Tag: banjir

  • MMU serah sumbangan 23 pelajar terjejas banjir

    MMU serah sumbangan 23 pelajar terjejas banjir

    UNIVERSITI Multimedia (MMU) menyampaikan bantuan berjumlah RM8,510 kepada 23 pelajar yang terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini.

    Mangsa-mangsa yang berasal dari Selangor, Pahang, Perak dan Johor itu menerima sumbangan tersebut bagi meringankan beban keluarga mereka.

    Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud pada Majlis Serahan Bantuan Banjir MMU anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD) dan Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) di Kampus MMU Cyberjaya, baru-baru ini.

    Penerima bantuan, Ammar Abd. Manaf, 22, berkata, sumbangan berkenaan sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarganya selepas rumah mereka di Lengga Muar Johor, rosak teruk akibat banjir pada awal Januari 2022.

    “Peralatan elektrik, perabot dan lain-lain telah rosak menyebabkan kerugian lebih RM5,000 apabila rumah digenangi air setinggi paras dada,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Pemasaran itu.

    AMMAR ABD MANAF

    Rakannya, Muhammad Yusri Azpansyah IrwanSyah yang merupakan pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Telekomunikasi dari Kampung Pauh Behrang Perak pula melahirkan rasa kesyukuran di atas keprihatinan MMU dalam membantu mangsa-mangsa banjir.

    “Semasa musim banjir pada Disember 2021, kami semua belajar secara online di rumah. Walaupun begitu, MMU tetap prihatin membantu kami. Dengan sumbangan ini, boleh lah saya serahkan kepada keluarga untuk membeli cat untuk mengecat semula rumah dan membeli barang keperluan lain,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.

    MUHAMMAD YUSRI

    Penerima-penerima bantuan tersebut ditemui pada majlis serahan berkenaan yang turut dihadiri oleh Naib Presiden Pembangunan Keusahawanan dan Pengalaman Pelajar, Prof. Dr. Wong Eng Kiong, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar (STAD), Puan Sri Kusumawati Mohd Daud dan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar, Siti Jamila Syuhada Jailani.

  • Banjir kilat di Seremban terburuk dalam tempoh 2 tahun

    Banjir kilat di Seremban terburuk dalam tempoh 2 tahun

    PENDUDUK Kampung Ismail di Seremban menyifatkan banjir kilat yang berlaku susulan hujan lebat dan ribut malam tadi antara yang terburuk dalam tempoh dua tahun apabila paras air mencecah kira-kira tiga meter hingga paras dada.

    Warga emas yang menetap hampir lima dekad di kampung tersebut, Rohaini Abdullah, 77, berkata, kawasan berkenaan sememangnya sering berlaku banjir namun kejadian kali ini tidak dijangka apabila air meningkat begitu pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan barangan berharga.

    “Ketika itu 7.30 malam, saya berada di dalam rumah dan tidak dengar bunyi hujan. Anak tiba-tiba bergegas ke arah saya dan memberitahu siren banjir telah dibunyikan dan apabila saya menjenguk ke luar rumah, saya dapati air telah mula naik.

    “Dua minggu lepas ada berlaku banjir tetapi air tidak masuk ke dalam rumah. Ini boleh dikira kali ketiga banjir terburuk berlaku dalam tempoh dua tahun ini selepas banjir Disember lepas, kerugian boleh cecah ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui Bernama di Seremban hari ini.

    Khairulnizam Ahmad, 47, pula berkata kawasan perumahan itu yang terletak berhampiran Sungai Batang Pena menyebabkan lokasi tersebut lebih cepat dinaiki air berbanding kawasan lain.

    Beliau berkata anggota penyelamat termasuk bomba dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) datang membantu namun mengalami sedikit kesukaran untuk memasuki kawasan banjir memandangkan banyak kenderaan diletakkan di tepi jalan.

    Dalam pada itu, Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, hampir 300 rumah dikenal pasti terjejas akibat banjir itu antaranya di Kampung Ismail, Kampung Semarak, Kampung Pasir dan Kampung Dato Mansor. – BERNAMA

  • Kuala Lumpur dilanda banjir kilat lagi ekoran hujan lebat

    Kuala Lumpur dilanda banjir kilat lagi ekoran hujan lebat

    BEBERAPA lokasi di sekitar Kuala Lumpur dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat yang berterusan tengah hari tadi.

    Laman Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan menyatakan, banjir kilat berlaku di Jalan Kuching, Jalan Segambut, Jalan Khidmat Usaha dan Jalan Ampang-Jalan Dang Wangi.

    Kementerian tersebut turut memaklumkan bahawa petugas-petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah bersedia dan sudah berada di beberapa kawasan bagi memastikan kelancaran pengaliran air dan membantu pengaliran trafik.

    Sementara itu, laman Facebook Polis KL memaklumkan jalan-jalan berikut dinaiki air:

    • Jalan Sultan Azlan Shah dari arah Jalan Ipoh (masih boleh dilalui kenderaan)
    • Jalan Imbi ke arah Jalan Sultan Ismail (masih boleh dilalui kenderaan)
    • Jalan Ipoh / Jalan Rahmat (air bertakung)
    • Jalan Sultan Ismail / Jalan Ampang (masih boleh dilalui kenderaan)
    • Jalan Kampar off Jalan Sentul
    • Bulatan Dato’ Onn
    • Kampung Periuk
    • Jalan Duta Mas
    • Jalan Ampang dan Jalan Dang Wangi
    Anggota polis trafik mengawal lalu lintas di Jalan Ampang yang dinaiki air. (Gambar: Facebook Polis KL)

    Laman Facebook Jabatan Meteorologi turut mengeluarkan amaran ribut petir, huan lebat dan angin kencang di seluruh Kuala Lumpur sehingga pukul 4 petang ini.

    Lokasi-lokasi yang diletakkan di bawah amaran yang sama adalah Kedah (Kulim dan Bandar Baharu), Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim), Pahang (Raub dan Bentong), Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan (Jelebu, Seremban dan Port Dickson) dan Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

  • Penduduk mahu bakal ADUN Larkin selesaikan masalah banjir kilat

    Penduduk mahu bakal ADUN Larkin selesaikan masalah banjir kilat

    Oleh MUHAMMAD ADIL MUZAFFAR MOHD FISOL

    PENDUDUK di Jalan Tiong, Larkin Jaya mahu anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini, segera “turun padang” dan menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering melanda kawasan perumahan mereka.

    Menurut penduduk, sejak 2019 sebanyak 25 kejadian banjir kilat telah berlaku di kawasan itu didakwa berpunca daripada projek pembinaan landasan kereta api berkembar berdekatan yang mula dibina pada 2018.

    Setiausaha Surau Ar-Rahman Larkin Jaya, Shahrom Othman berkata penduduk setempat berasa bimbang setiap kali berlakunya hujan lebat.

    “Kami di surau beri peringatan kepada penduduk, di mana sahaja kamu berada, kena bersiap sedia untuk balik kemas surau dan rumah bila berlaku hujan lebat.

    “Kepada pemimpin kami nanti, tunaikanlah janji dan tengoklah kami di sini. Kami bukan nak bantuan duit, tapi bantulah selesaikan masalah rakyat,” katanya.

    Tambahnya lagi, sebuah projek tanaman dan ternakan yang dipanggil “Agro-Tiong” yang diusahakan ahli kariah surau dan penduduk di sini turut terjejas setiap kali berlakunya banjir.

    “Kami tubuhkan Agro-Tiong untuk bangunkan kawasan sekeliling. Tanaman cili, sawi, kacang panjang dan ada juga ternakan ikan dan udang diusahakan oleh penduduk kampung,

    “Setiap kali terjadinya banjir, nilai kerugian dianggarkan tidak kurang RM10,000 dan jemaah serta penduduk terpaksa keluar duit sendiri untuk baik pulih,”

    Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin pada PRN Johor ini, Zulkifli Bujang mahu pemaju projek landasan berkembar itu bertindak segera menyelesaikan masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk.

    Dalam kejadian terbaharu, banjir kilat yang melanda kawasan itu semalam, antara mangsa yang terjejas adalah seorang Orang Kurang Upaya yang menetap di premis surau.

    “Dimaklumkan air naik hingga ke paras lutut dan air masuk ke rumah beliau, jadi kami datang untuk bantu kemaskan,” kata Zulkifli yang turut bersama-sama ahli jawatankuasa Surau Ar-Rahman meredah air banjir itu bagi meninjau kerosakan pada projek Agro-Tiong tersebut.

    Zulkifli bakal berdepan pertandingan enam penjuru menentang Mohd Hairi Mad Shah (Barisan Nasional), Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Parti Pejuang Tanah Air), Dr Zamil Najwah Arbain (PKR), Rasid Abu Bakar (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan NorRamadan Buan (Bebas).

    Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Mac depan sebagai hari pengundian PRN Johor manakala undi awal pada 8 Mac. – BERNAMA

  • Banjir: 708 calon SPM duduki peperiksaan April

    Banjir: 708 calon SPM duduki peperiksaan April

    SERAMAI 708 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang terjejas akibat bencana banjir di tujuh sekolah di Jajahan Pasir Mas akan menduduki peperiksaan kertas Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pada sidang kedua, April depan.

    Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SMK Gual Periok, SMK Baroh Pial, Sekolah Menengah Agama Maahad Muhammadi Rantau Panjang, SMK Meranti, Sekolah Menengah Ugama (SMU) Al-Falah Siram dan SMU Khairiah Banggol Setol.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, calon-calon tersebut sepatutnya menduduki dua kertas peperiksaan itu pada esok, Rabu (2 Mac) dan Khamis (3 Mac).

    “Kementerian Pendidikan membuat keputusan sekolah-sekolah ini tidak dapat digunakan sebagai pusat peperiksaan kerana kawasan itu digenangi air hingga menyebabkan calon-calon dan pegawai peperiksaan tidak dapat masuk ke kawasan sekolah.

    “Kertas peperiksaan untuk Rabu dan Khamis akan ditangguhkan pada sidang kedua. Pihak sekolah telah menghubungi calon-calon terlibat dan dijangka peperiksaan pada Isnin (7 Mac) akan kembali seperti biasa bergantung kepada keadaan semasa,” katanya dalam sidang media selepas melawat SMK Agama Lati, Rantau Panjang di Pasir Mas hari ini.

    Mengulas lanjut, Radzi turut meminta calon SPM 2021 di negeri ini yang menghadapi kesukaran untuk ke kawasan sekolah atau hadir ke pusat peperiksaan supaya menghubungi guru kelas, setiausaha peperiksaan sekolah atau pengetua.

    “Boleh dapatkan penjelasan berkaitan situasi dan mana-mana pusat peperiksaan alternatif yang boleh dihadiri,” katanya.

    Beliau berkata, calon terkesan banjir turut dibenarkan hadir ke pusat peperiksaan tanpa memakai uniform sekolah.

    “Calon-calon yang terkesan banjir, pakailah apa-apa pun tidak mengapa, dalam keadaan krisis kita tak boleh terlalu memilih. Apa yang penting, anak-anak ini tenang dapat hadir ke pusat peperiksaan,” katanya.

    Dalam perkembangan sama, Radzi memaklumkan, keadaan banjir di Terengganu semakin pulih dan calon SPM yang terkesan boleh menduduki peperiksaan tersebut di pusat-pusat peperiksaan alternatif. – BERNAMA

  • Mangsa banjir Terengganu meningkat 11,137 orang

    Mangsa banjir Terengganu meningkat 11,137 orang

    JUMLAH mangsa banjir di Terengganu yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terus meningkat kepada 11,137 orang berbanding 6,963 orang pada pukul 8 malam tadi.

    Sehingga pukul 8 pagi ini, sebanyak 3,177 keluarga terjejas ditempatkan di 157 PPS yang dibuka di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu, Besut, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus, lapor Sinar Harian.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataannya memaklumkan, Kemaman merupakan daerah paling teruk terjejas apabila seramai 3,026 mangsa dari 827 keluarga sudah dipindahkan ke 22 PPS yang telah diaktifkan di derah tersebut.

    Menurut kenyataan itu, mangsa banjir di daerah Hulu Terengganu pula kini seramai 2,946 orang membabitkan 950 keluarga dan semua mereka ditempatkan di 27 PPS yang diaktifkan.

    Katanya, bagi daerah Besut, sebanyak 44 PPS sudah dibuka bagi menempatkan 2,187 mangsa yang terjejas banjir diikuti Setiu (1,277 orang) dan Dungun (1,236 orang),” katanya.

    “Jumlah mangsa banjir di Kuala Nerus juga bertambah dengan 407 penduduk daripada 116 keluarga terjejas kini dipindahkan di lapan
    PPS susulan kenaikan air di kawasan kediaman masing-masing.

    “Sebanyak dua PPS turut dibuka di Kuala Terengganu bagi menempatkan 53 mangsa yang terjejas manakala di Marang, keadaan banjir di daerah itu tidak berubah dengan satu PPS kekal dibuka di sana bagi menempatkan lima mangsa daripada sebuah keluarga,” jelas kenyataan itu.

    Sementara itu, keadaan cuaca di Hulu Terengganu sekarang masih hujan manakala Setiu, Marang dan Besut hujan renyai, di Dungun dan Kemaman pula mendung manakala Kuala Terengganu pula cuaca kelihatan cerah.

  • Banjir di Kelantan ragut 2 nyawa, mangsa pindah meningkat 8,439 orang

    Banjir di Kelantan ragut 2 nyawa, mangsa pindah meningkat 8,439 orang

    BANJIR di Kelantan yang berlaku di penghujung musim tengkujuh kini sudah meragut dua nyawa, apabila seorang remaja menjadi korban bencana itu malam tadi.

    Mayat Muhammad Fazly Kamri, 13, yang dihanyutkan arus ketika menunggang basikal di tepi tali air di Kampung Talang Kadok, ditemukan pada pukul 10 malam tadi oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),50 meter daripada lokasi terakhir, lapor Berita Harian.

    Terdahulu, seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika mengalihkan sampan di Pengkalan Lan, Sungai Galas, Kampung Kuala Gris Jumaat lalu, ditemui lemas pukul 7 petang semalam.

    Sehubungan itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin, ketika dihubungi menasihatkan orang ramai supaya tidak menjadikan banjir sebagai pesta air.

    Menurut Zainal, ketika banjir melanda, orang ramai berpusu-pusu keluar untuk melihat air selain ada yang bermain air yang dikhuatiri boleh mengundang padah.

    “Setiap kali berlakunya banjir, saya sentiasa mengingatkan orang ramai supaya menjaga diri dan tidak bermain air yang boleh menyebabkan berlaku tragedi.

    “Ini kerana beberapa daerah kita lihat arus banjir sangat deras dan situasi itu sangat membahayakan sekiranya orang ramai bersikap berani dengan meredah banjir menggunakan kenderaan biasa,” katanya.

    Sementara itu, keadaan banjir di Kelantan terus meningkat kepada 8,439 orang pagi ini, berbanding 6,316 mangsa petang semalam.

    Kesemua mangsa membabitkan 2,745 keluarga itu ditempatkan di 70 pusat pemindahan di tujuh daerah.

  • KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KPM urus pusat peperiksaan SPM terjejas banjir

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah membuka bilik gerakan banjir dan Lembaga Peperiksaan sedang mengambil tindakan bagi menguruskan pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas di Terengganu dan Kelantan.

    Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

    “Saya mengambil maklum tentang situasi banjir di Terengganu dan Kelantan yang turut menjejaskan beberapa pusat peperiksaan SPM di negeri tersebut.

    “Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan anak-anak calon SPM 2021 dapat membuat persediaan untuk menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat,” menurut hantaran itu.

    SPM akan berlangsung dari 2 hingga 29 Mac ini. – BERNAMA

  • KPLB terima 80 peratus senarai infrastruktur terjejas banjir

    KPLB terima 80 peratus senarai infrastruktur terjejas banjir

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) setakat ini menerima 80 peratus senarai rumah, jalan raya dan kemudahan awam di kawasan pedalaman yang terjejas akibat banjir.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, justeru, pegawai daerah perlu segera menyerahkan laporan kerosakan rumah dan infrastruktur mengikut tempoh ditetapkan.

    “Bagi projek-projek yang terkesan banjir di kawasan pedalaman, pelaporannya datang dari pejabat daerah, iaitu pegawai daerah sebagai pengerusi Pusat Kawalan Operasi Banjir (PKOB) daerah.

    “Dia yang sediakan senarai tersebut dan dihantar ke kementerian. Setakat ini kita ada terima bagi baik pulih dan bina baharu rumah. Sudah boleh buat sebab kita ada bajet sebanyak RM50 juta bagi kerja-kerja tersebut,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pengarah-pengarah Agensi KPLB dan Penyampaian Sumbangan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) di Pejabat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Muar di Muar hari ini.

    Katanya, setakat ini 1,700 rumah telah dibaik pulih dan dibina baharu di bawah peruntukan RM50 juta bagi kerja-kerja membaik pulih rumah.

    “Sementara itu, RM50 juta diperuntukkan bagi membaiki jalan perhubungan desa (JPD) dan bagi program ameniti sosial (PAMS) pula diberi peruntukan sebanyak RM50 juta di negeri terkesan bencana banjir baru-baru ini,” katanya.

    Terdahulu pada majlis tersebut, Mahdzir menyampaikan sumbangan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) YPM kepada 401 pelajar dari empat institusi pengajian di bawah Institusi Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

    Sumbangan berjumlah RM40,100 itu diserahkan kepada pelajar di bawah kategori B40 di Institut Kemahiran MARA (IKM) Johor Bahru, Kolej Profesional MARA (KPM) Bandar Penawar, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Ledang dan KKTM Sri Gading. – BERNAMA

  • 42 mangsa banjir dipindahkan di 3 PPS di Raub

    42 mangsa banjir dipindahkan di 3 PPS di Raub

    HUJAN lebat berterusan sejak pagi semalam menyebabkan 42 penduduk di daerah Raub, Pahang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini ekoran kediaman mereka dinaiki air.

    Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Zon 3, Penguasa Bomba Shahrul Nizam Nasir memberitahu, PPS pertama dibuka di Pusat Kegiatan Wanita Batu Malim pada pukul 1.30 pagi yang menempatkan sebuah keluarga terdiri daripada lapan mangsa.

    Menurut beliau, manakala tujuh keluarga terdiri 17 mangsa dari Kampung Ulu Sungai turut dipindahkan ke balai raya kampung tersebut yang dibuka pada pukul 4 pagi.

    Katanya, PPS ketiga pula dibuka pada pukul 7 pagi ini di Masjid Kampung Jamek yang menempatkan lima keluarga melibatkan 17 mangsa banjir dari Kampung Kuala Semantan.

    “Air mula naik bermula pukul 12 tengah malam dan mengikut maklumat diperoleh, hujan lebat di bahagian ulu Sungai Lipis,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

    Menurut Shahrul Nizam, keadaan terkini paras air Sungai Lipis merekodkan 115.40 meter (m) melepasi paras bahaya iaitu 114.80m dan limpahan dijangka berlaku di hilir sungai tersebut.