Tag: berita palsu

  • KKM nafi keluar kenyataan tutup Bilik Gerakan PN  Telok Mas

    KKM nafi keluar kenyataan tutup Bilik Gerakan PN Telok Mas

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penutupan Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas kerana penularan Covid-19.

    “Kenyataan akhbar berikut adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

    “Mohon untuk tidak disebarkan kenyataan palsu ini,” kata KKM dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Terdahulu, tular kenyataan media kononnya daripada KKM berhubung penutupan bilik gerakan berkenaan.

  • Bungkusan makanan, wang RM50 tiada kaitan PRN Melaka

    Bungkusan makanan, wang RM50 tiada kaitan PRN Melaka

    POLIS Melaka menafikan penyebaran gambar bantuan bungkusan makanan yang diselitkan bersama wang tunai RM50 mempunyai kaitan dengan aktiviti meraih undi melibatkan parti politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 Nov ini.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Azlan Abu berkata sebaliknya berdasarkan siasatan yang dijalankan, bungkusan makanan itu merupakan bantuan makanan kepada warga emas dan kejadian dilaporkan berlaku di luar Melaka.

    “Hasil semakan Polis Melaka, terdapat sebuah video berkenaan kejadian itu menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada orang-orang tua, namun tidak terkesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa-apa lambang atau elemen parti politik di dalam kandungan video tersebut.

    “Sehingga kini pihak polis tidak menerima sebarang laporan dibuat berkenaan kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Semalam, tular di media sosial tentang beberapa bungkusan makanan diselitkan wang tunai RM50 setiap satu dan keterangan gambar mendakwa ia berlaku di Melaka serta terdapat komen mengatakan program bantuan itu berunsurkan politik dan bertujuan meraih undi.

    Azlan berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan berita palsu atau tidak sahih yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau setahun penjara atau kedua-duanya sekali.

    Beliau berkata, individu yang mempunyai maklumat atau mengetahui tentang kejadian tersebut diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat Insp Md Assyukri Saini di talian 016-7530492 bagi membantu siasatan lanjut.

    “Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih demi kepentingan sendiri kerana tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya. – BERNAMA

  • KPN nafi siar iklan isi ratusan jawatan guru Tabika

    KPN nafi siar iklan isi ratusan jawatan guru Tabika

    KEMENTERIAN Perpaduan Negara (KPN) hari ini menafikan telah menyiarkan iklan menawarkan peluang mengisi ratusan kekosongan jawatan guru Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) seperti yang tular menerusi media sosial baru-baru ini.

    KPN memaklumkan iklan yang disiarkan dalam status Facebook bertajuk Semakan Dan Permohonan Online itu menggunakan logo Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan gambar Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

    “Meskipun agensi Kemas bukan di bawah KPN, gambar wajah dan nama Menteri Perpaduan Negara dijadikan sebagai hiasan utama poster bagi memberi nilai komersial kepada iklan tersebut,” menurut KPN dalam kenyataan hari ini.

    KPN memaklumkan iklan itu mencetuskan tanda tanya kerana mencatatkan syarat kelayakan mengisi kekosongan jawatan tersebut terlalu rendah iaitu sekadar lepasan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3).

    Menurut KPN, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) memaklumkan iklan khas mereka yang sebenarnya telah disiarkan pada 11 Okt lepas bagi mengisi enam kekosongan jawatan Guru Tabika Perpaduan Gred S29.

    Kelulusan akademik sekurang-kurangnya Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak merupakan syarat kelayakan utama bagi pengambilan Guru Tabika Perpaduan JPNIN.

    Turut dimaklumkan dalam iklan tersebut ialah peluang mengisi jawatan Pembantu Operasi (Penolong Guru) Gred N11 yang menawarkan empat kekosongan.

    Menurut KPN, dalam siaran iklan melalui Facebook @Rakan Perpaduan Pahang itu dengan jelas dinyatakan syarat-syarat yang perlu dipatuhi iaitu calon lepasan Diploma dalam bidang berkaitan Pendidikan Awal Kanak-Kanak dari Institusi Pendidikan Tinggi tempatan.

    “Iklan ratusan kekosongan jawatan guru Tabika itu tular sejak Jumaat lepas dan poster mengelirukan tersebut telah mencatat hampir 1,000 perkongsian menerusi laman sosial,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

  • Antivaksin sebar berita palsu, KKM buat laporan polis

    Antivaksin sebar berita palsu, KKM buat laporan polis

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah membuat laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan berita palsu berkaitan vaksin dalam media sosial.

    Perkara itu disahkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ciapan Twitter miliknya, hari ini.

    “Pihak @KKMPutrajaya telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin.

    “Kami harap tindakan susulan (siasatan, pendakwaan, dll) dapat disegerakan. Kumpulan ini terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan annoying (menjengkelkan),” katanya.

    Walau bagaimanapun, Khairy tidak menyatakan butiran lanjut tentang laporan polis tersebut.

    Beliau menjawab ciapan pemilik akaun Twitter Dr Kin Sulong yang menggesa agar kerajaan segera mengambil tindakan terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan berita palsu.

    Dr Kin Sulong mahu melihat individu-individu yang tidak bertanggungjawab itu diheret ke mahkamah atas kesalahan yang mereka lakukan.

    Beliau turut berkongsi tangkap layar mesej Telegram yang disebarkan oleh seorang individu yang dipercayai antivaksin.

    Sementara itu, dalam ciapan berasingan, Khairy berkata, sehingga semalam sejumlah 5,410 dos penggalak telah diberikan, terutamanya kepada petugas perubatan barisan hadapan.

    “Warga emas akan mula menerima dos penggalak mereka di klinik GP (pengamal perubatan) tidak lama lagi,” jelasnya.

    Kelmarin, Khairy berkata, KKM akan mula memberikan dos penggalak vaksin COVID-19 kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas barisan hadapan yang telah melengkapkan vaksinasi mereka sekurang-kurangnya enam bulan lepas.

    Individu yang layak akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, sementara kepada mereka yang tidak mempunyai MySejahtera, pengumuman akan dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon daripada pusat vaksinasi.

    Pemberian dos penggalak akan dijalankan secara sukarela dan ia percuma di bawah Program Imuniasasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan tempoh perlindungan yang optimum kepada penerimanya di Malaysia.

  • 307 kertas siasatan berita palsu COVID-19 sejak Mac 2020

    307 kertas siasatan berita palsu COVID-19 sejak Mac 2020

    SEBANYAK 307 kertas siasatan dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penyebaran berita palsu berkaitan COVID-19 mulai Mac 2020 hingga sekarang.

    Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan sebanyak 163 siasatan berita palsu COVID-19 sudah diselesaikan.

    Menurut beliau, sebanyak 37 kes lagi dituduh di mahkamah manakala 114 kes masih dalam peringkat siasatan oleh PDRM.

    “Secara umumnya, penyebaran berita palsu berkaitan vaksin dan COVID-19 banyak berkurangan berbanding peringkat awal pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

    “Ini hasil daripada tahap kesedaran dan penerimaan masyarakat terhadap PICK, sekali gus menyaksikan penyebaran kandungan berita palsu tidak lagi berkesan.

    “Kalau dilihat daripada angka semasa, banyak kes sudah diselesaikan tetapi tidak dinafikan masih ada penularan berita palsu berkaitan COVID-19 dan vaksin di negara ini,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Azizah Mohd Dun (PN-Beaufort) mengenai sama ada kerajaan akan mengenal pasti pendekatan punitif berbeza memandangkan penularan berita palsu berkaitan COVID-19 dan vaksin masih berleluasa.

  • Sebar berita tidak benar tentang vaksin, suri rumah didenda RM12,000

    Sebar berita tidak benar tentang vaksin, suri rumah didenda RM12,000

    PADAH menyebarkan berita tidak benar tentang vaksin menerusi hantaran video dalam aplikasi Facebook, seorang suri rumah hari ini didenda RM12,000 atau dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

    Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Tengku Noor Azlin Wa Kembang Tengku Azizan, 46, selepas dia mengaku bersalah menyebarkan berita tidak benar melalui hantaran video bertajuk ‘Siapa yang dah daftar! Lelaki ini bongkar bahayanya vaksin COVID-19?’ dalam Facebook.

    Dia mengaku menyebarkan video berkenaan dengan niat untuk menyebabkan kebimbangan kepada orang awam melalui aplikasi Facebook dengan nama profil ‘Kak Siti Wakembang’ pada 11.44 malam, 25 Mei lepas. 

    Hantaran itu kemudian dibaca pada 8.30 pagi, 3 Jun di Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya dan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021 yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

    Sebelum menjatuhkan hukuman, Edwin berkata kesalahan dilakukan Tengku Noor Azlin Wa Kembang berkemungkinan mendatangkan kegusaran kepada orang awam sekali gus membantutkan usaha kerajaan memerangi pandemik COVID-19.

    “Tempoh masa kesalahan dilakukan adalah pada masa kerajaan sedang bertungkus lumus dalam menjalankan program vaksinasi secara menyeluruh untuk membasmi penularan wabak COVID-19,” kata hakim itu.

    Tengku Noor Azlin Wa Kembang yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia tidak bekerja dan tidak berniat untuk menjadikan video itu tular.

    “Saya mengaku bersalah…dalam kes ini niat saya hanyalah untuk mendapatkan komen sahabat-sahabat saya dan berikan pendapat mereka pada video itu,” katanya.

    Pengarah Pendakwaan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Kalmizah Salleh memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum kerana perbuatannya boleh mendatangkan kebimbangan kepada orang awam ketika negara masih berperang dengan pandemik COVID-19.- BERNAMA

  • Sultan Johor nafi keluar kenyataan palsu

    Sultan Johor nafi keluar kenyataan palsu

    SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan seperti mana yang disebarkan dalam gambar yang tular dalam media sosial.

    Kenyataan dalam gambar tersebut adalah palsu dan disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

    Baginda bertitah bahawa segala kenyataan atau laporan berita berkaitan dengan baginda atau keluarga diraja Johor hanya akan dikeluarkan oleh Royal Press Office (Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga DiRaja Johor) dalam laman sosial rasmi.

    “Rakyat diminta tidak mudah terpengaruh dengan sebarang kenyataan atau berita palsu yang disebarkan di dalam media sosial,” titah baginda, hari ini.

  • Dakwaan MCMC sekat akses portal berita antarabangsa tidak benar

    Dakwaan MCMC sekat akses portal berita antarabangsa tidak benar

    SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menafikan dakwaan berhubung satu mesej di aplikasi WhatsApp, yang kononnya agensi itu menyekat akses kepada artikel terbitan portal berita antarabangsa.

    MCMC dalam kenyataan hari ini menegaskan, dakwaan tersebut adalah tidak benar dan berniat untuk mengelirukan pengguna internet di Malaysia.

    Kenyataan itu menyatakan, penelitian mendapati pautan-pautan (URL) berita dari portal seperti Nikkei Asia, Yahoo News!, Reuters, Al-Jazeera, The Guardian dan Washington Post secara sengaja atau kebetulan diubah suai atau dipendekkan.

    “Tindakan itu sekali gus menyebabkan sebarang klik pada pautan-pautan tersebut akan membawa pengguna ke halaman yang menunjukkan seperti artikel tersebut tidak lagi wujud. 

    “Penelitian turut mendapati artikel-artikel berkenaan masih wujud, boleh diakses dan tidak dipadamkan atau diturunkan oleh portal-portal berita berkenaan seperti yang didakwa,” menurut kenyataan tersebut.

    Sehubungan itu, MCMC menggesa orang ramai untuk sentiasa menilai intipati sebarang mesej yang diterima, dan berhenti berkongsi berita belum ditentukan kesahihannya.- BERNAMA