Tag: bunuh

  • Polis tahan lelaki disyaki ancam bunuh Agong

    Polis tahan lelaki disyaki ancam bunuh Agong

    SEORANG lelaki yang dipercayai membuat hantaran berbaur ancaman bunuh terhadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah ditahan polis.

    Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi hari ini mengesahkan penahanan tersebut.

    Tanpa mendedahkan butiran lanjut, Arjunaidi berkata pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media dalam masa terdekat berhubung kes berkenaan.

    Semalam, tular menerusi media sosial tangkap layar Instagram Story dipercayai milik seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang mempersoalkan kewibawaan dan mengancam keselamatan Seri Paduka Baginda.

    Tindakan lelaki berkenaan mengundang kemarahan orang awam dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atasnya. – BERNAMA

  • Lelaki gelandangan maut dipercayai dipukul

    Lelaki gelandangan maut dipercayai dipukul

    SEORANG lelaki warga emas dipercayai gelandangan, maut dipukul di lorong berhampiran kaki lima Jalan Leong Sin Nam di sini awal pagi tadi.

    Difahamkan, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian melibatkan mangsa berusia 68 tahun itu pada kira-kira 5.20 pagi tadi.

    Mangsa dipercayai dipukul serta ditendang dan polis telah menahan suspek yang juga gelandangan berusia 51 tahun dalam masa yang singkat.

    Ketua Polis Perak Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dalam kenyataan berkata pemeriksaan awal ke atas badan mangsa mendapati terdapat kesan luka di bahagian dagu disebabkan senjata tajam dan calar di kedua-dua tangan.

    “Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

    Mohd Yusri berkata suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Sabtu depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Tinjauan Bernama di lokasi kejadian pagi ini mendapati masih terdapat kesan darah di lorong jalan itu dipercayai milik mangsa.

    Seorang wanita yang bekerja di restoran berhampiran yang enggan dikenali memberitahu dia terdengar bunyi bising dan kaca pecah seperti berlaku pergaduhan ketika menyiapkan makanan pada kira-kira 5 pagi.

    “Saya terus keluar untuk melihat kejadian dan menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan untuk mangsa itu yang biasa dilihat tidur di sekitar kawasan ini,” katanya.- BERNAMA

  • Kerani didakwa bunuh anak kandung

    Kerani didakwa bunuh anak kandung

    SEORANG kerani syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia enam bulan di sebuah rumah di Kampung Klang Gate, bulan lepas.

    Zainah Misdin, 34, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amalina Basirah Md Top.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Wanita itu didakwa bersama-sama seorang individu yang masih bebas, membunuh bayi berkenaan di sebuah rumah di Jalan Seladang 2 Kampung Klang Gate di sini pada 7.40 malam, 23 Ogos lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah menetapkan 6 Dis ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Ameera Sam Kamaruddin manakala tertuduh diwakili peguam Swinder Singh.

    Pada 30 Ogos lepas, media melaporkan seorang wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes kematian bayi lelaki berusia enam bulan.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata dalam kejadian itu pegawai perubatan hospital telah menerima pesakit seorang bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat muntah dan sawan, namun disahkan meninggal dunia pada 4.30 petang, 29 Ogos lepas.- BERNAMA

  • Mayat lelaki dalam bonet kereta: Tujuh warga asing direman

    Mayat lelaki dalam bonet kereta: Tujuh warga asing direman

    TUJUH warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang lelaki tempatan dalam bonet kereta di Jalan Tugu di sini, semalam.

    Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata permohonan reman sehingga 5 Sept itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi ini.

    “Kebenaran reman ini akan membantu polis dalam menyiasat motif pembunuhan dan setakat hari ini tiada tangkapan baharu dilakukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Dalam pada itu, Noor Dellhan berkata proses bedah siasat mayat mangsa belum selesai dan punca kematian belum dapat dikenal pasti.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Semalam polis menahan lima lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga asing berusia 20 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat lelaki berusia 41 tahun itu.

    Media melaporkan mayat lelaki dipercayai pemandu e-hailing ditemukan dengan kaki diikat menggunakan kain serta kesan cedera pada muka dan telinga dalam bonet Perodua Bezza yang ditinggalkan di Jalan Tugu kira-kira 6.30 pagi. – BERNAMA

  • Suspek bunuh empat lelaki Islam ditahan di AS

    Suspek bunuh empat lelaki Islam ditahan di AS

    SEORANG suspek ditahan berhubung pembunuhan empat lelaki Islam sejak sembilan bulan lalu di Albuquerque, bandar terbesar di negeri New Mexico di AS, menurut polis pada Selasa.

    Polis “menjejaki kenderaan yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang lelaki Islam baru-baru ini di Albuquerque,” lapor Xinhua memetik ciapan Twitter ketua polis bandar itu Harold Medina.

    “Pemandu itu ditahan dan dia merupakan suspek utama kami bagi kes pembunuhan itu,” katanya.

    Medina bagaimanapun tidak mendedahkan identiti suspek, dan belum dapat dipastikan sama ada lelaki berkenaan adalah suspek dalam semua pembunuhan itu.

    Empat lelaki Islam terbunuh dalam serangan hendap di bandar itu sejak November, dan tiga daripada mereka ditembak mati dalam tempoh 10 hari. Pihak berkuasa percaya pembunuhan itu, yang telah mendapat perhatian di peringkat nasional dan antarabangsa, berkemungkinan mempunyai kaitan dan menyasarkan lelaki Islam berdasarkan bangsa dan agama mangsa.

    Naeem Hussain, seorang lelaki Asia Selatan berusia pertengahan 20-an, ditembak mati di tempat letak kereta pada tengah malam Jumaat, beberapa jam selepas menghadiri pengebumian Aftab Hussein, 41 tahun dan Muhammad Afzaal Hussain, 27 tahun, yang terbunuh, dalam serangan hendap berhampiran rumah mereka masing-masing pada 26 Julai dan 1 Ogos.

    Polis juga sedang menyiasat sama ada ia turut mempunyai kaitan dengan pembunuhan Mohammad Ahmadi, 62, pada November 2021. Ahmadi, seorang lelaki Islam berketurunan Asia Selatan, ditembak mati di belakang pasaraya halal milik mangsa dan abangnya.- BERNAMA

  • Ibu dipenjara 20 tahun bunuh 2 anak akibat masalah kewangan

    Ibu dipenjara 20 tahun bunuh 2 anak akibat masalah kewangan

    SEORANG ibu berusia 41 tahun dijatuhi hukuman penjara 20 tahun pada Rabu kerana membunuh dua anak lelakinya berumur 8 dan 7 tahun akibat dihimpit masalah kewangan.

    Sebuah mahkamah di selatan Seoul mendapati tertuduh, yang identitinya dirahsiakan, bersalah membunuh anaknya — di rumahnya pada April lalu, menurut Agensi Berita Yonhap.

    Dia kemudian cuba membunuh diri tetapi gagal.

    “Defendan menjalani kehidupan yang sukar dan dilanda kebimbangan, tetapi mahkamah tidak menerima alasan tertuduh,” menurut mahkamah itu.

    Mahkamah turut memaklumkan bahawa tertuduh tidak berusaha untuk mengatasi kesukaran hidup, seperti mencari pekerjaan atau mendapatkan bantuan psikoterapi. – BERNAMA

  • Kanak-kanak ditemukan mati dengan kesan jerut bukan mangsa dera

    Kanak-kanak ditemukan mati dengan kesan jerut bukan mangsa dera

    KANAK-KANAK perempuan berusia 11 tahun yang ditemukan mati dengan kesan jerut di leher dipercayai dibunuh di sebuah rumah di Taman Bukit Tropika, Yong Peng di sini, Khamis lepas didapati bukan mangsa penderaan.

    Ketua Polis Daerah Batu Pahat, ACP Ismail Dollah berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan tidak mempunyai kecederaan lampau pada badannya.

    “Tiada tanda-tanda mangsa mengalami penderaan kerana tidak mempunyai kesan kecederaan lampau di tubuh badannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata berdasarkan siasatan, punca kematian kanak-kanak itu adalah akibat dijerut di lehernya.

    Katanya, kes berkenaan masih dalam siasatan.

    Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, polis menerima maklumat awam mengenai kejadian itu pada 4.55 petang Khamis sebelum menahan ibu mangsa berusia 34 tahun bagi membantu siasatan. – BERNAMA

  • [VIDEO] Anak bekas Presiden Honduras ditembak mati

    [VIDEO] Anak bekas Presiden Honduras ditembak mati

    ANAK lelaki bekas Presiden Honduras, Porfirio Lobo Sosa, bersama tiga lagi lelaki maut ditembak di Tegucigalpa awal Khamis, menurut polis Honduras.

    Rakaman video yang dikeluarkan pihak media memaparkan lelaki bersenjata yang lengkap berpakaian seperti anggota polis telah menarik keempat-empat mangsa keluar dari sebuah kereta dan memaksa mereka berbaris menghadap dinding sebelum menembak kepala mereka.

    Kejadian berlaku pada 2 pagi waktu tempatan (0800 GMT) di tempat letak kereta bangunan Torre Morazan, lapor media tempatan.

    Mereka yang terbunuh ialah Said Omar Lobo Bonilla, anak lelaki Lobo Sosa, Luis Zelaya, anak saudara Jeneral Romeo Vasquez yang telah bersara.

    Bekas Presiden Honduras, yang memegang jawatan dari 2010 hingga 2014 menggelar penyerang sebagai “pembunuh terlatih.”

    Seorang lagi anak lelakinya yang berada dalam kenderaan lain tidak diapa-apakan. – BERNAMA

  • Lelaki ditemukan mati dipercayai dipukul isteri

    Lelaki ditemukan mati dipercayai dipukul isteri

    SEORANG lelaki ditemukan maut dipercayai akibat dipukul isterinya dalam satu kejadian di Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru pagi tadi.

    Mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu kira-kira 7.50 pagi.

    Beliau berkata, mangsa yang dikenali sebagai Lee Ming How, 44, ditemukan terbaring dalam rumah.

    “Susulan dari itu, isteri mangsa berusia 36 tahun telah ditahan dan akan dimohon reman hari ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Beliau berkata, kejadian itu turut disaksikan anak lelaki mereka, dipercayai berusia 11 tahun.

    Pasangan itu difahamkan mempunyai seorang lagi anak iaitu kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

    Raub berkata pihaknya masih menyiasat senjata dan motif kejadian serta satu kenyataan akhbar lebih lengkap akan dikeluarkan hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sementara itu, seorang penduduk Zaidah Neng, 46, berkata pasangan suami isteri itu kerap bergaduh dan wanita tersebut pernah ditahan polis sebelum ini.

    “Saya memang kenal pasangan suami isteri berkenaan, tetapi kami tidaklah terlalu rapat cuma dia selalu datang beli burger di gerai saya.

    “Wanita berkenaan baik sahaja orangnya, cuma dia seperti ada masalah mental, jadi ada ketikanya dia akan bertindak garang dan kerap marah-marah serta bercakap seorang dalam bahasa Mandarin,” katanya kepada pemberita.

    Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk siasatan lanjut kira-kira pukul 11 pagi tadi.

    Sementara itu, wanita yang ditahan tersebut didapati berada di bawah pengaruh dadah.

    Raub berkata, hasil ujian saringan ke atas wanita itu mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

    “Wanita itu juga mempunyai tiga rekod lampau iaitu dua kes berkaitan dadah dan satu kes berkaitan jenayah (mendatangkan cedera).

    “Hasil siasatan mendapati motif pembunuhan dipercayai wanita itu berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Raub berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes itu untuk membantu siasatan.

    Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Bagi kes positif dadah pula, wanita itu disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Raub turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian supaya menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan di 07-2182 323 atau pegawai penyiasat ASP Kong Hock Peng di 019-7308 888.

    Dalam kejadian 7.50 pagi tadi, mangsa yang berusia 44 tahun ditemukan maut dengan muka dan kepala mengalami kecederaan, dipercayai diserang menggunakan objek tumpul.

    Lebih sejam kemudian, polis menahan seorang wanita berusia 36 tahun dipercayai isteri kepada mangsa berhampiran kawasan kejadian. – BERNAMA

  • Lelaki bogel suspek sembelih isteri, bayi direman seminggu

    Lelaki bogel suspek sembelih isteri, bayi direman seminggu

    SEORANG lelaki yang disyaki membunuh isteri dan bayinya yang baru berumur tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Bakar Batu di Johor Bahru direman tujuh hari bermula hari ini.

    Tempoh reman hingga 11 Julai terhadap pencuci kapal berumur 24 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Nur Izzaty Muhammad Zahari di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.

    Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Semalam, polis menahan lelaki terbabit di kawasan Permas Jaya di sini, beberapa jam selepas mayat dua beranak itu ditemukan di hadapan rumah mereka di Kampung Bakar Batu.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat dilapor sebagai berkata, lelaki berkenaan ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan berbogel pada 2.45 petang, dan polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging daripada lelaki itu. – BERNAMA