Tag: badminton

  • Badminton berpasukan campuran sumbang emas ketiga, tebus kekalahan di Australia

    Badminton berpasukan campuran sumbang emas ketiga, tebus kekalahan di Australia

    SELEPAS dua hari tanpa kilauan emas, kontinjen negara boleh menarik nafas lega, apabila kembali meraih sebutir emas pada kelima temasya Sukan Komanwel Birmingham di sini hari ini.

    Kejayaan skuad badminton menghadiahkan pingat emas dalam acara berpasukan campuran itu, sekali gus meletakkan kontinjen negara berada di landasan tepat dalam mencapai sasaran enam emas pada temasya sukan berprestij tersebut.

    Pasukan badminton kebangsaan muncul juara edisi Birmingham selepas menumpaskan juara bertahan, India 3-1 di pentas final, sekali gus menebus kekecewaan tumpas 1-3 di tangan lawan yang sama itu pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia.

    Kredit juga harus diberikan kepada atlet muda judo negara Amir Daniel Abdul Majeed, yang menyumbangkan pingat gangsa dalam kategori 73 kilogram (kg) lelaki hari ini.

    Kejayaan skuad badminton dan judo negara itu menyaksikan kontinjen negara setakat ini meraih keseluruhan tiga pingat emas, dua perak dan tiga gangsa.

    Australia kekal di kedudukan teratas dalam carta pungutan pingat apabila meraih 42 pingat emas, 32 perak dan 32 gangsa, diikuti tuan rumah England di tempat kedua dengan 31-34-21, manakala New Zealand memenangi 13-7-6.

    Dua pingat emas sebelum ini disumbangkan kem angkat berat negara pada Sabtu lepas (30 Julai).

    Selepas menampilkan pencapaian cemerlang dengan keseluruhan meraih dua pingat emas dan satu perak, kontinjen negara pastinya mengharapkan skuad angkat berat mampu menghadiahkan sesuatu apabila Muhammad Hafiz Shamsuddin turun bersaing dalam kategori 109kg lelaki, pada Rabu.

    Di Stadium Alexander, peminat olahraga tanah air sudah tentu mahu melihat kemampuan atlet berpangkalan di Amerika Syarikat, Shereen Samson Vallabouy apabila bersaing dalam acara 400 meter wanita.

    Selain itu, jaguh lompat tinggi negara Nauraj Singh Randhawa akan turun beraksi di peringkat final acara berkenaan, pada Rabu.- BERNAMA

  • Wei Chong – Kai Wun tundukkan juara Olimpik, juarai Terbuka Taipei

    Wei Chong – Kai Wun tundukkan juara Olimpik, juarai Terbuka Taipei

    PASANGAN beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta kejutan besar apabila berjaya menumpaskan Juara Olimpik Tokyo 2020 Lee Yang-Wang Chi Lin untuk muncul juara Terbuka Taipei pada hari ini.

    Pasangan di ranking ke-36 dunia yang turun dengan semangat juang tinggi itu menampilkan persembahan cemerlang untuk menundukkan wakil tuan rumah itu 21-18 pada set pertama.

    Namun, beregu nombor empat dunia yang juga pilihan pertama kejohanan, Lee-Chi Lin bangkit mengejar beregu Malaysia dan mencatatkan kemenangan 21-11.

    Wei Chong-Kai Wun, pilihan keenam kejohanan, memperkemaskan aksi mereka pada set penentuan untuk mengesahkan kemenangan 21-18, dalam pertarungan selama 54 minit itu.

    Ia merupakan gelaran juara kedua buat Wei Chong-Kai Wun pada tahun ini selepas menjuarai Kejohanan Antarabangsa India pada Januari lepas yang menewaskan wakil tuan rumah, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala 21-18, 21-15. – BERNAMA

  • Kian Meng-Pei Jing juara Terbuka Korea

    Kian Meng-Pei Jing juara Terbuka Korea

    BEREGU campuran profesional negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing mengakhiri kemarau lima tahun tanpa gelaran apabila muncul juara kejohanan badminton Terbuka Korea hari ini.

    Lebih manis, pasangan Malaysia itu meraih kejuaraan tersebut selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Ko Sung Hyun-Eom Hye Won dalam aksi final yang berlangsung selama 50 minit di Stadium Palma, Suncheon.

    Merupakan pertemuan kali ketiga buat kedua-dua pasangan itu, Kian Meng-Pei Jing beraksi cemerlang untuk melebarkan rekod dua kemenangan sebelum ini apabila sekali lagi menundukkan pasangan Korea Selatan itu dengan straight set.

    Turun selaku wakil negara yang masih meneruskan cabaran pada kejohanan itu, Kian Meng-Pei Jing ternyata unggul apabila sentiasa berada di hadapan sebelum mencatat kemenangan 21-15 di set pertama.

    Ketinggalan satu set, Sung Hyun-Hye Won cuba bangkit di set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun usaha mereka gagal apabila pasangan Malaysia itu terus mendominasi perlawanan untuk merekodkan kemenangan 21-18.

    Kemenangan tersebut sekali gus menyaksikan Kian Meng-Pei Jing muncul beregu Malaysia pertama meraih gelaran di Terbuka Korea. – BERNAMA

  • Kisona kejutkan bekas pemain nombor satu dunia

    Kisona kejutkan bekas pemain nombor satu dunia

    PEMAIN perseorangan wanita negara, S Kisona mencipta kejutan apabila menewaskan bekas pemain nombor satu dunia Saina Nehwal dari India pada pusingan kedua Kejohanan Terbuka Switzerland 2022 di Basel.

    Pada perlawanan yang berlangsung di St Jakobshalle awal pagi tadi, Kisona mencatat kemenangan 17-21, 21-13, 21-13 sekali gus menempah slot ke suku akhir.

    Di set pertama, Kisona bermula dengan baik setelah mendahului 15-12, namun Saina tidak menunggu lama untuk bangkit menyamai kedudukan 15-15 sebelum berjaya mengatasi pemain negara 21-17.

    Pada set kedua, kedua-dua pemain saling mengejar mata sehingga terikat 8-8 sebelum Kisona beraksi dengan lebih agresif sekali gus berjaya membawa permainan ke set penentuan apabila mencatat kemenangan 21-13.

    Di set penentuan, Kisona yang berada di ranking ke-64 dunia diikat pemain ranking 23 dunia itu dengan kedudukan 6-6 sebelum Kisona mendominasi permainan sehingga menoktahkan kejayaan 21-13.

    Di suku akhir, Kisona akan membuat perhitungan dengan lawan dari Thailand Supanida Katethong yang dijadual berlangsung pada 9 malam waktu tempatan, hari ini.

    Sementara itu, tiga pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani masing-masing berjaya mengiringi Kisona ke pentas suku akhir.

    Turut mara ke peringkat lapan terbaik itu adalah dua pasangan beregu wanita, Lim Chiew Sien-Vivian Hoo dan Anna Cheong-Teoh Mei Xing selepas cemerlang mengatasi lawan masing-masing. – BERNAMA

  • Kisona tersingkir awal Kejuaraan Dunia BWF

    Kisona tersingkir awal Kejuaraan Dunia BWF

    HARAPAN pemain badminton perseorangan wanita utama negara S. Kisona untuk kembali cemerlang tidak kesampaian, apabila beliau tewas kepada Neslihan Yigit dari Turki, pada pusingan pembukaan Kejuaraan Dunia BWF 2021 di Huelva, Sepanyol, hari ini.

    Pemain nombor 28 dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk mengenepikan cabaran Kisona yang berada di kedudukan 58 dunia, 21-14, 21-15, pada perlawanan yang berlangsung di Palacio de los Deportes Carolina Marin.

    Perlawanan hari ini merupakan penampilan Kisona yang pertama selepas hampir dua bulan berehat selepas menjadi mangsa serangan rasis di media sosial, berikutan kekalahannya kepada pemain nombor tiga dunia Akane Yamaguchi dari Jepun di perlawanan separuh akhir Piala Sudirman di Vaanta, Findland pada Oktober.

    Sementara itu pemain perseorangan persendirian lelaki negara Cheam Jun Wei, juga gagal meneruskan cabarannya selepas tewas pada pusingan pertama kepada Kenta Nishimoto dari Jepun, 21-17, 21-8.

    Beberapa pemain negara termasuk juara All England 2021 Lee Zii Jia, selain pasangan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheah Yee See akan beraksi pada perlawanan pusingan pertama yang akan bersambung esok.

    Zii Jia selaku pemain pilihan keenam kejohanan akan behadapan pemain dari Kanada Jason Anthony Ho-Shue, manaka Pang Ron-Yee See akan bertemu pasangan Belanda, Ties Van Der Lecq-Debora Jille. – BERNAMA

  • Piala Sudirman: Ahmad Faizal kecam kenyataan berbaur perkauman

    Piala Sudirman: Ahmad Faizal kecam kenyataan berbaur perkauman

    MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengecam kenyataan berbaur perkauman dilemparkan seorang pengguna media sosial terhadap seorang pemain perseorangan negara yang beraksi dalam kempen Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.

    Beliau berkata, tindakan berkenaan tidak boleh diterima lebih-lebih lagi pemain itu berjuang sehabis baik bagi mengharumkan nama negara.

    “Keluarga Malaysia ini umpama setandan pisang, ada yang elok, ada yang buruk dan ada juga yang tak tahu guna bahasa yang baik dalam berkata-kata tentang sesuatu perkara.

    “Kita ini terdiri daripada Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban dan sebagainya. Jangan hina bangsa, kulit dan agama lebih-lebih lagi mereka yang berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia,” katanya pada sidang media selepas menziarahi satu keluarga yang memerlukan rumah di Kampung Manjoi, Ipoh hari ini.

    Terdahulu, kenyataan berbaur perkauman itu tular ketika pemain berkenaan sedang beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan itu malam tadi.

    Dalam kejohanan itu, Malaysia tumpas 1-3 kepada Jepun sekali gus gagal layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung hari ini.

    Mengulas prestasi atlet badminton negara dalam kejohanan Piala Sudirman 2021, Ahmad Faizal berkata, beliau kagum dengan semangat yang dipamerkan para pemain hingga layak ke peringkat separuh akhir.

    “Mereka janji dengan kita untuk ke peringkat suku akhir tetapi berjaya ke separuh akhir hingga semua (rakyat) tidak tidur malam melihat mereka bermain. Apakan daya kita tersingkir (separuh akhir) namun bagi saya mereka telah mempamerkan semangat yang begitu menakjubkan,” katanya.

    Ahmad Faizal berkata beliau berharap pemain badminton negara akan layak ke peringkat akhir Piala Thomas yang dijadual berlangsung pada 9 hingga 17 Okt ini di Aarhus, Denmark bersandarkan persembahan di Piala Sudirman.

    “Namun apa yang kita harapkan daripada pemain ialah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan segala keputusannya (Piala Thomas) kita akan terima,” katanya. – BERNAMA