Tag: bukit aman

  • Abdul Hadi hadir ke Bukit Aman bantu siasatan

    Abdul Hadi hadir ke Bukit Aman bantu siasatan

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang hadir ke Bukit Aman semalam bagi memberi keterangan berkenaan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera paling ramai terbabit rasuah.

    Tanpa memberi butiran lanjut, Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A. Skandaguru berkata Abdul Hadi hadir bersama peguamnya.

    “Beliau telah memberikan kerjasama sepanjang sesi rakaman keterangan berlangsung. Siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Semalam, Bernama melaporkan PDRM telah membuka kertas siasatan terhadap Abdul Hadi susulan kenyataannya yang mendakwa komuniti bukan Islam dan bukan bumiputera adalah golongan paling banyak terbabit rasuah.

    A.Skandaguru sebelum ini dilaporkan berkata polis menerima 28 laporan berhubung kenyataan Abdul Hadi itu, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapi-apikan mana-mana golongan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.- BERNAMA

  • Bukit Aman panggil Presiden PAS berkait ‘ucapan kebencian’

    Bukit Aman panggil Presiden PAS berkait ‘ucapan kebencian’

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuatnya, majoriti perosak politik dan ekonomi adalah golongan bukan Islam dan Bumiputera.

    Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Asisten Komisioner A Skandaguru dalam satu kenyataan mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Marang berhubung laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai perkara itu.

    Menurut beliau, pihaknya telah menerima sebanyak 28 laporan polis ke atas Abdul Hadi berhubung isu tersebut.

    Katanya, siasatan dijalankan oleh unit siasatan jenayah terkelas, bahagian pendakwaan/undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 505 (C) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum.

    “Selain itu, siasatan dibuat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya malam ini.

    Mengulas lanjut, Skandaguru berkata, Abdul Hadi akan dipanggil ke Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung kenyataan yang dibuat.

    Katanya, siasatan masih dijalankan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu siasatan.

    “PDRM juga menyeru orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu yang boleh menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.

    “Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya.

  • Ayob Khan dilantik Pengarah JSJN Bukit Aman

    Ayob Khan dilantik Pengarah JSJN Bukit Aman

    KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman yang baharu.

    Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman dalam satu kenyataan memaklumkan, beliau menggantikan Datuk Razarudin Husain yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang akan bersara pada Sabtu.

    Menurut kenyataan itu lagi, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat akan menggantikan Ayob Khan sebagai Ketua Polis Johor yang baharu.

    Ayob Khan, 55, menjadi Ketua Polis Johor pada 6 Mac 2020 dan sebelum itu merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman.

    Beliau begitu popular kerana pelbagai pembaharuan dan kejayaan dicapai di Johor dan juga dikenali dengan ketegasannya termasuk mengambil tindakan terhadap anggota polis yang terlibat salah laku dan jenayah.

    Sebelum menjadi Ketua Polis Johor, Ayob Khan merupakan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman.

  • PDRM sahkan buat pemeriksaan rumah Ebit Lew semalam

    PDRM sahkan buat pemeriksaan rumah Ebit Lew semalam

    POLIS Diraja Malaysia mengesahkan membuat pemeriksaan di kediaman pendakwah terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali sebagai Ustaz Ebit Lew, pada petang semalam.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata pihaknya hanya melakukan pemeriksaan bagi tujuan siasatan selepas polis merakam keterangan dari pendakwah berkenaan di Bukit Aman, di sini semalam.

    “Ia adalah proses pemeriksaan biasa bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

    Semalam, Ebit telah dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Sementara itu, Ebit semasa bercakap kepada media semalam memaafkan semua pihak yang memfitnahnya.

    Beliau berkata, kemaafan itu diberikan susulan beliau dipanggil ke Bukit Aman, bagi membantu siasatan berhubung kes gangguan seksual yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    “Saya percaya hidup ini Allah sayang, saya maafkan apa yang terjadi, saya maafkan sesiapa sahaja pun dengan apa yang terjadi.

    “Perkara ini membuatkan saya lebih bersemangat dan saya akan terus membuat kebaikan sampai saya mati,” katanya.

  • PPV perlu maklum kepada polis jangkaan kehadiran orang ramai – Bukit Aman

    PPV perlu maklum kepada polis jangkaan kehadiran orang ramai – Bukit Aman

    PUSAT Pemberian Vaksin (PPV) perlu memaklumkan kepada polis mengenai jangkaan kehadiran orang awam untuk mengambil vaksin lebih awal, agar polis dapat membuat persediaan dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

     Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata makluman itu bagi mengelakkan sebarang ketidakpatuhan SOP berlaku di PPV sehingga kawasan itu menjadi sesak dengan orang ramai.

    “Sebagai contoh kejadian sebelum ini, di PPV KLCC yang tular dengan ketidakpatuhan SOP termasuklah kejadian terbaru Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini, yang berlaku salah faham, (sehingga) orang ramai menganggapnya sebagai PPV.

    “Seelok-eloknya orang ramai yang nampak dengan kejadian seumpama ini terus melaporkan dan janganlah terlalu asyik merakam sesuatu kejadian itu hingga terlupa untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

    Beliau berkata demikian mengulas mengenai kejadian tular PPV KLCC dan Rumah Prihatin @ Grand Seasons berhubung ketidakpatuhan SOP.

    Selain itu, Zainal berkata orang ramai diminta untuk tidak menularkan sesuatu kejadian ketidakpatuhan SOP hingga menimbulkan ketidaktenteraman awam.

    Beliau berkata sekiranya orang ramai tidak mempunyai sebarang nombor telefon mana-mana bilik gerakan polis mereka boleh berbuat demikian dengan hanya menghubungi talian 999.

    “Setidak-tidaknya mereka boleh menghubungi talian 999, pihak saya kalau dapat maklumat, mustahil polis tidak ambil tindakan berhubung kejadian ketidakpatuhan SOP,” katanya

    Selain itu, Zainal juga menolak alasan ketidakpatuhan SOP di PVV disebabkan orang awam datang awal sebelum waktu janji temu vaksinasi.

    “Tidak mungkin juga, biasanya paling awal pun (orang awam) hadir dua jam sebelum waktu janji temu melainkan ‘jumpa terus (walk-in) . Bila sebut jumpa terus, kalau beri maklumat awal (jangkaan kehadiran) kepada polis, maka polis bersedia lebih awal untuk menjaga kawasan,” katanya.

    Pada 28 Julai lepas,  polis mengesahkan berlaku kesesakan warga asing di PPV KLCC seperti tular di media sosial, dan dua hari lepas kesesakan turut berlaku di Rumah Prihatin @ Grand Seasons, di sini berpunca daripada salah faham dan berita kononnya premis itu menyediakan perkhidmatan vaksinasi tanpa janji temu untuk bukan warganegara.- BERNAMA

  • Bukit Aman siasat dakwaan jual sijil digital vaksin palsu

    Bukit Aman siasat dakwaan jual sijil digital vaksin palsu

    POLIS membuka siasatan berhubung dakwaan penjualan sijil digital vaksin palsu yang dikesan menerusi perkongsian seorang pemilik akaun Facebook, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

    Beliau berkata, satu laporan polis berhubung perkara itu diterima apabila satu artikel dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook, yang menyatakan bahawa sudah mula dijual dalam talian.

    “Sehubungan itu satu siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (memberikan maklumat palsu) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan memalsukan dan menjual sijil digital vaksin.

    Abd Jalil berkata, orang ramai turut dinasihat untuk melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu. – BERNAMA

  • Permohonan rentas negeri pasangan jarak jauh dijangka meningkat – Bukit Aman

    Permohonan rentas negeri pasangan jarak jauh dijangka meningkat – Bukit Aman

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan berlaku peningkatan di seluruh negara bagi permohonan merentas negeri pasangan jarak jauh susulan kelonggaran diberikan kerajaan baru-baru ini.

    Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata susulan itu, pihaknya akan mempertingkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekatan jalan raya (SJR).

    Beliau berkata mereka terbabit dinasihatkan untuk memohon kebenaran merentas negeri daripada PDRM bagi mengelakkan sebarang kesulitan di SJR.

    “Kelonggaran baru bermula (susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kelonggaran SOP bagi penerima dua dos vaksin) dan dijangka (permohonan) akan bertambah bagi kategori ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

    Beliau berkata selain itu, pasukan pematuhan SOP juga akan menguatkuasakan semua SOP terkini.

    Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan kerajaan memberikan kelonggaran SOP bagi penerima dua dos vaksin setelah dibincangkan di mesyuarat Majlis Keselamatan Negara antaranya kebenaran merentas negeri.

    Sementara itu, mengulas mengenai tular satu klip video memaparkan ratusan warga asing beratur bagi proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC yang didapati tidak mematuhi SOP, beliau berkata pihaknya telah mengaturkan pasukan-pasukan pematuhan SOP.

    “Saya telah mengaturkan pasukan saya (pasukan pematuhan SOP PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Sukarelawan dan Angkatan Pertahanan Awam untuk memantau semua PPV ini supaya SOP dipatuhi.

    “Selain itu, sebanyak 951 pegawai dan anggota polis ditugaskan di stesen-stesen kuarantin COVID-19  di seluruh negara,” katanya.

    Zainal berkata 112 pegawai dan anggota polis telah ditempatkan di hospital-hospital COVID-19.- BERNAMA