Tag: bunuh

  • Kejam! Warga emas maut dibelasah batang cangkul

    Kejam! Warga emas maut dibelasah batang cangkul

    SEORANG warga emas maut selepas dipercayai dipukul dengan batang cangkul dalam satu kejadian di sebuah rumah di Jalan Abi Tok Hashim, di Kangar kira-kira 10 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, mangsa Yeen Baai, 72, ditemukan terbaring di hadapan pintu bilik rumah itu oleh adiknya yang tinggal tidak jauh dari rumah mangsa.

    Wari berkata, selepas kejadian bunuh itu, adik mangsa didatangi seorang lelaki berusia 34 tahun yang dikenalinya.

    “Adik mangsa memberitahu polis bahawa suspek yang dipercayai dalam keadaan mabuk ketika itu telah meminta untuk melihat keadaan mangsa kerana kepalanya berdarah.

    “Saksi bersama lelaki itu kemudian pergi ke rumah mangsa yang jaraknya lebih kurang 30 meter dan memasuki rumah itu sebelum menemukan mangsa terbaring dengan kesan darah di bahagian kepala,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, saksi turut melihat serpihan sebatang cangkul yang telah patah di sisi mangsa sebelum bertindak menghubungi polis. 

    Wari berkata siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di rumah itu dan kerap didatangi suspek yang ingin meminta rokok daripadanya.

    “Mangsa akan melayan suspek dan membenarkan suspek masuk ke rumah dan menghisap rokok bersama. Punca kejadian dipercayai disebabkan isu meminta rokok dan duit oleh suspek,” katanya.

    Katanya, suspek yang juga seorang penganggur telah ditahan tidak lama selepas itu dan mengakui terlibat dalam kejadian tersebut.

    “Suspek yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau direman enam hari bermula hari ini,” katanya. – BERNAMA

  • Bekas tentera maut dipukul bertubi-tubi anak sendiri

    Bekas tentera maut dipukul bertubi-tubi anak sendiri

    SEORANG pesara tentera meninggal dunia selepas dicederakan dengan pisau pemotong kek selain dipukul bertubi-tubi oleh anak lelakinya yang dipercayai mempunyai masalah kesihatan mental, dalam kejadian Rabu lepas di rumah mereka di Kampung Jenderam Hulu, di Sepang.

    Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek yang berumur 48 tahun itu, sedang mengamuk ketika polis tiba di lokasi kejadian kira-kira 7 malam.

    “Pihak polis kemudiannya menahan lelaki itu yang juga merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU), di pekarangan rumah berkenaan.

    “Mangsa, 73, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu dengan kesan kecederaan teruk pada bahagian muka, dipercayai dipukul bertubi-tubi oleh suspek, selain cedera pada bahagian dada dan kedua-dua belah tangan,” katanya dalam sidang media berkaitan Operasi Cegah Jenayah di sini hari ini.

    Wan Kamarul Azran berkata, suspek dipercayai mengamuk kerana sudah lama tidak mengambil ubat penenang yang dibekalkan pihak hospital.

    Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan suspek yang ditahan bersama senjata yang digunakan, sedang menjalani tahanan reman sehingga esok.

    Tambahnya suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – BERNAMA

  • Ibu kanak-kanak mati didera ada lapan anak

    Ibu kanak-kanak mati didera ada lapan anak

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    WANITA yang disyaki terlibat dalam kejadian mendera anak sehingga mati bersama teman lelakinya di Taman Nusa Bistari, Johor Bahru memiliki lapan orang anak hasil beberapa perkahwinan sebelum ini.

    Bagaimanapun, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, perkahwinan tersebut tidak didaftar oleh suspek yang sebelum ini bekerja di Singapura sebagai tukang cuci.

    “Difahamkan, dia sudah beberapa kali berkahwin tetapi tidak mendaftar. Hasil perkahwinan itu, wanita itu mempunyai lapan orang cahaya mata,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Kelmarin, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun maut dipercayai didera ibu kandung dan kekasih ibunya sejak Jun lalu di rumah sewa mereka di Taman Nusa Bistari, di sini.

    Pihak polis mendapat maklumat tentang kejadian itu selepas menerima panggilan daripada petugas Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengenai kematian kanak-kanak itu, kira-kira pukul 12.20 tengah hari, Jumaat.

    Pemeriksaan awal oleh pihak HSA terhadap mangsa mendapati kanak-kanak itu sudah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

    Sementara itu, Ayob Khan berkata, kertas siasatan terhadap kes terbabit sedang dilengkapkan pihaknya sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

    Katanya, wanita dan teman lelakinya yang berusia 35 dan 32 tahun itu kini direman sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

    “Mereka direman selama tujuh hari sehingga 10 Disember ini. Selain pasangan kekasih itu, tiada tangkapan lain dibuat,” katanya.

    Ayob Khan berkata, mayat kanak-kanak terbabit masih berada di Unit Forensik HSA dan belum dituntut pihak keluarga.

    Sementara itu, dalam kes penemuan mayat kanak-kanak di Sungai Kampung Desa Makmur berdekatan Jalan Anggerik Putih Majidee, di sini, semalam, beliau berkata, tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.

    “Mayat yang kita jumpa ini ada organ yang hilang, kaki pun sudah tiada. Jadi kita masih tunggu laporan lengkap bedah siasat. Setakat ini tidak dapat kesan jantina, bangsa dan sebagainya dan setakat ini juga tiada elemen jenayah ditemukan,” katanya.

  • Penagih dadah mati dilanggar lori lepas kelar leher ibu

    Penagih dadah mati dilanggar lori lepas kelar leher ibu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ANAK jenis apakah yang tergamak mengelar leher ibunya selain memotong cuping telinga wanita yang menanggung segala kesusahan sepanjang mengandungkannya selama sembilan bulan 10 hari?

    Seorang warga emas maut akibat dikelar di leher oleh anak kandungnya sendiri yang merupakan seorang penagih dadah serta pesakit mental di rumah mereka di Kampung Batu 5, Sik, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat mangsa, Sarah Jon, 70 ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar di leher selain kecederaan di tangan serta telinga.

    Menurutnya, suspek yang berusia 31 tahun pula bertindak membunuh diri tidak lama selepas kejadian itu berlaku.

    Anggota forensik polis memeriksa lokasi kejadian seorang wanita maut selepas leher dikelar anaknya sendiri di Kampung Batu 5, Sik, Kedah, hari ini.

    “Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 6.30 hingga 7 pagi. Hasil temu bual bersama ahli keluarga dan jiran, kedua-dua mereka dipercayai telah tinggal berdua di rumah tersebut sejak 10 tahun lalu.

    “Kedua-duanya dikatakan memang selalu bergaduh terutamanya melibatkan soal wang. Selain mayat mangsa, kami turut menemukan peralatan menghisap dadah selain baki dadah jenis syabu berhampiran pintu masuk utama rumah tersebut” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada tanda-tanda rumah itu dipecah masuk.

    “Terdapat kesan kelar sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter di leher mangsa. Suspek dipercayai menggunakan pisau tumpul dalam kejadian itu bagaimanapun senjata tersebut masih belum ditemukan,” katanya.

    Mengulas mengenai kematian suspek, Adzli berkata lelaki itu yang merupakan pesakit mental dan memiliki enam rekod jenayah lampau dipercayai menunggang motosikal sejauh satu kilometer dari rumah tersebut sebelum berhenti di tepi jalan.

    “Apabila sebuah lori tangki lalu di situ, dia tiba-tiba masuk ke tengah jalan mengakibatkan sebahagian badannya hancur akibat dilanggar,” katanya.

    Tambahnya setakat ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.

  • Keputusan kes bunuh Zulfarhan esok, apa nasib 18 tertuduh?

    Keputusan kes bunuh Zulfarhan esok, apa nasib 18 tertuduh?

    NASIB 18 penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain akan diketahui esok sama ada mereka didapati bersalah atas pertuduhan itu atau dibebaskan.

    Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah dijangka membacakan keputusan di akhir kes pembelaan pada 10 pagi esok.

    Pada 8 April lepas, pembelaan menutup kesnya selepas memanggil 18 penuntut UPNM dan dua saksi lain iaitu Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh Dr Rohayu Shahar Adnan dan penuntut UPNM Muhammad Alif Farhan Aerosni pada prosiding membela diri yang bermula 2 Okt 2019.

    Pendakwaan telah mengemukakan 31 orang saksi termasuk Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang Dr Salmah Arshad serta dua saksi yang melihat perbuatan menekap seterika wap ke badan mangsa iaitu Ahmad Senabil Mohd dan Mohd Syafiq Abdullah, kedua-duanya penuntut UPNM, pada perbicaraan yang bermula 29 Jan 2018.

    Kes itu dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh bersama Timbalan Pendakwa Raya N. Joy Jothi manakala barisan peguam yang mewakili tertuduh ialah Datuk Ranjit Singh Dhillon, Amer Hamzah Arshad, Datuk Hazman Ahmad, Zamri Idrus, Fadly Hashim, Datuk Seri M Ramachelvam dan Datuk Hazizah Kassim.

    Pada 31 Julai 2019, Mahkamah Tinggi memerintahkan 18 pelajar UPNM, yang kesemuanya berusia 25 tahun, membela diri terhadap pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan Osman selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap 18 tertuduh itu.

    Lima tertuduh iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri berdepan pertuduhan membunuh Zulfarhan manakala Abdoul Hakeem Mohd Ali didakwa bersubahat membunuh.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 4.45 pagi hingga 5.45 pagi, 22 Mei 2017.

    Pertuduhan adalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan manakala Abdoul Hakeem didakwa mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

    Mereka bersama 12 lagi iaitu Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif, Muhammad Adib Iman dan Mohamad Syazwan juga diperintah membela diri atas pertuduhan mencederakan mangsa.

    Mereka dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa, untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia telah mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam bilik 03-05, blok penginapan asrama Jebat universiti itu di Kem Perdana, Sungai Besi antara 2.30 pagi hingga 5.30 pagi 21 Mei 2017.

    Zulfarhan Osman meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. – BERNAMA

  • Gadis 17 tahun mati, polis tahan abang ipar

    Gadis 17 tahun mati, polis tahan abang ipar

    POLIS menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga adik ipar suspek, di sekitar Kota Bharu, petang semalam.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, suspek berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pemotong kelapa sawit ditahan anggota polis pada pukul 4 petang.

    Beliau berkata, Jumaat lepas polis menerima laporan mengenai kematian seorang remaja di Bunut Susu, Pasir Mas pada pukul 6.30 petang, dan hasil bedah siasat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) semalam mengesahkan punca kematian adalah disebabkan ‘Asphyxia’ (Lemas).

    “Kesan luka dikesan pada bahagian muka, tengkuk remaja itu, di samping kesan koyakan baharu pada kemaluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Shafien berkata, hasil siasatan fizikal ke atas tubuh badan suspek pula menemukan kesan calar pada bahu kiri bahagian belakang disyaki berpunca daripada cakaran kuku.

    “Ekoran tangkapan itu polis mendapat perintah tahanan reman ke atas suspek selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA

  • Askar, peniaga dituduh bunuh pesara tentera

    Askar, peniaga dituduh bunuh pesara tentera

    DUA lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pesara tentera dua minggu lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh anggota tentera berpangkat Pegawai Waran, Mohd Hafidz Ibrahim, 34, dan peniaga, Muhammad Ahmad Md Yusoff, 31, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Farah Syahidah Mohd Noh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mereka didakwa bersama-sama dalam mencapai niat bersama telah membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohd Zaki Md Aluwee, 42, di kawasan hutan kira-kira 60 meter dari Jalan Kubu Gajah-Lenggong di Selama antara pukul 5.30 petang hingga 10.50 malam, 10 Okt lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama dengan Seksyen 34 kanun sama memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Insp Roslan Mohd Suki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudian menetapkan 9 Dis depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat. – BERNAMA

  • Lelaki tetak mati ibu, bapa dirujuk ke Hospital Permai

    Lelaki tetak mati ibu, bapa dirujuk ke Hospital Permai

    SEORANG penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lipis hari ini atas pertuduhan membunuh ibu dan bapa kandungnya, minggu lalu.

    Tertuduh, Ahmad Hafizuddin Mohammad, 31, mengangguk faham terhadap pertuduhan ketika dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh bapanya Mohammad Maasai, 68, dan ibu, Zailan Zainudin, 64, di sebuah rumah di Kampung Kemahang Benta, di sini antara 11 malam hingga 12 tengah malam pada 4 Okt lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Pada prosiding berkenaan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh memohon agar tertuduh dirujuk ke hospital, bagi menjalani pemeriksaan psikiatri untuk menilai tahap kesihatan mentalnya.

    Berikutan itu Siti Aisyah membenarkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai di Johor bagi menjalani pemeriksaan dan menetapkan 11 Nov untuk sebutan semula kes.

    Media sebelum ini melaporkan, sepasang suami isteri warga emas maut dipercayai ditetak anak lelaki mereka dengan menggunakan parang dan kejadian didakwa berlaku selepas lelaki itu berbual bersama bapanya mengenai ilmu agama dan ketuhanan. – BERNAMA

  • Lelaki tempatan maut ditetak dalam bilik sewa

    Lelaki tempatan maut ditetak dalam bilik sewa

    SEORANG lelaki tempatan berusia 40 tahun ditemukan mati dipercayai dibunuh di bilik sewanya di Taman Serdang Utama, Seri Kembangan, Kuala Lumpur petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, mayat lelaki itu ditemukan terbaring dengan beberapa kesan tetakan pada kepala, rusuk kanan, belakang badan dan kedua-dua lengan.

    Polis menerima panggilan kecemasan daripada seorang wanita pada pukul 6.13 petang semalam yang memaklumkan seorang lelaki telah meninggal dunia di biliknya.

    “Lelaki yang masih bujang itu merupakan pekerja kedai perabut dan menyewa di bilik berkenaan sejak lima tahun lepas.

    “Dalam rumah berkenaan terdapat beberapa bilik lain yang dipisahkan dengan papan dan disewa kepada penyewa yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan. – BERNAMA

  • Pandu lawan arus: Pegawai pemasaran didakwa bunuh 2 remaja

    Pandu lawan arus: Pegawai pemasaran didakwa bunuh 2 remaja

    SEORANG pegawai pemasaran syarikat swasta yang memandu secara melawan arus sehingga menyebabkan kematian dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan membunuh.

    K. Devaaswin, 24, didakwa membunuh Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19, di Kilometer (KM) 8.6 Lebuhraya Persekutuan arah Klang ke Kuala Lumpur, di Shah Alam pada 1.20 pagi, 12 Sept lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Majistret Nur Faizah Abdul Sani menetapkan 21 Okt untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar manakala Devaaswin diwakili peguam Pushpa Ratnam dan R. Thanuja.

    Media sebelum ini melaporkan dua remaja maut selepas kereta jenis Proton Wira dinaiki mereka bertembung dengan sebuah Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki secara melawan arus di Lebuhraya Persekutuan dekat sini.- BERNAMA