Tag: bomba

  • Dua rentung van bawa diesel terbakar lepas langgar pokok

    Dua rentung van bawa diesel terbakar lepas langgar pokok

    DUA orang rentung apabila van membawa muatan diesel yang dinaiki terbakar selepas merempuh sebatang pokok di tepi Jalan Khong Yit Khim, di Sibu dalam kemalangan kendiri awal pagi tadi.

    Ketua Bomba Zon Sibu, Janggan Muling berkata, akibat kemalangan tersebut kedua-dua mangsa didapati tersepit dan rentung di tempat duduk pemandu dan penumpang van sebelah hadapan.

    Menurutnya, panggilan kejadian tersebut diterima jam 5.10 pagi dan satu pasukan telah digerakkan ke lokasi yang terletak 17 km dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral kira-kira jam 5.27 pagi.

    “Setibanya di lokasi pasukan Bomba mendapati sebuah van dengan membawa muatan minyak diesel dalam tong mengalami kemalangan kendiri dipercayai hilang kawalan menyebabkan van tersebut terbakar seratus peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Gambar: Facebook BBP Sibu Sentral

    Beliau berkata, apabila api berjaya dipadamkan sepenuhnya, pasukan bomba mengeluarkan mayat mangsa dan kemudian menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • [VIDEO] Bapa dan anak 5 tahun rentung dalam kebakaran

    [VIDEO] Bapa dan anak 5 tahun rentung dalam kebakaran

    SEORANG bapa dan anak lelakinya berusia lima tahun ditemukan rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Cherana Puteh di Alor Gajah awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Arshad Abu berkata, dalam kejadian pada kira-kira 1.50 pagi itu, mangsa dikenal pasti sebagai Allahudin Abd Hamid, 51, dan anaknya, Mohamad Badrul, 5 tahun.

    “Allahudin ditemukan anggota bomba di bilik air manakala anaknya di bilik utama rumah separa papan dan batu itu. Tubuh kedua-dua mangsa terbakar keseluruhannya.

    “Siasatan di tempat kejadian turut disertai anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka, Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pakar patologi dari Hospital Alor Gajah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, punca kebakaran masih disiasat dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

    Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II Ramli Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 1.56 pagi sebelum sebuah jentera dan kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dengan kekuatan sembilan pegawai serta anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

    Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kebakaran 13 minit kemudian, rumah separa kekal itu didapati terbakar 70 peratus dan orang awam memaklumkan terdapat dua mangsa di dalam premis berkenaan.

    Katanya, operasi memadam kebakaran selesai sepenuhnya lebih tiga jam kemudian dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

  • 2 beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

    2 beranak Orang Asli maut dalam kemalangan

    SEORANG kanak-kanak dan bapanya maut apabila motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands dekat Ipoh hari ini.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak dalam kenyataan berkata, kanak-kanak itu yang dianggarkan berusia 12 tahun dan bapanya, 62, dipercayai berketurunan Orang Asli, meninggal dunia di lokasi kejadian.

    Empat individu lain termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan yang menaiki kereta jenis Toyota Alphard hanya mengalami kecederaan, katanya.

    “Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai menerima panggilan pada pukul 10.45 pagi tadi dan anggota bomba mendapati kedua-dua kenderaan itu bertembung dalam kemalangan itu sehingga mengakibatkan dua mangsa yang menaiki motosikal tercampak ke dalam semak,” katanya.

    Katanya, kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada 11.50 pagi tadi. – BERNAMA

  • Lori langgar treler: 1 mati tersepit, 4 lagi parah

    Lori langgar treler: 1 mati tersepit, 4 lagi parah

    SEORANG lelaki yang dipercayai pemandu lori mati dalam keadaan tersepit di tempat duduknya setelah kenderaan itu melanggar bahagian belakang sebuah treler.

    Memetik laporan Sinar Harian hari ini, kemalangan yang melibatkan dua kenderaan itu berlaku di Kilometer 408.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di lokasi berhampiran Tanjung Malim-Lembah Beringin, pada awal pagi tadi.

    Selain itu, empat pekerja warga Pakistan dilaporkan dalam keadaan cedera parah akibat tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah tersebut.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, kejadian berkenaan berlaku kira-kira pukul 1.12 pagi tadi.

    “Sepasukan anggota bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa dengan dibantu BBP Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian dan tiba pada pukul 1.45 pagi.

    “Mangsa yang maut merupakan seorang lelaki warga tempatan berumur 60 tahun telah tersepit dibahagian tempat duduk pemandu manakala empat mangsa lagi parah tersepit di bahagian belakang lori yang membawa papan tanda arah itu,” katanya.

    Menurut beliau, anggota bomba seterusnya menjalankan kerja-kerja mengeluarkan mangsa dari lori.

    “Kesemua mangsa tersepit dikeluarkan dengan menggunakan alatan khas dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Namun, dua mangsa lagi iaitu pemandu serta penumpang treler yang dilanggar tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

  • Myvi bertembung treler, tiga nyawa melayang

    Myvi bertembung treler, tiga nyawa melayang

    TIGA individu maut apabila kereta Perodua Myvi dinaiki dipercayai bertembung dengan sebuah treler di hadapan Pusat Perkembangan Kemahiran Kebangsaan Serendah, Hulu Selangor, awal pagi tadi.

    Mangsa yang maut dikenali sebagai B Janani Sri, 25, PS Thamilselvam, 25, dan PS Sasitaran,18.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.30 pagi.

    “Sebaik tiba, pasukan penyelamat mendapati kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Perodua Myvi dan treler yang dipercayai telah bertembung.

    “Kereta berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Rawang ke Serendah manakala treler datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, kesemua mangsa yang tersepit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler berusia 39 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan. – BERNAMA

  • Pusat tahfiz di Seri Iskandar terbakar pagi tadi

    Pusat tahfiz di Seri Iskandar terbakar pagi tadi

    ENAM pelajar lelaki Pusat Tahfiz Dar al-Fawzan di Seri Iskandar, Perak terselamat dalam kebakaran awal pagi tadi membabitkan sebuah bilik di asrama yang dihuni mereka.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4.46 pagi.

    “Kebakaran melibatkan sebuah bilik di tingkat atas berkeluasan 15×10 kaki persegi musnah terbakar kira-kira 15 peratus.

    “Seramai enam pelajar yang tinggal di asrama tersebut semasa kejadian itu berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jurucakap itu berkata, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar dengan bantuan BBP Batu Gajah yang dikejarkan ke lokasi kejadian menggunakan satu aliran hos bagi melakukan pemadaman dan operasi tamat sepenuhnya pada kira-kira 5.20 pagi. – BERNAMA

  • Alat memasak stimbot meletup, 4 sekeluarga cedera

    Alat memasak stimbot meletup, 4 sekeluarga cedera

    EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak cedera apabila alat memasak stimbot di sebuah restoran meletup dalam kejadian di Alam Mesra di Kota Kinabalu, malam tadi.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada pukul 9.06 malam dan 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Mangsa mengalami kecederaan ringan pada kulit akibat letupan dari dapur alat memasak stimbot ketika mula dihidupkan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kanak-kanak yang cedera itu dihantar orang awam ke hospital sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

    “Mangsa dewasa diberi rawatan awal pihak Kementerian Kesihatan di lokasi sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya menambah pihak bomba melakukan pemeriksaan menyeluruh di restoran berkenaan bagi memastikan tiada unsur bahaya dan operasi ditamatkan pada pukul 9.41 malam. – BERNAMA

  • Kereta polis antara lebih 100 kenderaan musnah terbakar

    Kereta polis antara lebih 100 kenderaan musnah terbakar

    LEBIH 100 kereta termasuk kereta polis musnah dalam kebakaran di tempat penyimpanan kereta terpakai di Jalan Bendahara, Kampung Temiang di Ipoh pagi tadi.

    Komander Operasi, Mohamad Fadzeli Che Husin ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 10.30 pagi.

    Beliau berkata, 40 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan Kuala Kangsar serta Pasukan Bomba Sukarela dari Pekan Baru, Pasir Pinji dan Menglembu dikerah ke lokasi kejadian.

    Katanya, operasi pemadaman tamat pada 1.34 tengah hari dan tiada kemalangan jiwa mahupun mangsa terlibat dalam kebakaran itu.

    Menurut Mohamad Fadzeli, anggaran kemusnahan adalah 80 peratus dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

    Sementara itu, seorang pekerja di tempat penyimpanan terbabit S. Raju, 26, berkata, dia ternampak kepulan asap dari jauh dan bergegas ke tempat kejadian sebelum menghubungi pihak bomba. – BERNAMA

  • Lelaki warga emas maut dihempap forklift

    Lelaki warga emas maut dihempap forklift

    SEORANG pengendali forklift maut dihempap oleh jentera angkat-susun itu ketika beliau sedang menjalankan kerja mengangkat sebuah mesin berat di Pelabuhan Sandakan pagi tadi.

    Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dalam kenyataan berkata, insiden kira-kira pukul 5.30 pagi itu mengakibatkan Said Hassan yang berumur sekitar 60-an, meninggal dunia di tempat kejadian.

    Kejadian berlaku apabila forklift itu dipercayai tiba-tiba tumbang ketika ia sedang mengangkat sebuah mesin berat, dan bahagian kepala pengendali jentera itu tersepit di sisi kiri bumbung forklift berkenaan.

    Menurut bomba, operasi mengeluarkan mayat Said dijalankan dengan menggunakan sebuah lagi forklift. – BERNAMA

  • [VIDEO] 2 wanita maut dalam kebakaran lima rumah

    [VIDEO] 2 wanita maut dalam kebakaran lima rumah

    DUA wanita maut dalam kebakaran yang memusnahkan lima rumah di Kampung Titingan, Jalan Tawau Lama di Tawau awal pagi tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, mayat Kamisah Mapiasah, 40, dan Sadiah Jabar, 70, ditemukan dalam sebuah rumah jenis dua tingkat.

    “Sepasukan 19 pegawai dan anggota bomba bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 12.53 tengah malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, operasi pemadaman yang tamat sepenuhnya pada 3 pagi turut dibantu anggota Bomba Komuniti Sri Titingan.

    https://www.tiktok.com/@itsmy20life/video/7108095804509883674?is_copy_url=1&is_from_webapp=v1&q=kebakaran%20kampung%20titingan&t=1655005382991

    Katanya, punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat. – BERNAMA