Tag: cacar monyet

  • Cacar monyet: WHO sahkan jangkitan pertama manusia ke haiwan

    Cacar monyet: WHO sahkan jangkitan pertama manusia ke haiwan

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa individu dijangkiti cacar monyet agar mengasingkan diri mereka daripada haiwan selepas mengesan jangkitan pertama antara manusia dan haiwan.

    Menurut jurnal perubatan Lancet, kes melibatkan dua lelaki dan anjing baka greyhound mereka di Paris yang dilaporkan minggu lalu.

    Lapor The Guardian, Ketua teknikal tindak balas cacar monyet di WHO, Dr Rosamund Lewis, perkara itu belum pernah dilaporkan sebelum ini dan pihaknya percaya ia adalah kejadian pertama.

    Pakar kesihatan berkata, ia merupakan kes pertama seumpamanya dan menegaskan adalah penting untuk mengasingkan diri daripada haiwan peliharaan yang dijangkiti.

    WHO juga memberi amaran tentang keperluan untuk membuang sampah dengan berhati-hati bagi mengurangkan risiko menjangkiti haiwan lain.

    Bagaimanapun, setakat ini tiada bukti bahawa anjing boleh menularkan penyakit itu kepada anjing lain atau manusia.

    Cacar monyet merebak melalui sentuhan kulit ke kulit dan juga apabila seseorang menyentuh kain seperti pakaian, cadar atau tuala, yang telah digunakan individu dijangkiti virus itu.

    Kira-kira 35,000 kes cacar monyet kini telah disahkan di seluruh dunia dengan kebanyakannya di Eropah dan Amerika Utara dan Selatan dengan 12 kematian yang dikaitkan dengan wabak itu.

    Cacar monyet diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan awam global oleh WHO pada Julai lalu.

    Bekalan vaksin untuk melindungi daripada cacar monyet kini terhad di seluruh dunia.

    Terdapat peningkatan 20 peratus dalam kes yang dilaporkan sepanjang minggu lalu yang juga 20 peratus lebih daripada minggu sebelumnya.

    Kebanyakan kes adalah pada lelaki homoseksual dan pakar kesihatan global menekankan kepentingan untuk semua negara memberi maklumat kepada komuniti ini untuk membantu melindungi kesihatan mereka.

    Isu haiwan yang dijangkiti virus itu perlu dipantau dengan teliti kerana virus ini telah wujud.

    Cacar monyet telah menunjukkan kebolehan untuk menjangkiti pelbagai jenis mamalia termasuk tupai, tikus, monyet dan manusia.

  • Wanita kes kelima cacar monyet Thailand

    Wanita kes kelima cacar monyet Thailand

    SEORANG wanita tempatan berusia 25 tahun disahkan pesakit terbaharu cacar monyet di Thailand, menjadikan jumlah kes setakat ini mencecah lima orang.

    Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Dr. Opas Karnkawinpong berkata wanita itu mempunyai sejarah perjalanan ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu dan dipercayai dijangkiti sebelum tiba di sini.

    “Wanita itu mengalami gejala sebelum tiba di Thailand.

    “Setibanya di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, wanita itu dikesan mengalami simptom ketara dan ruam di badannya.

    “Dia kemudiannya dibawa ke hospital. 

    “Ujian makmal mengesahkan wanita itu positif cacar monyet,” katanya.

    Pihak berkuasa kesihatan telah mengenal pasti dua penumpang warga asing yang duduk bersebelahan wanita itu dan telah dikategori sebagai kontak rapat.

    “Pegawai kesihatan sedang mengesan para penumpang itu dalam usaha membendung penularan cacar monyet,” katanya.

    Thailand melaporkan kes pertama cacar monyet melibatkan seorang warga Nigeria berusia 27 tahun di Phuket, pada 18 Julai.

    Bagaimanapun, lelaki itu melarikan diri selepas dimaklumkan keputusan ujiannya. 

    Dia kemudiannya ditemui di Phnom Penh dan dirawat di hospital.- BERNAMA

  • Cacar monyet: AS isytihar darurat kesihatan awam

    Cacar monyet: AS isytihar darurat kesihatan awam

    KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai darurat kesihatan awam berikutan peningkatan jangkitan di negara itu.

    Lapor BBC, keputusan itu akan membantu mempercepatkan agihan vaksin, rawatan dan sumber persekutuan untuk membendung penularan virus itu.

    Pengumuman itu berlaku kurang daripada dua minggu selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran kecemasan tertinggi berikutan lonjakan kes di seluruh dunia.

    Di AS menurut pegawai kesihatan, jangkitan cacar monyet telah melebihi 6,600 kes.

    Satu perempat daripada kes itu dilapor berlaku di New York, yang mengisytiharkan daruratnya sendiri berhubung penyakit itu minggu lalu.

    Kedua-dua negeri dengan beban kes tertinggi ialah California dan Illinois yang mengisytiharkan darurat awal minggu ini.

    Lebih 26,000 kes cacar monyet disahkan di seluruh dunia tahun ini, berdasarkan data dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

    Beberapa pakar kesihatan awam menyatakan kebimbangan bahawa pengisytiharan darurat kesihatan boleh menjejaskan lagi penyakit itu.

    Walaupun sesiapa sahaja boleh dijangkiti cacar monyet, wabak itu banyak tertumpu di kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks sejenis.

    Namun ia bukan semata-mata jangkitan seksual (STI) yang mana cacar monyet boleh disebarkan melalui kontak rapat dengan orang yang dijangkiti.

    Cacar monyet mengakibatkan gejala seperti demam, sakit badan, menggigil, keletihan dan lepuhan kulit seperti jerawat pada banyak bahagian badan.

    “Kami bersedia mengambil tindak balas seterusnya dalam menangani virus ini dan dengan itu, kita menggesa setiap rakyat AS mengambil serius mengenai cacar monyet,” kata Ketua Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS) AS, Xavier Becerra.

    Pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, menghadapi kritikan mengenai kurangnya akses kepada vaksin dan usaha membendung cacar monyet.

    Virus cacar monyet merebak melalui sentuhan kulit ke kulit yang berpanjangan, termasuk memeluk, berpelukan dan mencium, serta berkongsi peralatan tempat tidur, tuala atau pakaian.

    Cacar monyet menjadi endemik di sebahagian kawasan Afrika, yang mana orang ramai dijangkiti melalui gigitan tikus atau haiwan kecil.

    Namun pada Mei lalu, muncul gelombang kes tidak dijangka yang merebak ke Eropah dan AS.

  • Fasiliti kesihatan diminta peka situasi semasa cacar monyet

    Fasiliti kesihatan diminta peka situasi semasa cacar monyet

    BERIKUTAN pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jangkitan cacar monyet kini adalah Kejadian Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan semua fasiliti kesihatan agar peka dengan situasi semasa cacar monyet serta meningkatkan pengesanan kes dalam kalangan pesakit yang berisiko.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata, sebanyak sembilan kes disyaki cacar monyet telah dinotifikasi kepada KKM setakat 23 Julai dan kesemuanya disahkan negatif.

    Beliau berkata, pengembara bukan warganegara hendaklah mengisi pas kembara dalam aplikasi MySejahtera dan pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan cacar monyet akan menerima pop-up mesej kesihatan setiap hari melalui MySejahtera untuk mengingatkan mereka agar memantau gejala jangkitan cacar monyet dan status kesihatan.

    “Pengembara yang tiba dari negara terbabit dinasihatkan memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan cacar monyet untuk tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia,” katanya.

    Gejala cacar monyet adalah seperti demam, keletihan, ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian tubuh lain, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

    Dalam tempoh 1 Mei 2022 hingga 23 Julai lepas, seramai 531,630 pengembara direkodkan tiba dari negara yang melaporkan kes cacar monyet dan aplikasi MySejahtera telah mengeluarkan Health Alert cacar monyet kepada kesemua pengembara, katanya.

    “KKM menyeru individu yang mempunyai gejala cacar monyet untuk segera ke fasiliti kesihatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. Elakkan daripada kontak dengan orang lain bagi mengelakkan penularan jangkitan,” katanya.

    Khairy berkata, pengendali premis yang menyediakan perkhidmatan melibatkan kontak kulit dengan pelanggan seperti spa dan urutan diminta untuk sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran, serta memastikan pelanggan sihat, tidak mengalami gejala cacar monyet dan tiada ruam makulopapular (ruam kulit).

    Virus cacar monyet boleh disebarkan melalui sentuhan langsung dengan ruam atau lesi yang terjadi pada kulit, sama ada lesi yang baharu atau sudah menjadi kuping ataupun cairan daripada lesi tersebut.

    Khairy berkata, KKM telah meningkatkan kapasiti makmal dalam negara daripada dua kepada 12 makmal yang boleh menjalankan ujian pengesanan virus cacar monyet, iaitu lapan adalah makmal kerajaan dan empat makmal swasta.

    KKM juga mewujudkan survelan sentinel di beberapa klinik swasta dan kerajaan bagi memantau kejadian penyakit ruam atau lesi kulit selain meningkatkan survelan di pintu masuk antarabangsa negara, katanya.

    Pada 23 Julai, WHO telah mengisytiharkan wabak cacar monyet sebagai PHEIC berdasarkan beberapa faktor antaranya peningkatan mendadak jumlah kes yang dilaporkan oleh negara bukan endemik cacar monyet, selain bukti dan data saintifik berkaitan jangkitan tersebut.

    Pada 17 Jun lepas, sebanyak 2,103 kes cacar monyet dilaporkan berlaku di 42 negara dengan satu kematian.

    Kes cacar monyet pertama kali dilaporkan oleh WHO pada 15 Mei 2022. – BERNAMA

  • WHO isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan global

    WHO isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan global

    PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, iaitu tahap amaran tertinggi bagi sesuatu penyakit.

    Ketua pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata, keputusan itu dibuat meskipun badan penasihat tidak bersetuju dengan penilaian, lapor Agensi Anadolu.

    Dengan sembilan ahli jawatankuasa menentang manakala enam lagi menyokong, Tedros berkata keputusannya adalah sebagai “pemecah seri.”

    Beliau berkata, lebih 16,000 kes dan lima kematian telah dilaporkan di 75 negara dan wilayah.

    “Menurut penilaian WHO, risiko cacar monyet adalah sederhana di seluruh dunia, kecuali di rantau Eropah, penilaian risiko berada pada tahap tinggi.

    “Wabak telah merebak dengan cepat di seluruh dunia, melalui kaedah penyebaran baharu, dan kami mempunyai maklumat yang terhad mengenai hal itu.

    “Walaupun saya mengisytiharkan kecemasan kesihatan global, wabak itu setakat ini menjangkiti golongan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, terutama mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual,” kata Tedros.

    Beliau menegaskan bahawa wabak itu boleh dihentikan menerusi kaedah dan strategi yang betul membabitkan kumpulan itu.

    “Oleh itu adalah penting untuk semua negara bekerjasama rapat dengan komuniti itu, untuk menyampaikan maklumat dan perkhidmatan secara berkesan, dan untuk menerima pakai langkah-langkah melindungi kesihatan,” katanya.

    Tedros turut menyeru masyarakat sivil, termasuk mereka yang berpengalaman bekerja dengan penghidap HIV, untuk bekerjasama dengan WHO memerangi stigma dan diskriminasi.

    “Dengan kaedah yang dimiliki sekarang, kita boleh menghentikan penularan dan mengawal wabak ini,” katanya. – BERNAMA

  • Virus cacar monyet boleh tular melalui hubungan seks

    Virus cacar monyet boleh tular melalui hubungan seks

    VIRUS cacar monyet dikhuatiri boleh menular melalui hubungan seks, menurut pihak berkuasa kesihatan United Kingdom (UK).

    Sehubungan itu, agensi-agensi kesihatan di negara berkenaan menasihatkan mereka yang dijangkiti virus tersebut agar tidak melakukan hubungan seks.

    Memetik laporan Mirror, nasihat itu terkandung dalam panduan terkini yang disedakan empat agensi kesihatan awam iaitu Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA), Kesihatan Awam Scotland (PHS), Kesihatan Awam Wales (PHW) dan Agensi Kesihatan Awam Ireland Utara (PHA).

    Mereka turut menasihatkan agar pesakit cacar monyet yang telah sembuh mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai kondom ketika melakukan hubungan seks.

    “Pesakit mesti menahan diri daripada melakukan hubungan seks pada peringkat awal simptom dikesan dan mengelakkan sentuhan dengan cacar.

    “Walaupun tiada bukti yang menunjukkan cacar monyet boleh disebarkan melalui sperma, sebagai langkah berjaga-jaga, pesakit dinasihatkan memakai kondom dalam masa lapan minggu selepas dijangkiti,” jelasnya.

    Sebelum ini, mereka menyatakan bahawa cacar monyet disebarkan melalui sentuhan fizikal, khususnya menerusi cacar dan kudis pesakit.

    “Pesakit cacar monyet perlu mengelakkan sentuhan dengan orang lain sehingga cacar mereka sembuh dan kudis menjadi kering.

    “Mereka boleh mengurangkan risiko penularan virus dengan mematuhi kaedah pembersihan dan nyahjangkitan standard serta mencuci pakaian dan alas tilam dengan sabun secara berasingan,” tambahnya.

    Pihak berkuasa kesihatan UK turut menasihatkan pesakit cacar monyet agar mengasingkan diri di rumah sehingga mereka sembuh.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran, jumlah kes cacar monyet di seluruh dunia mungkin lebih tinggi kerana dipercayai banyak kes yang tidak dilaporkan.