Tag: Armada

  • Tindakan laman FB Kelab Peminat Kartunis Zunar keterlaluan – Armada

    Tindakan laman FB Kelab Peminat Kartunis Zunar keterlaluan – Armada

    ARMADA Bersatu Malaysia (Armada) mengecam tindakan pemilik laman Facebook Zunar Cartoonist Fan Club yang dilaporkan mencemar kesyumulan Islam apabila mengaitkan gambar Kaabah dalam bentuk karikatur serta menyindir Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Menurut Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, tindakan pemilik laman itu keterlaluan kerana mempersendakan agama.

    “Sebegitu ‘koyak’ pentaksub Pakatan Harapan (PH) kerana tidak dapat memukul canang ketua mereka memasuki Kaabah sehingga tindakan penyokong PH ini sanggup merempuh garis pemisah yang tidak sepatutnya dilanggar dan dilakukan apabila melukis gambar Kaabah dengan mengaitkan isu pendakwaan politik yang dipalitkan ke atas Muhyiddin.

    “Lebih hina, bukan sahaja mempersendakan Kaabah untuk menaja fitnah, malah gambaran dari karikatur laman FB Zunar Cartoonist Fan Club kononnya Muhyiddin melakukan rasuah ‘peribadi’ adalah suatu ‘falasi’ dan fitnah besar untuk dikaitkan dengan Kaabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Ashraf turut menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertindak tegas dalam menangani isu berkenaan.

    Katanya, Armada juga akan membuat laporan polis bagi menuntut permohonan maaf daripada pemilik laman Facebook Zunar Cartoonist Fan Club kepada umat Islam di seluruh Malaysia.

  • Usah tunduk tekanan Jiao Zong isu Bahasa Melayu, gesa Armada

    Usah tunduk tekanan Jiao Zong isu Bahasa Melayu, gesa Armada

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) digesa agar tidak tunduk dengan beberapa tekanan oleh Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), khususnya berhubung bank soalan Bahasa Melayu (BM) untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

    Ketua Armada Bersatu Malaysia Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan, KPM perlu kekal teguh dengan dasar yang menggunakan hanya satu kurikulum dan sukatan pelajaran untuk apa-apa subjek, khususnya yang berunsur pembentukan negara bangsa.

    Kata ahli Parlimen Machang itu, KPM juga perlu bersedia membantu dalam apa jua cara dalam memudahkan dan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran BM di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan.

    “Saya agak terkejut membaca keluhan Jiao Zong berhubung bank soalan Bahasa Melayu untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA). Alasan pertama ialah ianya bertentangan dengan prinsip pendidikan.

    “Alasan kedua pula waktu belajar subjek BM di Sekolah Kebangsaan (SK) dan SRJK berbeza. Masa pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua tahap pertama dan tahap kedua BM di SK lebih 32 jam berbanding pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK.

    “Namun, persoalannya ialah mengapa perlu beza-bezakan soalan BM untuk SK dan SRJK walhal kurikulum pengajian bahasa di peringkat asas menuntut kepada silibus yang sama seperti yang telah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal turut membangkitkan persoalan apakah Jiao Zong mempunyai matlamat tertentu sehingga menuntut pelbagai perkara, termasuk penggunaan buku teks.

    “Apakah ada perbezaan prinsip dan matlamat pendidikan yang Jiao Zong perjuangkan sehingga menuntut kepada bukan saja perbezaan bank soalan malah buku teks yang berlainan?

    “Bukankah pengajaran dan pembelajaran BM di peringkat asas adalah sama untuk semua pelajar di peringkat itu tidak kira di SK ataupun SRJK?
    Mengapa waktu pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK 32 jam lebih pendek berbanding SK?

    “Bukankah patut digandakan masa pengajaran dan pembelajaran BM agar penguasaan BM di kalangan pelajar SRJK menjadi lebih baik dan fasih?”, katanya.

    Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayshal mengingatkan Jiao Zong supaya akur dengan dasar KPM bahawa proses pendidikan di Malaysia turut merangkumi usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum, dan agama melalui penggunaan BM yang betul dan meluas.

    “Kita tidak boleh membeza-bezakan silibus yang ada kerana kita ingin melahirkan warganegara Malaysia yang punya kefahaman yang sama tentang negara bangsa Malaysia.

    “Keluhan Jiao Zong ini tidak membantu dalam usaha memupuk perpaduan nasional di peringkat paling asas iaitu peringkat persekolahan anak-anak kita.

    “Kita mahu lebih ramai pelajar-pelajar SRJK menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan fasih kerana ianya akan membantu keboleh pasaran para pelajar SRJK dan juga mengukuhkan usaha SRJK menjayakan perpaduan nasional,” tambahnya.

    Beliau mengulas kenyataan Jiao Zong berpendapat penggunaan bank soalan yang sama untuk subjek BM bagi semua aliran sekolah adalah tidak sesuai.

    Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilaporkan berkata jumlah masa pengajaran BM adalah berlainan antara sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) dan sekolah kebangsaan (SK) dan bahasa itu juga merupakan bahasa ibunda murid Melayu.

    Beliau berkata, penggunaan soalan dari bank soalan yang sama untuk UASA bagi semua aliran sekolah adalah bertentangan dengan prinsip pendidikan.

  • Kerajaan mesti segera kawal selia kenaikan harga barang

    Kerajaan mesti segera kawal selia kenaikan harga barang

    KERAJAAN pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa mengawal selia kenaikan harga barangan yang menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat ketika ini.

    Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bahagian Sabak Bernam, Mohammad Ferris berkata kerajaan perlu memandang serius penegasan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penubuhan semula Majlis Sekuriti Makanan Negara.

    Berikut adalah kenyataan penuh beliau dalam Facebook:

    Kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengawal selia kenaikan harga barangan kerana besar kemungkinan negara akan berhadapan dengan situasi hiperinflasi sekiranya tiada langkah-langkah intervensi yang terkawal dan berkesan diambil segera.

    Pertama, Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia menunjukkan trend peningkatan di mana indeks makanan meningkat kepada 6.1 peratus yang menjadi penyumbang utama kepada kenaikan inflasi.

    Antara makanan di luar rumah yang menunjukkan kenaikan adalah roti canai (+10.5 peratus), nasi berlauk (+9.7 peratus), masakan daging (+7.8 peratus) dan makanan berasaskan mi (+7.0 peratus).

    MOHAMMAD FERRIS

    Kedua, minyak dan kos bahan mentah menjadi sebab utama kepada peningkatan ini, oleh yang demikian menjadi tanggung-jawab kerajaan melalui pihak autoriti untuk mengawal selia barangan ini.

    Jika kerajaan tidak mengambil langkah proaktif segera, sudah tentunya akan memberi kesan terhadap kos sara hidup dan peningkatan terhadap harga-harga barang yang akan membebankan rakyat bukan dari sudut kehidupan mereka sahaja akan tetapi kesihatan mental mereka juga.

    Selain itu, kerajaan juga perlu menetapkan harga-harga siling bagi barangan keperluan harian yang lebih baik dan efektif selain jaringan kese­lamatan sosial yang berstruktur perlu dijalankan.

    Antara langkah lain yang boleh diambil oleh kerajaan mungkin menilai semula cadangan “pegging” nilai ringgit pada suatu kadar yang bersesuaian sementara waktu agar kesan ke atas kos eksport dan import dapat dikurangkan.

    Kerajaan juga perlu fokus kepada jaminan sekuriti makanan ekoran saiz populasi yang semakin meningkat di Malaysia dengan memandang serius penegasan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai penubuhan semula Majlis Sekuriti Makanan Negara.

    Muhyiddin melihat lebih jauh ke hadapan dan ideanya lebih komprehensif.

    Menerusi pengaktifan semula majlis berkenaan, kerajaan boleh meningkatkan hasil pengeluaran dalam negara, sekali gus mencari jalan mengatasi krisis yang dihadapi. Ini kerana krisis makanan dihadapi kini adalah isu global yang turut memberi tempias kepada Malaysia.

    Ini sebagai pelan sokongan kepada penyelesaian kekurangan bekalan asas makanan dalam negara yang dihimpit inflasi. Bila inflasi, kita kena perbanyakkan pengeluaran dalam negara dan kurangkan aliran wang keluar.

  • Muda tak layak wakili suara rakyat Malaysia

    Muda tak layak wakili suara rakyat Malaysia

    PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dianggap tidak layak bertanding dalam pilihan raya bagi mewakili suara rakyat di negara ini.

    Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Firdaus Rashid berkata demikian ekoran kenyataan Naib Presiden Muda, Lim Wei Jiet mempersoalkan tindakan yang diambil terhadap pelawak yang didakwa menghina Islam serta Crackhouse Comedy Club.

    “Adakah Muda ditubuhkan untuk mewakili suara rakyat majoriti atau pun sekadar menjadi ‘lidah’ kepada golongan minoriti tertentu yang tidak memahami demografi dan geopolitik serta pegangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama terutamanya orang Melayu dan Islam?

    “Sekiranya begitu, saya rasa parti Muda tidak sesuai untuk bertanding dan mewakili suara rakyat Malaysia. Mungkin Muda lebih sesuai dan diterima di negara-negara seperti Singapura atau Hong Kong.

    “Dalam hal ini, kita juga nak tahu apa pandangan dan pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ADUN Puteri Wangsa YB Amira Aisya? Sebagai seorang perempuan Muslim, adakah YB Amira juga turut bersetuju dengan lawak tidak sensitif terhadap agama Islam yang dipersembahkan di Crackhouse Comedy Club?” katanya seperti dilaporkan portal Berita Bersatu.

    Firdaus berpandangan, Wei Jiet tidak sewajarnya mempersoalkan tindakan undang-undang yang diambil pihak berkuasa kerana beliau patut tahu tentang kesalahan yang dlakukan oleh pelawak dan kelab terbabit.

    “Sebagai seorang peguam, dia tentu tahu bahawa kelab tersebut telah dilaporkan media tidak mempunyai lesen hiburan untuk menjalankan operasi sebagai sebuah kelab komedi.

    “Bukankah itu menjadi satu kesalahan dan wajar diambil tindakan?

    “Di samping itu, video persembahan pelawak tersebut juga telah tular dan membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam kerana menyinggung sensitiviti agama dan bangsa,” katanya.

    Beliau menambah, tindakan pihak berkuasa adalah wajar bagi mengelak kejadian yang lebih buruk berlaku akibat kemarahan orang awam.

    Namun, katanya, perkara itu yang tidak difahami oleh Wei Jiet dan Muda.

  • Bekas Exco Armada tidak bohong dalam kes Syed Saddiq

    Bekas Exco Armada tidak bohong dalam kes Syed Saddiq

    BEKAS Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau tidak berbohong semasa memberi keterangan dalam kes dihadapi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sebaliknya berasa takut akan dituduh di mahkamah untuk kes lain.

    Abdul Hannaan Khairy, 29, berkata, keterangannya bahawa Ahli Parlimen Muar itu memintanya supaya undur tarikh sebut harga dan resit berjumlah RM250,000 berhubung cenderahati Armada, adalah benar namun tidak mengingati tarikh itu.

    “Saya tidak berbohong tetapi saya takut dituduh di mahkamah,” katanya semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah serta pengubahan wang haram.

    Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata beliau tidak akan meminta Muhammad Naqib Ab Rahim, yang ketika itu ahli Bersatu untuk undur tarikh pada kedua-dua dokumen berkenaan sekiranya Syed Saddiq tidak memintanya berbuat demikian.

    Terdahulu, ketika pemeriksaan balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, saksi itu mengakui beliau berasa takut ketika memberi keterangan di mahkamah hari ini.

    Gobind: Kenapa kamu takut?, ada pihak SPRM tanya kamu berkenaan kes lain?

    Abdul Hannaan: Ya.

    Gobind: Kamu takut dituduh untuk kes-kes lain?, dan saksi menjawab, Ya.

    Gobind: Kamu rela memberi keterangan (di mahkamah) sebagai balasan kamu tidak dituduh atas kes lain?.

    Abdul Hannaan: Yang Arif, saya ingin pergi ke tandas.

    Selepas mendengar permintaan saksi itu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memohon supaya beliau menjawab soalan peguam terlebih dahulu dan Abdul Hannaan kemudian menjawab, Ya.

    Sementara itu, Abdul Hannaan yang juga Ketua Editor Serius Kool Media Sdn Bhd berkata beliau telah ditangkap oleh SPRM pada 4 Jun 2020 selepas menerima panggilan telefon daripada Muhammad Saufi Yusof supaya menjemputnya pulang dari Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

    “Saya bertolak dari Southville City dalam pukul 11 malam untuk menjemputnya (Muhammad Saufi) dan sampai di sana (SPRM Putrajaya) kira-kira 12 tengah malam. Ketika sampai di lobi SPRM, saya tidak dapat menghubunginya dan tunggu Saufi keluar. Ketika saya menunggu beliau di dalam kereta, secara tiba-tiba ada dua atau tiga orang SPRM berlari ke arah saya dan meminta saya keluar dari kereta,” katanya.

    Disoal Gobind mengapa pihak SPRM menangkapnya, saksi menjawab: “Berhubung kehilangan wang RM250,000”.

    Menurut Abdul Hannaan, beliau turut disoal siasat berhubung kereta berjenama Volkswagen Passat yang dibelinya pada awal 2020 dan risau tindakan akan diambil oleh SPRM berhubung pembelian kereta tersebut.

    Jelas saksi, kereta itu dipulangkan semula kepadanya selepas setahun disita oleh pihak SPRM.

    Dalam pada itu, saksi berkenaan berkata, beliau juga kecewa dengan layanan yang diberikan oleh pegawai SPRM semasa menyoal siasat isterinya termasuk mengherdik wanita itu dengan kata-kata kesat dan satu laporan polis telah dibuat sebagai perlindungan diri daripada diancam oleh pihak luar.

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

    Perbicaraan di hadapan Azhar bersambung esok. – BERNAMA

  • Syed Saddiq berdepan pertuduhan pindaan kes pecah amanah RM1 juta

    Syed Saddiq berdepan pertuduhan pindaan kes pecah amanah RM1 juta

    PIHAK pendakwaan hari ini mengemukakan dua pertuduhan pindaan berhubung kes pecah amanah RM1 juta dan menyalahgunakan wang RM120,000 milik Armada terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

    Dua pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan pada prosiding pengurusan kes hari ini dan Syed Saddiq, 29, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan pindaan tersebut.

    Mengikut pertuduhan pindaan pertama, bekas Menteri Belia dan Sukan itu didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Rafiq Hakim Razali yang mana lelaki itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada berjumlah RM1 juta, telah melakukan pecah amanah dengan curangnya menyalahgunakan dana itu.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad di Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, di Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Syed Saddiq didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 April 2018 hingga 21 April 2018, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Sebelum ini, beliau juga didakwa atas dua pertuduhan iaitu melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.

    Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, tiada perubahan pada tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini dan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq tidak membantah perkara itu.

    Hakim Mohamed Zaini mengekalkan tarikh perbicaraan tersebut.

    Mahkamah sebelum ini menetapkan 22 hari bermula 7 hingga 10 Jun, 20-22 Jun, 27 dan 28 Jun serta 4-8 Julai, 13-15 Julai dan 18-22 Julai untuk perbicaraan kes. – BERNAMA

  • Adakah Rosmah hadir mahkamah Isnin ini? Soal Armada

    Adakah Rosmah hadir mahkamah Isnin ini? Soal Armada

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) mempersoalkan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor akan menghadiri prosiding rayuannya di mahkamah Isnin ini bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai pendakwa utama.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim ketika membangkitkan perkara itu mendakwa bahawa maklumat diperolehinya menunjukkan Rosmah masih berada di Singapura.

    Beliau membangkitkan keraguan itu apabila Rosmah gagal pulang ke negara ini sebelum 21 November seperti yang disyaratkan oleh mahkamah.

    “Beliau sepatutnya pulang sebelum 21 November dan selepas pulang kena lalui proses kuarantin. Peguam mengatakan beliau akan hadir sesi rayuan di mahkamah Isnin ini.

    “Persoalannya adakah beliau sudah ada di Malaysia atau masih lagi ada di Singapura, sebab beliau kena kembalikan pasport 6 Disember dan perlu hadir sesi prosiding rayuan pada hari sama…takkan balik sampai terus boleh ke mahkamah,” katanya kepada pemberita ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan polis.

    Mohd Ashraf menambah, pihaknya membuat laporan polis bagi menggesa pihak berkuasa membatalkan pasport Rosmah dan membawanya pulang ke Malaysia kerana gagal hadir di Mahkamah Rayuan dua hari lalu.

    “Mahkamah sebelum ini menetapkan memulangkan sementara pasport Rosmah untuk ke Singapura dengan syarat hanya dari 22 Oktober hingga 21 November, dan pasport wajib dipulangkan ke mahkamah selewat-lewatnya 6 Disember.

    “Malangnya, Rosmah gagal hadir perbicaraan kesnya kerana masih berada di luar negara. Terang-terang beliau telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan terhadap sistem keadilan negara.

    “Kita minta polis siasat dan tindakan diambil kalau tidak sistem perundangan negara, sistem kehakiman dan pihak berkuasa akan ditertawa oleh negara luar,” jelasnya.

    Beliau turut mempersoalkan mengapa Jabatan Peguam Negara tidak membantah apabila Rosmah memohon untuk ke Singapura.

    “Kita minta mahkamah layan Rosmah macam kes perbicaraan rakyat biasa yang lain,” katanya.

    Kelmarin, Mahkamah Rayuan sepatutnya mendengar sambungan hujahan rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya membatalkan perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid dan menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwaan dalam kes itu.

    Rosmah sepatutnya pulang ke negara ini pada 21 November lalu, tetapi peguam Jagjit Singh hanya memaklumkan ketidakhadiran anak guamnya 10 minit sebelum mahkamah bersidang.

    Jagjit dilaporkan berkata, anak guamnya masih berada di Singapura. Beliau mengaku ia pelanggaran perintah Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan pada 15 Oktober lalu, untuk membenarkan isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu menemani anaknya bersalin.

  • Gagal hadir bicara, Armada gesa ekstradisi Rosmah

    Gagal hadir bicara, Armada gesa ekstradisi Rosmah

    ANGKATAN Bersatu Anak Muda (Armada) menggesa Datin Seri Rosmah Mansor diekstradisi ekoran beliau gagal pulang ke Malaysia pada 21 November dan menghadiri perbicaraan di mahkamah kelmarin.

    Memetik laporan Malaysiakini, Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur petang ini.

    Dalam jemputan kepada media, beliau memohon pasport isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dibatalkan dan dibawa pulang ke negara ini.

    “Terang-terang beliau telah langgar dan hina perintah mahkamah. Ini satu penghinaan pada sistem keadilan negara,” katanya.

    Rosmah, yang menghadapi pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar kerajaan untuk sekolah luar bandar di Sarawak, tidak hadir di mahkamah pada 2 Disember lalu.

    Pasportnya dirampas berikutan pertuduhan itu tetapi dikembalikan sementara kepadanya untuk melawat anaknya, Nooryana Najwa Najib di Singapura yang bersalin pada 1 November lalu.

    Lawatan itu sepatutnya dari 22 Oktober hingga 21 November.

    Ini mendorong pihak pendakwaan untuk mendapatkan waran tangkap terhadap Rosmah tetapi Mahkamah Rayuan enggan berbuat demikian selepas peguam Rosmah menjelaskan ia berpunca daripada kesilapan.

    Pasukan guaman Rosmah menjelaskan bahawa walaupun beliau sepatutnya pulang ke Malaysia pada 21 November, namun memutuskan untuk kembali kemudian berikutan pengenalan Lorong Perjalanan Bervaksin (VTL).

    VTL antara Malaysia dan Singapura dilancarkan pada 29 November yang membolehkan individu yang telah divaksin sepenuhnya melakukan perjalanan antara kedua-dua negara tanpa menjalani kuarantin Covid-19, tertakluk kepada beberapa peraturan termasuk ujian semasa ketibaan.

    Peguam Rosmah memberi jaminan kepada mahkamah bahawa beliau akan hadir untuk perbicaraan pada 6 Disember.

    Rosmah menghadapi tiga pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

    Dalam pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta rasuah RM187.5 juta daripada Jepak Holdings Sdn Bhd untuk membantu mendapatkan projek Kementerian Pendidikan.

    Projek bernilai RM1.25 bilion itu bertujuan membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak menggunakan gabungan tenaga solar dan diesel.

    Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, beliau didakwa masing-masing menerima rasuah RM1.5 juta dan RM5 juta sebagai ganjaran untuk mendapatkan projek itu.