PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dianggap tidak layak bertanding dalam pilihan raya bagi mewakili suara rakyat di negara ini.

Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Firdaus Rashid berkata demikian ekoran kenyataan Naib Presiden Muda, Lim Wei Jiet mempersoalkan tindakan yang diambil terhadap pelawak yang didakwa menghina Islam serta Crackhouse Comedy Club.

“Adakah Muda ditubuhkan untuk mewakili suara rakyat majoriti atau pun sekadar menjadi ‘lidah’ kepada golongan minoriti tertentu yang tidak memahami demografi dan geopolitik serta pegangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama terutamanya orang Melayu dan Islam?

“Sekiranya begitu, saya rasa parti Muda tidak sesuai untuk bertanding dan mewakili suara rakyat Malaysia. Mungkin Muda lebih sesuai dan diterima di negara-negara seperti Singapura atau Hong Kong.

“Dalam hal ini, kita juga nak tahu apa pandangan dan pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ADUN Puteri Wangsa YB Amira Aisya? Sebagai seorang perempuan Muslim, adakah YB Amira juga turut bersetuju dengan lawak tidak sensitif terhadap agama Islam yang dipersembahkan di Crackhouse Comedy Club?” katanya seperti dilaporkan portal Berita Bersatu.

Firdaus berpandangan, Wei Jiet tidak sewajarnya mempersoalkan tindakan undang-undang yang diambil pihak berkuasa kerana beliau patut tahu tentang kesalahan yang dlakukan oleh pelawak dan kelab terbabit.

“Sebagai seorang peguam, dia tentu tahu bahawa kelab tersebut telah dilaporkan media tidak mempunyai lesen hiburan untuk menjalankan operasi sebagai sebuah kelab komedi.

“Bukankah itu menjadi satu kesalahan dan wajar diambil tindakan?

“Di samping itu, video persembahan pelawak tersebut juga telah tular dan membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam kerana menyinggung sensitiviti agama dan bangsa,” katanya.

Beliau menambah, tindakan pihak berkuasa adalah wajar bagi mengelak kejadian yang lebih buruk berlaku akibat kemarahan orang awam.

Namun, katanya, perkara itu yang tidak difahami oleh Wei Jiet dan Muda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here