Tag: buka sempadan

  • China buka semula sempadan selepas 3 tahun

    China buka semula sempadan selepas 3 tahun

    CHINA membuka semula sempadannya pada Ahad selepas tiga tahun sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19.

    Pada 26 Dis Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan tahap COVID-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B. 

    COVID-19 telah ditukar daripada “pneumonia novel coronavirus” kepada “novel coronavirus infection,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan suruhanjaya kesihatan itu.

    Selain itu, China tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu dan pesakit COVID-19 selain menarik balik dasar ketat “sifar-COVID-19”.

    Bagaimanapun, negara itu menghadapi peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu.

    Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Perancis, Maghribi, Qatar, Kanada, Greece, Malaysia, Finland dan Belanda telah mengumumkan mengenai keperluan keputusan ujian negatif COVID-19 kepada mereka yang tiba dari China.

    Sementara itu, Jerman pada Sabtu menasihatkan rakyatnya tidak melakukan perjalanan yang tidak penting ke China dan mengklasifikasikan negara itu sebagai “kawasan ancaman varian virus” disebabkan gelombang COVID-19 yang sedang melanda di China. 

    China pada Jumaat menyatakan bahawa situasi COVID-19 di negara itu terkawal dan banyak negara anggota EU mengalu-alukan pelancong China.

    Mengulas mengenai pertauran yang dikenakan sesetengah negara terhadap pelancong yang datang dari China, jurucakap Kementerian Luar Mao Ning berkata semua langkah tindak balas terhadap COVID-19 harus berdasarkan sains dan fakta serta setara. 

    “Seharusnya tidak ada percubaan untuk mempolitikkan isu itu atau mengamalkan amalan diskriminasi yang boleh menjejaskan hubungan antara rakyat,” kata Mao kepada pemberita.

    Beliau berkata pakar China turut menghadiri taklimat dalam talian Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memberikan maklumat terkini mengenai pandemik itu. – BERNAMA

  • KKM kemuka cadangan SOP pembukaan sempadan antarabangsa

    KKM kemuka cadangan SOP pembukaan sempadan antarabangsa

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    CADANGAN berkenaan prosedur operasi standard (SOP) bagi pembukaan sempadan antarabangsa negara dalam masa terdekat sudah dikemukakan Kementerian Kesihatan (KKM)

    Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ketika ini KKM sedang sedang meneliti dan memantau keadaan semasa Covid-19, khususnya melibatkan varian Omicron.

    Katanya, pembukaan sempadan antarabangsa boleh dipertimbangkan kerana Malaysia antara negara yang mempunyai kadar vaksinasi cemerlang dan program pemulihan negara yang berkesan.

    “KKM akan kemukakan cadangan kepada jemaah menteri dalam masa terdekat sebelum putuskan tarikh sesuai pembukaan sempadan.

    “Ini kerana apabila sempadan dibuka kita mahu pematuhan terhadap SOP itulah kekal memandang kes baharu masih tinggi, maka kita perlu berhati-hati sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad tentang pembukaan sempadan,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Bicara Memperkasa Ekonomi Bersama Pemain Industri dan Industri Kecil Sederhana (IKS) Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Beliau bagaimanapun berkata, tarikh pembentangan laporan KKM itu masih belum diketahui.

    “Kita juga tidak mahu situasi dimana fasiliti kesihatan awam seperti katil unit rawatan rapi (ICU) meningkat semula kerana ketika ini penggunaannya rendah, kita mahu kekalkan perkara itu,” ujarnya.

    Sementara itu, berhubung sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura, pihaknya berkata perbincangan yang terjalin antara kedua-dua negara kekal melibatkan inisiatif Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) udara dan darat sahaja.

    “Walaupun sekarang program VTL darat dan udara telah kembali disambung, namun kita juga sedang meneliti sekiranya jumlah yang dibenarkan dapat dipertingkat.

    “Ink kerana hubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura amat penting dan pertambahan kuota itu juga sesuatu yang diminta oleh komuniti perniagaan di negeri ini,” jelasnya.

    Pelaksanaan VTL darat menyaksikan seramai 1,440 rakyat kedua-dua negara dibenarkan melakukan perjalanan rentas sempadan tanpa perlu menjalani kuarantin di kedua-dua negara.

  • Perkembangan vaksinasi asas buka sempadan Malaysia-Singapura

    Perkembangan vaksinasi asas buka sempadan Malaysia-Singapura

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEMPADAN Malaysia-Singapura sudah boleh dipertimbangkan untuk dibuka sepenuhnya susulan 50 peratus rakyat dewasa sudah lengkap divaksin dan dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu ini.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, perkembangan tersebut boleh menjadi asas kukuh untuk kerajaan dari kedua-dua negara membincangkan perancangan itu.

    Tambahan pula katanya, kira-kira 80 peratus daripada 5.9 juta penduduk Singapura sudah lengkap menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.

    “Menerusi perkembangan positif di Johor dan Singapura, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan boleh bincang semula pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dengan kerajaan Singapura, jika tidak buka sepenuhnya, buka secara berperingkat-peringkat.

    “Mungkin buat permulaan rakyat kedua-dua negara yang sudah lengkap divaksin dibenarkan merentas sempadan tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dalam keadaan norma baharu.

    “Langkah ini sudah dibuat beberapa negara contohnya kerajaan Arab Saudi sudah membenarkan jemaah yang sudah lengkap divaksin masuk negara itu pada 9 Ogos lalu begitu juga di United Kingdom,” katanya.

    Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Sungai Mas dan Felda Semenchu di Kediaman Rasmi Pengerusi Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

    Semalam, Pengerusi Jawatan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan memberitahu, seramai 1,396,010 penduduk di Johor sudah lengkap menerima dos kedua manakala 2,224,784 lagi sudah menerima dos kedua setakat kelmarin.

    Che Zakaria berkata, satu keputusan berani perlu dilakukan kerana Covid-19 dalam transisi fasa endemik pada Oktober ini, disebabkan itu perancangan perlu dilakukan dan mustahil untuk menunggu kes Covid-19 dikedua-dua negara mencapai sifar baru dibuka sempadan.

    Menurutnya, kedua-dua negara perlu realistik dalam hal itu kerana Malaysia terutama Johor dan Singapura saling bergantung antara satu sama lain serta jika sempadan masih tidak dibuka, kedua-dua negara akan rugi.

    “Ekonomi Johor banyak bergantung dengan Singapura, begitu juga sebaliknya, apatah lagi Singapura mempunyai banyak pelaburan di Johor. Hubungan Malaysia-Singapura bukan sahaja berkenaan ekonomi tetapi pertalian keluarga malah ada rakyat kita bersekolah di sana,” katanya.