Tag: banjir

  • Banjir: 46 mangsa terkorban, 5 lelaki masih hilang

    Banjir: 46 mangsa terkorban, 5 lelaki masih hilang

    SEBANYAK 46 mangsa korban banjir dicatatkan setakat 4 pagi tadi, dengan lima lelaki di Pahang dilaporkan masih lagi hilang, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

    Beliau berkata, daripada jumlah itu, 25 kematian dicatatkan di Selangor membabitkan 17 lelaki dan lapan wanita, manakala di Pahang sejumlah 18 kematian membabitkan 12 lelaki, empat perempuan dan dua kanak-kanak lelaki dilaporkan.

    Katanya, di Kelantan pula dua mayat lelaki dan satu mayat kanak-kanak perempuan telah ditemukan.

    “Masih terdapat 334 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di tujuh negeri iaitu Kelantan, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor membabitkan 54,532 mangsa banjir,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di Shah Alam hari ini.

    Daripada jumlah itu, Pahang mencatatkan jumlah tertinggi mangsa banjir iaitu seramai 29,108 mangsa, diikuti Selangor 23,302 mangsa.

    Menurut Acryl Sani, 68 lokasi jalan terjejas banjir ditutup antaranya di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.

    “Sebanyak 15 kes dilaporkan membabitkan 10 laporan pecah rumah dan premis perniagaan serta lima kes kecurian kenderaan di seluruh negara dari 17 hingga 24 Dis,” katanya.

    Acryl Sani berkata, seramai 377 anggota dikerah di seluruh negara bagi memastikan kes jenayah seperti pecah rumah dan curi kenderaan di kawasan banjir tidak berulang.

    Sementara itu, polis menasihati pemilik kenderaan yang terjejas akibat banjir untuk membuat sendiri laporan dan bukannya diwakili oleh pihak ketiga selain mengambil gambar dan maklumat lengkap keadaan kenderaan serta maklumat syarikat yang menunda.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, untuk memudahkan proses laporan, beliau menasihatkan pemilik kereta untuk mengenal pasti kedudukan terkini kenderaan dan kedudukannya sebelum dibawa oleh air banjir.

    “Sekiranya kenderaan itu hilang atau dipecah, senaraikan juga apa barang berharga yang hilang dalam kenderaan,” katanya pada sidang media Ops Banjir di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam hari ini.

    Selain itu, katanya pemilik kenderaan perlu mendapatkan maklumat berkenaan pihak yang menunda kenderaan mereka sama ada dari pihak berkuasa tempatan atau syarikat tunda serta lokasi di mana kenderaan itu akan dibawa.

    Abd Jalil juga mengingatkan kepada pemillik kenderaan untuk mengambil gambar kenderaan sebelum ditunda dan gambar trak tunda yang digunakan untuk rujukan syarikat insurans. – BERNAMA

  • Lebih 45,000 mangsa banjir di PPS seluruh negara

    Lebih 45,000 mangsa banjir di PPS seluruh negara

    SEBANYAK 45,324 orang mangsa banjir daripada 13,065 keluarga masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh negeri pagi ini.

    Menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka ditempatkan di 290 PPS di Pahang, Selangor, Kelantan, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

    Di PAHANG, sebanyak 25,318 orang berada di 179 PPS yang beroperasi di semua daerah kecuali Rompin dan Cameron Highlands setakat 9 pagi ini. 

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula menyatakan tiga sungai berada di paras melebihi bahaya iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Sungai Kundang (Maran) dan Sungai Bera (Bera), namun sungai itu menunjukkan trend menurun. 

    Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan pula berada di paras amaran. 

    Jabatan Meteorologi meramalkan hujan di beberapa tempat di Kuantan dan Pekan, manakala cuaca di daerah lain dijangka baik pagi ini. 

    Di SELANGOR, Info Bencana JKM melaporkan jumlah mangsa banjir pada awal pagi ini meningkat kepada 18,484 orang di 99 PPS di negeri itu berbanding 17,656 orang malam tadi.   

    Setakat 4 pagi tadi, polis Selangor memaklumkan sembilan jalan dinaiki air dan ditutup untuk laluan kenderaan di negeri berkenaan.

    Di KELANTAN, 862 mangsa banjir masih ditempatkan di lima PPS  yang dibuka kesemuanya di jajahan Pasir Mas, setakat 8.18 pagi.

    Lima PPS tersebut adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh, SK Gual Periok, SK Kubang Kual, PPS Putat Tujoh dan Masjid Mukim Padang Licin.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada sungai utama di Kelantan berada pada paras bahaya dengan hanya satu sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas yang merekodkan bacaan 8.01 meter.

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir di negeri itu adalah 292 individu daripada 84 keluarga dengan empat PPS masih dibuka di Jelebu setakat pagi ini.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir turun kepada 35 orang daripada 12 keluarga setakat 8 pagi.

    Pengarah APM Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa ditempatkan di dua PPS yang dibuka di daerah Alor Gajah dan Jasin.

    Di PERAK, setakat 7.46 pagi, jumlah mangsa banjir ialah 99 orang daripada 25 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak sejak seminggu lepas.

    Fenomena ‘banjir termenung’ menyebabkan air banjir lambat surut berikutan air pasang besar di kawasan Changkat Jong yang sering kali terjejas banjir saban tahun.

    Sementara di ibu negara, kemas kini terakhir Info Bencana JKM menunjukkan 234 mangsa masih berada di sebuah PPS setakat pagi semalam. – BERNAMA

  • Cuti KSU, Ketua Pengarah batal serta-merta

    Cuti KSU, Ketua Pengarah batal serta-merta

    CUTI semua ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan dan agensi kerajaan dibatalkan serta-merta, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

    Beliau berkata ia selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkenaan arahan pembatalan cuti bagi anggota Kabinet dan mengarahkan semua menteri yang sedang bercuti di luar negara, supaya pulang segera.

    “Saya turut mengarahkan semua Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Pengarah Jabatan/Agensi bagi perkara yang sama berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd Zuki berkata ini bagi membolehkan semua agensi kerajaan menggembleng tenaga dalam memastikan kesiapsiagaan seluruh jentera kerajaan untuk mengharungi keadaan semasa negara demi rakyat.

    Ismail Sabri dalam sidang media selepas melawat mangsa banjir di Bentong, Pahang hari ini berkata menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan cuti masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai. – BERNAMA

  • RichWorks serah sumbangan kilat RM500,000 bantu mangsa banjir

    RichWorks serah sumbangan kilat RM500,000 bantu mangsa banjir

    RICHWORKS International Sdn. Bhd. (RichWorks) menyerahkan sumbangan kilat berjumlah RM500,000 daripada syarikat dan usahawan-usahawan di bawah bimbingan Mentor Usahawan, Datuk Dr Azizan Osman melalui Pertubuhan Kebajikan RichWell (RichWell), hari ini.

    Menurut Naib Presiden Kewangan RichWorks, Nasrul Hadi Shukran Jamil, sumbangan tersebut diharap dapat membantu mangsa-mangsa banjir di sekitar Shah Alam yang terkesan apatah lagi ketika baru hendak pulih ekoran pandemik sejak tahun lalu.

    Katanya, banjir yang berlaku pada 18 Disember lalu sebenarnya juga melibatkan pejabat RichWorks dan belasan kakitangan terkesan apabila kereta dan rumah ditenggelami air.

    “Namun kami faham pasti ada lagi ramai di luar sana lebih berat cabaran mereka hingga ada kehilangan ahli keluarga.

    “Semoga sumbangan ini dapat berikan harapan buat penerima agar kembali bangkit daripada cabaran ini, insyaAllah,” katanya ketika ditemui pemberita di Shah Alam, hari ini.

    Sumbangan itu diserahkan Nasrul Hadi kepada Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor mewakili Majlis Bandaraya Shah Alam di Wisma MBSA.

    Tambah Nasrul, jumlah kutipan itu dapat dikumpulkan dalam tempoh 24 jam setakat ini.

    “Alhamdulillah, usahawan didikan RichWorks bersama-sama dengan mangsa banjir untuk hulurkan tangan bagi membantu.

    “Dalam rezeki kita ini, adanya bahagian orang lain dan bisnes dijalankan juga bukan semata-mata untuk diri mereka sendiri seperti selalu diterapkan Azizan,” jelasnya lagi.

  • Anggota Amal PAS gugur ketika bantu mangsa banjir

    Anggota Amal PAS gugur ketika bantu mangsa banjir

    KOMANDAN Jabatan Amal PAS Kawasan Mersing, Ahmad Zaki Mahpar meninggal dunia hari ini semasa melakukan operasi membantu mangsa banjir di Selangor.

    Insiden itu dilaporkan oleh Media Fastaqim hari ini.

    Walau bagaimanapun, punca kematian Allahyarham tidak dinyatakan.

    “Salam takziah dari Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kuala Langat.

    “Dalam bergelut membersihkan rumah magsa banjir kami JAM atau dikenali sebagai semut merah telah menerima khabar duka apabila salah seorang dari angota semut merah Tuan Zaki Ketua Kor Marin merangkap Komandan Kawasan Mersing meninggal dunia semasa melakukan operasi.

    “Allahyarham tumbang semasa operasi di Selangor.

    “Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah. Insya-Allah syurga buat dirimu wahai sahabat kami,” menurut laporan tersebut.

    Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh para penyokong PAS, Ahmad Zaki dilaporkan pengsan ketika bertugas di Bukit Changgang, Sepang.

    Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Banting dan meninggal dunia di situ.

  • TH sumbangkan RM1.6 juta bantu mangsa banjir

    TH sumbangkan RM1.6 juta bantu mangsa banjir

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) memperuntukkan sumbangan sejumlah RM1.6 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin.

    Beliau menerusi kenyataan berkata, TH menyumbang bantuan kewangan, makanan dan khidmat pembersihan secara sukarela kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir, dan bantuan itu bakal diagihkan secara langsung atau melalui rakan strategik dan badan bukan kerajaan (NGO).

    “Kami turut bekerjasama dengan seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui kumpulan sukarelawan dengan memberi sumbangan seperti keperluan asas, bekalan makanan, dan penginapan sementara,” katanya hari ini.

    Kenyataan itu turut memaklumkan, anak-anak syarikatnya iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah menyumbang RM420,000, selain melancarkan Bantuan Prihatin Banjir dengan kemudahan pembayaran balik pembiayaan untuk individu yang terkesan.

    Takaful Malaysia yang juga merupakan anak syarikat TH, turut menawarkan perkhidmatan tunda percuma kepada para pelanggan yang terjejas akibat banjir. – BERNAMA

  • Masalah kekurangan PPS telah ditangani – Rina

    Masalah kekurangan PPS telah ditangani – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menambah bilangan pusat pemindahan sementara (PPS), bagi mengatasi masalah lebihan kapasiti mangsa banjir di PPS, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau berkata, pada permulaan hanya 5,731 PPS yang berdaftar di seluruh negara dan kementerian telah menambah 78 PPS lagi bagi menampung pertambahan jumlah mangsa, terutamanya di kawasan teruk terjejas.

    “Bencana ini tidak diduga… ada rumah yang tidak pernah dinaiki air turut dinaiki air, yang penting mereka berjaya menyelamatkan diri dan kita bagi masuk (ke PPS berhampiran) sementara kita buka PPS lain, untuk pindahkan dan beri perlindungan kepada mereka,” katanya.

    Rina berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Wisma Belia di Kuantan hari ini, yang menempatkan 224 individu daripada 63 keluarga dari sekitar Kuantan, yang mula dilanda banjir sejak Ahad lepas.

    Kementerian juga cuba menyediakan fasiliti dan keperluan kepada mangsa banjir sebaiknya dan sekiranya ada isu berbangkit, mangsa boleh menghubungi bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang beroperasi 24 jam sehari.

    Sementara itu, Rina berkata pihaknya menghargai kesudian pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan menghulurkan sumbangan, dan tidak akan menghalang proses penyampaian bantuan itu kerana tidak mahu kerenah birokrasi ‘mengganggu’ misi bantuan tersebut.

    “Bila orang nak bantu kita tidak boleh halang. Apa yang penting barang bantuan sampai kepada penerima, namun sekiranya mereka hantar ke pusat pemindahan seperti ini, pihak pengurusan boleh rekod dan tahu (barang) apa yang diterima dan apa lagi diperlukan mangsa menjadikan ia lebih teratur,” katanya.

    Rina juga berkata selain menempatkan kaunselor bertauliah untuk membantu psikososial mangsa banjir di PPS, unit pengamal ‘MamaCare’ di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut disediakan bagi membantu memberikan rawatan kepada ibu yang baharu melahirkan anak. – BERNAMA

  • Banjir: 41 nyawa terkorban, 8 orang masih hilang

    Banjir: 41 nyawa terkorban, 8 orang masih hilang

    BENCANA banjir dilaporkan telah mengorbankan 41 nyawa di seluruh negara setakat ini manakala lapan orang masih hilang.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan hari ini berkata, Selangor melaporkan kematian tertinggi iaitu 25 mangsa, Pahang 15 mangsa dan seorang di Kelantan.

    Berdasarkan pecahan, katanya, 25 mangsa di Selangor terdiri daripada 17 lelaki dan lapan wanita, Pahang melibatkan lapan lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak lelaki, manakala di Kelantan seorang lelaki.

    Lapan yang masih hilang di Pahang melibatkan tujuh lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki, katanya.

    Sementara itu, situasi banjir setakat tengah hari ini menyaksikan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri iaitu Kelantan, Pahang dan Perak semakin menurun berbanding pagi tadi.

    Jumlah mangsa banjir di KELANTAN mencatatkan penurunan setakat 12 tengah hari ini, apabila seramai 1,364 orang daripada 478 keluarga berbanding 1,389 orang daripada 472 keluarga, pagi tadi melibatkan lapan PPS, kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan hanya sebatang sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dengan bacaan 8.34 meter.

    Mangsa banjir di PERAK juga mencatatkan jumlah menyusut kepada 106 mangsa daripada 30 keluarga berbanding 153 mangsa daripada 44 keluarga pagi tadi yang kini ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

    Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, seramai 62 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan manakala 44 mangsa lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

    Beliau berkata sejumlah 14 keluarga dari penduduk Kampung Glouster, Batu 7 ½ Lorong Mesra dan Kampung Selat Manggis yang ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan pulang ke kediaman masing-masing hari ini.

    Sementara itu, di PAHANG, jumlah mangsa turut menurun menjadi 31,430 mangsa di 231 PPS, berbanding 34,487 orang di 246 PPS pagi tadi, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara melaporkan, paras air Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera dan Sungai Pahang di Water Front Bera serta di Maran melibatkan Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku masih melebihi paras bahaya manakala Sungai Pahang di Paloh Hinai di Pekan dan Lubuk Pasu, Temerloh direkodkan pada paras amaran.

    Jumlah jalan yang ditutup juga semakin berkurangan dengan kebanyakannya jalan yang belum boleh dilalui ialah di daerah Temerloh, Bera dan Maran.

    Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, seramai 42 mangsa dari 13 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China di Alor Gajah manakala 68 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu Benteng di daerah Jasin.

    Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan seramai 18,575 mangsa banjir dari 5,128 keluarga masih ditempatkan di 99 PPS di seluruh negeri itu.

    Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia pula memaklumkan aras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat masih berada di paras amaran dengan ketinggian 4.07 meter manakala Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor di paras berjaga-jaga dengan ketinggian 3.71 meter dengan trend menurun.

    Menurut aplikasi Info Bencana JKM, satu PPS di Kuala Lumpur masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Saraswathy yang menempatkan 234 mangsa daripada 55 keluarga.

    Menurut aplikasi itu juga, mangsa banjir di seluruh negara terus menurun kepada 52,095 berbanding 56, 904 mangsa pagi tadi dengan 346 PPS masih beroperasi. – BERNAMA

  • Penternak ikan Pahang rugi lebih RM1.4 juta akibat banjir

    Penternak ikan Pahang rugi lebih RM1.4 juta akibat banjir

    SITUASI banjir di Pahang sejak Jumaat minggu lalu mengakibatkan seramai 73 penternak ikan air tawar di lima daerah mengalami kerugian lebih RM1.4 juta.

    Memetik laporan BH, nilai kerugian dijangka terus meningkat apabila banyak sangkar dan kolam di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan, musnah.

    Menurut Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar, kerugian penternak akuakultur di negeri ini dijangka terus meningkat, berikutan keadaan banjir yang masih berlaku di beberapa daerah.

    Beliau berkata,estet ikan, tempat ternakan ikan yang dijaga serta diuruskan oleh ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka (15 hektar), Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Temerloh juga telah ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas dan keluar daripada tasik berkenaan.

    “Jabatan menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila bencana banjir surut sepenuhnya nanti.

    “Banyak sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang di Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan musnah dibawa arus deras air selain ditimpa pokok tumbang.

    “Justeru, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan selepas ini,” katanya hari ini.

    Abdullah menambah, pihaknya akan melaksanakan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).

    Abdullah berkata, pihaknya bersimpati dengan apa yang dialami penternak dan pengusaha akuakultur di negeri ini dan berharapkan mereka tabah serta bersabar menghadapi ujian yang tidak dijangka ini.

    “Tahun lalu jumlah penternak akuakultur yang berdaftar di negeri ini seramai kira-kira 1,700 orang manakala nelayan darat seramai 380 orang.

    “Pengeluaran akuakultur dan perikanan sungai di Pahang adalah yang tertinggi di Pantai Timur dengan kira-kira 15,000 tan bernilai lebih RM246 juta bagi akuakultur serta kira-kira 787 tan bernilai kira-kira RM11.5 juta bagi perikanan sungai,” jelasnya.

  • Rumah ‘ditelan’ air, mangsa banjir Mentakab pasrah

    Rumah ‘ditelan’ air, mangsa banjir Mentakab pasrah

    TIADA apa yang mampu diungkapkan oleh penduduk Kg Batu Kapor, di Mentakab, selain keluhan mengenangkan kediaman mereka yang ditenggelami air dalam banjir yang disifatkan paling dahsyat dalam tempoh 50 tahun.

    Jelas terpancar kegusaran di wajah mereka ketika ditemui Bernama di pusat penempatan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan, Mentakab, pada Khamis.

    “Ketika ini kami tidak dapat melakukan apa-apa selain menunggu air surut untuk pulang memeriksa rumah. Kami pasrah dan reda,” kata seorang mangsa Wardiana Bucin, 53.

    Rumahnya yang diduduki bersama suami dan dua anak lelaki bongsunya mula dinaiki air pada Sabtu (18 Dis) dan tenggelam sepenuhnya pada Isnin.

    Walaupun kampung berkenaan dilanda banjir hampir setiap tahun, namun Wardiana berkata bencana kali ini luar biasa, memandangkan paras air paling tinggi direkodkan pada Januari lepas kira-kira sejengkal daripada siling rumahnya.

    “Biasanya kami letak barang elektrik di bahagian siling yang dibina untuk banjir, tetapi kali ini nampaknya tiada barang yang selamat, sebab rumah habis tenggelam,” katanya.

    Seorang lagi mangsa Siti Zubaidah Md Nazari, 33, berkata rumah yang didiami bersama ibu dan dua adiknya juga tenggelam sepenuhnya dan masih tidak kelihatan sehingga Khamis.

    “Rumah saya bersebelahan dengan rumah datuk dan rumah kakak sulung saya. Ketiga-tiganya tenggelam dan rumah datuk saya yang diperbuat daripada papan, hanyut dibawa arus deras,” katanya.

    Tambah Siti Zubaidah, keluarganya juga hanya sempat membawa beberapa helai pakaian dan dokumen penting semasa berpindah ke PPS, kerana air naik terlalu pantas.

    “Boleh dikatakan ketika-tiga rumah kerugian keseluruhan. Tetapi ketika itu kami hanya memikirkan tentang nyawa, yang penting semua ahli keluarga kami selamat,” kata kakaknya, Zarina Md Nazari, 38.

    Tinjauan Bernama di kampung berkenaan pada petang Khamis, mendapati paras air hanya surut kira-kira 1 meter, manakala puluhan rumah masih tenggelam hingga paras bumbung. – BERNAMA