Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEMPADAN Malaysia-Singapura sudah boleh dipertimbangkan untuk dibuka sepenuhnya susulan 50 peratus rakyat dewasa sudah lengkap divaksin dan dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, perkembangan tersebut boleh menjadi asas kukuh untuk kerajaan dari kedua-dua negara membincangkan perancangan itu.

Tambahan pula katanya, kira-kira 80 peratus daripada 5.9 juta penduduk Singapura sudah lengkap menerima dua dos lengkap vaksin Covid-19.

“Menerusi perkembangan positif di Johor dan Singapura, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan boleh bincang semula pembukaan sempadan Malaysia-Singapura dengan kerajaan Singapura, jika tidak buka sepenuhnya, buka secara berperingkat-peringkat.

“Mungkin buat permulaan rakyat kedua-dua negara yang sudah lengkap divaksin dibenarkan merentas sempadan tetapi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan dalam keadaan norma baharu.

“Langkah ini sudah dibuat beberapa negara contohnya kerajaan Arab Saudi sudah membenarkan jemaah yang sudah lengkap divaksin masuk negara itu pada 9 Ogos lalu begitu juga di United Kingdom,” katanya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) itu berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan untuk Program Vaksinasi Berkelompok Felda Sungai Mas dan Felda Semenchu di Kediaman Rasmi Pengerusi Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatan Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan memberitahu, seramai 1,396,010 penduduk di Johor sudah lengkap menerima dos kedua manakala 2,224,784 lagi sudah menerima dos kedua setakat kelmarin.

Che Zakaria berkata, satu keputusan berani perlu dilakukan kerana Covid-19 dalam transisi fasa endemik pada Oktober ini, disebabkan itu perancangan perlu dilakukan dan mustahil untuk menunggu kes Covid-19 dikedua-dua negara mencapai sifar baru dibuka sempadan.

Menurutnya, kedua-dua negara perlu realistik dalam hal itu kerana Malaysia terutama Johor dan Singapura saling bergantung antara satu sama lain serta jika sempadan masih tidak dibuka, kedua-dua negara akan rugi.

“Ekonomi Johor banyak bergantung dengan Singapura, begitu juga sebaliknya, apatah lagi Singapura mempunyai banyak pelaburan di Johor. Hubungan Malaysia-Singapura bukan sahaja berkenaan ekonomi tetapi pertalian keluarga malah ada rakyat kita bersekolah di sana,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here