Tag: Anthony Loke Siew Fook

  • Harga tiket RM3,138 penerbangan sehala KL-Tawau untuk ekonomi, bukan perniagaan

    Harga tiket RM3,138 penerbangan sehala KL-Tawau untuk ekonomi, bukan perniagaan

    BEKAS menteri pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong tampil mempertahankan kenyataannya berhubung harga tambang penerbangan sehala bagi laluan Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 bagi kelas ekonomi.

    Menurut beliau, harga itu merupakan kelas ekonomi berdasarkan semakan di laman web dan bukan kelas perniagaan seperti mana dijawab Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berhubung isu dibangkitkannya.

    “Dia kata saya tidak dapat bezakan antara kelas penerbangan ekonomi dan perniagaan.

    “Saya hairan sebab semalam saya (lihat) sememangnya adalah tiket ekonomi (KL ke Tawau sehala) RM3,138 dan saya sahkan dua…tiga kali,” katanya di akaun Facebook miliknya.

    Terdahulu, Loke menafikan dakwaan Wee bahawa harga tambang penerbangan sehala Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

    Katanya, hanya tiket penerbangan kelas perniagaan itu tersedia untuk perjalanan pada 20 April sempena Aidilfitri.

    Loke berkata, beliau menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Izham Ismail untuk mengesahkan dakwaan itu, dan pihaknya dimaklumkan semua tiket kelas ekonomi untuk laluan itu pada Aidilfitri telah habis dijual.

    Mengulas lanjut Ka Siong yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Hitam berkata, sekiranya syarikat penerbangan yang memaparkan harga itu tidak betul, beliau menyarankan Loke mengambil tindakan segera.

    Katanya, isu dibangkitkan itu bukanlah untuk menuduh mana-mana pihak, tetapi hanya ingin membawa suara rakyat terkesan dengan harga tiket penerbangan mahal.

    “Kecuali laman web ini memberi satu paparan tak betul… (tetapi) hari ini saya buka sekali lagi laman web dan harga tetap sama. Aplikasi menunjukkan RM3,138 kelas ekonomi.

    “Apakah syarikat ini kaut keuntungan seperti mana dikatakan. Kita nak cari penyelesaian dan tak kisah pemerintahan siapa.. isu ini relevan. Biarlah kita selesaikan secara bersama,” katanya.

    Semalam, Ka Siong kecewa kerana harga tiket penerbangan dari ibu negara ke Sabah melambung tinggi pada musim perayaan walaupun sektor penerbangan semakin pulih selepas pandemik Covid-19.

    Beliau berkata, hasil semakannya mendapati tambang sehala bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

  • Penerbangan sehala KL ke Tawau bukan RM3,138, kata Loke

    Penerbangan sehala KL ke Tawau bukan RM3,138, kata Loke

    MENTERI Pengangkutan Loke Siew Fook menafikan dakwaan Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bahawa harga tiket penerbangan sehala bagi laluan Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

    Menurut Loke, beliau menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB), Izham Ismail untuk mengesahkan dakwaan itu, dan pihaknya dimaklumkan semua tiket kelas ekonomi untuk penerbangan laluan itu habis dijual pada hari raya.

    Katanya, hanya tiket kelas perniagaan tersedia bagi penerbangan pada 20 April sempena Aidilfitri.

    “Beliau (Izham) juga mengesahkan harga tiket tersebut bukan untuk kelas ekonomi tetapi ialah kelas perniagaan dan harga tiket tersebut ialah RM2,863.40 dan bukannya RM3,138,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

    Sebelum itu, Ka Siong yang juga bekas menteri pengangkutan kecewa kerana harga tiket penerbangan dari ibu negara ke Sabah melambung tinggi pada musim perayaan walaupun sektor penerbangan semakin pulih selepas pandemik Covid-19.

    Beliau berkata, hasil semakannya mendapati tambang sehala bagi laluan dari Kuala Lumpur ke Tawau menjelang Aidilfitri mencecah sehingga RM3,138 untuk kelas ekonomi.

    “Ini amat mengejutkan dan mengecewakan orang ramai. Macam mana keluarga B40 dan M40 khususnya warga Tawau di perantauan nak balik beraya tahun ini?,” kata Wee di Facebook.

    Sementara itu Loke berkata dakwaan itu perlu diperbetulkan dan beliau akan menjelaskan mengenai isu tambahan kapasiti penerbangan pada musim Aidilfitri di kementeriannya di Putrajaya, 12 tengah hari esok.

    “Ini fakta yang perlu diperbetulkan. Sebagai mantan menteri pengangkutan, saya yakin Wee faham perbezaan antara tiket kelas perniagaan dan kelas ekonomi.

    “Namun begitu, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau di atas keprihatinan terhadap isu tiket penerbangan yang tinggi dan pandangan mengenai tambahan kapasiti,” tambahnya.

  • Selepas Touch ‘n Go, Kerajaan pecahkan monopoli Puspakom pula

    Selepas Touch ‘n Go, Kerajaan pecahkan monopoli Puspakom pula

    KERAJAAN memecahkan monopoli Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sebagai pemeriksa berkala kenderaan tunggal bagi pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas pembayaran tol melalui Touch ‘n Go (TnG).

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dalam kenyataan berkata, perkhidmatan itu akan dibuka kepada pihak berkelayakan dan memenuhi syarat selepas konsesi semasa kepada Puspakom tamat tempoh pada 31 Ogos tahun depan.

    “Proses pelawaan pihak-pihak yang berminat dalam perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dijangka akan bermula selewat-lewatnya dalam suku pertama tahun 2024.

    “Keputusan tersebut adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perkhidmatan yang berdaya saing serta memudahkan seluruh rakyat Malaysia,” katanya, lapor Malaysiakini.

    Idea berkaitan penamatan monopoli itu dikatakan telah dibincangkan selewat-lewat pada tahun 2015 lagi. Syarikat-syarikat kerajaan dilapor berpotensi mendapatkan kontrak itu.

    Media kewangan The Edge melaporkan antara nama-nama yang disebut ketika itu, termasuk Kumpulan Naza group yang dimilik oleh keluarga SM Nasimuddin SM Amin serta Sime Darby Bhd serta UMW Holdings Bhd.

    Dua entiti terakhir itu dimiliki oleh syarikat kerajaan Permodalan Nasional Bhd.

    Sementara itu, Loke berkata bagi melaksanakan ketetapan terbabit MOT bersama JPJ akan membangunkan beberapa syarat.

    “Ia seperti syarat-syarat kelayakan, peraturan pengoperasian, skop perkhidmatan, penetapan lokasi pemeriksaan dan garis panduan bagi pihak-pihak lain yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor,” katanya.

    “Bagi memastikan keseragaman peraturan dan keadilan dalam aspek persaingan, mana-mana pihak yang berminat menyediakan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor akan diwajibkan untuk memenuhi semua syarat dan peraturan sama yang telah dikenakan kepada Puspakom bawah perjanjian konsesi.

    “Ini termasuklah kewajiban melantik pekerja yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan sahaja, menyedia dan menggunakan peralatan pemeriksaan berkomputer yang dikawal selia dan diluluskan oleh JPJ.

    “Selain itu, menyediakan perkhidmatan dengan mematuhi skop, standard dan prosedur pemeriksaan motor yang ditetapkan sepenuhnya, hanya boleh mengenakan kadar fi pemeriksaan yang telah ditetapkan sahaja dan tidak dibenarkan sama sekali menawarkan perkhidmatan pembaikan,” katanya.

    Menurut Loke, pihak JPJ juga akan secara berterusan mengaudit dan memantau semua pihak yang menyediakan perkhidmatan tersebut bagi memastikan pematuhan, kualiti dan integriti pemeriksaan.

    “Mana-mana pihak yang didapati melanggar apa-apa syarat ditetapkan boleh dikenakan penalti atau dibatalkan kebenaran menjalankan pemeriksaan terlibat.

    “MOT juga akan memastikan bahawa pembukaan pemeriksaan berkala kepada pihak-pihak lain tidak menyumbang kepada elemen persaingan tidak sihat serta membawa kesan negatif kepada penyediaan perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bawah Akta 333,” tegasnya.

    Sebelum ini, kerajaan telah memulakan usaha untuk memecahkan monopoli Touch N Go dalam pembayaran tol.

    Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri mengakui tiada perkembangan atau kemajuan yang meyakinkan dengan sistem itu walaupun telah diguna pakai kira-kira dua dekad.

  • Kedah Aerotropolis: Sanusi balas jawapan Anthony Loke

    Kedah Aerotropolis: Sanusi balas jawapan Anthony Loke

    Oleh BADLISHAH MAT

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan jawapan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook bahawa tiada permohonan projek Kedah Aerotropolis dibuat kerajaan negeri itu adalah palsu.

    Muhammad Sanusi berkata, semua proses yang perlu dipenuhi antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan sudah dilakukan yang ketika permohonan, pembentangan dan rundingan dibuat menterinya bukan Anthony Loke.

    “PM (Perdana Menteri) bukan PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Adakah kerana orang politik dalam kerajaan bertukar, semua fail lama telah tidak laku atau hilang?

    “Pembentangan kepada Majlis Perancagan Fizikal Negara (MPFN) sudah dibuat pada Ogos dan November 2020. Sudah menerima lapan nasihat yang sedang dipenuhi. Walaupun Perdana Menteri dan Menteri Pengangkutan bertukar, tetapi semua jabatan yang bertanggungjawab masih ada di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Kementerian Pengangkutan menafikan kerajaan membatalkan projek Kedah Aerotropolis, sebaliknya menegaskan permohonan mengenainya tidak pernah dikemukakan kepada kerajaan.

    Tambah Muhammad Sanusi, permohonan dan pembentangan kepada dua Perdana Menteri sebelum ini sudah dibuat dan pembentangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk dibuat penelitian oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sudah dibuat, namun berstatus belum selesai.

    “Permohonan untuk pembentangan kepada Perdana Menteri (Anwar) sudah dibuat melalui dua surat iaitu surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan KXP Airportcity Holding. Secara verbal juga sudah dimaklumkan kepada beliau sewaktu syarahan Kerajaan MADANI pada 19 Januari lalu.

    “Saya juga dimaklumkan oleh Sultan Kedah bahawa Baginda sendiri telah bertitah kepada Perdana Menteri tentang keperluan projek ini disegerakan dalam majlis mengadap, tetapi Perdana Menteri menyatakan kerajaan tiada keupayaan kewangan buat masa ini.

    “Oleh itu, saya simpulkan bahawa beliau belum ada maklumat terperinci tentang projek ini, maka saya arahkan SUK utus surat kepada PMX untuk diadakan pembentangan dan saya juga tandatangan surat KXP Airportcity kepada PMX sebagai Pengerusi yang statusnya ‘pending’,” katanya.

    Beliau berkata, Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Kajian Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA) sudah dibuat dan perincian itu telah dilakukan seperti yang dikehendaki dalam maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS).

    Selain itu katanya, sesi lawatan, perjanjian persefahaman, usahawasama dan pelbagai langkah lain telah dilakukan sementara menunggu kelulusan yang belum diperolehi.

    “Ini bukan kerja Pak Kadok atau Mat Jenin. Ini kerja serius. Jawatankuasa Teknikal Kedah Aerotropolis diketuai oleh Tan Sri Dr. Ir. Jamilus Husin, bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) yang membangunkan KLIA dan terlibat dengan beberapa airport lain di dunia.

    “Beliau diberi jolokan The Airport Man. Tak mungkin Jawatankuasa Teknikal diketuai oleh tokoh berpengalaman luas seperti ini tidak ambil kira persekitaran, tataletak dan interaksi projek dengan infrastruktur lain. Ini bukan presentation di medsos (sosial media), ini projek besar untuk negeri dan negara,” katanya.

  • Tentangan terhadap calon DAP di Jerai isu dalaman Amanah

    Tentangan terhadap calon DAP di Jerai isu dalaman Amanah

    Oleh RIZQI ZABIDI

    TENTANGAN sebahagian pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah terhadap pencalonan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff di Parlimen Jerai, dianggap DAP sebagai isu dalaman Amanah.

    Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, beliau merasakan sebarang isu tidak sepatutnya timbul kerana rundingan kerusi dalam Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi melalui Majlis Presiden PH.

    Malah katanya, beliau langsung tidak menyedari adanya boikot oleh pihak tertentu dalam Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah di Laguna Merbok, Sungai Petani, malam tadi.

    “Saya tak sedar ada apa-apa boikot malam tadi kerana saya difahamkan majlis itu berjalan lancar.

    “Mungkin ada pandangan dalaman dan sebagainya. Itu bagi saya adalah isu dalaman Amanah dan saya tak mahu masuk campur. Bagi saya tak ada soal boikot dan semua berjalan lancar kerana yang paling penting, kita bergerak atas satu pasukan iaitu pasukan PH,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Operasi Pilihan Raya PH Jerai di Pekan Guar Chempedak di sini, hari ini.

    Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr. Mohd. Hatta Ramli mengeluarkan kenyataan mengenai pemecatan Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berkuat-kuasa serta-merta.

    Pemecatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu yang juga Ketua Pembangkang Kedah dipercayai dilakukan parti ekoran tindakannya membantah pencalonan ADUN DAP di Jerai yang sebelum ini dikatakan sepatutnya ditandingi Amanah.

    Mengulas lanjut Anthony berkata, keputusan untuk meletakkan calon DAP di Jerai dibuat melalui rundingan dengan kepimpinan tertinggi Amanah setelah DAP bersetuju menyerahkan Parlimen Alor Gajah di Melaka kepada parti sekutunya itu.

    “Dan kami pula menerima kerusi Parlimen Jerai sebagai satu keputusan mengikut semangat rundingan dijalankan itu,” katanya.

  • Bubar Parlimen ‘masa terdekat’: Adakah UMNO derhaka?

    Bubar Parlimen ‘masa terdekat’: Adakah UMNO derhaka?

    KEPUTUSAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO bahawa PRU-15 mesti diadakan dalam masa terdekat membelakangkan kuasa budi bicara Yang Di-Pertuan Agong dalam soal pembubaran parlimen, kata Setiausa Agung DAP Anthony Loke.

    “Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara bahawa kenyataan terbuka berkenaan pembubaran parlimen dikeluarkan sebelum pun perdana menteri menghadap untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

    “Bukankah ini satu tindakan derhaka terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong,” soalnya sebagaimana lapor Malaysiakini.

    Loke berkata, keputusan MKT UMNO yang diumumkan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Ahmad Maslan malam tadi “bersifat angkuh, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.”

    “Kata kunci dalam kenyataan (Ahmad Maslan) tersebut bahawa pembubaran parlimen mesti diadakan dalam masa terdekat dan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga iaitu dalam tempoh masa tiga bulan berbaki seolah-olah merupakan satu pra-syarat yang telah ditetapkan oleh MKT Umno terhadap Yang di-Pertuan Agong tanpa mengambil kira bahawa Perkara 40(1) juga perlu dibaca bersekali dengan Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

    Malam tadi, Ahmad Maslan berkata “pembubaran parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan pada tahun ini juga.”

    “Berdasarkan keputusan (UMNO) ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan,” kata setiausaha agung Umno.

    Loke berkata DAP akan menjunjung dan menghormati sepenuhnya keputusan KDYMM Yang di-Pertuan Agong dalam soal membubarkan Parlimen selaras dengan prinsip dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

    “DAP menaruh kepercayaan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan Baginda untuk membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

    Bagaimanapun, Loke menjelaskan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan pula “amat jelas memperuntukkan kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.”

    “UMNO juga perlu diingatkan bahawa mereka hanya mempunyai 38 Ahli Dewan Rakyat ketika ini daripada jumlah 222 orang atau hanya 17 peratus yang membentuk Parlimen Malaysia.

    “UMNO tidak boleh dibenarkan untuk bertindak sewenang-wenangnya seolah-olah mereka masih merupakan parti majoriti terbesar di parlimen pada hari ini,” kata setiausaha agung DAP itu lagi.

    Perkara 40(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa budi bicara kepada Yang di-Pertuan Agong seperti berikut;

    Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

    (a) melantik seorang Perdana Menteri;

    (b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

    (c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.

  • PRU-15 pilihan raya paling sengit – DAP

    PRU-15 pilihan raya paling sengit – DAP

    PERSAINGAN lebih tiga penjuru yang terdiri daripada pelbagai gabungan parti politik menjadikan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) sebagai pilihan raya paling sengit kerana peralihan undian yang sukar untuk diramalkan.

    Memetik Free Malaysia Today, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, senario pada masa ini sudah berubah jika dibandingkan dengan gabungan yang paling kuat, iaitu Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang mempunyai simpanan tetap di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak.

    “Tapi sekarang, BN tak ada di Sabah dan Sarawak lagi dah. Daripada 14 parti, kini tinggal empat parti sahaja. Lepas PRU14, BN dah pecah dah. Parti-parti Sarawak keluar sendiri dan membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    “Di Semenanjung, kita ada tiga gabungan besar, iaitu BN, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN). Jangan lupa PN ini sebahagian daripada kerajaan hari ini dan mempunyai kelebihan dengan partinya Bersatu dan PAS yang memegang banyak negeri,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook.

    Loke memaklumkan, keadaan itu bertambah sengit lagi dengan Warisan yang ingin masuk bertanding di kawasan Semenanjung serta Gerakan Tanah Air (GTA) yang dipimpin oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

    “Macam mana undi itu akan beralih? Kita tak tahu lagi, tidak ada sesiapa yang akan tahu. Sekarang semua pihak yang hanya membuat ramalan sahaja. Sehingga hari pengundian baru boleh buat analisa.

    “Dalam konteks persaingan pelbagai penjuru ini, undi akan pecah-pecah. Sesiapa yang dapat undi tertinggi walaupun bukan majoriti dia akan menang. Yang dapat 30 peratus undi itu dah boleh menang.” katanya.

  • Anthony Loke tempelak Najib cuba tonjol dirinya pemimpin berintegriti

    Anthony Loke tempelak Najib cuba tonjol dirinya pemimpin berintegriti

    BEKAS Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menempelak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang cuba menonjolkan dirinya sebagai pemimpin berintegriti yang melaksanakan tender terbuka dan memberi contoh kejayaan projek transit aliran massa (MRT) 1.

    Najib berkata demikian ketika berbahas dalam program Debat Perdana dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim di MATIC, Kuala Lumpur, malam tadi.

    Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP mengingatkan Najib bahawa projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang memakan kos lebih RM50 bilion tidak pernah melalui proses tender.

    “Dan ECRL juga bukan satu pelaburan daripada luar tetapi kerajaan Malaysia juga yang perlu bayar bil tersebut dalam jangka masa panjang,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

    Anthony Loke
    Anthony Loke (Gambar: Facebook)

    Ahli Parlimen Seremban itu juga hairan apabila Najib masih mempertahankan mantera “cash is king” dan cuba putar belit kononya “king” yang dimaksudkan ialah rakyat

    “…maksudnya “cash is rakyat”? Saya tak faham logik tersebut,” jelasnya.

    Sebaliknya, kata beliau, Anwar pula dengan berani menyatakan bahawa bahawa “cash is king” ini akan menjadi masyarakat kita mempunyai “dependency syndrome” di mana golongan miskin akan sentiasa bergantung kepada golongan elit politik untuk bantuan dan terasa terhutang budi kepada mereka tanpa satu pendekatan jangka panjang untuk memerdekakan mereka daripada masalah kemiskinan.

    Anthony berkata, perkara yang paling lucu malam tadi adalah apabila Najib menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan agenda Anwar untuk melawan rasuah dan mana-mana kes penyalahgunaan kuasa mesti diambil tindakan.

    “Bukankah subjek rasuah terbesar dan penyalahgunaan kuasa yang luar biasa merujuk kepada dirinya sendiri? Maksudnya Najib bersetuju dengan Anwar bahawa Najib perlu diambil tindakan?” soalnya.

    Beliau menambah, apabila Najib mengaju soalan kepada Anwar berkenaan pendirian beliau terhadap isu penutupan siasatan terhadap skandal tukaran matawang asing yang melibatkan kerugian RM30 bilion 30 tahun yang lalu, Anwar dengan tegas mencabar balik beliau supaya meminta Perdana Menteri sekarang untuk membuka semula kes tersebut dan menyiasat semua kes lampau yang melibatkan golongan elit politik.

    “Saya rasa ramai yang duduk di sebelah blok pasukan Najib menggigil,” katanya.

  • Kumpulan pro-Anwar sentap, hentam Anthony Loke pula

    Kumpulan pro-Anwar sentap, hentam Anthony Loke pula

    DUA kumpulan yang menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya ‘sentap’ dengan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook.

    Mereka kesal apabila Anthony menggesa agar usaha menjadikan Anwar sebagai calon tunggal Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH).

    Ahli Parlimen Rasah itu membuat gesaan berkenaan ekoran kekalahan memalukan PH dan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Setiausaha Otai Reformasi, Abdul Razak Ismail berkata, bedah siasat sepatutnya dilakukan untuk mencari punca sebenar kekalahan PH di Melaka, bukannya menjadikan Anwar kambing hitam.

    Menurut beliau, PRN Melaka menjadi arena baharu bagi PH disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang mengehadkan keupayaan parti itu mengadakan ceramah dan kunjungan rumah ke rumah.

    “Kami menyelar keras ‘kegopohan’ Anthony Loke yang mencadangkan pengganti Anwar, sedangkan kita tertanya-tanya siapakah gerangan pemimpin yang dimaksudkan mempunyai karisma yang boleh menyaingi ketokohan Anwar setakat ini,” katanya pada sidang media.

    Sementara itu, Presiden Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM), Mustapa Mansor, yang mengkritik Anthony berkata, beliau sepatutnya membincangkan isu itu pada mesyuarat Majlis Presiden PH, bukan membuat kenyataan terbuka.

    Menyatakan hampir 20 peratus pengundi di Melaka tidak mengundi, beliau berkata, jika lebih ramai pengundi hadir, PH boleh memberikan saingan lebih sengit kepada Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

    Anthony juga dilaporkan oleh Malaysian Insight sebagai berkata, gabungan itu harus lebih menyentuh mengenai agenda reformasi berbanding hal Anwar menjadi Perdana Menteri.

    Sementara itu, susulan kenaikan harga barangan baru-baru ini, kedua-dua kumpulan menggesa orang ramai menyuarakan bantahan.

    “Kami akan beri tempoh seminggu kepada kerajaan untuk menurunkan harga. Jika tidak, semua rakyat harus bersama membuat protes,” kata Razak.