MENYEDARI betapa pentingnya platform digital dalam bidang perniagaan dan sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada ekonomi negara, kerajaan telah mengambil pelbagai langkah proaktif sejak tahun lalu untuk melonjakkan sektor berkenaan dan merancakkan semula pasaran domestik seiring dengan usaha memperkasa agenda digitalisasi perniagaan.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelbagai inisiatif bantuan telah disalurkan kepada PMKS menerusi lapan Pakej Rangsangan Ekonomi sebelum ini antaranya Geran Khas Prihatin, Skim Pembiayaan PKS, Kempen e-Dagang dan pinjaman mikro kredit khusus untuk membantu para usahawan supaya dapat kekal berdaya saing dalam mendakap transformasi digital.

Menurutnya, pada 19 Februari lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan beliau juga telah melancarkan MyDigital, yang merangkumi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia iaitu pelan halatuju transformasi digital yang mampu mengupayakan sektor perniagaan untuk bersaing di pentas global.

“Di bawah inisiatif MyDigital, kerajaan menetapkan sasaran untuk memperkasa setiap rakyat Malaysia menerusi peningkatan literasi atau tahap celik digital, yang akan memperbaiki kehidupan mereka dalam setiap aspek.

“Ini termasuk mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam ekonomi digital, memudahkan urusan perbankan dan kewangan tanpa tunai, menyediakan akses pendidikan secara maya serta kemudahan perubatan sehingga ke pekan terpencil,” katanya.

Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pendigitalan Perniagaan, Produk Smart Bio Sureco dan Buletin Yayasan Penggerak Wawasan, hari ini.

Muhyiddin menambah, untuk merancakkan inovasi dan mewujudkan sebuah ekosistem digital yang berkesan, kerajaan dengan usahasama swasta akan membina empat prasarana digital penting bagi memantapkan rangkaian kesalinghubungan yang amat diperlukan dalam ekonomi digital.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, usahawan perlu sentiasa peka dan bijak merebut peluang yang muncul daripada teknologi dan model perniagaan bentuk baharu yang kini menguasai ekonomi dunia termasuk dalam negara ini.

“Sikap tidak mengenal erti jemu di samping kemahuan untuk terus belajar juga mesti disemai dalam kalangan usahawan untuk sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu baharu seperti kaedah pemasaran digital dan penyampaian maklumat produk secara efektif agar tidak ketinggalan dalam arus teknologi yang pesat berkembang mutakhir ini,” jelasnya.

Katanya, golongan Bumiputera turut memainkan peranan yang penting dalam aspek memacu ekonomi negara justeru di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Agenda Memperkasa Bumiputera akan menjadi satu daripada sembilan fokus utama kerajaan dalam memacu pertumbuhan ekonomi.

Muhyiddin berkata, untuk itu, daya tahan dan kemampanan perniagaan Bumiputera akan dipertingkatkan bagi mencapai sasaran 15 peratus sumbangan PMKS Bumiputera kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2025.

“Pencapaian ini akan disokong melalui penyediaan pembiayaan dan pelaksanaan program baharu termasuk memastikan penyertaan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi bidang ekonomi digital.

“Oleh itu, saya berharap para usahawan Bumiputera dapat terus menyerlahkan potensi masing-masing tidak kira dalam apa jua bidang perniagaan yang diceburi,” ujarnya.

Beliau menambah, bagi menyokong agenda digitalisasi usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kerajaan semasa pimpinannya telah menyediakan pelbagai bantuan dan dana antaranya geran padanan sehingga RM5,000 bagi pembelian sistem atau langganan platform digital selain kemudahan mikrokredit yang disediakan oleh Bank Simpanan Nasional dan Agrobank.

“Saya harap semua dana ini dapat memenuhi keperluan PKS dan PMKS dalam menggerakkan semula perniagaan masing-masing,” ujarnya.

Muhyiddin amat yakin pelbagai langkah dan usaha tambahan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara dalam situasi pandemik ketika ini.

“Di sini, peranan Majlis Pemulihan Negara yang saya pengerusikan akan menjadi lebih penting untuk memastikan usaha-usaha pemulihan ekonomi negara dapat direalisasikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here