Tag: Baling

  • Sumber air terkumpul di Gunung Inas punca banjir Baling – Sanusi

    Sumber air terkumpul di Gunung Inas punca banjir Baling – Sanusi

    SUMBER air yang terkumpul banyak di Gunung Inas yang mengalir turun dengan laju di sudut cerun yang curam dipercayai menyebabkan berlakunya kejadian banjir dan fenomena kepala air di Baling, Isnin lepas.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesimpulan itu berdasarkan tinjauan udara yang dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam di kawasan gunung itu yang turut mendapati tiada pecahan takungan air seperti yang didakwa.

    “Saya berpeluang menaiki helikopter PDRM untuk meninjau kawasan bencana dan dapat melihat secara menyeluruh laluan aliran air yang berpunca dari Gunung Inas sehingga kawasan bencana dan Pekan Kupang.

    “Pemerhatian mata kasar dari udara, saya dapati air terkumpul begitu banyak dalam satu masa dan terdapat berpuluh-puluh lorong yang terbentuk di Gunung Inas yang mengalir ke bawah di sudut cerun yang sangat curam dan menyebabkan air bergerak begitu laju di Lata Celak ini dalam tempoh serentak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Muhammad Sanusi berkata, pada tinjauan itu, beliau mendapati takungan yang dibina di kawasan tanaman Musang King masih ada, dan takungan tempat pengumpulan air untuk dipam masuk ke kolam berkenaan juga tidak pecah.

    Muhammad Sanusi berkata, pokok-pokok besar di sepanjang aliran air di gunung itu juga masih ada dan tidak ditebang sewaktu ladang hutan tanaman durian Musang King dibangunkan.

    Justeru beliau berkata kesimpulan pada masa ini sebelum mendapat laporan daripada jabatan teknikal seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) ialah aliran air bergerak begitu laju di cerun yang curam daripada sumber air yang terlalu banyak dan bercantum menjadi satu di aliran Lata Celak yang mengalir ke Sungai Kupang.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang Isnin lepas, banjir dan fenomena kepala air di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban dan lebih 1,400 penduduk dipindahkan ke tiga pusat pemindahan selain 15 rumah musnah dihanyutkan arus deras. – BERNAMA

  • Banjir Baling: Azeez mahu projek Musang King dihentikan

    Banjir Baling: Azeez mahu projek Musang King dihentikan

    AHLI Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berharap projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas di Baling dihentikan, selepas ia didakwa sebagai antara punca kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di beberapa buah kampung di daerah itu, petang semalam.

    Beliau berkata, sebelum ini pihaknya yang mewakili penduduk di kawasan sekitar telah menghantar memorandum bantahan projek itu kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

    “Saya mewakili penduduk sudah membawa memorandum bantahan yang ditandatangani oleh 900 penduduk sekitar berserta dengan nombor kad pengenalan mereka, penduduk pun sudah banyak kali melakukan demonstrasi berhubung isu ini.

    “Projek ini diluluskan oleh kerajaan negeri sebelum ini, isu ini bukan sebulan dua tapi sudah bertahun-tahun,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Iboi di Baling hari ini.

    Beliau turut melahirkan rasa sedih dengan bencana itu yang mengorbankan tiga beranak berusia antara 14 hingga 53 tahun termasuk seorang wanita hamil empat bulan.

    “Saya sudah cakap dalam Parlimen enam bulan lalu, kita di Baling perlukan RM300 juta untuk menyelesaikan isu banjir di Baling, sudah berulang kali saya merayu termasuk kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air, akhirnya hari ini berlaku juga kejadian tidak diingini,” katanya.

    Sementara itu Muhammad Sanusi dalam sidang media hari ini berkata dakwaan bahawa projek tanaman durian Musang King di Gunung Inas sebagai punca kejadian itu belum disahkan.

    Katanya dakwaan itu perlu disahkan dengan maklumat lengkap sebelum sebarang tuduhan dilemparkan kepada pihak yang terbabit. – BERNAMA

  • Tiada pengesahan projek ladang Musang King punca banjir Baling

    Tiada pengesahan projek ladang Musang King punca banjir Baling

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TIADA pengesahan sama ada projek ladang durian Musang King di Gunung Inas sebagai punca fenomena banjir dan kepala air yang melanda Baling petang semalam.

    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata demikian ketika ditanya tentang dakwaan penduduk tentang kemungkinan itu.

    “Perkara itu belum dapat disahkan dan perlu perincian lanjut tetapi janganlah longgok kat dia (pengusaha) semua, kesian dia juga. Saya bukan kesian apa tetapi kalau kita tak dapat sahkan secara saintifik serta bukti nyata dan tiba-tiba buat kenyataan begitu, tak adillah.

    “Pada 2020 saya dah arahkan untuk pengusaha segera tanam tanaman tutup bumi di kawasan yang telah digondolkan dan saya dapati ada tanaman tersebut ditanam di situ. Mungkin tutup bumi itu tak mampu serap aliran air yang banyak, maka berlakulah apa yang telah berlaku dan kita akan tengok perkara itu kemudian,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berkaitan bencana itu di Tabika Kemas Kampung Bendang Bechah yang dijadikan sebagai pusat media bencana dekat Baling, hari ini.

    Menurut Muhammad Sanusi, secara keseluruhannya terdapat 12 kampung terjejas akibat kejadian itu melibatkan 627 mangsa dan tiga kematian.

    Sementara itu katanya, kejadian tersebut dilihat menyamai fenomena kepala air yang berlaku di Gunung Jerai tahun lalu.

    Katanya, beliau telah melihat gambar yang diambil dari udara menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan mendapati penampan dibina penduduk untuk menakung air masyarakat di gunung itu tidak musnah dan hanya dipenuhi timbunan pasir.

    “Penampan air digunakan pengusaha tanaman durian juga tidak pecah. Itu bermaksud aliran air yang membentuk kepala air semalam merupakan air yang terkumpul di alur-alur sepanjang Gunung Inas sebelum secara serentak mengalir ke bawah.

    “Air itu terlebih dulu disekat reba kayu sebelum mengalir serentak ke bawah. Itulah yang membentuk kepala air dan fenomena ini menyamai kejadian yang berlaku di Gunung Jerai, tahun lalu,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan, penilaian dilakukan jabatan berkaitan menetapkan bahawa kejadian itu masih belum sampai ke tahap yang melayakkan kawasan terlibat diisytiharkan sebagai kawasan Darurat Bencana.

    Muhammad Sanusi turut memaklumkan, kerajaan negeri Kedah akan membantu menyediakan penempatan sementara buat kesemua sembilan keluarga yang kehilangan rumah masing-masing akibat dihanyutkan kepala air serta banjir.

    Menurut beliau, kerajaan negeri Kedah dalam masa sama akan mengusahakan rumah ganti kepada mereka yang kehilangan rumah itu.

    “Kita akan sewa beberapa rumah untuk mereka duduki secara sementara. Dalam masa sama, kerajaan negeri akan usahakan rumah ganti jika mereka mempunyai tapak baharu lebih selamat.

    “Kalau tiada tapak lain, mereka kena tunggu sebab kita bimbang untuk bangunkan tapak rumah baharu di tapak asal. Sungai yang dulunya dalam kini berubah cetek akibat kejadian semalam dan disebabkan itu, kita bimbang akan berlaku limpahan lebih banyak sekiranya kejadian sama berulang pada masa akan datang,” katanya.

  • PM arah bantuan segera mangsa banjir Baling

    PM arah bantuan segera mangsa banjir Baling

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan pihak berkuasa berkaitan untuk segera membantu mangsa-mangsa banjir di Baling, Kedah.

    Walaupun kini berada di Turkiye untuk lawatan rasmi, Ismail Sabri berkata, beliau sentiasa mengikuti perkembangan bencana yang menimpa Keluarga Malaysia di Baling.

    “Saya telah mengarahkan Setiausaha Politik, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus mewakili saya, turun ke kawasan bencana bagi meninjau dan memastikan bantuan disalurkan dengan secepatnya kepada mangsa.

    “Kita meninjau keperluan segera yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir yang terlibat di Baling, dan bantuan harus segera disampaikan kepada mangsa walaupun saya berada di Turkiye,” katanya dalam catatan di Facebook rasmi beliau hari ini.

    Perdana Menteri turut berkongsi gambar dan video lawatan Mohammad Anuar di Baling hari ini dalam catatan itu.

    Ismail Sabri turut melahirkan rasa sedih dan simpati dengan bencana banjir itu yang mengakibatkan tiga nyawa terkorban setakat ini dan mendoakan semoga semua mangsa banjir tabah menghadapi dugaan itu.

    “Takziah kepada mereka yang kehilangan insan tersayang, sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah dan didoakan semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang semalam, banjir lumpur di Baling mengakibatkan tiga nyawa terkorban, dan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara dengan lebih 80 rumah terjejas. – BERNAMA

  • Tiada pembalakan aktif di Hutan Simpan Gunung Inas – Takiyuddin

    Tiada pembalakan aktif di Hutan Simpan Gunung Inas – Takiyuddin

    LAPORAN rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mengesahkan tiada aktiviti pembalakan aktif di kawasan Hutan Simpan Gunung Inas sehingga mengakibatkan kejadian kepala air dan banjir kilat di Baling, semalam.

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya, terdapat pembangunan ladang hutan di kompartmen lapan, Hutan Simpan Gunung Inas sejak 2019 yang mendapat kelulusan kerajaan negeri Kedah.

    Beliau berkata, tujuan pembangunan ladang hutan itu adalah bagi penanaman semula, yang setakat ini melibatkan penanaman lebih 5,000 pokok di kawasan seluas 52 hektar.

    “JPSM telah membuat semakan dan siasatan serta mengesahkan bahawa pokok yang dihanyutkan itu adalah bukan daripada kayu-kayu balak yang dijalankan pembalakan. Ini adalah kerana kayu-kayu itu dihanyutkan bersama akar-akarnya sendiri.

    “Jadi kita mahu betulkan anggapan sesetengah pihak bahawa berlakunya pembalakan aktif yang menjadi punca berlakunya kepala air di sungai (Sungai Kupang) itu,” katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir di Bernama Radio hari ini.

    Banjir lumpur di Baling semalam mengakibatkan beratus-ratus penduduk dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan lebih 80 rumah terjejas serta meragut tiga nyawa, dalam kejadian kira-kira 4 petang semalam.

    Takiyuddin berkata, pihaknya juga amat dukacita atas kejadian bencana alam itu.

    “Ini merupakan satu bencana alam, mungkin ada banyak sebab ia berlaku dan oleh sebab itu kementerian amat serius dalam menjaga biodiversiti dan alam sekitar,” katanya. – BERNAMA

  • Mayat 3 beranak dihanyut kepala air Baling ditemukan

    Mayat 3 beranak dihanyut kepala air Baling ditemukan

    MAYAT dua daripada tiga sekeluarga yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang melanda Kampung Iboi, Kupang di Baling petang semalam, ditemukan pasukan penyelamat pada 9.30 pagi tadi.

    Dua mangsa tersebut, Salmah Mat Akib, 53, dan menantunya, Nurul Anis Abu Hassan, 23, yang hamil empat bulan, ditemukan dalam keadaan berpelukan di bawah timbunan kayu balak kira-kira 100 meter dari lokasi rumah mereka yang dihanyutkan arus deras.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata operasi mencari mangsa bermula pukul 8 pagi yang dipecahkan kepada tiga pasukan, sebelum menemukan kedua-dua mayat pada 9.30 pagi

    “Kedua-dua mangsa ditemukan di bawah timbunan kayu, mungkin mangsa hanyut bersama bongkah kayu dan tersangkut di kawasan itu,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian banjir di Kampung Iboi di Baling hari ini.

    Katanya, mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan sempurna dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, mayat remaja lelaki daripada tiga sekeluarga yang dilaporkan hilang dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang melanda Kampung Iboi, Kupang di sini petang semalam, ditemukan pada 11.55 pagi tadi.

    Khairul Ikhwan Nor Azman, 14, yang merupakan pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai itu ditemukan tidak jauh dari lokasi dua mayat yang ditemukan sebelum ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata mayat mangsa ketiga ditemukan kira-kira dua jam selepas penemuan dua mayat pada 9.30 pagi tadi di lokasi berhampiran.

    “Mayatnya ditemukan di bawah timbunan kayu dan berjaya dikeluarkan oleh pihak kami yang kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian banjir di Kampung Iboi, Kupang hari ini.

    Katanya mayat remaja itu dalam keadaan sempurna tanpa kesan kecederaan.

    Dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, ketiga-tiga mangsa berada di dalam sebuah rumah yang kemudian dihanyutkan arus deras dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku selepas hujan lebat berterusan selama tiga jam. – BERNAMA

  • JAKIM diarah selaras bantuan Musa’adah bantu mangsa banjir Baling

    JAKIM diarah selaras bantuan Musa’adah bantu mangsa banjir Baling

    JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarah menyelaras segera bantuan Musa’adah bersama-sama pihak berkuasa di Kedah bagi membantu penduduk yang terkesan dan terjejas akibat banjir di Baling, semalam.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, selain JAKIM, agensi-agensi hal ehwal Islam di bawah jabatannya juga telah diminta untuk turut bersama turun ke lapangan bagi menghulurkan bantuan.

    “Saya mengikuti laporan media yang melaporkan kejadian banjir lumpur melanda beberapa kawasan di daerah Baling, Kedah. Dari lubuk hati yang dalam, saya berasa amat dukacita dan bersimpati dengan para penduduk yang terlibat,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya.

    Beliau turut mendoakan semua pihak yang terlibat dikurniakan kesabaran serta ketabahan menghadapi ujian itu, selain menyeru seluruh masyarakat termasuk jemaah haji di Makkah bersama-sama mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara.

    Setakat pukul 2 pagi tadi 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di Baling dipindahkan ke beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) dengan 85 rumah dilaporkan terjejas ekoran bencana banjir kilat kira-kira pukul 4 petang semalam.

    Sementara itu Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, Jabatan Pendidikan Kedah serta Pejabat Pendidikan Baling telah diminta bersiap sedia dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuka sekolah untuk dijadikan PPS banjir.

    “Saya akan terus mengikuti perkembangan situasi ini dan memastikan kebajikan warga pendidikan yang terkesan diberikan perhatian. Sama-sama kita doakan semoga banjir tidak berlarutan dan usaha membantu serta menyelamatkan penduduk terlibat dipermudahkan,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

    Beliau berkata, setakat ini kira-kira sembilan sekolah di bawah KPM di kawasan itu dilaporkan terkesan akibat banjir. – BERNAMA