POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan berlaku peningkatan di seluruh negara bagi permohonan merentas negeri pasangan jarak jauh susulan kelonggaran diberikan kerajaan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata susulan itu, pihaknya akan mempertingkatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekatan jalan raya (SJR).

Beliau berkata mereka terbabit dinasihatkan untuk memohon kebenaran merentas negeri daripada PDRM bagi mengelakkan sebarang kesulitan di SJR.

“Kelonggaran baru bermula (susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kelonggaran SOP bagi penerima dua dos vaksin) dan dijangka (permohonan) akan bertambah bagi kategori ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata selain itu, pasukan pematuhan SOP juga akan menguatkuasakan semua SOP terkini.

Sebelum ini, Muhyiddin mengumumkan kerajaan memberikan kelonggaran SOP bagi penerima dua dos vaksin setelah dibincangkan di mesyuarat Majlis Keselamatan Negara antaranya kebenaran merentas negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai tular satu klip video memaparkan ratusan warga asing beratur bagi proses vaksinasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) KLCC yang didapati tidak mematuhi SOP, beliau berkata pihaknya telah mengaturkan pasukan-pasukan pematuhan SOP.

“Saya telah mengaturkan pasukan saya (pasukan pematuhan SOP PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain seperti Jabatan Sukarelawan dan Angkatan Pertahanan Awam untuk memantau semua PPV ini supaya SOP dipatuhi.

“Selain itu, sebanyak 951 pegawai dan anggota polis ditugaskan di stesen-stesen kuarantin COVID-19  di seluruh negara,” katanya.

Zainal berkata 112 pegawai dan anggota polis telah ditempatkan di hospital-hospital COVID-19.- BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here