, Rahiman Abu Hassan, 53, berkata, ketika membawa jenazah arwah, dia dan anaknya, Nor Iman, 22, serta ahli jawatankuasa persatuan itu, Mohd Yusri Rojan, 48, turut memakai PPE.

    “Kami doakan semoga Allah mengampunkan dosa arwah dan mencucuri rohnya dengan rahmat dan rahim-Nya,” katanya.

  • Hanya 42.3 peratus kanak-kanak lengkap vaksinasi Covid-19

    Hanya 42.3 peratus kanak-kanak lengkap vaksinasi Covid-19

    SERAMAI 1.76 juta atau 49.8 peratus kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 setakat semalam, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 1.5 juta atau 42.3 peratus telah melengkapkan dos vaksin mereka manakala seramai 1,030 kanak-kanak dalam kategori moderate to severe immunocompromised dalam lingkungan usia sama telah mendapat dos ketiga bagi melengkapkan vaksinasi primer sebanyak tiga dos.

    Bagaimanapun katanya peratusan itu masih rendah berbanding jumlah kemudahan vaksin yang disediakan untuk golongan itu.

    “Dah hampir enam bulan kita lancar program vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak, apa yang saya lihat staff, kakitangan buat kerja bagus, sambutan dan kerjasama kerajaan negeri juga bagus, kerjasama klinik swasta juga menggalakkan

    “Tetapi lengan sahaja tiada,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Beliau menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) yang mahu kementerian menyatakan apakah usaha dan bajet yang sedang digerakkan untuk meningkatkan lagi kadar vaksinasi dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun memandangkan kadar semasa kanak-kanak yang lengkap divaksin adalah sangat rendah.

    Dr Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) masih meneruskan usaha penerangan menggalakkan ibu bapa menghantar anak mereka untuk mendapatkan atau melengkapkan vaksin mereka termasuk melalui media elektronik dan media sosial.

    Sehingga kini katanya masih terdapat 926 premis swasta yang menyediakan kemudahan pemberian vaksin dan 14 pusat pemberian vaksin secara ‘off-site’.

    Sementara itu, bagi kanak-kanak yang terlepas dos kedua vaksin mereka, ibu bapa boleh menghubungi klinik kesihatan terdekat untuk membuat janji temu bagi melengkapkan vaksin anak-anak mereka.

    Sementara itu, KKM juga memperhebat program untuk golongan sasar mendapatkan dos penggalak kedua terutama mereka yang digalakkan untuk mendapatkannya.

    Katanya amat penting bagi golongan tersebut mengambil dos penggalak kedua kerana keberkesanan vaksin yang telah menurun serta kes jangkitan yang kini kian meningkat kebelakangan ini.- BERNAMA

  • Covid-19:Kes baharu turun 5.2 peratus, kemasukan ke hospital naik

    Covid-19:Kes baharu turun 5.2 peratus, kemasukan ke hospital naik

    BILANGAN kes baharu COVID-19 pada Minggu Epidemiologi ke-30 (ME 30/2022) dari 24 hingga 30 Julai menurun sebanyak 5.2 peratus berbanding ME 29/2022 iaitu daripada 29,886 kes kepada 28,339 kes.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pada tempoh sama bilangan kes tempatan menurun sebanyak 5.3 peratus daripada 29,858 kes kepada 28,286 kes manakala kes import meningkat sebanyak 89.3 peratus daripada 28 kes kepada 53 kes.

    “Bilangan kes sembuh pada ME 30/2022 pula meningkat sebanyak 35.4 peratus menjadi 30,823 kes berbanding 22,757 kes pada ME 29/2022 manakala kes kematian mencatatkan penurunan 28.6 peratus iaitu 49 kes berbanding 63 kes pada tempoh itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini. 

    Dr Noor Hisham berkata dari 25 Jan 2020 (ME 4/2020) hingga 30 Julai 2022 (ME 30/2022), kumulatif kes baharu COVID-19 di seluruh negara adalah 4,677,270 sementara kumulatif kes sembuh sebanyak 4,594,311 kes dan kumulatif kes kematian 35,960 kes manakala kumulatif kluster adalah 7,038 kluster dengan 19 kluster aktif.

    Secara keseluruhan, beliau berkata jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan iaitu hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk tiada perubahan ditunjukkan pada ME 30/2022 berbanding minggu sebelumnya.

    Bagaimanapun, katanya jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 2.8 peratus, dengan bilangan pesakit kategori satu dan dua meningkat 5.6 peratus manakala tiada perubahan bagi pesakit kategori tiga, empat, dan lima.

    Menurut Dr Noor Hisham, peratusan pengisian katil fasiliti COVID-19 bagi katil bukan kritikal, Unit Rawatan Rapi (ICU) dan PKRC pada ME 30/2022 berbanding minggu sebelumnya menunjukkan tiada perubahan iaitu masing-masing kekal sebanyak 23, 14 dan tujuh peratus. 

    Beliau berkata kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara masih lagi menunjukkan peningkatan berdasarkan perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 29/2022 dan ME 30/2022.

    “Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 3.2 peratus, bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 0.5 peratus, dan bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital menurun sebanyak 19.9 peratus,” katanya.

    Bagi survelan Penyakit Seperti Influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) COVID-19, beliau memaklumkan sebanyak 107 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 14.5 peratus pada ME 30/2022 manakala tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif kekal sifar peratus pada ME 30/2022.- BERNAMA 

  • Jepun catat 209,694 kes harian COVID-19, tertinggi dalam sejarah

    Jepun catat 209,694 kes harian COVID-19, tertinggi dalam sejarah

    JEPUN merekodkan kes harian COVID-19 tertinggi dalam sejarah apabila sebanyak 209,694 kes disahkan pada Rabu.

    Pakar kesihatan menggesa “tindakan berjaga-jaga tahap maksimum” berikutan negara itu terus bergelut dengan gelombang ketujuh yang didorong oleh varian Omicron BA.5.

    Di sebalik peningkatan semula kes terbabit, negara itu tidak mengenakan sekatan pergerakan terhadap rakyatnya kerana Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida sedang berusaha mengimbangi aktiviti sosioekonomi dan mengambil langkah pencegahan jangkitan daripada terus merebak, lapor Agensi Berita Kyodo.

    Kira-kira 201,000 kes jangkitan direkodkan pada minggu lepas, dan angka kematian melebihi 100 orang untuk tempoh dua hari berturut-turut, menurut laporan kerajaan tempatan.

    Pesakit yang mengalami simptom teruk mencecah 311, meningkat 40 orang berbanding Selasa, menurut Kementerian Kesihatan Jepun.

    “Jangkitan terus merebak dengan cepat. Kita mesti melihat dengan teliti (keadaan) dengan mengambil langkah berjaga-jaga tahap maksimum, termasuk terhadap sistem kesihatan,” menurut panel penasihat pakar kementerian itu.

    Lebih separuh daripada 47 wilayah di negara itu mencatatkan peningkatan kes pada Rabu, termasuk Hokkaido dan Kyoto.

    Tokyo melaporkan sebanyak 29,036 kes COVID-19, manakala Osaka mencatat 21,860 jangkitan baharu dan meningkatkan tahap amaran kepada tiga, iaitu tertinggi sejak tiga bulan lalu.

    Warga emas dinasihati untuk tidak keluar rumah atas urusan yang tidak penting kerana berisiko tinggi mengalami gejala yang teruk. – BERNAMA

  • KPM laksana pelan kontigensi jika kes COVID, ILI meningkat

    KPM laksana pelan kontigensi jika kes COVID, ILI meningkat

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sentiasa bersedia untuk menghidupkan semula pelan kontingensi buat pelajar sekolah sekiranya peningkatan kes jangkitan COVID-19 dan Penyakit Seperti Influenza (ILI) berada dalam keadaan tidak terkawal.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, bagaimanapun KPM perlu mengadakan perbincangan terlebih dahulu dan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum membuat sebarang keputusan.

    “Apa yang paling penting setiap protokol yang ditetapkan KKM perlu dipatuhi, KPM akan berbincang dengan KKM dan melihat pendekatan yang perlu dilaksanakan (untuk mengekang wabak berkenaan).

    “Kita memang sentiasa melakukan perbincangan untuk memastikan walaupun keadaan COVID-19 dan dan influenza yang sedikit meningkat, kita masih boleh meneruskan persekolahan dengan selamat dan teratur,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Liga Tunas Malaysia di Stadium Mini Taman Pancarona, di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata demikian apabila ditanya usaha KPM bagi memastikan kes COVID-19 dan influenza tidak menular dalam kalangan pelajar yang hadir ke sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran bersemuka.

    Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kes COVID-19 bagi Minggu Epidemiologi ke-28 (ME 28/2022) dari 10-16 Julai meningkat sebanyak 23.4 peratus manakala kes ILI dan Severe Acute Respiratory Infection COVID-19 meningkat 8.5 peratus.

    Sementara itu, mengulas mengenai Liga Tunas yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Radzi memaklumkan ia merupakan medan untuk mencungkil bakat baharu dalam kalangan pelajar sekolah.

    Beliau berkata, liga yang julung kali diadakan itu juga boleh dijadikan sebagai platform untuk melahirkan pelapis bagi skuad bola sepak kebangsaan termasuk pasukan Harimau Malaya.

    “Program yang julung kali ini diadakan dalam konteks pertandingan bola sepak di peringkat sekolah seluruh negara, dengan lapan pasukan terbaik dari setiap daerah akan menyertai pertandingan ini dan kita akan langsungkan sehingga peringkat kebangsaan.

    Terdahulu program berkenaan dilancarkan oleh Radzi bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. – BERNAMA

  • Kes Sharnaaz Ahmad pukul dan tendang ‘guard’, polis tunggu arahan TPR

    Kes Sharnaaz Ahmad pukul dan tendang ‘guard’, polis tunggu arahan TPR

    POLIS sedang menunggu arahan selanjutnya selepas kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini berhubung pelakon, Sharnaaz Ahmad yang didakwa menumbuk dan menendang penghuni sebuah kondominium di Segambut, Kuala Lumpur.

    Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, pihaknya sudah melengkapkan kertas siasatan dan dirujuk ke TPR hari ini untuk mendapatkan keputusan kesalahan apa yang akan dituduh di mahkamah ke atas suspek.

    “Setakat ini, polis masih menunggu keputusan arahan daripada TPR. Pelakon terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis pukul 12 tengah hari ini selepas direman tiga hari bagi membantu siasatan.

    “Suspek ditahan selepas mangsa yang juga penghuni kondominium tampil membuat laporan polis mendakwa dipukul suspek dan lebam di mukanya,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Eng Lai berkata, kejadian bermula apabila mangsa yang juga bekerja sebagai pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.

    “Bagaimanapun rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan di kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.

    “Kebetulan ketika kejadian itu, pelakon terbabit yang melihat insiden terbabit datang menegur mereka sebelum bertukar sebaliknya apabila dia didakwa bertindak menumbuk mangsa,” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan, pelakon lelaki direman tiga hari selepas disyaki menumbuk dan menendang pengawal keselamatan di kondominium di Segambut.

    Suspek berusia pertengahan 30-an yang juga penghuni di kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa dalam kejadian pada pukul 8.30 malam, Khamis lalu.

  • Remaja perempuan hilang di Bercham, ditemukan di Selangor

    Remaja perempuan hilang di Bercham, ditemukan di Selangor

    SEORANG remaja perempuan yang dilaporkan hilang di Bercham di sini sejak seminggu lepas, ditemukan selamat di Selangor hari ini.

    Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata Maizatul Asikin Abdullah, 16, ditemukan orang awam di sebuah restoran di Sungai Buloh, kira-kira 3 petang.

    “Pihak kami dalam perjalanan membawanya pulang ke sini (Ipoh),” katanya, lapor Bernama.

    Yahaya turut menzahirkan penghargaan kepada media dan orang awam yang memberi kerjasama kepada pihak polis berkaitan kehilangan remaja itu.

    Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis memaklumkan Maizatul Asikin kali terakhir dilihat berada di rumah pada pagi 8 Jun lepas.

  • Korea Utara sahkan kes pertama COVID-19

    Korea Utara sahkan kes pertama COVID-19

    KOREA Utara pada Khamis mengesahkan kes COVID-19 yang pertama dalam tempoh lebih dua tahun, lapor Xinhua memetik laporan rasmi Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

    Media kerajaan berkata, sampel telah dikumpul daripada sekumpulan pesakit pada Ahad dan mengesan terdapatnya jangkitan melibatkan subvarian Omicron dikenali BA.2.

    Menurut KCNA, ia sebagai “insiden kecemasan negara paling buruk.” – BERNAMA