Tag: Arab Saudi

  • Malaysia dapat kuota penuh haji tahun ini

    Malaysia dapat kuota penuh haji tahun ini

    ARAB Saudi memperuntukkan bagi Malaysia kuota penuh haji sebanyak 31,600 orang untuk tahun 1444H/2023M, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

    Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabia menerusi satu mesyuarat khas dihadiri mereka semalam.

    Menurutnya, mesyuarat itu bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan ia berlangsung dengan penuh mahabbah khususnya membincangkan aspek persiapan musim haji tahun ini.

    “Sehubungan dengan itu, saya sukacitanya ingin mengumumkan bahawa Kuota Haji Malaysia yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi adalah sebanyak 31,600 orang untuk tahun 1444H/2023M.

    “Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya menzahirkan rasa amat bersyukur dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh ini,” katanya.

    Mohd Na’im berkata, beliau yakin penilaian telah dibuat dalam semua aspek bagi memastikan keselamatan bakal-bakal jemaah haji dari seluruh dunia terjamin semasa menunaikan rukun Islam yang ke-lima.

    “Saya ingin memohon kepada semua umat Islam dapat bersama-sama berdoa kepada Allah SWT agar mempermudahkan perjalanan haji tahun ini serta mendoakan semoga pihak TH dapat menguruskan jemaah haji Malaysia dengan baik dan lancar,” katanya.

    Mengulas lanjut pertemuan itu, Mohd Na’im memberitahu, Dr Tawfiq Fawzan telah memuji Malaysia khususnya pihak Lembaga Tabung Haji (TH) di dalam mesyuarat tersebut.

    Katanya, ini berikutan pengendalian haji yang terbaik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji oleh TH yang patut dicontohi.

    “Saya telah memberikan penegasan bahawa TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah Haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan daripada Kerajaan Arab Saudi,” katanya.

  • Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    HUJAN lebat disertai ketulan air batu selain ribut petir yang boleh menyebabkan banjir kilat diramal berlaku di kota suci Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram.

    Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA) hari ini memaklumkan amaran hujan lebat yang berlaku sejak petang Ahad kekal aktif sehingga pukul 11 pagi (waktu tempatan) pada Selasa (hari ini).

    Ramalan itu menyatakan, hujan tahap sederhana dan lebat diramal bersama angin kuat, ombak besar serta hujan batu manakala jarak penglihatan pula terhad. 

    “Hujan lebat ini berlarutan di Madinah dan wilayahnya termasuk pantai dan kemudian beredar ke timur di wilayah Riyadh, Hail, Qassim, wilayah timur, timur laut dan utara termasuk wilayah Al-Jouf dan wilayah sempadan utara.

    “Salji lebat diramal di wilayah utara Arab Saudi dan kabus tebal akan terbentuk pada awal pagi Isnin.

    “Orang ramai mesti berhati-hati dan tidak mendekati lokasi air hujan terkumpul untuk memastikan keselamatan mereka,” menurut NCM.

    Sementara itu, Jabatan Tertinggi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menerusi portal rasminya hari ini memaklumkan bahawa pelan kecemasan menghadapi bencana banjir sudah mula dilaksanakan bagi memastikan keselamatan jemaah umrah dan pengunjung Baitullah.

    Pengarah Keselamatan Masjidil Haram, Hussein bin Hassan Al-Asafi berkata: “lebih 200 penyelia dan 4,000 petugas pembersihan digerakkan bagi membantu melancarkan tugas ini”. – BERNAMA

    Masjidil Haram, ribut, hujan lebat, salji, Arab Saudi

  • 23 jemaah terkandas di Arab Saudi akan dibawa balik secara berperingkat – Saifuddin

    23 jemaah terkandas di Arab Saudi akan dibawa balik secara berperingkat – Saifuddin

    KERAJAAN akan membawa pulang baki 23 daripada 63 jemaah umrah warga Malaysia yang terkandas di Arab Saudi secara berperingkat bergantung sumber dana yang diperolehi untuk pembelian tiket.

    Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, kementerian itu tidak telibat dengan bantuan dana kerana ia lebih kepada usaha yang dilaksanakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

    “Kami lebih kepada membantu dalam urusan dengan Kerajaan Arab Saudi untuk membawa mereka pulang,” katanya ketika ditemui pemberita di Indera Mahkota di sini.

    Semalam, empat lagi jemaah selamat pulang ke tanah air selepas 36 jemaah dari kumpulan pertama tiba di negara ini pada 4 Oktober lalu.

    Pada Oktober lalu, Wisma Putra dalam kenyataannya memaklumkan, 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu.

    Kesemua jemaah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan umrah pada Mac lalu.

    Saifuddin yang juga calon Perikatan Nasional (PN) Parlimen Indera Mahkota berharap kejadian seperti ini tidak akan berulang selepas ini kerana jemaah Malaysia mempunyai rekod baik dan kerajaan Arab Saudi selalu memuji pengurusan jemaah haji serta umrah dari negara ini.

    “Saya berharap peristiwa seperti ini tidak akan berulang lagi sebab kita bimbang ia mencatatkan nama baik Malaysia di kaca mata kerajaan Arab Saudi,” katanya.

  • Raja Arab Saudi lantik Putera Mahkota sebagai Perdana Menteri

    Raja Arab Saudi lantik Putera Mahkota sebagai Perdana Menteri

    RAJA Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud semalam melantik Putera Mahkota Mohammed Salman sebagai Perdana Menteri negara itu.

    Pelantikan Mohammed Salman dibuat menerusi satu Dekri Diraja dikeluarkan Raja Salman.

    Dekri itu pada masa sama memperuntukkan mesyuarat Kabinet mingguan yang dihadiri Raja Salman, akan dipengerusikan baginda.

    Pelantikan Putera Mahkota itu dilaksanakan dengan membuat pengecualian terhadap peruntukan Perkara 56 Undang-Undang Asas Pentadbiran Arab Saudi dan peruntukan berkaitan dalam Undang-Undang Majlis Menteri.

    Dekri itu turut mengarahkan rombakan Kabinet dengan melantik Putera Khalid sebagai menteri pertahanan.

    Bagaimanapun, kedudukan menteri-menteri lain tidak berubah termasuk Menteri Tenaga, Menteri Pelaburan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Kewangan.

  • Lelaki dikehendaki Arab Saudi letupkan diri, empat cedera

    Lelaki dikehendaki Arab Saudi letupkan diri, empat cedera

    SEORANG individu paling dikehendaki Arab Saudi meletupkan diri yang mengakibatkan kematiannya ketika cuba ditahan pasukan keselamatan di Jeddah Rabu lalu dalam satu kejadian kejar mengejar. 

    Tindakan suspek Abdullah bin Zayed al-Bakri al-Shehri, 39, yang juga rakyat tempatan meletupkan dirinya mengakibatkan seorang rakyat Pakistan dan tiga anggota keselamatan cedera terkena serpihan bom.

    Lapor Saudi Gazette, Abdullah dipercayai ahli kumpulan Daesh yang terbabit dalam serangan ke atas sebuah masjid di Arab Saudi pada 2015.

    Dia antara seorang daripada sembilan lelaki yang dikehendaki dalam letupan mengorbankan 15 orang dalam sebuah masjid, kebanyakannya polis, berhampiran sempadan Yemen.

    Menurut kenyataan Presidensi Keselamatan Negara yang disiarkan oleh Agensi Berita Saudi (SPA), pegawai yang cedera dan warga Pakistan yang cedera sudah dipindahkan ke hospital tempatan di mana mereka menerima rawatan.

    Katanya, pihaknya mengulangi penegasan untuk sedia menangani ancaman mana-mana pihak yang memberi ancaman kepada keselatan dan ketenteraman negara itu.

  • Arab Saudi benar pemegang visa pelancong, komersial tunai umrah

    Arab Saudi benar pemegang visa pelancong, komersial tunai umrah

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi semalam mengumumkan, umat Islam yang memperoleh visa pelancong dan visa komersial kini dibenarkan menunaikan ibadah umrah semasa berada di negara itu.

    Lapor Saudi Gazette, kementerian itu memaklumkan, kemudahan itu tersedia untuk warganegara dari 49 negara di seluruh dunia.

    Untuk itu katanya, mereka boleh mendapatkan visa secara dalam talian menerusi portal ‘Visit Saudi Arabia’ atau sebaik sahaja tiba di lapangan terbang Arab Saudi.

    Kementerian itu menyatakan bahawa keputusan itu telah diambil untuk memudahkan seramai mungkin orang menunaikan umrah.

    Menurutnya, pemegang visa Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan negara-negara di Kesatuan Eropah (EU) yang beragama Islam turut layak menunaikan umrah.

    Ia bersempena Tahun Baru 1444 Hijrah yang bertujuan untuk membolehkan lebih ramai umat Islam menunaikan umrah dengan mudah di negara berkenaan.

    Sistem baharu itu juga membenarkan umat Islam yang memperoleh visa pelancong sah untuk tempoh 12 bulan tanpa perlu membuat permohonan awal.

    Menerusinya, pemegang pas pelancong boleh melawat bandar dan semua wilayah di negara berkenaan.

    Pemohon visa hendaklah dari negara-negara termasuk dalam kalangan negara yang layak untuk mendapatkan visa elektronik.

    Sementara itu, pemegang visa lawatan keluarga dari negara yang berbeza juga boleh menunaikan umrah dengan menempah janji temu melalui aplikasi Eatmarna melalui saudara mereka semasa lawatan ke Arab Saudi dengan memohon melalui National Unified Visa Platform atau Platform Visa Bersepadu Nasional.

    Untuk menunaikan umrah, pelawat beragama Islam dikehendaki antaranya mendapatkan insurans kesihatan komprehensif termasuk perlindungan kos rawatan jangkitan COVID-19; kemalangan sehingga mengakibatkan kematian atau hilang upaya dan perbelanjaan kerana kelewatan atau pembatalan penerbangan.

  • Haji: Tarikh akhir tinggalkan Arab Saudi 13 Ogos

    Haji: Tarikh akhir tinggalkan Arab Saudi 13 Ogos

    TARIKH akhir bagi jemaah yang menunaikan haji tahun ini untuk meninggalkan Arab Saudi ialah pada Sabtu ini atau 13 Ogos.

    Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi berkata, syarikat Tawafah yang menyediakan perkhidmatan kepada jemaah haji dari luar negara perlu mematuhi jadual pelepasan jemaah.

    Lapor Saudi Gazette, syarikat itu juga perlu memastikan prosedur perjalanan jemaah haji yang datang ke Arab Saudi dilengkapkan mengikut perancangan operasi yang dilaksanakan sepanjang musim haji 2022.

    Kementerian itu memaklumkan kepada syarikat terlibat tentang kepentingan memudahkan kepulangan kumpulan terakhir jemaah haji.

    Pada masa sama, kementerian itu mengingatkan semua jemaah yang masih berada di Arab Saudi agari menyemak butiran pengangkutan dan penginapan mereka daripada syarikat yang mengatur perjalanan mereka.

    Sementara itu, kementerian berkenaan turut menyatakan kepentingan mempunyai kontrak yang didokumenkan untuk perkhidmatan yang akan diterima oleh jemaah sepanjang perjalanan umrah.

    Sebagai tambahan, mereka juga perlu mengetahui butiran perkhidmatan tersebut melalui syarikat penganjur.

  • 31 wanita Arab Saudi jadi pemandu kereta api laju Mekah-Madinah

    31 wanita Arab Saudi jadi pemandu kereta api laju Mekah-Madinah

    SERAMAI 31 wanita Arab Saudi memulakan perantisan pemanduan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain yang beroperasi antara Mekah dan Madinah menerusi Jeddah.

    Wanita itu menurut Saudi Gazette mula menjalani latihan awal tahun ini untuk menjadi pemandu kereta api pertama Arab Saudi.

    Mereka menjalani latihan praktikal selepas tamat fasa pertama latihan teori.

    Untuk fasa kedua, pelatih wanita akan menjalankan tugas bersama pemandu kereta api terlatih selama lima hingga enam bulan.

    Sejak latihan bermula Mac lalu, kumpulan 31 wanita itu sudah melengkapkan latihan teori selama 483 jam termasuk pengetahuan asas kereta api, peraturan keselamatan dan trafik, risiko pekerjaan, pemadaman kebakaran, serta aspek teknikal berkaitan infrastruktur kereta api dan landasan.

    Latihan itu diselia syarikat Sepanyol, Renfe, yang juga pemegang saham terbesar dalam konsortium pengurusan Kereta Api Berkelajuan Tinggi dan Politeknik Laluan Kereta Api Arab Saudi (SRP).

    Sebelum ini, Renfe mengeluarkan ikla untuk mengambil 30 pemandu pelatih wanita tempatan Arab Saudi yang mendapat permohonan menggalakkan dari sekurang-kurangnya 28,000 orang.

    Namun hanya 145 orang terpilih menjalani temuduga dengan 34 orang layak menyertai latihan fasa pertama.

    Menjelang Disember depan, semua pelatih itu dijangka akan mula memandu sendiri kereta api antara bandar di Arab Saudi, selepas lulus semua latihan dan ujian.

  • Sukan Musim Sejuk Asia: Arab Saudi kemuka permohonan jadi tuan rumah

    Sukan Musim Sejuk Asia: Arab Saudi kemuka permohonan jadi tuan rumah

    ARAB Saudi pada Rabu menyerahkan permohonan rasmi untuk menjadi tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia (AWG) ke-10, lapor Xinhua.

    Permohonan itu dikemukakan Jawatankuasa Olimpik & Paralimpik Arab Saudi kepada Majlis Olimpik Asia, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

    Andai diluluskan, Arab Saudi bakal menjadi negara pertama di Asia barat yang menganjurkan acara itu sejak pelancarannya pada 1986, selepas Jepun, China, Korea Selatan dan Kazakhstan.

    Pejabat Eksekutif Majlis Olimpik Asia akan mengadakan pertemuan di Kemboja pada Oktober sebelum mengadakan Perhimpunan Agung Majlis Olimpik Asia bagi menyemak permohonan itu.

    Lebih 32 negara dan wilayah di Asia dijangka mengambil bahagian dalam temasya itu. – BERNAMA

  • Umrah: Arab Saudi alihkan pengadang lindungi Kaabah

    Umrah: Arab Saudi alihkan pengadang lindungi Kaabah

    PENGADANG yang melindungi kawasan sekeliling Kaabah di Masjidilharam dialihkan selepas dua tahun.

    Saudi Gazette melaporkan, arahan itu dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud semalam menerusi satu dekri Diraja selaras permulaan musim umrah baharu.

    Mengumumkan perkara itu, Presiden Umum Hal Ehwal Dua Masjid Suci, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais berkata, langkah itu menunjukkan kesungguhan kepemimpinan Arab Saudi untuk memudahkan jemaah serta pelawat Masjidilharam menunaikan ibadah dalam suasana tenang dan selamat.

    Ini didorong oleh peningkatan kehadiran umat Islam sempena musim baharu umrah.

    “Pihak kami sedang bekerjasama dengan kesemua sektor beroperasi di Masjidilharam untuk menerima kedatangan jemaah dan menyediakan segala perkhidmatan dan kemudahan diperlukan,” katanya.

    Pengadang terbabit ditempatkan di sekeliling Kaabah bermula 1 Julai 2020 selaras arahan Pusat Kebangsaan Untuk Pencegahan Coronavirus, sebagai langkah mencegah penularan pandemik COVID-19.

    Larangan itu menghalang jemaah haji dan umrah serta pelawat daripada menyentuh mahupun mencium Kaabah dan Hajarul Aswad.

    Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Haji dan Umrah mengesahkan jemaah dari luar negara yang mahu menunaikan umrah, tidak lagi perlu mengemukakan keputusan negatif ujian saringan pantas antigen atau Polymerase Chain Reaction (PCR) untuk memasuki Arab Saudi.

    Bagaimanapun kementerian itu memaklumkan, insurans bagi menampung kos rawatan sekiranya dijangkiti COVID-19, masih menjadi antara syarat kemasukan jemaah dari luar negara untuk menunaikan umrah.

    Tambahnya, tempoh tinggal bagi mereka yang datang dengan visa umrah adalah 90 hari sahaja dan mereka boleh melakukan pergerakan dan perjalanan antara Mekah dengan Madinah serta semua bandar lain di Arab Saudi sepanjang tempoh berkenaan.